Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri




Wasiat Buat Isteri Tercinta 4


Dengan nama Allah, aku mulakan bicara ini dengan penuh sifat kehambaan yang ada pada diriku. Moga ianya menjadi panduan sepanjang perjalanan hidupmu. Selawat dan salam untuk rasul tercinta dan kekasih yang mulia serta para ahli keluarga juga para sahabat sekalian.

Sayang...
Ingatlah olehmu akan satu sabda junjungan yang bermaksud: " Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah." Jadilah dirimu akan isteri yang solehah kerana sesungguhnya ia adalah idaman setiap suami dan ia adalah anugerah Tuhan yang bernilai buatku sebagai suamimu.

Sayang...
Untuk menjadi isteri solehah bukanlah terlalu sukar. Patuhi Allah sebagai Tuhanmu, pegang sunnah Rasul sebagai ikutan dan taati aku oleh kerana Allah dan Rasulmu. Tidakkah teringin dilubuk sanubarimu untuk melihat syurga serta mengecapi nikmatnya? Sesungguhnya syurga itu tidak akan dapat dimasuki kecuali dengan kuncinya iaitu Iman dan Taqwa.

Sayang...
Ketahuilah olehmu bahawa dunia ini telah Allah penuhi dengan seribu satu keindahan untuk menguji manusia, siapakah diantara mereka yang terlebih baik amalnya. Maka barang siapa yang leka dengan ujian tersebut, nescaya merekalah orang yang rugi. Dan beruntunglah barang sesiapa yang dapat menawan nafsu mereka dengan kejernihan Iman kepada Allah s.w.t.

Sayang...
Setiap kesalahan itu akan menghasilkan dosa. Dan setiap dosa itu akan menjadi titik hitam dalam hati manusia. Selama mana manusia berbuat dosa dan tidak pula disusuli dengan taubat memohon keampunan Allah, maka selama itulah hatinya akan diselaputi kegelapan dosa dan noda. Sekiranya dibiarkan sahaja begitu, maka hati manusia tersebut akan mati sebelum rohnya berpisah dari jasad.

Sayang...
Setiap manusia biasa itu berbuat dosa. Namun sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang memohon taubat. Sesungguhnya taubat itu akan menyucikan hati dan jiwamu dari sebarang penyakit yang boleh membawamu kepada kemurkaan Allah. Semoga dirimu diperuntukkan Allah satu tempat dari syurgaNya walaupun sebesar tapak tangan kerana ianya terlebih baik daripada tempat sejauh mata memandang di dalam neraka Allah.


seruling senja
12/09/2008
1.42 petang
Masjid at-Taqwa,
Taman Uda Murni, Kota Bharu.


Wednesday, September 24, 2008

Musafir Cinta


Sinopsis:

Kesinambungan daripada novel Syahadat Cinta. Kisah Iqbal yang masih mencari diri dan akhirnya di sebuah tempat, di dalam sebuah rumah mewah, iman Iqbal yang baru menyubur kembali dicabar oleh Firman dan teman-temannya. Namun dibalik semua itu tersembunyi suatu rahsia daripada Ilahi, lalu mampukah Iqbal menahan cabaran ataupun menyahutnya dan mampukah dia membongkar rahsia dibalik kejadian itu.

Setelah meninggalkan pondok Tegal Jadin, Iqbal Maulana telah mengembara tanpa arah tujuan dalam perjalanannya mencari cinta. Sehingga dia sampai ke Kota Banjarnegara dan bertemu dengan sekumpulan penyanyi jalanan yang hidup dengan penuh kemaksiatan dan kemungkaran. Di sanalah dia bertemu dengan Firman Ardiansyah, Surya Permana, Parno Atmojo, Patmo Prastowo, Indri Rahmaningtyas, Oktaniani, Tuan Burhan dan Puan Laela.

Iqbal yang pada mulanya menanggung amanah Tuan Burhan dan Puan Laela untuk membawa Firman, satu-satunya anak lelaki mereka kembali kejalan yang benar telah terseret sama dalam kekeliruan persoalan ketuhanan yang dikemukakan Firman. Sehinggakan Iqbal terkapai-kapai mencari jawapan terhadap soalan tersebut menyebabkan dia mempersoalkan qada' dan qadar tuhan.

Namun kecelaruan tersebut tidak lama tatkala hatinya kembali sirna. Berlakunya beberapa kejadian yang menyebabkan sahabat-sahabatnya yang sebelum ini bergelumang dalam noda, dosa dan kemaksiatan mendapat hidayah dari Allah. Maka tatkala itu tertubuhlah kumpulan Ashabul Kahfi.

Lalu rumah Tuan Burhan yang menjadi tempat pesta Firman dan teman-temannya sebelum ini telah bertukar menjadi taman yang indah dihiasi dengan alunan zikir dan ayat-ayat Tuhan. Maka berduyun-duyunlah orang datang untuk menemui Iqbal Maulana bagi mengenali seorang lelaki yang telah mengubah ramai pemuda jalanan menjadi pemuda yang menjejaki jalan Tuhan.

Ulasan:

Pada permulaan novel ini agak perlahan dan sedikit membosankan. Namun ceritanya semakin menarik setelah Iqbal sampai di Kota Banjarnegara. Novel ini kurang adengan aksi jika hendak dibandingkan dengan novel Syahadat Cinta. Namun ianya sarat dengan persoalan ketuhanan. Nasihat saya kepada pembaca yang lain agar membacanya sampai kepenghujung cerita dan berhati-hati apabila memikirkan jawapan yang diajukan oleh Firman kepada Iqbal. Pada pendapat saya, penulis novel ini perlu membuat satu bab yang mana Iqbal mendapat jawapan terhadap persoalan ketuhanan yang dikemukakan Firman.

Walau bagaimanapun, keseluruhan novel ini cukup bagus untuk dibaca dan dimilik. Saya tidak sabar untuk menantikan kehadiran novel terakhir daripada trilogi ini iaitu Makrifat Cinta.




Monday, September 22, 2008

al-Ghayah Fi al-Qiraati al-A'syr

Semalam saya ada singgah di kedai menjual buku dan kitab-kitab terbesar
di Kelantan, iaitu Syarikat Jaafar Rawas. Semasa saya melihat kitab-kitab, saya terpandang sebuah kitab yang agak menarik iaitu kitab al-Ghayah Fi al-Qiraati al-A'syr karangan al-Hafiz Abi Bakar bin al-Hussin bin Mahran al-Asbahani an-Naisaburi yang menjelaskan mengenai ilmu qiraat al-Quran.

Ilmu qiraat ini amat penting bagi kita orang Muslim yang selalu membaca al-Quran dan merupakan ilmu kedua terpenting dalam ilmu al-Quran selepas ilmu tajwid. Banyak ilmu yang boleh didapati daripada kitab ini terutamanya jumlah qiraat yang mutawatir serta sanad-sanadnya yang sahih.
Jadi saya cadangkan kepada anda semua terutamanya yang memahami bahasa arab supaya mendapatkan kitab ini sebagai salah satu sumber ilmu pengetahuan dalam bidang qiraat.

Thursday, September 11, 2008

Satu Tamparan Untuk 3 Pertanyaan


Ada seorang pemuda yang lama sekolah di luar negeri, kembali ke tanah air. Sesampainya di rumah ia meminta kepada orang tuanya untuk mencari seorang guru agama, kiyai atau siapa saja yang bisa menjawab 3 pertanyaannya. Akhirnya orang tua pemuda itu mendapatkan orang tersebut, seorang kiyai.

Pemuda : Anda siapa Dan apakah bisa menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?

Kiyai: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda.

Pemuda : Anda yakin? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.

Kiyai : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.

Pemuda : Saya ada 3 pertanyaan:

1.Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukan wujud Tuhan kepada saya
2.Apakah yang dinamakan takdir
3.Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan. Sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?


Tiba-tiba kiyai tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras.

Pemuda : (sambil menahan sakit) Kenapa anda marah kepada saya?

Kiyai : Saya tidak marah…Tamparan itu adalah jawapan saya terhadap 3 pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.

Pemuda : Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.

Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Tentu saja saya rasa sakit.

Kiyai : Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?

Pemuda : Ya!

Kiyai : Tunjukan kepada saya wujud sakit itu!

Pemuda : Saya tidak bisa.

Kiyai : Itulah jawapan pertanyaan pertama…kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat wujudNya.

Kiyai : Apakah malam tadi anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Pemuda : Tidak.

Kiyai : Apakah anda pernah terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini?

Pemuda : Tidak.

Kiyai : Itulah yang dinamakan takdir.

Kiyai : Terbuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar anda?

Pemuda : Kulit.

Kiyai : Terbuat dari apa pipi anda?

Pemuda : Kulit.

Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda: Sakit.

Kiyai : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan.



Ditulis dalam Deep Thinking



Tuesday, September 9, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta III


Sayang...
Betapa sucinya ikatan ini yang termeterai dengan nama Tuhan. Sejuta doa dipohon untuk kebahagian berpanjangan. Namun bukan mudah untuk menyatukan dua jiwa berlainan rasa. Banyak dugaan yang perlu dihadapi. Tolak ansur adalah keutamaan.

Sayang...
Indahnya hidup ini bila bahagia mewarnai kehidupan. Bertelingkah sesekali tidak mengapa kerana ia umpama asam garam dalam masakan. Namun kemaafaan adalah dituntut agar keindahan budi sentiasa menghiasi diri dan kemanisan kasih penghias sanubari.

Sayang...
Tuhan telah jadikan kita satu umat yang sederhana. Maka hiduplah dengan sederhana seadanya kita. Bersederhanalah dalam semua urusan kehidupan duniamu, namun lobalah dirimu dalam mengejar akhirat. Kerana urusan akhirat itu adalah terlebih penting buatmu berbanding kehidupan duniamu yang sementara ini. Tiada apa yang lebih baik buat seseorang hamba kecuali dia kembali kepada Tuhannya dengan hati yang sejahtera.

Sayang...
Sesungguhnya dalam jasad anak adam itu ada seketul darah. Kiranya baik darah tersebut, maka baiklah keseluruhan jasad. Namun sekiranya jahat darah tersebut, maka jahatlah keseluruhannya. Itulah hati. Oleh itu, jagalah hatimu dengan sebaiknya. Didiklah ia sebagaimana anak kecil. Berikan ia ilmu dan cerahkanlah ia dengan zikir.

Sayang...
Dengarlah wasiatku ini buat panduan hidupmu. Tanpa panduan hidup daripada firman Tuhanmu dan pesanan Rasul, pasti hidupmu akan terumbang-ambing dengan keseronokan dunia serta sekalian isinya. Moga Allah memberkati hidupmu dengan kemanisan Iman dan nikmatnya amal.


seruling senja
15 Ogos 2008
1.45 tengahari
Masjid Ibnu Abbas,
Kg. Pengkalan Nyireh, Besut.

Tuesday, September 2, 2008

Dia Ambil Dari al-Quran


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!“, saya melafazkan syahadah.


Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.

“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.
Laura menangis. Bukan sedih. Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar. Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.
“Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!”, kata Laura. Saya sendiri berasa sebak dan terharu.

Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi SAW bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah. Muslim by nature.

JALAN DATANG KEPADA ISLAM

“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?”, saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.

“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?”, tanya Laura kepada saya. Saya mengangguk.

Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist. Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.

Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.

Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan dari itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.

“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!”, kata Laura.
“Apa yang berlaku?”, saya ingin tahu.
“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya”, cerita Laura.
“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat”, sambung Laura.
“Apa isi ceramahnya?”, saya mahukan kepastian.
“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri”, kata Laura.

Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.

“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkan father membaca apa-apa dari Quran buku orang Islam tentang tajuk yang dibentangkan tadi?”, cerita Laura lagi.
“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya dari al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut”, tegas Laura.
“Allah!”, saya mengurut dada.


Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]


“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya”, sambung Laura.

“Bagaimana reaksi keluarga anda?”, saya bertanya.
“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam”, jawab Laura.
“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!”, kata Laura dengan penuh yakin.

Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.


SECEBIS KISAH

Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.

Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.

Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.

Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim.
Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.


“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]


Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka dari permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.

Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.

Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi dari Rasulullah..

Wa ShaLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.


Kisah ini dipetik dengan izin dari web Saifulislam.
ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
56000 Kuala Lumpur

Monday, September 1, 2008

Pesanan Pejuang Buat Seorang Isteri


Sayang...
Kita telah ditakdirkan Tuhan
Bersatu dalam sebuah ikatan perkahwinan
Tatkata itu kita pasrah dengan ketetapan
Bersama doa yang berpanjangan
Moga dirahmati Tuhan dengan Kebahagiaan.

Sayang...
Dirimu adalah anugerah Tuhan
Menjadi teman kehidupan
Penolong setia tatkala kesusahan
Penghibur jiwa dikala kedukaan
Tiada nilaian mahupun bandingan
Bagiku dalam mengharungi liku perjuangan
Engkaulah belahan jiwa kesayangan.

Sayang...
Padamu telahku khabarkan
Seawal waktu perkenalan
Aku infaqkan diriku untuk perjuangan
Demi menegakkan agama Tuhan
Agar dirimu juga merelakan
Kebanyakkan masamu yang kutinggalkan
Bersendirian

Sayang...
Perjuangan ini adalah ujian
Mencari sebuah keikhlasan
Bukan hanya aku jadi nilaian
Bahkan dirimu turut diperkirakan
Dimanakah tahap kesabaran iman

Sayang...
Bukanlah kemewahan dunia yang kujanjikan
Kerana ia bukanlah keutamaan
Tatkala akhirat merupakan tujuan
Maka aku cuba persiapkan
Oleh kerana kesabaran dan kerelaan
Yang telah engkau tunjangkan
Bagi meraih keredhaan Tuhan
Sebagai ganjaran.


seruling senja
29/08/2008
3.25 petang
Kg. Baung, Pengkalan Chepa.


Marhaban Ya Ramadhan

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“ Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.”


Rasululah s.a.w juga ada bersabda yang bermaksud:
“ Bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah masukk syurga.”

Sesungguhnya Allah Taala kerap memerhatikan kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan. Siapa yang mendapat perhatian Allah Taala nescaya tidak disiksaNya. Dan seterusnya Dia mengampunkan mereka pada malam akhir dari bulan Ramadhan.

Sebabnya begitu ialah, pada bulan Ramadhan lebih mudah dicetuskan sebab-sebab mendapat pengampunan dari bulan-bulan yang lain. Lantaran itu tiada seseorang yang diharamkan mempperolehi keampunan pada bulan itu, melainkan ia terlalu banyak memalingkan diri dari Allah Taala dan sangat berat penentangannya maka sebab itulah ia telah dijauhkan dan diusir dari pintu Allah.

Berkata Jibril a.s kepada Nabi s.a.w:
“ Siapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tiada diampuni Allah Taala, nescaya ia akan dijauhi Allah dari rahmatNya. Katakanlah Amin. Maka Rasulullah s.a.w berkata Amin.”

Kami memohon perlindungan dan keselamatan dari kemurkaan Allah Taala dan seksaanNya serta segala bala bencanaNya.

Ada sebuah riwayat menyebut bahawa semua pintu langit dan pintu syurga dibuka pada setiap bulan Ramadhan manakala pintu neraka akan ditutup. Semua iblis dan syaitan dirantai, kemudian diseret untuk dilontarkan ke dalam laut, supaya mereka tidak mengganggu kaum Muslimin dan merosakkan puasa dan bangun malam mereka. Pada setiap malamnya pula, ada suatu suara menyeru: “ Siapa yang mahukkan kebaikan, mari! Siapa yang mahu kejahatan, pergilah!”

Riwayat yang lain pula menyebut bahawa siapa yang mendekatkan diri kepada Alllah Taala dengan suatu sembahyang dalam bulan Ramadhan, sama diimbangi dengan tujuh puluh sembahyang pada bulan lain. Siapa yang mendekatkan diri dengan suatu amalan sunat, sama diimbangi dengan suatu sembahyang fardu pada bulan lain.

Maka jelaslah bahawa sembahyang sunat dalam bulan Ramadhan dikira sama tingkatnya dengan sembahyang fardu pada bulan lain dari segi pahalanya. Sedang sembahyang fardu pula dilipat gandakan pahalanya ke atas fardu-fardu yang biasa ditunaikan pada selain bulan Ramadhan samapi tujuh puluh kali ganda.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“ Siapa yang berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketulus ikhlasan, nescaya diampunkkan segala dosanya yang telah lalu.”

Ketahuilah bahawa sesungguhnya puasa itu mempunyai rupa dan roh. Adapun rupa puasa ialah: menahan diri dari makan miinum dan dari bersetubuh mulai dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan syarat diisertai niat. Barangsiapa makan dan minum, ataupun bersetubuh pada siang harinya, sedang ia melakukan itu dengan sengaja, mengetahui hukum dan bukan terpaksa maka batalah puasanya. Tetapi jika ia terlupa atau jahil hokum ataupun terpaksa tidaklah batal puasanya. Inilah yang diikatakan rupa puasa.

Adapun roh puasa puala ialah menahan diri dari segala macam dosa dan larangan Allah Taala, sentiasa mengerjakan segala fardu dan wajib.

Orang yang berpuasa dari makan minum dan bersetubuh tetapi tidak menahan diri dari dosa dan larangan Allah Taala ialah orang yang puasanya tidak menghasilkan sesuatu faedah selain dari susah payah semata-mata.


Dipetik dari kitab an-Nasaaih ad- Diniyyah wal Wasaaya al- Imaaniyah karya Syeikhul Islam wa Hujjatul Islam Syed Habib Abdullah ibn Alwi al-Haddad al- Hadhrami as-Syafie.