Thursday, January 29, 2009

Novel: Makrifat Cinta


Sinopsis:

Setelah genap 3 tahun Iqbal Maulana meninggalkan Pondok Tegal Jadin, dia kemudiannya telah kembali ke pusat pengajian tersebut sebagaimana yang telah dijanjikannya dengan Kiai Sepoh sewaktu dia diarahkan untuk keluar dari pondok tersebut 3 tahun lalu.

Iqbal yang diiringi bersama kumpulan Ashabul Kahfi, penyanyi jalanan yang telah mendapat hidayah Allah s.w.t ditemani oleh Tuan Burhan, Puan Lela, makcik Jamilah, Fatiman, Firman dan Indri meninggalkan Banjarnegara demi memenuhi janji Iqbal serta menyatukan jiwa diatas nama cinta Tuhan.

Ketibaan Iqbal ke pondok Tegal Jadin bersama rombongannya telah memberikan kejutan kepada Kiai Subadar, Kiai Sepoh dan seluruh isi pondok tersebut. Namun Iqbal juga turut menerima kejutan apabila diberitahu oleh Ihsan bahawa Rakhmat menderita sakit yang tidak diketahui sebabnya semenjak Iqbal meninggalkan pondok tersebut 3 tahun yang lalu.

Ihsan memberitahu, Rahkmat menderita sakit akibat penyesalan terhadap perbuatannya kepada Iqbal 3 tahun dulu yang menyebabkan Iqbal diarah meninggalkan pusat pengajian tersebut. Iqbal turut bersedih melihat keadaan Rahkmat, seorang yang dihormati suatu ketika dahulu kini terlantar kurus dipembaringan. Namun begitu Rakhmat sempat mendengar sendiri perkataan maaf dari Iqbal sebagai membuktikan Iqbal telah memaafkannya. Rakhmat kemudiannya menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan Iqbal sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci dari Iqbal.

Bukan sekadar pemergian Rakhmat yang mendukacitakan Iqbal, namun wasiatnya supaya Iqbal menjaga A'isyah puteri Kiai Subadar juga turut membebankan fikirannya. Sebelum ini Kiai Sepoh telah menyarankan supaya Iqbal mengahwini tiga orang gadis serentak iaitu Zaenab, Priscilla dan Khaura. Wasiat Rakhmat itu menjadi salah satu penyebab pernikahan Iqbal dengan ketiga-tiga gadis itu tertangguh kerana mencari jalan penyelesaian terhadap wasiat tersebut. Sehinggalah perbincangannya dengan Irsyad, pemuda yang bertanggungjawab membimbingnya ke jalan mencari Tuhan yang telah lama ditinggalkannya. Bagi Irsyad, menjaga A'isyah sebagaimana wasiat Rahkmat tidak bererti menikahinya tapi ia juga membawa maksud menjaga imannya dan akhlaknya. Bagi Irsyad, mencari lelaki untuk menggantikan Rahkmat sebagai cinta hati A'isyah juga termasuk dalam menjaga A'isyah.

Setelah mendapat jawapan tersebut, perasaan Iqbal menjadi sedikit tenang kerana satu dari masalahnya telah selesai. Namun begitu, timbul masalah lain pula iaitu mengenai siapakah lelaki yang layak menggantikan Rahkmat di hati A'isyah. Tapi persoalan itu tidak lama menghantui fikirannya bila tiba-tiba dia teringatkan Ihsan, satu-satunya pemuda yang bersimpati dengannya dalam kejadian 3 tahun yang lalu. Baginya, Ihsan hampir-hampir menyamai sifat dan sikap yang ada pada Rahkmat dan dia memang layak untuk mendiami hati A'isyah.

Jiwa dan perasaan Iqbal terus menjadi nanar untuk membuat pilihan diantara ketiga-tiga gadis tersebut. Mestikah dia menikahi ketiga-tiga gadis itu serentak ataupun memilih salah seorang dari mereka itu? Sehinggalah dia menyerahkan urusan tersebut kepada Kiai Sepoh untuk memilih calon isteri dari kalangan ketiga-tiga gadis tersebut. Manakala Kiai Sepoh telah memberikan tempoh selama dua hari kepada Iqbal untuk mencari mahar bagi pernikahannya nanti.

Akhirnya setelah mendapat restu, Iqbal telah selamat dinikahkan dengan Fatimah Priscilla Zahra dengan mahar kahwinnya surah ar-Rahman bersaksikan semua pelajar Pondok Tegal Jadin.

Komen:

Saya amat tertarik dengan Catatan Penulis mengenai latar belakang kisah yang dimuatkan dalam novelnya. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, sekolah pondok sekarang ini kelihatannya sudah semakin lesu dan malap. Padahal suatu ketika dahulu sekolah pondoklah yang menghasilkan ramai ulama-ulama yang hebat. Namun sekarang ia hanyalah sebuah sejarah sekdar untuk dikenang. Sebagai bekas pelajar pondok, saya juga turut bersedih dengan keadaan ini.

Kisah trilogi Makrifat Cinta yang cukup menarik untuk bacaan semua terutamanya buat sesiapa yang ingin mengenali keindahan cinta dalam Islam. Melalui trilogi ini para pembaca bukan sahaja dapat melihat perbandingan antara cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan cinta Islami, bahkan para pembaca juga akan turut menyaksikan peristiwa-peristiwa dan persoalan-persoalan yang biasanya dialami oleh orang-orang yang mengembara mencari cinta Tuhan.

Syabas dan tahniah saya ucapkan buat saudara Taufiqurrahman kerana berjaya menyajikan trilogi yang hebat dan menarik. Sejak saya membaca novel Musafir Cinta, saya terus diburu rasa tidak sabar untuk membaca novel-novel seterusnya. Doa saya, semoga menyusul karya-karya yang hebat lagi dimasa akan datang.



Monday, January 5, 2009

Ayyuhal Walad: Nasihat Kedua


NASIHAT KEDUA

BAGAIMANA SEPATUTNYA KITA MENERIMA NASIHAT

Wahai anakku yang tercinta; Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran ahli falsafah. [yang dimaksudkan ahli falsafah ini boleh diertikan dengan orang yang mempunyai fahaman sekular di zaman sekarang (pentejemah)] Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini. Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu, nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat lagi daripada orang yang tidak mengetahui apaapa. Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw ertinya ;


Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah orang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.

Dan diriwayatkan daripada Imam A1 Junaid A1 Baghdadi Qaddasuhullahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al Junaid Al Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al Qasim (A1 Junaidi Al Baghdadi). Lalu Imam Al Junaid Al Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin.

Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.


Novel : Derap- Derap Tasbih

Fatih sebagai watak utama merupakan anak yatim dibawah asuhan dan jagaan Kiyai Sahal. Pak Kiyai ingin menjodohkan Fatih dengan anak gadisnya Wardah. Namun Fatih menolak lamaran tersebut kerana dia sudah menganggap Wardatul Mahmudah seperti adiknya sendiri. Tambahan pula Fatih percaya bahawa dia berhak untuk mengahwini orang yang dicintai.

Namun Wardah sepertinya tidak dapat menerima penolakan lamaran tersebut. Dia semakin jauh hati dari Fatih, tiada lagi berbual mesra dan gurau senda. Wardah cuba mengelak setiap kali bertemu dengan Fatih.

Ianya membawa perkenalan antara Wardah dengan Hendra, seorang pemandu pelancong di hutan Tawangmangu. Maka sejak pertemuan pertama itu, mereka berdua semakin rapat. Dia semakin lupa akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh anak seorang kiyai. Pergaulan dan pakaiannya sudah berubah sehingga kegadisannya turut tergadai dengan pujuk rayu Hendra itu.

Manakala Fatih yang merasa bertanggungjawab ke atas Wardah cuba menjejakinya kerana sudah banyak hari Wardah tidak pulang. Namun begitu, Fatih telah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta dalam hujan lebat sewaktu dua keluar mencari Wardah.

Bermula dari itulah, Fatih berkenalan dengan Dian Sasmita Wijaya, seorang doktor pelatih yang ditugaskan untuk menjaganya di Hospital Panti Husada. Dian yang mengenali Fatih sebagai novelis melalui iklan-iklan pelancaran novel 'Tasbih Micheal' yang terpampang mula meminati Fatih setelah membaca novel karyanya itu.

Dian makin mengambil berat tentang Fatih setelah dia mendapat tahu kereta yang melanggar Fatih itu adalah Honda Jazz miliknya yang diberi pinjam kepada Mila dan Shasa sahabat karibnya. Dian rasa cukup bersalah dan bertanggungjawab di atas kemalangan itu walaupun dia tidak terlibat secara langsung.

Sepanjang berada di hospital, Fatih tetap dibebani fikiran tentang Wardah yang masih belum ditemui. Pak Subhan dan ibu Zaenab serta teman-teman yang lain juga turut membantu Fatih mengesan dimana Wardah berada sehinggalah seseorang yang bernama Ibu Hartini menghubungi Fatih supaya datang menjemput Wardah di rumahnya di Surabaya.

Ketika itulah kisah hitam penuh kehinaan yang menyelubungi Wardah terpaksa ditutup rapi dari pengetahuan umum demi menjaga maruah Kiyai Sahal, Umi Badriyah, Darul Hikmah serta Wardah sendiri. Fatih terpaksa menanggung beban tersebut kerana janjinya dengan Wardah.

Namun begitu, Fatih terpaksa menceritakan perkara tersebut kepada Dian setelah Dian berjanji tidak akan mendedahkan kepada sesiapa. Ini kerana Fatih sudah tidak mampu untuk menanggungnya sendirian.

Dalam kekalutan jiwa ini, rahsia Wardah akhirnya terbongkar juga apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Doktor yang dipanggil Pak Kiyai kemudiannya mengesahkan bahawa Wardah mengandung. Demi menyelamatan maruah kiyai, wardah telah dihantar kerumah saudaranya sehingga melahirkan anak di sana. Ibu Zaenab sedih dengan keadaan begitu menyebabkan timbulnya sedikit perasaan iri hati terhadap Fatih kerana mendapat perhatian dan keistimewaan di sisi Kiyai.

Fatih kemudiannya telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang penulisan di luar negara telah mendapat restu Pak Kiyai. Malah Pak Kiyai juga turut merestui perhubungannya dengan Dian.

Setakat itu sahaja dapat saya tuliskan disini. Selebihnya anda bacalah sendiri baru tahu keadaan sebenarnya.