Sunday, July 26, 2009

Bacalah !!!


Ingatkah kita mengenai ayat pertama yang diwahyukan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s di Gua Hira'? Ayat 1- 5 surah Iqra' yang bermaksud :
"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam.dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."

Maka kita seharusnya mengambil pengajaran dan i'tibar dari ayat tersebut yang menyuruh kita membaca sebagai salah satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Statistik menunjukkan bahawa peratusan masyarakat Malaysia terutamanya Melayu Islam adalah terlalu kecil yang menjadikan membaca sebagai hobi mereka. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Eropah, mereka sentiasa membawa buku untuk dibaca tidak kira dimana sama ada sambil menunggu bas, tren, taman dan sebagainya. Berbanding dengan masyarakat kita yang lebih suka berbual kosong daripada mengisi masa terluang itu dengan membaca.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana telah menjadikan membaca dan mengkaji sebagai hobi yang paling saya sukai disamping hobi-hobi lain. Saya baca semua jenis buku asalkan ia boleh menambahkan ilmu pengetahuan. Saya baca buku dan kitab agama, falsafah, undang-undang, sastera, perubatan, komputer, kekeluargaan, teknologi, novel dan sebagainya. Sejak kecil lagi saya bercita-cita untuk memiliki perpustakaan mini sendiri dan sekarang saya telah memilikinya. Setiap bulan, saya sentiasa memperuntukan sejumlah besar wang untuk membeli buku-buku untuk ditambah dalam koleksi saya sama ada untuk dibaca atau sebagai rujukan.

Saya juga bersyukur kerana telah dikurniakan isteri yang berkongsi hobi dengan saya. Setiap bulan kami akan mengunji kedai-kedai buku sama ada Syarikat Muda Osman, Jaafar Rawas ataupun Popular untuk melihat buku-buku terbaru yang mungkin menarik hati. Jika saya rasa boring, saya lebih suka mengunjungi kedai-kedai buku. Namun begitu, di Kota Bharu ini tidak mempunyai kedai buku yang besar yang hebat sebagaimana kedai buku....di KLCC. Menyebabkan ada ketikanya saya sukar untuk mendapatkan buku-buku tertentu menyebabkan saya terpaksa memesan terus dari pihak penerbitan.

Saya berdoa agak satu hari nanti akan ada sekurang-kurangnya sebuah kedai buku yang besar yang dapat memenuhi hobi saya.