Monday, August 31, 2009

Khalifah Yang Miskin


Suatu hari Khalifah Hisyam bin Abdul Malik masuk ke dalam Masjidil Haram, tiba-tiba dia melihat Salim bin Abdullah bin Umar al-Khatab, seorang ulama besar dan termasuk salah seorang daripada fuqaha’ yang tujuh. Beliau membawa kasutnya dengan kedua-dua belah tangannya. Ada yang mengatakan bahawa serban, kasut dan bajunya hanya berharga lebih kurang 13 dirham. Maka dilihat oleh Khalifah Hisyam bersama para amir (gabenor), para menteri dan para pengawal, lalu ia bertanya kepadanya: “Wahai Salim, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim berkata: “Tidakkah kamu berasa malu berkata seperti itu di dalam rumah Allah?”

Ketika Hisyam keluar, dia menunggu Salim keluar di luar perkarangan masjid. Hisyam bertanya lagi: “ Wahai Salim tadi kita di dalam Masjidil Haram, sekarang kita berada di luar Masjidil Haram, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim menjawab: “Daripada kepentingan dunia atau akhirat?” Hisyam menjawab: “Tentu sekali daripada kepentingan dunia.”

Salim berkata: “ Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia, saya tidak memohon dunia yang dimilikiNya, bagaimana mungkin saya akan memintanya daripadamu yang sangat miskin ini! Sesungguhnya manusia itu miskin. Apakah manusia itu mengira bahawa kalau dia sudah memiliki wang berjuta-juta atau pelbagai istana, rumah serba mewah, teman-teman yang ramai, dia telah memiliki dunianya? Dia tidak mengetahui bahawa kecukupan dan kekayaan itu menetap di dalam hatii, tatkala hati itu hidup bersama ini.

Dipetik dari Ahasinul Kalimi fi Syarhil Hikam karangan Dr. Zulkifli Mohamad al- Bakri.

Sunday, August 30, 2009

Penggunaan Inhaler Membatalkan Puasa

Ikhwah, dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, di antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu `ain (unsur benda) walaupun sedikit ke dalam rongga terbuka yang biasa seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur. Perkara ini disebut adalah karya-karya fiqh mazhab kita asy-Syafi`iyyah seperti "Fathul Mu`in" yang menyatakan:-

و يفطر بدخول عين و إن قلت إلى ما يسمى جوفا

Dan batal (puasa) dengan masuknya sesuatu 'ain (benda) walaupun sedikit ke dalam apa yang dinamakan sebagai jauf (rongga).

Daripada nas kitab tersebut, dapatlah difahami bahawa jika seseorang tanpa paksaan daripada seseorang (yakni tanpa ikrah yang mu'tabarah pada syara`) dengan sengaja dan dengan tahu memasukkan sesuatu `ain, walaupun sedikit, baik berupa ubat yang diperlukannya melalui alat penyembur ubat (inhaler) ke mulut atau ke hidungnya maka batallah puasanya. Cuma bagi orang yang terpaksa melakukannya tidaklah dia berdosa kerana berbuka dari puasanya, tetapi dia kenalah mengqadha`nya pada hari lain atau jika penyakitnya tersebut tiada harapan untuk sembuh, di mana setiap siang hari hidupnya terpaksa menggunakan ubat tersebut, maka wajiblah dia mengeluarkan fidyah atas keuzurannya untuk tidak berpuasa tersebut.


Inilah hukumnya bagi seumpama penghidap asthma apabila terpaksa menggunakan inhaler sewaktu berpuasa. Dan inilah yang difatwakan oleh banyak ulama kita termasuklah oleh Darul Ifta` al-Mishriyyah melalui Syaikh Dr. Ali Jum`ah Muhammad hafizahUllah, mufti Mesir, yang menyebut antara lain:-

وكل ما دخل إلى جوف الإنسان عن طريق فتحة طبيعية مثل الفم والأنف والأذن فإنه يكون مفطرا والبخاخات التي تستعمل في مثل الحالات التي ذكرت في السؤال تدخل رزازا إلى جوف الإنسان مما يؤدي إلى فطر من استعملها وعدم انعقاد صيامه............... فإن البخاخات المستعملة في مثل هذه الحالات مفطرة للصائم


Dan setiap apa yang masuk ke dalam rongga seseorang insan melalui jalan yang terbuka secara semulajadi seperti mulut, hidung dan telinga, maka jadilah ianya membatalkan puasa. Penyembur (inhaler / spra
y) yang digunakan seumpama dalam situasi yang disebut dalam pertanyaan (yakni penggunaan inhaler bagi penghidap asthma) memasukkan sesuatu semburan ke rongga seseorang insan yang membawa kepada batalnya puasa sesiapa yang menggunakannya .... Sesungguhnya penyembur yang digunakan dalam situasi ini membatalkan puasa orang yang berpuasa.

Dalam fatwa beliau yang dihimpun dengan jodol "al-Kalimuth Thoyyib", Dr. 'Ali Jum`ah menyatakan pada halaman 109:-

Jika ubat yang digunakan dengan perantaraan penyembur (spray) tersebut sampai ke rongga seseorang melalui mulut atau hidung, maka ianya membatalkan puasa. Jika tidak sampai sesuatu daripadanya ke rongga, maka tidaklah ianya membatalkan puasa. Dalam situasi batalnya puasa, maka wajiblah seseorang itu mengqadha`nya pada hari-hari lain setelah hilang penyakitnya. Jika penyakitnya itu berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, maka menurut hukum syarak tidaklah wajib atasnya untuk berpuasa, tetapi dia diwajibkan mengeluarkan fidyah berupa memberi makanan untuk siang dan malam kepada orang miskin sebanyak hari yang dia tidak berpuasa itu.


Syaikh 'Athiyyah Saqr rahimahUllah, mantan ketua Lujnah Fatwa al-Azhar asy-Syarif, pun menyatakan pendapat yang sama dengan yang diutarakan oleh Mufti Dr. 'Ali Jum`ah di atas. Di mana dalam himpunan fatwa beliau "Ahsanul Kalaam fi al-Fatawaa wal Ahkam", beliau menyatakan antara lain:-
فقد قال العلماء: نقط الأنف والبخار الذي يشم من إصبع الربو يبطل بهما الصيام، وإذا كان المريض لا يستغني عنهما في الصيام؛ جاز له الفطر وعليه القضاء بعد الشفاء من المرض، وإن كان المرض مزمنا لا يرجى شفاؤه كان له الفطر، وعليه الإطعام عن كل يوم مسكينا

Para ulama telah berpendapat ubat titik hidung dan wap (yakni wap ubat / nebulizer ) yang disedut oleh penghidap asthma membatalkan puasa. Apabila si pesakit terpaksa menggunakannya tatkala berpuasa, maka haruslah dia berbuka dan hendaklah dia mengqadha` puasanya setelah dia sembuh dari penyakit. Jika sekiranya sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, pesakit tersebut tidak perlu berpuasa, dia hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari (yang dia tidak berpuasa)

Begitulah juga fatwa daripada Dr. Ahmad al-Haji bin Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin Muhammad 'Assaf al-Kurdi, seorang ulama yang menjadi pakar syariah (fiqh) di Kuwait dan anggota lembaga fatwanya, menyatakan:-


فالبخاخ مفطر للصائم، فإذا احتاج إليه المريض حاجة كبيرة في نهار رمضان ولم يغن غيره عنه، فله الفطر ثم القضاء بعد العيد. وعند العجز الدائم عن الصوم تجب الفدية.

Penyembur ubat (inhaler) itu membatalkan puasa orang yang berpuasa. Maka apabila orang sakit itu sangat memerlukannya pada siang hari Ramadhan dan tidak ada cara lain selain daripada menggunakannya, maka dia boleh berbuka kemudian mengqadha` puasanya selepas hari raya. Sekiranya dia lemah daripada berpuasa selamanya, wajiblah dia membayar fidyah.

Selain daripada mereka-mereka di atas, ramai lagi ulama yang mempunyai pendapat yang serupa. Antaranya Syaikh Omar al-Khatib Singapura, Dr. Wahbah az-Zuhayli dan lain-lain. Di Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dalam koleksi soal-jawab onlinenya menyatakan:-
Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat bergantung kepada penggunaan 'inhaler' (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan. Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib mengqada semula puasa tersebut.

Namun tidak dinafikan dalam isu penggunaan inhaler ini tidak lepas dari perbezaan pendapat. Ada segelintir ulama, terutamanya ulama Saudi @ Wahabi seperti Syaikh Bin Baz, Syaikh Utsaimin dan sebagainya, menghukumkan penggunaannya tidak membatalkan puasa. Dan dikatakan bahawa inilah juga pendapat Syaikh Yusuf al-Qardhawi. Di antara alasan mereka ialah penggunaan inhaler tidak termasuk dalam hukum makan dan minum kerana yang disedut itu diumpamakan seperti menyedut udara dan ianya tidak masuk ke dalam perut. Walau bagaimanapun dalam perkembangan yang terbaru, terdapat ulama Saudi sendiri yang telah mulai meragui fatwa yang menyatakan tidak batal tersebut dan mengambil sikap bertawaqquf dan menganjurkan agar mengamalkan ihtiyath seperti Dr. Yusuf bin Abdullah bin Ahmad al-Ahmad, anak didik Bin Baz dan lain-lain ulama yang sewaktu dengannya, beliau juga adalah pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah, Riyadh. Menurut Dr. Yusuf berdasar kepada penyelidikan pakar perubatan, kira-kira 60% daripada apa yang disedut sampai ke perut, inilah antara sebab mengapa beliau mengambil sikap tawaqquf mengenai fatwa yang tidak membatalkan itu.


Dari dua pendapat di atas, maka kawan lebih cenderung dengan pendapat para ulama yang pertama tadi, iaitu ulama seperti Syaikh 'Ali Jum`ah (gambar beliau di sebelah), Syaikh 'Athiyyah dan lain-lainnya tadi, yang telah memfatwakan bahawa penggunaan inhaler ketika berpuasa membatalkan puasa. Ini adalah kerana ianya lebih ihtiyath. Jika dikatakan bahawa penggunaan inhaler itu tidak membatalkan kerana darurat, maka adakah seseorang yang kelaparan atau kehausan yang amat sangat sehingga memudaratkan dirinya boleh makan dan minum dan perbuatannya itu tidak membatalkan puasanya kerana darurat? Sudah tentu dia boleh makan dan minum kerana darurat tersebut tetapi batallah puasanya, maka sama jugalah keadaannya dengan orang yang menggunakan inhaler. Sungguh inilah pendapat yang berhati-hati dalam fatwa dan jauh dari sikap bermudah-mudah. Tetapi sesiapa yang hendak ikut fatwa yang mengatakan tidak batal, maka terpulanglah kat kome.

Dipetik dari Bahrus Shofa

Thursday, August 27, 2009

Drama Cinta Sempurna


Dalam kesibukan mencari keredhaaan Allah dan mengejar kemuliaan Ramadhan, saya berkesempatan untuk beberapa kali menonton siaran ulangan drama bersiri Cinta Sempurna terbitan Astro Oasis yang disiarkan pada pukul 10.00 malam. Agak menarik juga permulaan jalan cerita yang telah saya tonton yang berkaitan beberapa isu dan persoalan agama. Apatah lagi setelah saya mendapat tahu bahawa cerita ini sebenarnya telah diadaptasikan dari pengalaman seorang pendakwah Ustaz Hasrizal Abd Jamil (Saifulislam.com).

Maka tidak peliklah bagi saya sekiranya jawapan-jawapan yang diberikan terhadap persoalan yang dikemukakan Shila (Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan) dan Najib (Wan Hafizol Wan Omar ) yang mendapat pendidikan barat seolah-olah mempertikaikan hukum dan aqidah agama mereka sendiri. Pelbagai cara telah dibuat oleh Datuk Burhan ( Mahmud Ali Basha) dan Datin Zurina (Maria Farida) untuk membetulkan kembali arah tuju hidup kedua-dua anak mereka itu termasuklah memanggil pakar motivasi dan ustaz. Namun semuanya gagal kerana tidak dapat mengatasi kepetahan Shila dan Najib dalam berhujah sehinggalah seorang ustaz muda yang juga pensyarah universiti, Ustaz Nazir (Ashraf Muslim) ditugaskan untuk membetulkan semula keadaan tersebut.

Selebihnya anda kenalah tengok sendiri sebab saya tidak boleh hendak bagi sinopsis kerana masih belum sampai penghujungnya. Namun saya percaya para penonton akan mendapat jawapan yang betul terhadap pelbagai persoalan agama yang dikemukakan dalam drama tersebut.

Thursday, August 20, 2009

Hikam 2 : Kehendak Untuk Tajrid

Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Iskandary menyebut:-

Kehendakmu untuk tajrid (beribadat tanpa perlu berusaha dunia), padahal Allah masih menempatkanmu pada golongan orang yang harus berusaha (kasab) untuk mendapatkan keperluan seharian, maka kehendak itu adalah daripada syahwat hawa nafsu yang tersembunyi. Sebaliknya kehendakmu untuk berusaha, padahal Allah telah menempatkan dirimu pada golongan orang yang beribadah tanpa perlu berusaha, maka kehendak yang demikian bererti menurun daripada cita-cita yang tinggi.


Mafhum Hikmah:

Kehendakmu berlepas diri daripada sebarang sebab yang Allah s.w.t wujudkan bagimu untuk mendampinginNya, seperti mencari rezeki yang halal dan mencari ilmu yang zahir merupakan keinginan hawa nafus yang tersembunyi.


Hal ini adalah kerana syahwat atau hawa nafsu tidak terlepas daripada kehendak Tuhanmu sekalipun bermaksud untuk segera bertaqarrub dengan tajrid kepada Allah s.w.t yang menciptakanmu.


Sebaliknya kehendakmu kepada asbab atau usaha untuk mendampingi Allah s.w.t yang masyghul (menyibukkan) kamu daripadaNya yang mulia. Sedangkan Allah s.w.t telah menetapkan kurniaanNya kepadamu tanpa desakan dan usaha merupakan kecundang daripada himmah (cita-cita) yang tinggi kerana kembali daripada Hak (Allah) kepada makhlukNya merupakan serendah-rendah martabat. Justeru, akurlah dan redhalah dengan kehendak Allah s.w.t terhadapmu.




Dipetik dari kitab Ahasinul Kalimi karangan Dr. Mohd. Zulkifli al-Bakri.

Saturday, August 15, 2009

Wabak H1N1 : Bala atau Ujian?

Seluruh dunia dikejutkan satu wabak penyakit yang dikenali sebagai Selesema Babi atau H1N1[1] yang boleh merebak melalui udara tercemar dari orang yang telah dijangkiti. Pelbagai cara telah dilakukan bagi membendung wabak ini daripada terus menular, namun setakat ini masih belum mampu menyekat kemaraannya daripada terus menyerang manusia. Pelbagai usaha dan kajian juga telah dibuat bagi mencari penawar yang boleh mengubat penyakit ini, namun ianya masih lagi belum ditemui.

Setakat masa artikel ini ditulis, seramai 56 orang mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak tersebut. Pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan peringatan kepada rakyat supaya menjaga kebersihan diri terutamanya ketika batuk dan bersin. Rakyat juga digalakan supaya memakai topeng penutup muka serta tidak mengunjungi tempat-tempat awam.

Para ulama menasihatkan rakyat supaya mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah s.w.t supaya dijauhkan dari wabak yang masih tidak ditemui penawarnya ini. Allah s.w.t telah berfirman:


Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).[2]

Adalah jelas berdasarkan ayat diatas, Allah s.w.t akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan musibah bagi membuktikan kepada manusia itu sendiri siapakah sebenarnya yang benar-benar layak untuk menduduki syurga Allah s.w.t di akhirat nanti. Allah juga telah berfirman :
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.[3]

Ayat diatas merupakan penjelasan mengenai kenapakah manusia itu diuji dengan bala dan musibah. Ujian dan musibah tersebut adalah ukuran dan timbangan untuk menentukan siapakah yang sebenar-benarnya beriman. Ujian tersebut adalah untuk sesama manusia sendiri ketahui dan bukannya untuk Allah kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang beriman dan siapakah yang munafiq.

Imam as-Suyuti menyebut satu riwayat dari ibn Abi Hatim dari Qatadah bahawa sebab turun ayat ini adalah berkenaan dengan orang-orang Mekah yang berhijrah ke Madinah. Mereka semua menyusul Nabi yang kemudiannya dihalang dan dikembalikan semula ke Mekah oleh kaum musyrikin. Kaum Muslimin yang berada di Madinah mengirimkan surat kepada mereka untuk memberitahu isi kandungan ayat diatas. Setelah menerima surat tersebut, mereka pun berhijrah semula ke Madinah sehingga ada diantara mereka yang gugur dan yang selamat.[4]

Oleh itu, wajib keatas kita supaya sentiasa bersabar dengan ujian Allah s.w.t kerana ia akan menentukan tahap darjah keimanan kita kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan semacam tusukan duri atau yang lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapusan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya. (Mutafaqun Alai)[5]

Satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum Mukminin lelaki dan wanita, yang mengenai dirinya, hartanya, anaknya, tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tiada berdosa. (Riwayat Tirmizi)[6]

Maka sebagai orang yang mengakui dirinya beriman dengan Allah s.w.t, kita seharusnya terus bersabar dan bermohon kepada Allah supaya dikekalkan iman serta terus bersabar dalam menempuh ujianNya itu. Allah s.w.t telah berfirman :
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.[7]

Manakala Allah s.w.t juga ada berfirman dalam satu Hadis Qudis:-
Barangsiapa yang tidak berdoa kepadaKu, nescaya Aku murka kepadanya. (Riwayat ‘Askari)[8]

Oleh yang demikian, hendaklah kita semua bermohon kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Penyembuh agar menghijabkan bala tersebut dari kita dan menghilang ketakutan kita terhadap wabak tersebut.

Diantara doa yang boleh diamalkan bagi mengelak wabak ini ialah:-


Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari tikaman, penyakit taun, dari kedatangan bencana, datangnya kematian dengan tiba-tiba, nyalanya penyakit panas, buruknya takdir, beratnya bahaya. Dan kami berlindung kepadaMu dari menimpanya kesukaran, cemuhan atauu ejekan musuh. Wahai Zat yang kekal lagi sentiasa berdiri sendiri. Wahai yang mempunyai kebesaran dan kurnia. Wahai Tuhan kami, lenyapkanlah dari kami azab itu, sesungguhnya kami beriman. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal. Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kmai dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi. Demi rahmat kurniaMu ya Allah Tuhan semesta alam. Ya Allah, Ya Allah yang memelihara Ya Allah yang Maha Tinggi.[9]

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Yusuf Ismail an- Nabhani bahawa ianya dibacakan untuk menghindari wabak:-



____________________________________________________________________
[1] Influenza A(H1N1) virus is a subtype of influenzavirus A and the most common cause of influenza (flu) in humans. Some strains of H1N1 are endemic in humans and cause a small fraction of all influenza-like illness and a large fraction of all seasonal influenza. H1N1 strains caused roughly half of all human flu infections in 2006.[1] Other strains of H1N1 are endemic in pigs (swine influenza) and in birds (avian influenza).

In June 2009, World Health Organization declared that flu due to a new strain of swine-origin H1N1 was responsible for the 2009 flu pandemic. This strain is commonly called "swine flu" by the public media. (http://en.wikipedia.org/wiki/Influenza_A_virus_subtype_H1N1)

[2] al-Baqarah: 214
[3] al-Ankabut : 2
[4] As-Suyuti, Imam Jalaluddin, Lubaabun Nuquul fil Asbaabun Nuzuul, Victory Agencie, KualaLumpur. Cetakan kedua 2004.
[5] M. Ali Usman, A. Dahlah & MD Dahlan, Hadith Qudsi. Pustala al-Azhar, Kuala Lumpur. Cetakan ke IX.
[6] Ibid
[7] Ghafir : 60
[8] M. Ali Usman, A. Dahlah & MD Dahlan, Hadith Qudsi. Pustala al-Azhar, Kuala Lumpur. Cetakan ke IX.
[9] Muhd. Abd. Ghani, Hajat Untuk Rawatan, Pelindung dan Doa. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. Cetakan kelima 1998. muka surat 275.

Saturday, August 8, 2009

Dengarlah Wahai Tuhan


Wahai Tuhan...
Dengarlah suara hatiku ini. Saat ia meraung dan meronta mencari sirna yang bisa menenangkanya dari keluh-kesah. Melapangkannya dari kekusutan yang membelit jiwa. Mencairkan kekerasannya tatkala mendengar pesan-pesan keramatMu. Menjernihkan segala kekeruhannya agar ia bisa melihat jalan yang terang untuk dilalui.

Wahai Tuhan...
Titipkanlah buatku sifat taqwa dan tawakal agar aku bisa menerima segala takdirMu dengan penuh redha. Jadikanlah jiwaku menjadi hamba yang selalu bersyukur dalam menerima ketentuanMu. Jauhilah aku dari sifat kufur terhadap nikmatMu dan kurniakanlah padaku sifat kecukupan dalam menerima setiap pemberianMu.

Wahai Tuhan...
Kurniakanlah padaku sifat cinta kepadaMu agar aku senang berbuat ketaatan. Jauhilah aku dari merasa senang dengan amal ibadahku sendiri yang membuatkan jiwaku seolah dekat denganMu. Didiklah hatiku dalam ibadah hanya untukMu semata-mata dan bukan kerana mahukan ganjaran pahala syurgaMu atau takutkan azab nerakaMu.

Wahai Tuhan...
Aku serahkan diri dan jiwaku kepadaMu seluruhnya serta jadikanlah sifat sabar dalam jiwaku. Sabar dalam mengerjakan taat kepadaMu, sabar dalam meninggalkan mungkar terhadapMu, sabar dalam menerima ketentuan takdirMu dan sabar dalam segala-galanya agar hidupku bisa tenang dengan qada' dan qadarMu sehinggalah tibanya saat pertemuanku denganMu.

Seruling senja
07 Ogos 2009
2.25 petang
Baung, Kota Bharu.

Friday, August 7, 2009

Hikmah 1: Antara Tanda Bergantung Kepada Amal

Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Iskandary memulakan kalam hikmahnya yang bermaksud:
Antara tanda seseorang bergantung kepada amal ialah kurang harapan kepada Allah ketika berlakunya kegelinciran dosa.

Mafhum Hikmah:-

Awasi diri daripada bergantung kepada redha Allah s.w.t dan balasan yang dijanjikan kepadamu seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain tetapi bergantunglah kepada rahmat Allah s.w.t dan kemuliaanNya. Ibn 'Abbad berkata bahawa bergantung kepada Allah merupakan sifat orang Arifin yang bertauhid, sebaliknya bergantung kepada yang lain merupakan sifat orang jahil yang lalai.








Dipetik dari kitab Ahasinul Kalimi karangan Dr. Mohd. Zulkifli al-Bakri.

Thursday, August 6, 2009

Manaqib Syed Jamaluddin al-Akbar al-Husaini


Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Segala puja dan puji dipersembahkan kepada Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan, ahli keluarga dan para sahabatnya yang di kasihi.

Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka[1426], dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At Thur- 21)

Di sini adalah Manaqib bagi Ad Daa’I IlaLLAH, as-Syekhul Kabir, al-Qutub al-Habib as-Syed Jamuluddin al-Akbar al-Husaini atau yang lebih masyhur namanya di Nusantara ini dengan nama Syed Hussin Jumadil Kubra atau Jamaluddin Agung atau Sunan Agung. Manaqib ini telah diambil data dan maklumatnya dari beberapa kitab ahli sirah dan nasab yang masyhur. Sesungguhnya telah berlaku banyak ikhtilaf dikalangan para sejarawan tentang beberapa hal yang berkaitan Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar ini. Hal ini adalah kerana, kehadiran beliau itu pada abad yang ke 13 masihi, yang sewaktu itu nasab belum tercatit pada dustur yang teratur. Walau bagaimanapun kami telah mengambil jalan yang aslam serta meninggalkan ikhtilaf yang gharib dari perbahasan sejarawan itu dan mencatitkan apa yang semampu kami sahaja pada manaqib Ulama dan Mujahid yang berjasa ini.

Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin Al Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu Fatimah Az Zahra’ Al Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun Nabiyyin.

Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syeikh Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun 1336 di Kota Agra India. Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan kemewahan kerana ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul Makhluq dan di anugrahkan ALLAH ilmu laduni[1].

Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusha untuk menolak jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan kecewa[2]. Sewaktu beliau menjadi Gabenor Haidrabat itulah, beliau telah menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun sahaja, Haidrabad telah termashur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan dari kerajaan Hindu India[3].

Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke timur. Hal ini adalah bertepatan dengan satu sabda Baginda RasulaLLAH SAW dalam satu hadith yang masyhur:


Dari Abi Masu'd r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Akan datang pada akhir zaman pembawa-pembawa panji hitam dari timur.[4]


Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan lembangan dakwah mereka.Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”.[5] Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak mematahkan hasrat mereka.

Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpacah untuk mendirikan lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/ Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua). Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana. Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi penasihat Sultan.

Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.

Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam (Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri Ratna Kesuma)[6] . Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra yang bernama Ibrahim Zainol Akbar[7] (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim as-Samarqandi)[8]. Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).[9]

Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam, lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh masyarakat secara umum.[10] Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang reletif singkat.[11]

Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya (Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasenteren ) bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah[12]. Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan menghantarnya ke seluruh pelusok Asia Nusantara ini.

Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak, Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku Hitam/ Pakcu Keling).

Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan yang meliputi kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah, beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya beliau merantau dan berdakwah kedaerah Bugis(Makasar/ Ujung Padang) di Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan daawahnya disini, beliau telah dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Teroja,Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten Wajo, Propensi Sulawesi Selatan.

Semoga ALLAH tetap mencurahkan Rahmat dan berkahNya kepada beliau serta menerima semua hasanah beliau dan memaafkan segala khilaf beliau juga mengangkat beliau kedarjah yang selayaknya bersama datuk beliau Syaidul Mursalin Wakhatamun Nabiyyin.

Aduhai para keturunan yang mulia ini. Apakah kita mengerti betapa menggunungnya tanggungjawab yang terpikul dibahu kita. Betapa leluhur dan sesepuh kita dahulu telah membina empayar dakwah dan penghambaan ke Hadirat Rabbul Jalil. Tersebarnya Islam yang tercinta dibumi Nusantara ini adalah dari keringat, darah dan air mata mereka ini. Apakah cukup kita pada hari ini berbangga dengan nasab al-Akbar atau al-Kubra yang kita miliki atau dengan galaran bangsawan Syed, Habib, Tengku, Tuan, Nik, Wan atau Che yang tersemat di pangkal nama kita dan membiarkan apa yang telah dibina oleh Aslaf kita terdahulu terlekang dek panas, tereput dek hujan, terkakis dek udara. Apakah tugas dan tanggungjawab ini tidak akan disoal ke atas kita di Yaumul Hisab nanti. Apakah memadai untuk kita hari ini berbangga dengan harta,pangkat,gelaran,sijil-sijil akademik dan gelaran akademik yang kita miliki. Apakah untuk itu moyang kita dahulu meninggalkan pangkat,darjat,kekayaan dan tanah tumpah darahnya berlayar ke bumi melayu ini??????????. Tidak sekali-kali!!!!!!!!!!!!!! Tidak sekali-kali wahai anak cucu Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar @ Syed Hussin Jumadil Kubra. Beliau meninggalkan segalanya itu adalah demi cinta beliau kepada ALLAH dan RasulALLAH yang merupakan Datuknya dan Datuk kita.

Sedari dan insafilah duhai ansab Jamuluddin Hussin Al Akbar. Tanggungjawab adalah amanah dan amanah akan ditanya di akhirat nanti. Di mana pun kita, pada posisi apa pun kita, dengan seragam apa pun kita, wadah dan jalan kita adalah satu. Melihat Islam tetap mekar mewangi di Asia Nusantara, Bumi Melayu kita ini.


[1] )Ad Dahlawi, Syekh Waliyullah : Fatawa Alhindi

[2] ) Waliyuddin Khan,Syekh: Tarikh Agrariah-1923. Matbaah Beirut

[3] ) Al Malbari, Nazimul Hakim: Sirajul Muluk Lil Hindi-1980, Matbaah Darul Hikam Deoband
[4] ) Turmuzi,Al Muhaddith Mahyuddin: Soheh Turmuzi

.[5] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembangan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.

[6] ) Ibid

[7] ) Al Haddad, Syed Alawi Bin Tohir: Al Madkhal Ila Tarikhil Islam Bissyarqil Aqsha.(edisi Indonesia,sejarah perkembangan islam di timur jauh. Alih bahasa Dziya Syahab. Maktab Ad Daimi Jakarta.

[8] ) Al Gadri,Mr Hamid: C Snouck Hurgronje. Politik Belanda Terhadap Islam Dan Keturunan Arab. Sinar Harapan Jakarta 1984.

[9] )Al Khaf, Syed Zain Bin Abdullah: Khidmatul Asyirah

[10] )Al Baqir, Muhammad: Pengantar Thariqah Menuju Kebahagiaan diterjemah dari Risalah Al Muawanah Wal Muzhaharah Wal Muawazarah Lir Raghibin Minal Mu’minin Fi suluki Ala Tariqah Al Akhirah.Syed Abdullah Bin Alawi Al Haddad.

[11] )Ibid

[12] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembngan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.