Sunday, April 26, 2009

Sifat Sabar Mua'wiyyah


Mua’wiyyah bin Abu Sufian r.a memiliki ladang di kota Madinah yang hampir dengan lading Abdullah bin Zubir al-Hawari r.a. Pekerja Mua’wiyyah menceroboh masuk ke lading Abdullah bin Zubir. Berikutan itu menyebabkan beliau marah. Permusuhan antara kedua sahabat memang sudah terpendam lama. Lalu dia menulis sepucuk surat kepada Mua’wiyyah yang isinya:-
Kepada Mua’wiyyah bin Hindun, orang yang memakan hati (Hamzah bin Abdul Muttalib), pekerjamu telah menceroboh masuk ke kawasanku. Perintahlah dia supaya keluar sekarang juga dari kawasan ladangku. Demi Allah tiada Tuhan selain Dia, jika kamu tidak memerintahkan keluar maka terimalah padah akan menimpa dirimu.

Mua’wiyyah dikenali sebagai seorang yang penyabar dan berjiwa besar. Sebaik sahaja menerima surat itu, dia membaca kemudian memberikan kepada anaknya Yazid. Lalu dia meminta pendapat anaknya. “Bagaimanakah pendapatmu tentang isi surat ibn Zubir yang telah memberi amaran kepadaku?” Lalu Yazid menjawab: “Kirimkanlah pasukan seramai mungkin dan pastikan mereka berjaya membawa kepala ibn Zubir kepadamu.”

Tindakan Mua’wiyyah hanyalah untuk melatih anaknya supaya sabar dan tidak panas baran serta terburu-buru. Mua’wiyyah tidak bersetuju dengan tawaran anaknya malah dia berkata: “Aku akan membalasnya dengan cara yang lebih baik sehingga kita tetap menjalinkkan hubungan silaturrahim dengannya.”

Kemudian Mua’wiyyah mengirimkan sepucuk surat kepada ibn Zubir yang isinya adalah:-
Daripada Mua’wiyyah bin Abu Sufian, kepada Abdullah bin a-Zubir bin Asma’. Selanjutnya demi Allah tiada Tuhan selain Dia. Seandainya dunia ini hanyalah dimiliki oleh aku dan kamu tentu aku akan memberikan semuanya kepada kamu. Seandainya ladangku terbentang dari kota Madinah hingga ke Damsyik nescaya aku akan menyerahkan kepadamu. Jika telah menerima surat ini maka ambillah ladangku itu sebagai sebahagian daripada milikmu dan jadikanlah pekerjaku itu sebagai pekerjamu.

Sebaik sahaja surat itu diterima oleh ibn Zubir dia terus menangis sehingga air matanya membasahi surat lalu dia berangkat ke Damsyik untuk menemui Mua’wiyyah. Setibanya dia di sana dia mengucapkan salam dan mencium kepalanya sambil berkata: “Semoga Allah tidak menghilangkan sifatmu yang penyabar. Inilah sifat yang amat dibanggakan oleh bangsa Quraisy dan ternyata kamu mewarisi sifat yang mulia ini.”

Dipetik dari kitab Majmua’h al-Ahadith al-Mutaa’lliqati bisyarwai al-Basyariyyah karangan Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri.

Thursday, April 23, 2009

Bicara Darwis

Oleh Serunai Faqir

RASULULLAH pernah berdoa: "Ya Allah kurniakan kepadaku kecintaan kepada-Mu, kecintaan kepada orang yang mencintai-Mu dan kecintaan apa sahaja yang mendekatkan diriku pada kecintaan-Mu. Jadikanlah Zat-Mu lebih aku cintai dari air yang dingin."

Begitulah ungkapan cinta Nabi kita yang sangat halus dan mengasyikkan. Dalam bahasa yang paling indah, dalam bicara yang paling muluk baginda ucapkan kepada-Nya. Jelas kecintaan Rasulullah pastinya melebihi daripada kita semua. Lantas itu apakah lagi yang kita perlukan dalam hidup ini selain dari cinta-Nya.

Begitulah dengan salah seorang sahabatnya yang bernama Abu Bakar ketika ditanya apa lagi yang tinggal padanya setelah menyedekahkan segala hartanya ketika menghadapi perang Badar. Jawab Abu Bakar, “Hanya Allah dan Rasul.”

Ujar Dzun Nun Al-Misri pula, “Oh Tuhan, di khalayak ramai kupanggil Kau junjunganku, tapi dalam kesunyian kupanggil Kau Kekasihku.’ Demikianlah ucapan beliau yang berdiam di Mesir Selatan, seorang ahi sufi besar ketika zamannya. Kota hatinya telah ditawan oleh asyik rindu kepada Sang Penguasa, namun rahsia percintaan disimpan sebaik mungkin. Lewat kerinduan kepada yang Satu telah melontarkan kata-kata yang mampu ditafsirkan sebagai konotasi percintaan yang sangat intim.

Bukan hanya kata-kata sebagai luahan rasa cinta yang tidak terhingga bahkan gerak laku, tutur dan perbuatan semuanya menjurus kepada bahasa percintaan yang sangat tidak terungkapkan lagi oleh perkataan, tidak tertintakan lagi oleh kalam dan tidak terhuraikan lagi dengan perasaan.

Bahasa sekadar menjadi simbol-simbol percintaan yang maha asyik, kadangkala tidak terselam oleh kita yang berada di luar segara majnun mereka. Kebanyakannya disampaikan dalam bentuk doa, ungkapan, puisi, syair, rubai dan sebagainya sama ada yang berbentuk tersurat atau tersirat. Misalnya ucapan Rabiatul Adawiyah dalam doanya, “Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari segala yang menyibukkanku untuk menyembah-Mu atau dari segala yang merenggangkanku dengan-Mu.”

Atau mungkin sahaja kata-kata cinta yang diucap terlalu sulit dan hampir sahaja tidak mampu ditafsirkan dari pengamatan biasa seperti kata Abu Yazid Al-Bistami, “Lebur diri seseorang daripada dirinya dan makhluk lain terjadi dengan hilangnya kesedaran tentang dirinya dan makhluk itu … sebenarnya diri mereka dan makhluk itu tetap ada, hanya mereka tidak sedar lagi pada mereka dan dirinya.”Perkataan yang digunakan agak sulit (absurd), namun firman Allah dalam Surah Al-Isra’ (Ayat 44) yang bermaksud :“Setiap sesuatu itu bertasbih memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak dapat memahami cara mereka bertasbih.”

Tafsir ayat ini membawa maksud bahawa manusia tidak akan dapat memahami bahasa percintaan dan puji-puji dengan keseluruhannya kerana alam itu sendiri adalah majlis zikir.Lantas pengalaman kerohanian dan rasa mahabbah yang tinggi sering sahaja menyebabkan mereka terasing dari khalayak ramai. Ini terjadi kepada seorang ahli Sufi yang bernama Uwais Al-Qarni. Secara logika akal bagaimanakah dia mampu mengenali Rasulullah sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan baginda? Begitulah sebaliknya bagaimana pula dengan perihal Rasulullah meminta sahabatnya Umar Ibni Al-Khattab dan Ali Ibni Abi Thalib menemuinya untuk menyampaikan salam baginda. Maha Kaya Allah!Betapa hebatnya cinta Uwais kepada Rasulullah dan tentunya kepada Maha Pencipta. Bahasa cintanya merentasi segala-galanya meski pun tidak berhuruf dan bersuara namun telah sampai kepada Allah dan Rasulnya.
Apa tidakkah cinta itu merentasi segala alam yang terbatas ini, melangkaui segala langit yang tinggi dan tentunya menembusi ketebalan bumi hingga mampu mencecah isi terdalamnya? Begitulah hebatnya percintaan mereka, sehinggakan tiadalah di dalam hati mereka melainkan Allah semata sebagaimana kecintaan Jalaludin Al-Rumi kepada Allah yang melangkaui segenap penjuru, sudut dan tidak pula dikekang oleh masa.

Dalam Mathnawinya digambarkan bahawa manusia itu sebenarnya rindu pada pengalaman mistikal pra usul di hari "alastu" sebagai kerinduan seruling untuk bersatu kembali pada rumpun bambu yang merupakan asal muasal ia tercipta. Hidup di dunia merupakan perpisahan yang sangat pilu bagi para pencinta, mereka rindu sekali kepada Rabbnya seperti seseorang yang merindukan kampung halamannya sendiri. Jiwa para pecinta selalu dipenuhi matlamat untuk melihat Allah SWT (ketika di akhirat) dan itu merupakan cita-citanya. Katanya lagi, “Tanpa cinta, dunia membeku.”Firman Allah dalam Surah Al-Imran (ayat 31) yang bermaksud, “Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sesungguhnya cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasul-Nya adalah dengan mentaati apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah dengan memberi keampunan dan anugerah kepada mereka. Al-Sari (guru Junaid Al-Baghdadi) berkata kepada Junaid pada suatu hari ketika seorang tabib merawat penyakitnya “Semoga Allah membunuhnya, alangkah tajam pengelihatan tabib itu.” (Membunuh di sini bermaksud ‘membunuh’ dengan cinta-Nya).

Bagaimana pula penyair Sufi, Nizami menyatakan cintanya dalam sajak yang beraliran romantisme? Beliau mengatakan kasih-Nya seumpama manget yang menarik. “Apabila magnet tidak melihat kasih, bagaimana ia dapat menarik besi dengan rasa rindu sedemikian?”Atau dalam ucapannya yang lain berbunyi, “Dan bila kasih tiada, jerami tidak akan mencari warna kuning keemasan.”

Reynold A.Nicholson pernah berpendapat tentang Ibn Al-Farid berkenaan buah bicaranya (sajak dan syair) yang luar biasa indah sebagai karya seorang seniman yang sangat kritis menata intan permata yang paling indah dan terpilih dari buah permata keilahian seperti dalam sajaknya yang berjudul Khamriyya (Syair Anggur). Syair tersebut memerikan tentang anggur kasih Ilahi yang mampu mengubat hati yang sakit kerinduan kepada Kekasihnya.

Dan terlebih berat lagi apabila cinta Ibn Arabi (yang telah dihukum zindik oleh sesetengah ulama) menampilkan bahasa cinta yang luar biasa mendalam dan tidak mampu ditafsir oleh akal manusia biasa yang tidak mencapai kedalaman pengalaman kerohanian. Kata beliau :“Bila mana Kasihku tampak Dengan mata apa aku melihat Dia?Dengan mata-Nya, bukan dengan mataku, Kerana tidak seorang pun melihat-Nya, kecuali Dia sendiri.”

Pokok pangkalnya kecintaan telah membuatkan hamba-hamba-Nya menjadi asyik mashyuk lalu menjadi mabuk dan lupa di dalam hutan kecintaan-Nya. Hamka dalam karangannya yang berjudul ‘Tasauf Moden’ menyatakan bahawa Imam Malik pernah didatangi seseorang yang bertanyakan kisah mereka yang mabuk kasih Allah, beliau hanya menjawab tiada hukum bagi orang dalam mabuk.

Fenomena ini disebut sebagai syattah iaitu fenomena melahirkan kata-kata indah daripada limpahan keadaan luar sedar akibat perasaan keluarbiasaan dan ketakjuban oleh kesan amalan mendekatkan diri kepada Tuhan.Tapi itu bukan bermaksud seseorang itu dibenarkan mengucapkan kalimah-kalimah tanpa berada di dalam hal yang sedemikiannya (fana’ atau zauq). Kecintaan itu hendaklah terhasil daripada sifat ikhlas semata-mata kerana Allah, ianya bukan sekadar pengucapan polos yang dibuat-buat dan ianya berlaku bukan dikeranakan oleh sesuatu kerana yang lain melainkan Allah semata-mata, seperti dalam Surah Al-Bayyinah (ayat 5), Allah berfirman, maksudnya berbunyi :“Dan tidak mereka diperintah kecuali agar mereka beribadah hanya kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan agama-Nya.”

Demikianlah pula halnya dengan penyair Sufi di kawasan nusantara yang telah mengungkap bahasa cintanya kepada Ilahi seperti Hamzah Fansuri dalam kebanyakan syairnya yang dipertikaikan oleh sebahagian ulama selepasnya. Begitu juga dengan Sunan Bonang dalam tembang ‘Tombo Ati’ yang menggubah gamelan Jawa dengan memberi nuansa baru bernafaskan keislaman. Di antaranya menyebutkan bahawa ubat hati adalah “atas keasyikan zikir jangan pernah bosan.” Asyik zikir (ingat) di sini tentunya sehingga timbul rasa asyik dan cinta yang tidak terhingga kepada Allah.

Ringkasnya permainan bahasa cinta kepada Penciptanya itu adalah sebenarnya merupakan keluh-keluh rindu, asyik, mabuk, derita, cinta dan tertahankan lagi untuk kembali bertemu dengan-Nya. Maha suci Allah yang menuangkan rasa asyik teramat dalam sumur kalbu mereka hinggakan tiada terasakan cinta yang lebih agung selain daripada cinta-Nya. Lalu terhimpunlah untaian rindu lewat bahasa yang menjadi lidah kepada penterjemah rasa mereka yang terdalam.

Dalam Al-Qur’an ada menyatakan, "Barangsiapa merindukan perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah ia beramal saleh dan tidak menyekutukan Tuhan dengan siapa pun". (Surah Al-Kahfi : 110)



Monday, April 13, 2009

Kebuntuan Idea

Agak lama saya tidak posting karya terbaru dalam blog ini disebabkan kesibukan kerja yang sentiasa menghambat diri menyebabkan saya kebuntuan idea. kes-kes Mahkamah yang bertimbun serta penghujahan-penghujahan yang perlu disiapkan.

Kalau ikutkan hati, memang teringin saya untuk menyiapkan karya terbaru serta memaparkan dalam blog untuk dikongsikan bersama-sama dengan sahabat semua. Jadi saya mohon sahabat semua doakan saya supaya dikurniakan ALLAH dengan ilham yang membolehkan saya terus berkarya.