Showing posts with label Sejenak. Show all posts
Showing posts with label Sejenak. Show all posts

Monday, December 21, 2009

Jangkitan


Saya baru sahaja pulang dari menderma darah di Tabung Darah Wilayah Timur, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) Kota Bharu, Kelantan. Ketika saya sedang dalam proses mengisi borang untuk menderma darah, datang seorang gadis membawa sepucuk surat dari tabung darah mengatakan bahawa dia mempunyai temujanji dengan doktor hari ini.


Saya bertanyakan nurse yang bertugas di situ kenapa tiba-tiba ada orang buat temujanji dengan doktor di pusat darah? Nurse tersebut memberitahu bahawa biasanya darah yang kita dermakan akan melalui beberapa kali proses saringan sebelum disahkan benar-benar besar damn selamat untuk dibuat pemindahan kepada pesakit lain. Sekiranya pihak tabung darah mendapati darah tersebut dijangkiti oleh kuman tertentu, pihak mereka akan menghantar surat kepada pemilik darah tersebut supaya datang ke tabung darah untuk dibuat ujian bagi mengesahkannya.


Saya bertanya lagi, biasanya penderma yang mempunyai jangkitan apa akan dipanggil oleh pihak tabung darah? Nurse tersebut memberitahu lagi, biasanya penderma yang mempunyai jangkitan penyakit yang merbahaya terutamanya hepatitis dan HIV! Penjelasan nurse tersebut membuatkan hati saya sedikit kecut.


Nurse tersebut menasihati saya, jangkitan penyakit terlalu mudah berlaku sekiranya kita tidak berhati-hati terutamanya orang lelaki yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut. Pisau cukur yang digunakan haruslah tidak dikongsi oleh pelanggan lain.


Allahu Akbar...saya bermohon kepada Allah agar dijauhkan sebarang penyakit seperti itu dari menimpa saya, orang-orang yang saya sayangi serta semua orang-orang baik di dunia ini kerana jangkitan boleh berlaku melalui pelbagai cara.



Wednesday, October 14, 2009

'Rehlatul Kubra' Dalam Proses


Saya percaya ada beberapa pengunjung sedang menantikan paparan Rehlatul Kubra: Sebuah Catatan Perjalanan Ke Sulawesi. Namun begitu catatan tersebut masih lagi dalam proses penaipan dan pengeditan. Kali ini saya hanya sekadar membantu saudara saya Abd. Rashid al-Kubrawiy untuk menyiapkan cacatan tersebut.

InsyaAllah, dalam masa yang agak singkat nanti kami akan paparkan catatan tersebut untuk tatapan para pengunjung yang ingin mengetahui kisah perjalanan kami melawat Makam Syed Jamaluddin al-Akbar di Wajo, Sulawesi Selatan dan menghadiri Majlis Haul ke 41 Habib Idrus bin Salim al-Jufri, Pengasas Yayasan al-Khairaat di Kota Palu, Sulawesi Tengah.

Thursday, September 17, 2009

Khatam al-Quran


Alhamdulillah..segala puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah, Tuhan yang mempermudahkan segala urusan. Selawat dan salam untuk Rasulullah s.a.w, ahli keluarga serta sahabat Baginda yang dimuliakan.

Dalam kesibukan yang menuntut waktu, Allah s.w.t masih memberikan saya kesempatan untuk merasai dan menikmati santapan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan yang istimewa ini. Dan hari ini, Alhamdulillah saya diberikan kemampuan untuk mengkhatamkannya. Walaupun kebiasaannya saya diberikan peluang untuk 2 kali khatam al-Quran dalam Ramadhan yang lalu, namun kerana kesibukan saya masih berkesempatan walau hanya sekali.

Saya bermohon kepada Allah s.w.t agar menjadikan Quran sebagai pembasah lidah, peneman kehidupan serta penunjuk jalan bagi saya buat selama-lamanya.


Thursday, August 27, 2009

Drama Cinta Sempurna


Dalam kesibukan mencari keredhaaan Allah dan mengejar kemuliaan Ramadhan, saya berkesempatan untuk beberapa kali menonton siaran ulangan drama bersiri Cinta Sempurna terbitan Astro Oasis yang disiarkan pada pukul 10.00 malam. Agak menarik juga permulaan jalan cerita yang telah saya tonton yang berkaitan beberapa isu dan persoalan agama. Apatah lagi setelah saya mendapat tahu bahawa cerita ini sebenarnya telah diadaptasikan dari pengalaman seorang pendakwah Ustaz Hasrizal Abd Jamil (Saifulislam.com).

Maka tidak peliklah bagi saya sekiranya jawapan-jawapan yang diberikan terhadap persoalan yang dikemukakan Shila (Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan) dan Najib (Wan Hafizol Wan Omar ) yang mendapat pendidikan barat seolah-olah mempertikaikan hukum dan aqidah agama mereka sendiri. Pelbagai cara telah dibuat oleh Datuk Burhan ( Mahmud Ali Basha) dan Datin Zurina (Maria Farida) untuk membetulkan kembali arah tuju hidup kedua-dua anak mereka itu termasuklah memanggil pakar motivasi dan ustaz. Namun semuanya gagal kerana tidak dapat mengatasi kepetahan Shila dan Najib dalam berhujah sehinggalah seorang ustaz muda yang juga pensyarah universiti, Ustaz Nazir (Ashraf Muslim) ditugaskan untuk membetulkan semula keadaan tersebut.

Selebihnya anda kenalah tengok sendiri sebab saya tidak boleh hendak bagi sinopsis kerana masih belum sampai penghujungnya. Namun saya percaya para penonton akan mendapat jawapan yang betul terhadap pelbagai persoalan agama yang dikemukakan dalam drama tersebut.

Thursday, August 6, 2009

Manaqib Syed Jamaluddin al-Akbar al-Husaini


Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Segala puja dan puji dipersembahkan kepada Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan, ahli keluarga dan para sahabatnya yang di kasihi.

Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka[1426], dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At Thur- 21)

Di sini adalah Manaqib bagi Ad Daa’I IlaLLAH, as-Syekhul Kabir, al-Qutub al-Habib as-Syed Jamuluddin al-Akbar al-Husaini atau yang lebih masyhur namanya di Nusantara ini dengan nama Syed Hussin Jumadil Kubra atau Jamaluddin Agung atau Sunan Agung. Manaqib ini telah diambil data dan maklumatnya dari beberapa kitab ahli sirah dan nasab yang masyhur. Sesungguhnya telah berlaku banyak ikhtilaf dikalangan para sejarawan tentang beberapa hal yang berkaitan Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar ini. Hal ini adalah kerana, kehadiran beliau itu pada abad yang ke 13 masihi, yang sewaktu itu nasab belum tercatit pada dustur yang teratur. Walau bagaimanapun kami telah mengambil jalan yang aslam serta meninggalkan ikhtilaf yang gharib dari perbahasan sejarawan itu dan mencatitkan apa yang semampu kami sahaja pada manaqib Ulama dan Mujahid yang berjasa ini.

Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin Al Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu Fatimah Az Zahra’ Al Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun Nabiyyin.

Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syeikh Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun 1336 di Kota Agra India. Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan kemewahan kerana ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul Makhluq dan di anugrahkan ALLAH ilmu laduni[1].

Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusha untuk menolak jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan kecewa[2]. Sewaktu beliau menjadi Gabenor Haidrabat itulah, beliau telah menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun sahaja, Haidrabad telah termashur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan dari kerajaan Hindu India[3].

Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke timur. Hal ini adalah bertepatan dengan satu sabda Baginda RasulaLLAH SAW dalam satu hadith yang masyhur:


Dari Abi Masu'd r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Akan datang pada akhir zaman pembawa-pembawa panji hitam dari timur.[4]


Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan lembangan dakwah mereka.Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”.[5] Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak mematahkan hasrat mereka.

Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpacah untuk mendirikan lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/ Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua). Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana. Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi penasihat Sultan.

Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.

Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam (Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri Ratna Kesuma)[6] . Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra yang bernama Ibrahim Zainol Akbar[7] (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim as-Samarqandi)[8]. Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).[9]

Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam, lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh masyarakat secara umum.[10] Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang reletif singkat.[11]

Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya (Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasenteren ) bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah[12]. Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan menghantarnya ke seluruh pelusok Asia Nusantara ini.

Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak, Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku Hitam/ Pakcu Keling).

Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan yang meliputi kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah, beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya beliau merantau dan berdakwah kedaerah Bugis(Makasar/ Ujung Padang) di Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan daawahnya disini, beliau telah dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Teroja,Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten Wajo, Propensi Sulawesi Selatan.

Semoga ALLAH tetap mencurahkan Rahmat dan berkahNya kepada beliau serta menerima semua hasanah beliau dan memaafkan segala khilaf beliau juga mengangkat beliau kedarjah yang selayaknya bersama datuk beliau Syaidul Mursalin Wakhatamun Nabiyyin.

Aduhai para keturunan yang mulia ini. Apakah kita mengerti betapa menggunungnya tanggungjawab yang terpikul dibahu kita. Betapa leluhur dan sesepuh kita dahulu telah membina empayar dakwah dan penghambaan ke Hadirat Rabbul Jalil. Tersebarnya Islam yang tercinta dibumi Nusantara ini adalah dari keringat, darah dan air mata mereka ini. Apakah cukup kita pada hari ini berbangga dengan nasab al-Akbar atau al-Kubra yang kita miliki atau dengan galaran bangsawan Syed, Habib, Tengku, Tuan, Nik, Wan atau Che yang tersemat di pangkal nama kita dan membiarkan apa yang telah dibina oleh Aslaf kita terdahulu terlekang dek panas, tereput dek hujan, terkakis dek udara. Apakah tugas dan tanggungjawab ini tidak akan disoal ke atas kita di Yaumul Hisab nanti. Apakah memadai untuk kita hari ini berbangga dengan harta,pangkat,gelaran,sijil-sijil akademik dan gelaran akademik yang kita miliki. Apakah untuk itu moyang kita dahulu meninggalkan pangkat,darjat,kekayaan dan tanah tumpah darahnya berlayar ke bumi melayu ini??????????. Tidak sekali-kali!!!!!!!!!!!!!! Tidak sekali-kali wahai anak cucu Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar @ Syed Hussin Jumadil Kubra. Beliau meninggalkan segalanya itu adalah demi cinta beliau kepada ALLAH dan RasulALLAH yang merupakan Datuknya dan Datuk kita.

Sedari dan insafilah duhai ansab Jamuluddin Hussin Al Akbar. Tanggungjawab adalah amanah dan amanah akan ditanya di akhirat nanti. Di mana pun kita, pada posisi apa pun kita, dengan seragam apa pun kita, wadah dan jalan kita adalah satu. Melihat Islam tetap mekar mewangi di Asia Nusantara, Bumi Melayu kita ini.


[1] )Ad Dahlawi, Syekh Waliyullah : Fatawa Alhindi

[2] ) Waliyuddin Khan,Syekh: Tarikh Agrariah-1923. Matbaah Beirut

[3] ) Al Malbari, Nazimul Hakim: Sirajul Muluk Lil Hindi-1980, Matbaah Darul Hikam Deoband
[4] ) Turmuzi,Al Muhaddith Mahyuddin: Soheh Turmuzi

.[5] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembangan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.

[6] ) Ibid

[7] ) Al Haddad, Syed Alawi Bin Tohir: Al Madkhal Ila Tarikhil Islam Bissyarqil Aqsha.(edisi Indonesia,sejarah perkembangan islam di timur jauh. Alih bahasa Dziya Syahab. Maktab Ad Daimi Jakarta.

[8] ) Al Gadri,Mr Hamid: C Snouck Hurgronje. Politik Belanda Terhadap Islam Dan Keturunan Arab. Sinar Harapan Jakarta 1984.

[9] )Al Khaf, Syed Zain Bin Abdullah: Khidmatul Asyirah

[10] )Al Baqir, Muhammad: Pengantar Thariqah Menuju Kebahagiaan diterjemah dari Risalah Al Muawanah Wal Muzhaharah Wal Muawazarah Lir Raghibin Minal Mu’minin Fi suluki Ala Tariqah Al Akhirah.Syed Abdullah Bin Alawi Al Haddad.

[11] )Ibid

[12] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembngan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.


Sunday, July 26, 2009

Bacalah !!!


Ingatkah kita mengenai ayat pertama yang diwahyukan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s di Gua Hira'? Ayat 1- 5 surah Iqra' yang bermaksud :
"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam.dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."

Maka kita seharusnya mengambil pengajaran dan i'tibar dari ayat tersebut yang menyuruh kita membaca sebagai salah satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Statistik menunjukkan bahawa peratusan masyarakat Malaysia terutamanya Melayu Islam adalah terlalu kecil yang menjadikan membaca sebagai hobi mereka. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Eropah, mereka sentiasa membawa buku untuk dibaca tidak kira dimana sama ada sambil menunggu bas, tren, taman dan sebagainya. Berbanding dengan masyarakat kita yang lebih suka berbual kosong daripada mengisi masa terluang itu dengan membaca.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana telah menjadikan membaca dan mengkaji sebagai hobi yang paling saya sukai disamping hobi-hobi lain. Saya baca semua jenis buku asalkan ia boleh menambahkan ilmu pengetahuan. Saya baca buku dan kitab agama, falsafah, undang-undang, sastera, perubatan, komputer, kekeluargaan, teknologi, novel dan sebagainya. Sejak kecil lagi saya bercita-cita untuk memiliki perpustakaan mini sendiri dan sekarang saya telah memilikinya. Setiap bulan, saya sentiasa memperuntukan sejumlah besar wang untuk membeli buku-buku untuk ditambah dalam koleksi saya sama ada untuk dibaca atau sebagai rujukan.

Saya juga bersyukur kerana telah dikurniakan isteri yang berkongsi hobi dengan saya. Setiap bulan kami akan mengunji kedai-kedai buku sama ada Syarikat Muda Osman, Jaafar Rawas ataupun Popular untuk melihat buku-buku terbaru yang mungkin menarik hati. Jika saya rasa boring, saya lebih suka mengunjungi kedai-kedai buku. Namun begitu, di Kota Bharu ini tidak mempunyai kedai buku yang besar yang hebat sebagaimana kedai buku....di KLCC. Menyebabkan ada ketikanya saya sukar untuk mendapatkan buku-buku tertentu menyebabkan saya terpaksa memesan terus dari pihak penerbitan.

Saya berdoa agak satu hari nanti akan ada sekurang-kurangnya sebuah kedai buku yang besar yang dapat memenuhi hobi saya.

Thursday, May 28, 2009

Pembacaan Yang Masih Terbengkalai

Oleh kerana hambatan masa yang terlalu cepat, saya masih belum menghabiskan sebuah novel tulisan Ramlee Awang Murshid yang terbaru bertajuk "Mikhail". Namun, oleh kerana cinta dan minat saya terhadap buku, saya telah membeli beberapa buah buku baru seperti "Ali bin Abu Thalib", "Munajat Cinta I" dan "Mukjizat Cinta". Teringin sangat saya paparkan sinopsis buku-buku tersebut kepada para pengunjung blog saya ini, namun untuk berbuat demikian saya terpaksa menghabiskan pembacaan buku-buku tersebut.




Oleh yang demikian, saya berharap saya akan berkesempatan untuk menghabiskannya serta memberikan komentar terhadap buku-buku tersebut dalam blog saya ini. Sehingga saat itu, saya berharap para pengunjung blog saya akan terus bersabar menunggunya.

Monday, April 13, 2009

Kebuntuan Idea

Agak lama saya tidak posting karya terbaru dalam blog ini disebabkan kesibukan kerja yang sentiasa menghambat diri menyebabkan saya kebuntuan idea. kes-kes Mahkamah yang bertimbun serta penghujahan-penghujahan yang perlu disiapkan.

Kalau ikutkan hati, memang teringin saya untuk menyiapkan karya terbaru serta memaparkan dalam blog untuk dikongsikan bersama-sama dengan sahabat semua. Jadi saya mohon sahabat semua doakan saya supaya dikurniakan ALLAH dengan ilham yang membolehkan saya terus berkarya.

Thursday, October 30, 2008

Ijazah Ratib al-Haddad & Wirdul Latiff


Segunung syukur saya panjatkan kepada Allah kerana pada 29/10/2008, saya telah berpeluang untuk menemui al-Alim al-A'llamah Syeikh Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syathiri (Mudir Ribath Tarim & Ahli Majlis Fatwa Hadramaut, Yaman. Beliau juga merupakan salah seorang guru kepada al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz) di Masjid Kg. Kota, Kota Bharu.

Dikesempatan tersebut selepas mendengar taujihat yang beliau berikan, beliau juga turut mengijazahkan kepada hadirin yang hadir amalan Ratib Haddad dan Wirdul Latif yang disusun oleh Qutub al-Ghaust al-Imam Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad.