Showing posts with label Hukum. Show all posts
Showing posts with label Hukum. Show all posts

Wednesday, December 7, 2011

Benarkah Tuduhan Zikir Karut Minta Tolak Syurga ?

Terdapat individu yang mengumpulkan koleksi kuliah agama yang disampaikan oleh asatizah tertentu yang dilihat banyak menimbulkan kekeliruan kepada orang yang mendengarnya. Ia menggunakan username sebagai Abu Aqif. Dan setiap kuliah yang dimuatnaik pasti ada 'trademark' nama tersebut.

Antara kuliah agama yang dimuatnaik iaitu yang disampaikan oleh seorang 'ustaz' digelar Ustaz Mat Malaya atau Ustaz Mohd Rizal Azizan sila lihat dan dengar kuliahnya yang menyatakan Zikir/Doa minta 'tolak syurga' adalah mengarut. Dan kuliahnya ini juga disokong oleh Ustaz Fathul Bari.

Apakah penjelasan dari tuduhan dua orang 'ustaz' di atas yang nampaknya menidakkan rasa rendah diri seorang hamba kepada Allah ? Tidak pernahkah mereka belajar tentang adab-adab seorang hamba sebagaimana yang ditunjukkan oleh salafussoleh. Bahkan jika kita belajar Bahasa Melayu kaya dengan kiasan, metafora menunjukkan orang Melayu itu kaya dengan adab sopan yang tinggi.

Jawapan dijelaskan oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga

Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:
إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم

    Maksudnya:
    Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
    Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.
    Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
    Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.

Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.

Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah s.w.t., pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah s.w.t.

Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.

Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:

    لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب

 Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar r.a., maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar r.a. berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.”  (Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.)

Tidak mungkin Saidina Abu Bakar r.a. mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.

Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam selepas Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar r.a.. Beliau ialah Saidina Umar r.a.. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar r.a..

Pun begitu, apa kata Saidina Umar r.a. tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam? Beliau berkata:
    لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .

 Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk neraka tersebut).” [Ibid]

Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar r.a.. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat r.a. terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.

Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman r.a. di hadapan Allah s.w.t. terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.

Saidina Uthman r.a. pernah berkata:
    لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير

Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’ dalam manaqib Saidina Uthman r.a.]

Ini adalah Saidina Uthman r.a., sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah s.w.t., yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah s.w.t..

Para sahabat r.a. yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah s.w.t., bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah s.w.t. dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah s.w.t. berbanding syurga dan neraka itu sendiri.

Kita lihat, bagaimana Saidina Ali r.a. sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat r.a. yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah s.w.t. berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:

    ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل

 Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah s.w.t..” [Hilyah Al-Auliya’]

Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat r.a. tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah s.w.t. lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.

Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah s.w.t. berbanding selain Allah s.w.t., kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat r.a.. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.

Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal r.a. yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz r.a. ketika tahajjud adalah:

اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف

Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal r.a.]

Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah s.w.t. terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut

    يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت
Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.”  [Hilyah Al-Auliya’]

Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah s.w.t.. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah s.w.t. dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah s.w.t. tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t., maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.

Wallahu a’lam..

Sumber : https://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/ungkapan-adab-saya-tidak-layak-masuk-syurga/287803991246786?ref=notif&notif_t=like

Thursday, October 13, 2011

Bolehkah Berpindah-Pindah Mazhab? Fahami dengan Teliti

Alhamdulillah banyak juga respon pembaca berkenaan artikel mazhab yang saya tulis baru-baru ini, cuma agak kesal dengan beberapa pihak yang tidak ingin mengambil faham terus mengunakan kata-kata yang mereka rasakan “professional” tetapi hakikatnya merekalah yang jauh daripada perkataan tersebut. Kalau benar-benar professional, maka seseorang tersebut akan meletakkan kerjanya bersesuaian dengan tugasnya.

Ya, semua orang sayangkan Islam. Jika benar-benar sayangkan Islam maka letakkan tugas kita pada tempatnya. Jika kita ceburi bukan apa yang ada di dalam bidang kita maka akan punah ranah jadinya. Contohnya mudah, sekumpulan pekerja memiliki sebuah kereta secara milikan bersama, kesemuanya menyayangi kereta tersebut. Ada yang pandai bahagian kendalian kereta tersebut, ada yang pandai bahagian tayarnya, dan ada yang pandai memandu dan ada yang tidak pandai memandu. Ya, masing-masing sayang dengan kereta tersebut. Baik, jika kita sayang, maka kita akan letakkan seseorang tersebut pada tugasnya, yang pandai memandu serahkan kepadanya untuk memandu dan begitulah seterusnya. Kalau hanya menggunakan perkataan sayang tetapi menyerahkan bukan kepada ahlinya maka akan punah kereta tersebut. Begitu juga Islam, semua orang sayang, namun masing-masing ada tugas. Saya tidak menafikan golongan professional punya tugas yang sangat baik jika digemblengkan sebaiknya untuk Islam. Tetapi bukanlah dibahagian hukum-hakam Islam. Bahagian hukum-hakam Islam serahkan kepada para ulama. Bidang tugas di dalam Islam bukan sedikit, banyak yang masih kosong. Kalau semua mahu melibatkan diri dalam hukum-hakam(walaupun tidak mempelajari dengan sepenuhnya secara mendalam) maka bukan semakin berjaya, tetapi semakin menambah fitnah di dalam Islam. Ini perlu difahami dengan baik. Kalau ingin melibatkan diri seperti para ulama, ayuh silakan , peluang terbuka luas untuk mempelajari ilmu Islam dengan para ulama di al-Azhar al-Syarif.

Saya berkali-kali menyebutkan, baca tulisan saya dan fahami dengan sebaiknya. Oleh kerana itulah, sengaja saya lambatkan tulisan berkenaan berpindah-pindah mazhab. Biar faham dahulu kepentingan bermazhab kemudian barulah membuka perbincangan berkenaan dengan berpindah mazhab.

Perlu difahami, para ulama mujtahid bukanlah sedikit bahkan ramai.Cuma ada yang terpelihara mazhabnya sehingga sekarang dan ada yang sudah tiada lagi. Oleh kerana itulah al-Imam Alawi al-Saqqaf rahimahullah (1255-1335H)menyebutkan di dalam kitabnya Fawaid Makkiyah bahawa para ulama menyebutkan tidak boleh mengikut mana-mana mazhab selain mazhab empat.

Apakah sebabnya? Bukanlah kerana para ulama mazhab selain mazhab empat tidak diyakini ilmunya, sebaliknya kerana ketiadaan sandaran dan sanad yang menyakinkan bahawa pendapat tersebut keluar daripada Imam-imam tersebut ( seperti al-Auza’ie, Abu Thaur, Sufyan al-Thauri, Ibn Uyaynah, Ishak bin Rahuyah, Ibn Jarir al-Tabari dan lain-lain rahimahumullah).

Oleh sebab itulah ramai para ulama menyebutkan berkenaan Imam Zaid bin Ali radhiyallahu anhuma: (( Imam Zaid merupakan seorang yang sangat tinggi kedudukannya, hebat ilmunya, tetapi kepercayaan terhadap mazhabnya sudah tiada bukanlah kerana peribadi Imam Zaid, tetapi kerana para pengikutnya tidak mengambil perhatian tentang pembinaan mazhab( serta tidak mengambil perhatian tentang sanad mazhab tersebut), maka mazhab tersebut tidak terlepas daripada berlakunya perubahan dan menyandarkan kepada Imam bukan kepada apa yang disebutkan oleh Imam itu sendiri)).

Benarlah kata-kata Imam Ibn Mubarak rahimahullah:

الإسناد من الدين, لولا الإسناد لقال من شاء ما شاء
Maksudnya: Sistem sanad tersebut adalah sebahagian daripada agama Islam, kalaulah bukan kerana sistem ini, maka orang akan menyebutkan apa sahaja yang dia ingin sebutkan.

Maksud sebenar kalam ini ialah, jika tiadanya sistem sanad maka semua orang boleh menyandarkan pendapatnya kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki tanpa amanah ilmu. Bila ditanya, daripada siapakan kamu mengambil pendapat ini, maka seseorang yang tiada sandaran akan menyebutkan : daripada si fulan dan si fulan dan seterusnya tanpa meraikan amanah ilmu itu sendiri.

Kembali kepada perbahasan asal berkenaan adakah kita boleh berpindah-pindah mazhab?

Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami,al-Imam Alawi al-Saqqaf , dan para ulama yang lain:

“ Harus bagi seseorang tersebut untuk berpindah-pindah daripada satu mazhab ke mazhab yang lain (mazhab empat), walaupun dengan berseronok-seronok, sama ada berpindah secara berterusan atau secara sekejap sahaja(kemudian kembali semula ke mazhab asal).”

Cuma yang perlu diambil perhatian ialah berpindah-pindah mazhab dibenarkan dengan syarat tidak berlaku talfiq yang diharamkan(sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak dikatakan oleh seorang pun dikalangan ulama Islam).

Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq yang diharamkan? Para ulama menyebutkan bahawa talfiq yang diharamkan ialah mengumpulkan dan menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah yang sama menjadi satu masalah yang mana ianya tidak pernah langsung disebutkan oleh mana-mana ulama.

Contohnya seperti mengambil wudhuk dengan menggunakan mazhab syafie(menyapu sebahagian kepala), kemudian selepas itu orang tersebut menyentuh ajnabiah(wanita bukan mahramnya) dan ingin pula mengikut mazhab Abu Hanifah yang mengatakan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhuk. Maka seolah-olah jika para imam tersebut dikumpulkan semula di hadapan kita kelak, kesemuanya tidak mengi’tiraf perbuatan kita. Al-Imam Syafie akan menyebutkan bahawa wudhuk kamu seperti yang kami sebutkan cuma bagi kami jika menyentuh wanita @ disentuh akan membatalkan wudhuk. Orang tersebut menjawab: Aku menyentuh mengikut mazhab Abu Hanifah. Maka Imam Abu Hanifah pula akan menjawab: Memang benar mazhab kami mengatakan bahawa wudhuk tidak akan batal jika disentuh atau menyentuh wanita ajnabiyah(kerana bagi mazhab Abu Hanifah , bersetubuh barulah membatalkan wudhuk) tetapi cara kamu mengambil wudhuk bukanlah seperti yang kami letakkan (kerana hanya meyapu sebahagian kepala sahaja) .Kata Imam Abu Hanifah lagi: Bagi mazhab kami, wajib menyapu kepala keseluruhannya. Jadi kamu tetap tidak mengikut mazhab kami.

Inilah contoh talfiq yang tidak dibenarkan,tetapi jika kita contohnya berwudhuk menggunakan mazhab Syafie, kemudian berniaga di pasar menggunakan mazhab Abu Hanifah, keesokkan harinya berwudhuk menggunakan mazhab Abu Hanifah dan seterusnya maka tiadalah masalah padanya. Ini perlu kepada pemahaman usul fiqh yang baik. Perbahasan talfiq ini sangat panjang. Perlu dibahaskan pada masa yang akan datang.

Jadi, kesimpulannya ialah,para ulama tidak pernah menghalang untuk kita berpindah-pindah mazhab, malah tidak mewajibkan untuk kita berpegang dengan satu-satu mazhab (tanpa membenarkan untuk berpindah mazhab).

Cuma, perlu difahami kalam para ulama, tiada seorang pun yang menyebutkan tidak mengapa kalau tidak bermazhab langsung. Tidak pernah kami (yang belajar dengan para ulama secara terperinci dan membaca kitab-kitab para ulama)mendengar dan menjumpai para ulama menyebutkan bahawa tidak perlu untuk bermazhab. Ini kefahaman yang perlu diperbetulkan. Kefahaman “tidak perlu bermazhab” bukanlah perkara yang baharu, janganlah kamu berpura-pura menyokong para ulama ahlussunnah seperti Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti(mazhab Syafie), Syeikh Ali Jumaah(mazhab Syafie), Syeikh Wahbah Zuhaili(Mazhab Syafie) dan sebagainya sedangkan kamu langsung tidak memahami pendapat yang mereka sebutkan. Baca sendiri kalam mereka( Bukan sekadar membaca, tetapi memahami sebagaimana para ulama yang membacanya memahaminya). Mereka juga bermazhab walaupun sudah mencapai peringkat yang tinggi di dalam Ilmu mereka.

Sekali lagi saya sebutkan, baca dengan hati yang terbuka dan ilmu yang disadur dengan iman, bukan dengan hawa nafsu dan pendapat-pendapat kurang ilmiahnya. Terima kasih kepada semua.Dan perlu diingat, golongan wahabi sejak akhir-akhir ini baru menyebutkan bahawa mereka bermazhab, setelah dikecam oleh para ulama. Rujuk kitab " alla mazhabiyah" oleh Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti kamu akan dapati hujah-hujahnya kepada golongan yang tidak bermazhab dan baru ingin menempelkan diri mereka kepada mazhab.

Wallahu a'lam.

Rujukan:

1. Fatawa Hadithiyah oleh Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah cetakan Darul Taqwa
2. Mukhtasar Fawaid Makkiyah oleh al-Imam Alawi al-Saqqaf cetakan Darul Basya’ir Islamiyah tahqiq Dr. Yusuf Mar’ashli
3. Risalah Talfiq di dalam Fatwa oleh Doktor Saad Anzi, Majalah Syariah keluaran Kuwait Jilid 38.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Hayyu 10,

Posted by Mohd Nazrul Abd Nasir at 9:42 AM

Dipetik dari blog Dari Anjung al Atrak

Sunday, February 21, 2010

SIS Berfatwa Lagi


Semakin dibiarkan semakin galak kumpulan NGO yang kononnya memperjuangkan hak wanita menamakan diri mereka sebagai Sister In Islam (SIS) membuat ‘fatwa’ sendiri dalam perkara-perkara berkaitan hukum. Namun ‘fatwa’ mereka itu jauh tersasar dari landasan Islam yang sebenar dan tidak sepadan dengan perkataan Islam pada nama kumpulan mereka.

Saya agak kabur mengenai objektif penubuhan SIS itu sendiri sama ianya pertubuhan NGO yang ingin mempertahankan nasib wanita semata-mata tanpa mengira salah atau benar, ataupun NGO yang menaikkan martabat wanita mengikut acuan Islam. Sekiranya diteliti daripada sekian banyak ‘fatwa’ yang dikeluarkan SIS, kenyataannya mereka hanyalah mempertahankan hak wanita semata-mata tanpa melihat sama ada ia benar atau salah mengikut pandangan Islam.

Tatkala membaca kenyataan SIS mengenai tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menjatuhkan hukuman rotan keatas tiga orang wanita kerana Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram). Menurut mereka, kerajaan perlu mengkaji semula sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan.

Nampaknya SIS hendak melawan hukum Allah s.w.t dalam perkara zina yang jelas disebut dalam al-Quran:

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, Maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.(an-Nur : 2)

Ayat tersebut jelas mengenai hukum zina yang perlu dikenakan keatas penzina apabila Mahkamah mensabitkan kesalahan tersebut berdasarkan segala bukti dan keterangan, sumpah mahupun pengakuan.

Nampaknya SIS seolah-olah mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t berdasarkan pemikiran mereka yang cetek. Tidak semua ketetapan hukum yang telah dijelaskan Allah s.w.t dapat kita ketahui rahsia disebaliknya. Ia ketentuan hukum hak Allah s.w.t sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Jazairi dalam Kitab Fiqh Empat Mazhab.

Manakala al-Hafiz ibn Hajar al-Asqalani meriwayatkan satu hadis dalam kitabnya Bulughul Maram:

Dari ‘Ubadah bin Shamit katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah dariku! Ambillah dariku! Kerana sesungguhnya Allah menetapkan untuk mereka (wanita-wanita yang serong) suatu jalan iaitu pemuda dengan pemudi didera 100 kali dan diasingkan setahun, sedangkan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin didera 100 kali dan direjam. (HR Muslim)

Ulama telah sepakat bahawa hukuman rotan untuk penzina walaupun ada yang berbeza pendapat mengenai jumlah rotan tersebut. Jadi diamanakah dasarnya yang dipegang SIS untuk mengatakan bahawa rotan itu adalah satu kezaliman?

Perlu diketahui bahawa barang sesiapa yang mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, maka mereka telah menjerumuskan aqidah mereka dalam bahaya kufur.

Pihak berkuasa agama perlu mengambil berat mengenai perkara ini bagi membendung menyebaran fahaman songsang yang boleh menyesatkan masyarakat. Bertindaklah segera sebelum terlambat!!

Sunday, November 8, 2009

Adab Salafus Soleh Dalam Masalah Khilafiyah Ijtihadiyah

Pendahuluan:

Telah tersebar suatu kelompok manusia, yang menisbahkan diri mereka kepada salafus-soleh-yang mana padahalnya mereka dan para salafus-soleh bagaikan barat dan timur-, melaungkan slogan-slogan yang memperdaya orang-orang awam, dengan seruan kembali kepada sunnah, lalu membid'ahkan sebahagian perkara-perkara ijtihadiyah yang tidak sesuai dengan mazhab mereka, atas nama agama, padahal mereka tidak mengikut melainkan hawa nafsu mereka semata-mata. Lalu, mereka menyemarakkan permusuhan dalam persaudaraan Islam kerana sibuk menyalahkan dalam perkara-perkara khilafiyah.


Lebih malang lagi, segelintir orang-orang awam dalam kalangan umat Islam mula terpengaruh dengan salah faham mereka, sehingga akhirnya timbul fenomena menyalahkan sesama muslimin dalam masyarakat Islam, padahal perkara-perkara yang dipersalahkan tidak lebih dari sekadar masalah-masalah khilafiyah ijtihadiyah, iaitu, masalah yang sememangnya diperselisihkan oleh para ulama' mengenainya, yang masing-masing berijtihad dalam masalah tersebut.


Fenomena ini semakin membimbangkan, kerana ramai orang-orang awam, yang tiba-tiba mengaku diri mereka sebagai "ulama" atau "ulama' muda", mula berdiri di tengah-tengah umat manusia, lalu menyalahkan ijtihad-ijtihad para ulama' terdahulu, atas nama "memperjuangkan sunnah" kononnya, padahal yang mereka persalahkan tidak lebih dari sekadar masalah-masalah khilafiyah, dan yang mereka perjuangkan sekadar "salah faham mereka terhadap sunnah itu sendiri".


Demi kebimbangan ini, penulis yang faqir mengajak mereka yang mendakwa diri sebagai pengikut salaf, agar kembali menghayati sejauhmana adab para ulama' salafus soleh dalam masalah-masalah khilafiyah, yang mana, terlalu jauh berbeza dengan sikap prejudis dan ta'assub mereka (pengaku salafi hari ini).


Mafhum Ikhtilaf (Perselisihan)


Ikhtilaf bererti, perbezaan atau perselisihan pendapat dalam kalangan para ulama' dalam perkara-perkara syar'iyyah, yang mana ianya melibatkan perkara-perkara furu'.


Medan Ikhtilaf:


Perselisihan atau ikhtilaf pendapat sesama para ulama' berlaku dalam lapangan perkara-perkara furu' (cabang) yang lahir daripada dalil-dalil syarak yang zhonniyah (kesamaran).


Adapun zhonniyah (kesamaran dari dua sudut iaitu, zhonniyatu As-Thubut (kesamaran tentang kesahihan dalil itu sendiri) dan zhonniyah Ad-Dilalah (kesamaran tentang maksud sebenar dalil itu sendiri).


Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi berkata: adapun sebahagian besar daripada hadith-hadith Nabi s.a.w. bersifat zhoniyatu As-Thubut (kesamaran dari sudut kesahihannya) dan zhonniyatu Ad-Dilalah sedangkan sebahagian besar daripada nas-nas Al-Qur'an pula terdiri daripada zhonniyatu Ad-Dilalah (kesamaran maknanya). (min ajli sohwah rasyidah oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, m/s 52)


Hasilnya, kebanyakkan daripada nas-nas Al-Qur'an dan As-Sunnah mengandungi zhonniyah (kesamaran) yang menjadi medan para ulama' berijtihad dalam mengeluarkan sesuatu hukum tersebut.


Sheikh Dr. Muhammad Abu Al-Fath Al-Bayyanuni berkata: "Perselisihan berlaku pada perkara-perkara furu' bukan pada perkara-perkara usul.


Yang dimaksudkan dengan perkara-perkara furu' (cabang) adalah, perkara-perkara yang biasanya terbit daripada dalil-dalil yang zhonni (kesamaran), samada dari sudut maknanya (Ad-Dilalah) atau dari sudut kesahihannya (As-Thubut), samada perkara-perkara tersebut berkaitan dengan masalah aqidah ataupun masalah fiqh.


Yang dimaksudkan dengan perkara-perkara usul di sini adalah perkara-perkara yang besar (pokok) yang lahir daripada dalil-dalil yang qathi (jelas) samada dari sudut maknanya atau dari sudut kesahihannya (As-Thubut), samada perkara-perkara usul tersebut berkaitan dengan masalah aqidah atau masalah fiqh.


Contoh masalah-masalah usul dalam aqidah adalah: pebahasan tentang iman kepada Allah s.w.t. dan sifat-sifatNya, keimanan kepada malaikat, para rasul, hari akhirat dan sebagainya.


Antara contoh-contoh masalah furu' dalam aqidah adalah: perbahasan tentang sifat Kursi, tentang yang mana dahulu, antara timbangan amal atau menghadiri telaga haud dan sebagainya.


Antara contoh-contoh masalah usul dalam fiqh: kewajiban solat lima waktu, penjelasan tentang bilangan solat-solat wajib, kewajiban zakat, kewajiban berpuasa, kewajiban haji dan sebagainya.


Antara contoh-contoh masalah furu' dalam fiqh: bacaan ma'mum di belakang imam, perbahasan tentang angkat tangan dalam solat, kaifiyat solat witir dan hukumnya, dan sebagainya, yang terlalu banyak." (dirasaat fi Al-Ikhtilafat Al-Ilmiyyah karangan Dr. Muhammad Abu Al-Fath Al-Bayynuni, m/s 32-33)


Imam Ibn Hazm berkata: "Kebanyakkan perselisihan ahlus sunnah wal-jamaah adalah dalam fatwa (perkara-perkara fiqh), dan sedikit dalam perkara aqidah" (Al-Fisol fi Al-Milal wa An-Nihal 2/111)


Hal ini menunjukkan bahawa, para ulama' berselisihan dalam perkara-perkara furu', kebanyakkannnya dalam masalah fiqh dan sedikit dalam masalah aqidah.


Adapun dalam masalah fiqh ini, seseorang ulama' yang berinteraksi dengan nas-nas zhonniyah (kesamaran) untuk mengeluarkan hukum daripadanya, dikenali sebagai proses berijtihad.


Mafhum Ijtihad:


Para ulama' Usuliyyin (usul fiqh) berkata:

"Ijtihad ialah, sesuatu kesungguhan dalam mengeluarkan hukum-hukum syar'iyyah daripada dalil-dalil syarak" (tashil al-wusul karangan Imam Al-Mahlawi m/s 320)


Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata: "Ijtihad ialah, menggunakan seluruh usaha dan keupayaan, dan bersikap lapang selapang-lapangnya (tidak jumud), dalam menggali hukum-hukum syarak daripada dalil-dalilnya (syarak), dengan jalan penelitian akal dan menggunakan pemikiran." (min ajli sohwah rasyidah m/s 51)


Syarat berijtihad terlalu banyak dan teliti, yang mana, sesiapa yang tidak memiliki syarat-syarat tersebut, maka dia bukanlah ahli dalam berijtihad. Syarat-syarat tersebut ada disebutkan dalam buku-buku usul fiqh.


Maka, ijtihad adalah berkaitan dengan pendapat-pendapat ulama'-ulama' yang ahli dalam berijtihad, berkenaan dengan hukum-hukum yang dikeluarkan daripada dalil-dalil syarak, yang mana, kebanyakkannya bersifat zhonni.


Dr. Al-Qaradhawi berkata lagi:


Dua situasi yang memerlukan kepada ijtihad:

Pertama: Apabila tiada nas tentang sesuatu perkara, sebagai rahmat dari Allah s.w.t., agar diberi ruang ijtihad. Para ulama' selalunya menggunakan kaedah qiyas, maslahah mursalah dan sebagainya.


Kedua: Apabila nas-nas tersebut bersifat zhonni (kesamaran) samada dari sudut makna (Ad-Dilalah) atau kesahihan (As-Thubut)." (ibid m/s 51-53)


Faktor utama yang menyebabkan berlakunya perselisihan dalam memahami nas-nas zhonni adalah: perbezaan kadar dan kemampuan dan ilmu antara para ulama' itu sendiri.

Berbezanya akal mereka menyebabkan berbezanya ijtihad mereka dalam memahami nas-nas yang kesamaran tersebut.


Nas-as qat'ie (jelas) + kefahaman yang satu = kesepakatan pendapat

Nas-nas zhonni + perbezaan kadar akal dan ilmu para ulama' = perbezaan ijtihad

Maka, hasilnya, perselisihan dan perbezaan pendapat berlaku kerana dua faktor utama iaitu, pelbagai tafsiran dan makna nas-nas zhonni dan perbezaan kadar akal para ulama'.

Contoh Zhonni dan Qat'ie dari Sudut Ad-Dilalah.


Contoh ayat qat'ie dari sudut petunjuknya (Ad-Dilalah):

Kepada orang-orang yang meng-ilaa' isterinya (bersumpah tidak mencampuri isteri), diberi tangguh empat bulan. Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), Maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Baqarah 226).


Dalam ayat ini, jelas yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. di sini adalah empat bulan, kerana makna asyhur (bulan) itu tidak mengandungi melainkan satu makna sahaja iaitu bulan, tidak mempunyai makna lain dari sudut bahasa Arab.


Contoh ayat ­zhonni dari sudut petunjuknya (Ad-Dilalah):

Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru' (Surah Al-Baqarah: 228)


Abu 'Amru bin Al-'Ala berkata: Ada dari kalangan orang-orang Arab yang menamakan haidh sebagai qur'u dan ada juga yang yang menamakan suci sebagai qur'u. (Tafsir Al-Qurtubi: 3/113)

Quru' dalam bahasa Arab sendiri membawa lebih dari satu makna, dalam bahasa Arab, iaitu, samada haidh ataupun suci. Daripada perkataan yang mengandungi lebih dari satu makna inilah, akhirnya para ulama' salaf berselisih pendapat tentang makna quru' dalam ayat di atas.


Imam Al-Qurtubi berkata:

"Ahli Kufah berkata, makna qur'u dalam ayat tersebut adalah haidh. Pendapat ini adalah pendapat Saidina Umar r.a., Saidina Ali r.a., Saidina Ibn Mas'ud r.a., Saidina Abu Musa r.a., Imam Mujahid, Imam Qatadah, Imam Al-Dhihak, Imam Ikrimah dan sebagainya.


Ahli Hijaz berkata, maknanya ialah suci. Pendapat ini adalah pendapat Saidatina Aisyah r.a., Saidina Ibn Umar r.a., Saidina Zaid bin Thabit r.a., Imam Az-Zuhri, Imam As-Syafi'e r.a. dan sebagainya." (Ibid).


Jika Allah s.w.t. mahu seluruh umat Islam bersatu dalam memahami nas-nas Al-Qur'an, dan tidak mahukan perselisihan ijtihad dan pendapat dalam kalangan umat Islam, sudah tentu Allah s.w.t. akan menggunakan perkataan yang tidak mengandungi pelbagai makna dalam ayat-ayat hukum. Pasti Allah s.w.t. akan menggunakan perkataan tiga kali haidh atau tiga kali athur bagi menggantikan tiga kali quru' seperti ayat sebelumnya iaitu empat asyhur (bulan). Begitulah dalam masalah-masalah khilafiyah yang lain.


Hikmah Ikhtilaf dan Perselisihan Dalam Masalah Ijtihadiyah


Imam Al-Qasim bin Muhammad berkata:

"Allah s.w.t. telah memberi manfaat (kepada umat Islam) dengan perselisihan para sahabat Nabi s.a.w. dalam amalan-amalan mereka…" (Jami' Bayan Al-Ilm wa Fadhluhu 2/78-92)


Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: "Aku tidak menyukai sekiranya sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tidak berkhilaf, kerana kalau mereka sepakat dalam setiap hal pada suatu pendapat, maka manusia akan kesempitan" (ibid 2/59-60)


Jelaslah bahawa, perselisihan dalam kalangan ulama' adalah suatu rahmat dan melapangkan manusia.


Perkembangan Perselisihan Ijtihad Dalam Masyarakat Islam


Perselisihan dalam berijtihad bukanlah suatu perkara yang asing, bahkan ianya menjadi suatu tradisi selagimana Allah s.w.t. menyediakan sebab-sebab dan ruang-ruang untuk timbulnya ikhtilaf tersebut dalam institusi perbendaharaan ilmu fiqh dan penggalian hukum syarak. Cuma, yang asingnya, adalah, sikap sewenang-wenangnya mengingkari perkara-perkara khilafiyah sampai tahap membid'ah-bid'ahkan ijtihad sesetengah mujtahid, yang diperjuangkan oleh sesetengah golongan awam dan golongan separa-matang dalam memahami insititusi fiqh itu sendiri.


Perselisihan Ijtihad Para Sahabat di Zaman Rasulullah s.a.w..


Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar r.a.:-

Setelah tamat Perang Ahzab, Rasulullah s.a.w. bersegera dalam menggerakkan kaum muslimin menuju ke perkampungan golongan Yahudi Bani Quraizhoh (yang bercadang untuk belot kepada Rasulullah s.a.w.) lalu berkata dengan para sahabat: "Janganlah salah seorangpun daripada kamu solat Asar melainkan di (perkampungan) Bani Quraizhoh".


Sebahagian para sahabat yang dalam perjalanan menuju kepada Bani Quraizhah mendapati, waktu Asar sudahpun masuk, sedangkan mereka belum lagi sampai kepada Bani Quraizhah. Sebahagian daripada mereka berkata: "Kita tidak akan solat melainkan setelah sampai ke sana". Sebahagian para sahabat r.a. yang lain pula berkata: "(Tidak), bahkan kita solat juga sekarang…"


Setelah sampai kepada Rasulullah s.a.w., lalu mereka menceritakan hal demikian, namun Rasulullah s.a.w. bersetuju dengan kedua-duanya (para sahabat r.a. yang bersolat Asar sebelum sampai ke Bani Quraizhah dan para sahabat yang tidak solat Asar sehingga sampai ke Bani Quraizhah). (fathul bari karangan Imam Ibn Hajar Al-Asqolani 8/411)


Perselisihan Para Sahabat r.a. setelah Zaman Rasulullah s.a.w..


Perselisihan yang mula-mula terbit setelah kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w. dalam kalangan para sahabat r.a. adalah untuk melantik khalifah Islam yang pertama, sehinggalah akhirnya mereka bersetuju dengan perlantikan Saidina Abu Bakar r.a..


Begitu juga, muncul begitu banyak perselisihan pendapat dan ijtihad dalam kalangan para sahabat r.a., dalam bidang fiqh ini, setelah itu.


Contoh yang lain adalah seperti dalam masalah perwarisan (miras) seorang datuk. Saidina Ibn Abbas r.a. berpendapat, datuk seperti ayah jika, iaitu dapat menjadi hijab (menegah warisan) kepada adik-beradik sedangkan Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali r.a. berpendapat bahawa, datuk itu sekadar seperti adik beradik (rujuk buku dirasat fi al-ikhltilafat al-ilmiyyah m/s 28)


Begitu juga dalam masalah-masalah lain yang turut diwarisi perselisihan ijtihad tersebut oleh para ulama' salafus-soleh dalam masa yang sama, mereka tidak pernah membid'ahkan mana-mana pendapat dan ijtihad sesama mereka, selagimana setiap ulama' yang berijtihad tersebut ada dalil mereka masing-masing.


Sebab-sebab Berlakunya Perselisihan Pendapat dan Ijtihad (Ikhtilaf Ijtihadi) Dalam Lapangan Ijtihad Para Ulama' Fiqh


Sebab-sebab ikhtilaf seperti yang disenaraikan oleh Dr. Al-Bayyanuni dalam buku dirasat fi al-ikhtilafat al-ilmiyyah adalah:


Pertama: Perselisihan dalam menetapkan sesuatu nas.

Contohnya: Dalam masalah khabar mastur (seorang rawi yang diriwayatkan daripadanya oleh dua orang rawi atau lebih dari dua orang, yang mana, tiada komen tentang perawi tersebut, samada seorang yang boleh diambilpakai riwayatnya (at-ta'dil) ataupun tidak boleh (al-jurh) ).


Sebahagian ulama' menerima perkhabaran daripada perawi hadith yang tersmbunyi (mastur) (tersebut seperti Imam Abu Hanifah) sedangkan sebahagian yang lain menolaknya (seperti Imam Muhammad).


Kedua: Perselisihan dalam memahami sesuatu nas.

Contoh dalam masalah tiga quru' yang dijelaskan dalam ayat Al-Qur'an sebentar tadi, di mana ada ulama' memahaminya dengan makna tiga kali suci dan ada yang memahaminya dengan makna tiga kali haidh.


Perselisihan dalam menghimpunkan (Al-jam'u) dan memberatkan (At-Tarjih) antara nas-nas yang saling bertentangan.


Contohnya seperti masalah ma'mum membaca Al-Fatihah di belakang imam. Imam As-Syafi'e r.a. berpendapat: "ma'mum juga perlu membaca Al-Fatihah di belakang Imam samada Imam tersebut membaca surah dengan kuat (dua rakaat pertama dalam solat maghrib, isyak dan dua rakaat subuh) ataupun perlahan. Ini kerana, dalam masalah membaca Al-Fatihah bagi ma'mum ini, Imam As-Syafi'e r.a. mentarjihkan (memberatkan) nas tentang kewajiban membaca Al-Fatihah bagi setiap orang yang mendirikan solat, atas nas yang melarang membaca sesuatu jika dibaca akan Al-Qur'an dan nas yang mengatakan bahawa, bacaan imam adalah bacaan ma'mum.


Imam Abu Hanifah r.a. pula berpendapat tidak perlu membaca Al-Fatihah bagi ma'mun di belakang imam dalam segala hal, samada imam membaca surah secara terang mahupun perlahan, kerana mentarjihkan (memberatkan) nas tentang "bacaan imam adalah bacaan ma'mum".


Imam Malik r.a. dan Imam Ahmad r.a. pula berpendapat bahawa, kalau imam membaca Al-Fatihah secara kuat (seperti dalam dua rakaat pertama solat maghrib, isyak, dan subuh), maka ma'mum tidak perlu membacanya sedangkan jika imam membacanya dengan perlahan, maka ma'mum perlu membacanya, kerana menggabungkan kedua-dua nas tersebut. (rujuk bidayatul mujtahid)


Keempat: Perselisihan dalam kaedah-kaedah fiqh dan sebahagian sumber penggalian hukum.

Contohnya seperti berhujah dengan amalan penduduk Madinah (pada zaman Imam Malik r.a.), di mana, Imam Malik r.a. menjadikan amalan penduduk Madinah sebagai hujah kepada sesuatu ketentuan hukum sedangkan para ulama' lain tidak menerima amalan penduduk Madinah semata-mata, sebagai suatu hujah dalam ketentuan hukum.


Sikap Mengingkari Perkara-perkara Khilafiyah


Amatlah memalukan bagi golongan yang mendakwa mengikut salafus soleh, padahal mereka sendiri bercanggah dengan salafus soleh, dalam adab-adab berinteraksi dengan masalah-masalah khilaf. Sebahagian besar daripada mereka yang kononnya mendakwa diri sebagai pengikut salaf (salafi moden) dalam masa yang sama, ghairah membid'ahkan perkara-perkara khilafiyah dalam kalangan ulama' itu sendiri, sepatutnya berasa malu dengan diri mereka sendiri dan apa yang mereka dakwakan tersebut. Mereka justeru tidak pernah mengikut salafus soleh, tetapi sebaliknya berdusta terhadap salafus-soleh itu sendiri.


Kita boleh lihat sendiri contoh yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak menyalahkan mana-mana sahabat dalam masalah solat di Bani Quraizhoh, seperti yang dibincangkan sebelum ini.


Begitu juga, para sahabat tidak mengingkari antara satu sama lain dalam masalah-masalah khilafiyah apatah lagi membid'ahkan satu sama lain.


Imam Sufian At-Thauri r.a. berkata: "Jika kamu melihat seseorang itu beramal dengan amalan yang diperselisihkan ulama' mengenainya, sedangkan kamu mempunyai pendapat yang berbeza, janganlah kamu menegahnya" (Al-Hilyah 6/368).


Diriwayatkan bahawa, Al-Khatib Al-Baghdadi pernah berkata: "Apa yang diperselisihkan oleh para ulama' mengenainya, maka aku tidak menegah ikhwanku daripada mengamalkannya (yang diperselisihkan tersebut)" (Al-Faqih wal Mutafaqqih 2/69 karangan Al-Khatib Al-Baghdadi)


Imam Ahmad berkata: "Tidak boleh bagi seorang faqih untuk memaksa manusia mengikut sesuatu mazhab atau membebankan manusia…" (Al-Adab As-Syar'iyyah 1/186 karangan Imam Ibn Muflih)


Ketika Imam Al-Qasim bin Muhammad (ulama' besar salaf) ditanya berkenaan dengan bacaan di belakang imam ketika solat, maka beliau menjawab: "Jika kamu membaca (surah Al-Fatihah) maka ada dari kalangan para sahabat sebagai ikutan (dalam masalah membaca Al-Fatihah) dan jika kamu tidak membacanya, maka ada juga dari kalangan para sahabat sebagai ikutannya"


Jelaslah bahawa, selagimana para ulama' mempunyai dalil-dalil mereka dalam sesuatu perkara khilafiyah, maka sebahagiannya tidak patut mengingkari sebahagian yang lain, kerana mereka semuanya berdasarkan kepada dalil dan kefahaman mereka terhadap dalil tersebut. Rujuklah buku bidayah Al-Mujtahid wa nihayah Al-Muqtasid karangan Imam Ibn Rusyd, di mana kamu akan dapati di dalamnya, sebab-sebab perselisihan ulama' dalam setiap masalah khilafiyah, sehingga kamu sendiri hampir tidak mampu untuk membenarkan pendapat yang mana dan menyalahkan pendapat yang mana, apatah lagi mengingkari sebahagian pendapat mereka.


Justeru, fenomena mengingkari ijtihad ulama' ini hanyalah terzahir daripada kebanyakkan orang-orang awam dan sebahagian penuntut ilmu yang jahil dalam adab-adab ikhtilaf itu sendiri.

Mereka ghairah dalam menonjolkan bahawa diri merekalah juara, takkala mengkritik ulama'-ulama' terdahulu dan ijtihad-ijtihad mereka, kononnya dengan dalil-dalil yang mereka gunakan, seolah-olah ulama'-ulama' yang mereka kritik tersebut tidak mengetahui dalil-dalil yang mereka gunakan pada hakikatnya merekalah (golongan pengkritik dalam masalah khilafiyah) yang tidak memahami keluasan syariat Islam yang mana kebanyakkan nas-nasnya bersifat zhonni yang terdedah kepada kepelbagaian dalam kefahaman.


Para ulama' berbahas sesama mereka bukanlah kerana saling mengingkari, tetapi saling membuktikan pendapat mereka benar dengan dalil-dalil yang mereka miliki, dalam masa yang sama meminta penjelasan daripada ulama' lain agar menunjukkan dalil-dalil mereka pula, sehinggalah akhirnya mereka akui bahawa, tiada pengingkaran dalam perselisihan tersebut.


Benarlah kata Imam As-Syafi'e r.a.: "Pendapatku benar, tetapi berkemungkinan salah. Pendapat selainku salah, tetapi berkemungkinan juga benar". Ini kerana, Imam As-Syafi'e yakin kefahamannya adalah benar dalam memahami nas-nas zhonni dalam masa yang sama, tidak menafikan kemungkinan bahawa kefahaman orang lain boleh jadi benar dan kefahamannya boleh jadi salah, kerana beliau bukanlah seorang ma'shum. Ini suatu sikap dan adab dalam perselisihan pendapat, yang tidak membawa kepada pengingkaran antara satu sama lain dalam masalah khilafiyah.


Imam Abu Hanifah berselisih pendapat dengan Imam Malik r.a.. Imam Malik r.a. berselisih pendapat dengan Imam Laith r.a.. Imam As-Syafi'e r.a. berselisih pendapat dengan Imam Malik r.a. yang merupakan guru beliau sendiri. Imam Ahmad r.a. berselisih juga dengan Imam As-Syafi'e khususnya dalam mazhab baru Imam As-Syafi'e, namun mereka tidak mengingkari antara mereka, apatah lagi menuduh ijtihad ulama' lain sebagai bid'ah.


Imam Al-Allamah Al-Kandahlawi berkata:

"Para sahabat dan tabi'in serta mereka yang datang setelah itu, ada dari kalangan mereka yang membaca bismillah dan ada yang tidak (pada surah Al-Fatihah), ada yang membaca bismillah dengan kuat dan ada yang tidak, ada yang membaca qunut di waktu subuh dan ada yang tidak, ada yang berwuduk setelah muntah dan ada yang tidak dan begitulah seterusnya…


"Walaupun sedemikian (perselisihan banyak berlaku dalam kalangan mereka), masih dapat solat bersama-sama. Sepertimana Imam Abu Hanifah dan pengikutnya, dan Imam As-Syafi'e r.a. dan para pengikutnya, mereka tetap bersolat di belakang imam-imam ahli madinah yang bermazhab Maliki, walaupun mereka (yang bermazhab Maliki) tidak membaca bismillah samada secara sembunyi atau terang.


"Imam Ahmad r.a. pula berpegang dengan pendapat, wajib ambil wudhuk bagi orang yang telah melakukan bekam. Lalu, dia ditanya: "Jika seorang imam itu berbekam namun tidak berwudhuk, adakah kamu akan solat di belakangnya?" Imam Ahmad lalu menjawab: "Mana mungkin aku tidak mahu bersolat di belakang Imam Malik r.a. dan Imam Sa'id bin Al-Musaiyyib r.a. (yang berpendapat, bekam tidak membatalkan wudhuk)?"


"Begitu juga Imam As-Syafi'e r.a. ketika solat berhampiran maqam Imam Abu Hanifah r.a., lalu beliau meninggalkan qunut pada solat Subuh, sebagai adab kepada Imam Abu Hanifah r.a.." (Al-Inshof fi bayani asbabil ikhtilaf karangan Al-Imam Al-Kandahlawi. m/s 63)


Nah…Inilah adab-adab berikhtilaf yang diamalkan oleh para ulama' salafus-soleh? Jadi, di mana sikap kebanyakkan pengaku salafi hari ini dengan adab-adab salafus-soleh itu sendiri? Jelaslah bahawa, mereka (pengaku salafi moden) tidak mengikut melainkan hawa nafsu mereka sendiri, atau kejahilan mereka sendiri.


Kesimpulan

Setelah kita soroti lapangan dan perbendaharaan institusi fiqh Islami yang kaya dengan pelbagai ijtihad dan pendapat para ulama', berdasarkan proses penggalian hukum, melalui sumber-sumber hukum menurut ijtihad masing-masing, dapatlah kita fahami bahawa, insititusi fiqh Islami itu sendiri tidak sunyi daripada perselisihan dan khilafiyah. Hanya orang yang jahil tentang hakikat ini sahaja yang gagal memahaminya lalu bersikap agresif dengan menghentam bahkan membid'ahkan ijtihad-ijtihad yang tidak sesuai dengan ijtihad mereka, atas alasan, kefahaman merekalah yang benar lagi ma'sum (tidak terdedah kepada kesalahan), sedangkan kefahaman dan ijtihad-ijtihad para ulama' yang tidak sehaluan dengan mereka tidak pernah mengandungi sebarang kemungkinan kebenaran.


Sikap agresif inilah yang menghuru-harakan institusi persaudaraan umat Islam, sehingga membawa kepada perpecahan. Ia berpunca daripada sikap sesetengah pihak yang cuba menuntut ilmu tidak daripada asasnya, tetapi terus menceburi bidang ilmu fiqh muqorron (perbandingan), sehingga akhirnya bersikap ingin menyalahkan sesetengah ijtihad ulama' yang tidak sesuai dengan pendapat sesetengah ilmuan kegemaran mereka. Mereka justeru mendakwa berijtihad, sedangkan mereka cumalah sekadar bertaqlid dalam masa yang sama, turut ta'asub dalam bertaqlid, samada mereka menyedarinya ataupun tidak, samada mereka mengakuinya ataupun tidak. Merekalah golongan separa-matang dalam bidang ilmiah. Dari sudut kematangan, terzahir daripada ungkapan-ungkapan dalil dari lidah-lidah mereka, tetapi sudut ketidakmatangan mereka adalah, mereka sendiri tidak memahami sebahagian dalil-dalil yang mereka ungkapkan dan tidak memahami kekayaan insitusi fiqh Islami dengan khilafiyah serta tidak memahami tradisi dan adab berikhtilaf dan berijtihad.


Fenomena ini turut melibatkan orang awam yang tidak menguasai ilmu-ilmu asas yang kukuh untuk berinteraksi dengan insitutusi fiqh Islami, lalu menjadikan golongan separa-matang tadi sebagai guru rujukan agama mereka, sehingga ada yang sampai ta'asub kepada guru-guru rujukan mereka ini, lalu turut ghairah menyertai guru-guru mereka dalam menyebarkan suatu sentimen bid'ah iaitu "membid'ahkan masalah-masalah khilafiyah". Dalam mereka melaungkan slogan: "mari tolak bid'ah" dalam masa yang sama, mereka sendiri mempromosikan bid'ah yang lebih "bid'ah" dari apa yang mereka katakan "bid'ah" tersebut. Na'uzubillah. Inilah keganasan pemikiran yang tercetus dalam umat Islam, yang dicetuskan oleh paradigma yang jumud dalam berinteraksi dengan masalah-masalah khilafiyah.


Semoga golongan yang terlibat tersebut sedar dari lamunan yang panjang, dan kembali semula ke pangkal jalan, lalu menyertai golongan sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) dalam segenap kefahaman dan pemahaman mereka. Semoga mereka yang terlibat ini sedar, bahawa mereka sebenarnya bukanlah mengajak orang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi lebih mengajak orang kepada "kefahaman" mereka terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah yang kebanyakkannya zhonniyat (tidak putus). Itu bukanlah suatu gerakan ke arah pemurnian umat Islam, tetapi hanyalah sebuah gerakan mengeruhkan persaudaraan umat Islam. Ia bukanlah suatu seruan ke arah keterbukaan tetapi sekadar suatu seruan kejumudan dan keta'asuban atas nama keterbukaan menurut prasangka mereka.


Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada umat manusia dan memperbaiki keadaan umat Islam sejagat. Apa yang baik dari Allah s.w.t. dan apa yang kekurangan itu dari kelemahan diri penulis yang faqir. Semoga Allah s.w.t. mengampuni penulis yang faqir ini, atas kelemahan penulis, dalam rangka "saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran" kerana sesungguhnya "nasihat itu amat bermanfaat untuk orang-orang yang beriman".


Akhir Kata dari Dr. Yusuf Al-Qaradhawi Berkenaan Isu Ini

Dalam buku karangan beliau ‘Ummatuna bainal Qornain’ (umat kita antara dua kurun), setelah menegaskan tentang kepentinga bersatu, beliau berkata:


“Saya ingin menjelaskan kepada sesetengah golongan yang menyempitkan perkara-perkara khilaf sesempit-sempitnya, di mana mereka ingin mengangkat perselisihan dalam masalah cabang-cabang dalam aqidah dan cabang dalam syariat dari umat Islam, dan ingin menyatukan manusia dalam satu pendapat. Hakikatnya, agenda mereka merupakan suatu igauan, kerana menghilangkan perselisihan dalam umat Islam merupakan suatu yang mustahil, bahkan ianya tidak pernah dituntut oleh syariat untuk melakukannya (menggabungkan umat Islam dalam satu pendapat dalam setiap masalah).


“…Para sahabat sendiri berselisih pendapat, seperti dalam masalah solat Asar, pada hari perang Bani Quraidhah dan sebagainya, dan seterusnya, umat Islam terus berselisih pendapat…

“Perselisihan dalam ijtihad (pendapat dalam masalah syariah) merupakan suatu rahmat untuk umat.


“…Oleh yang demikian, orang yang mempunyai sesuatu pendapat, yang mana dia yakin dengan kebenaran pendapatnya, bersikap rendah diri, jauh dari tipu daya dan bangga dengan diri sendiri, kerana ia merupakan antara sebab-sebab kebinasaan yang membinasakan seseorang. Dia perlulah yakin bahawa, pendapatnya merupakan suatu kebenaran (di sisinya), namun ia tidaklah mashum (terpelihara dari kesalahan), kerana ianya masih pendapat seorang manusia biasa (bukan seorang Nabi), yang terdedah kepada kebenaran dan kesalahan.


“…Imam As-Syafi’e berkata: “Pendapatku benar, dan boleh jadi salah. Pendapat orang lain salah (di sisiku), dan boleh jadi benar (di sisi Allah s.w.t.).”


“...Saya mendengar ada yang bertanya: bagaimana pendapatku salah, sedangkan pendapatku berasaskan Hadis Rasulullah s.a.w., dan ia merupakan wahyu? Adakah wahyu boleh salah?”

“Saya menjawab kepada mereka: “ Hadis merupakan wahyu, tetapi kefahaman kamu tentang hadis tersebut bukan wahyu. Bahkan ianya (kefahaman kamu tersebut) merupakan pendapat, yang boleh jadi orang lain bercanggah dengan kefahamanmu tersebut, sepertimana ada antara para sahabat yang bercanggah dengan lafaz hadis dalam kisah Bani Quraidhah, dan mereka solat di pertengahan jalan, dan menurut Ibn Taimiyah, mereka adalah benar (dalam memahami hadis tersebut)…


“…Sesungguhnya, hendaklah kita berbaik sangka dengan orang lain, terutamanya sesama ahli dakwah, dan seboleh-bolehnya kita mentafsirkan sesuatu keadaan orang lain, dengan sebaik-baik kemungkinan dan tafsiran, dan sedaya-upaya mencari ruang untuk bersikap memaafkan sesama mereka, kerana orang yang beriman sentiasa memaafkan sesama insan dan bersikap berlapang dada (dalam keuzuran dan kesalahan seseorang), sedangkan orang yang munafiq sentiasa mencari keaiban seseorang…tidak boleh perselisihan pendapat yang dibolehkan dalam Islam, membawa kepada perpecahan yang dilarang oleh Islam” (Ummatuna baina Al-Qornain, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Dar As-Syuruq, m/s 223-227)


Wallahu a'lam…

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Kabir

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Ar-Razi

9 Januari 2008


Dipetik dari Ustaz Raja Ahmad Mukhlis