Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts

Monday, June 21, 2010

Novel: Cinta Sufi


Sinopsis:

PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari lelaki bertanduk dua.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Komen:

Saya cukup tertarik dengan gaya penulisan dan penceritaan Ramlee Awang Mursyid (RAM) yang penuh dengan infor serta maklumat berguna. Novel-novel beliau bukan sekadar hiburan jiwa semata-mata, namun ia juga boleh dijadikan panduan kerana di dalamnya juga terdapat pengajaran serta maklumat yang diambil berdasarkan kajian.

Walaupun novel ini tidak digolongkan sebagai novel Islamik tetapi lebih kepada thriller, namun di dalamnya terdapat pengajaran-pengarajan yang boleh diambil sebagai panduan hidup.

Saya amat mencadangkan para pengunjung sekalian agar menjadikan novel ini sebagai salah satu bahan bacaan anda kerana ia bukan sekdar menghiburekan dan menarik namun penuh dengan hikmah.

Monday, June 1, 2009

Novel: Munajat Cinta I


Watak utamanya seorang gadis bernama Rumayda yang cuba mencari hidayah tuhan demi mengenali dirinya sendiri setelah Ustaz Habiburrahman menyelamatkannya dari cubaan membunuh diri di tanah perkuburan Paponan dalam daerah Parakan.

Perkenalan dengan makcik Fuadah, seorang peniaga warung di Terminal Temanggung yang membawanya kepada perjalanan kerohanian mengenali diri mencari seorang guru yang dipanggil Pak Burhan. Perjalanannya itu membawa kepada perkenalan-perkenalan dengan orang-orang yang telah mendapat hidayah Tuhan seperti makcik Istiqomah bersama anaknya yang tidak diketahui siapa bapanya bernama Aslak.

Kembaranya mencari pakcik Burhan di Kampung Kuripan membawanya dengan pertemuan dengan seorang lelaki buta yang amat istimewa sekali. Walaupun matanya gelap tidak nampak cahaya, namun hatinya cerah dan pandangannya tembus. Satu malam yang mula merenjiskan percikan hidayah kedalam hati yang seterusnya membuatkan Ruwayda mengembara lagi mencari seorang gadis yang mulutnya sentiasa basah dengan asma Allah, tidak pernah merungut walau apa pun ujian menimpanya. Seorang gadis yang juga telah menjadi asbab lelaki buta itu bertaubat. Dia bernama Raudhatul Jannah. Namun pencariannya gagal menyebabkan dia kembali semula ke rumah keluarganya.

Di rumah pula dia menghadapi pelbagai soalan yang diajukan oleh adiknya sehingga dia penat dan tiada jawapan terhadap persoalan tersebut. Raihan, adiknya yang berumur hampir sebelas tahun itu mengajukan pelbagai persoalan ketuhanan yang dia sendiri tidak terfikir sehingga ke tahap itu. Lalu Ruwayda menemui Ustaz Mubarok, bekas guru al-Quran adiknya demi mencari jawapan. Jawapan mudah yang diberikan Ustaz Mubarok ialah sesungguhnya diangkat orang-orang berilmu itu beberapa darjat di sisi Allah s.w.t.

Dipertengahan jalan untuk menemui Raudhatul Jannah, Ruwayda telah bertemu Santi seorang janda yang kini menjadi pejuang hak wanita. Pertemuan itu selepas dia terselamat daripada diperkosa oleh tiga orang pemuda yang mabuk. Perbualan Ruwayda dengan Santi, seorang sarjana pengurusan ekonomi telah membuka beberapa demensi baru mengenai perjuangan hak wanita yang didokong oleh Santi. Keesokan harinya Ruwayda meneruskan kembaranya untuk menemui Raudhatul Jannah.

Raudhatul Jannah, seorang gadis yang cacat fizikalnya dan mempunyai sebelah kaki sahaja. Namun dia mempunyai jiwa yang cukup besar.Maka dipertemuan pertama itu, Ruwayda mencari jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan oleh adiknya Raihan dan Santi.

Ruwayda semakin mengenali dunia dengan bertambahnya teman-teman. Fitri siswi semesta tiga Fakulti Tarbiyah dan Ifah siswi semesta tiga Fakulti Syariah yang ditemui di Perpustakaan Awam. Manakala Hasan, Amir, Abas dan Lis adalah antara teman-teman baru jalanan yang ditemuinya sewaktu bekerja sebagai penjual surat khabar. Mereka semua merupakan penyanyi jalanan.

Dalam pada masa yang sama, Ruwayda cuba membantu Lis memulihkan hubungan dengan ibunya yang berantakan akibat sikap ayah tirinya. Dia mendapatkan bantuan Santi bagi menyelesaikan masalah Lis tersebut. Ketika diskusi masalah Lis diadakan di pejabat sekretariat pertubuhan yang diketuai Santi, barulah Ruwayda tahu bahawa pertubuhan yang diketuai Santi itu adalah pertubuhan feminisme yang memperjuangkan hak sama rata antara lelaki dan perempuan.

Dengan persetujuan Raudhah, Ruwayda menjadi perantara untuk menemui ibu Lis dengan membawa sepucuk surat sebagai wakil curahan isi hati Lis. Namun begitu, tampaknya hati ibu Lis masih keras untuk menerima hakikat sebenar kenapa puterinya itu lari dari rumah. Kenyataan bahawa suami barunya iaitu bapa tiri Lis cuba untuk memperlakukan Lis seperti hamba nafsu terlalu sukar untuk diterima. Malah ibunya sendiri beranggapan bahawa Lis hanyalah mereka-reka pembohongan tersebut.

Kemudian pertemuan dengan seorang pemuda yang bernama Adib yang dikatakan oleh Santri sebagai golongan yang memandang rendah terhadap kaum wanita telah membuka beberapa demensi ilmu yang baru bagi Ruwayda. Perkenalan dengan Ummu Habibah pula membawa kepada penyertaannya kedalam jemaah al-Firqah an-Najiyah. Dia mengikuti beberapa siri majlis ta'lim jemaah tersebut sehingga suatu masa dia keliru dengan pengisian yang diberikan oleh penceramah. Oleh sebab terdapatnya titik perbezaan itu, hubungan Ruwayda dengan Fitri dan Ifah yang juga ahli jemaah tersebut menjadi renggang.

Dalam kembara mencari diri itu, Ruwayda berjaya menyedarkan kembali ibu Lis tentang sebuah hakikat kebenaran yang perlu diterimanya walaupun ia amat pahit. Sebelum dia menamatkan kembara itu, dia kembali menziarahi guru dan sahabat utamanya Raudhatul Jannah. Namun, dia kembali diuji dengan kehilangan yang amat besar baginya. Raudhatul Jannah telah dijemput untuk menemui Kekasihnya yang Maha Tinggi. Selepas mengucapkan takziah, dia kembali kepangkuan keluarga dikampung oleh kerana kerinduan yang terlalu hangat dalam jiwa. Kerinduannya pada kedua ibubapanya, dua orang adiknya yang masih kecil. Tetapi sekali lagi dia diuji


Komentar

Satu karya yang menarik sebagaimana jangkaan saya sewaktu melihat penulisnya. Ini membuatkan saya tidak sabar untuk menikmati keindahan karya Islami siri kedua untuk novel ini. Pada pendapat saya, novel ini ditulis penulis bukan hanya berdasarkan idea kreatif semata-mata, namun ia turut digabung jalin melalui penyelidikan ilimiah. Novel ini bukan sekadar dapat menghiburkan para pembaca dengan keindahan susunan plot dan kata-kata, tetapi ia juga turut menawarkan ilmu yang amat berguna.

Tahniah saya ucapkan kepada Taufiqurrahman al-Azizy serta selamat membaca buat semua.

Thursday, May 28, 2009

Pembacaan Yang Masih Terbengkalai

Oleh kerana hambatan masa yang terlalu cepat, saya masih belum menghabiskan sebuah novel tulisan Ramlee Awang Murshid yang terbaru bertajuk "Mikhail". Namun, oleh kerana cinta dan minat saya terhadap buku, saya telah membeli beberapa buah buku baru seperti "Ali bin Abu Thalib", "Munajat Cinta I" dan "Mukjizat Cinta". Teringin sangat saya paparkan sinopsis buku-buku tersebut kepada para pengunjung blog saya ini, namun untuk berbuat demikian saya terpaksa menghabiskan pembacaan buku-buku tersebut.




Oleh yang demikian, saya berharap saya akan berkesempatan untuk menghabiskannya serta memberikan komentar terhadap buku-buku tersebut dalam blog saya ini. Sehingga saat itu, saya berharap para pengunjung blog saya akan terus bersabar menunggunya.

Thursday, March 26, 2009

Benarkah Iskandar Bukan Zulqrnain



Sejak sekian lama, kita mempercayai Iskandar Zulqarnain adalah individu yang hebat dalam sejarah. Beliaulah yang kita namakan Alexander the Great. Namun, kita tidak pernah tahu sama sekali bahawasanya Iskandar dan Zulqarnain adalah dua individu yang berbeza. Benarkah kenyataan itu? Buku ini ada jawapannya. Buku ini dimulakan dengan kupasan mengenai empat raja agung dunia purba mengikut turutan sejarah hidup mereka iaitu Raja Namrud, Nabi Sulaiman, Raja Bukhtanasar dan Zulqarnain. Ketiga-tiga raja pertama dipanggil dan diketahui dengan nama mereka sendiri sedangkan Zulqarnain pula adalah satu gelaran yang disandarkan kepada beberapa tokoh hebat termasuklah Raja Iskandar (Alexander). Siapakah mereka? Bilakah mereka memerintah? Siapakah yang dahulu dan siapa pula yang datang kemudian? Diskusi di dalam buku ini membantu anda bagi lebih memahami sejarah silam. Namun, di sebalik segala persoalan itu, yang lebih penting adalah persoalan, adakah sesuai jika disandarkan gelaran Zulqarnain kepada Raja Iskandar?

Quran menceritakan mengenai ciri-ciri Zulqarnain yang mana jika dikaitkan dengan sejarah hidup Raja Iskandar, ia adalah bercanggah. Buku ini memuatkan perbincangan serta hujah-hujah yang sesuai bagi mengaitkan tokoh yang paling hampir dan sesuai dengan gelaran Zulqarnain. Bukti hidup daripada peninggalan Zulqarnain adalah tembok yang dibinanya bagi menghalang Yakjuj Makjuj. Siapakah mereka ini dan siapakah yang mereka kacau sehingga Zulqarnain membina tembok serta di manakah tembok itu? Perbincangan ini dan lain-lain lagi ada di dalam buku ini. Jangan lepaskannya.

Prakata Pendahuluan Pengenalan Bab 1: Raja Namrud Sejarah Sebelum Kedatangan Raja Namrud Pemerintahan dan Latar Belakang Raja Namrud Kaitan Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim Nabi Ibrahim (sekitar kurun ke-22BC hingga 19BC) Nabi Ismail dan Penempatan di Mekah Pembinaan Kaabah Nabi Lut Peristiwa Penyembelihan Nabi Ismail Nabi Ishak Nabi Ishak dan Keturunannya Nabi Yaakub Perkahwinan Pertama Nabi Yaakub (dengan Liah) Perkahwinan Kedua Nabi Yaakub (dengan Rachel) Zuriat Nabi Yaakub dan Pembinaan Masjid al-Aqsa Nabi Yusuf (antara kurun ke 21BC dan ke 17BC) Bab 2: Raja (Nabi) Sulaiman (sekitar 1000BC hingga 928BC) Nabi Musa (antara kurun ke 16BC hingga ke 13BC) Al-Baqarah Nabi Musa dan Nabi Khidhir Nabi Yushwa’ bin Nun Nabi Syam’un Nabi Daud (sekitar 1030BC hingga 970BC) Kejatuhan Kerajaan Raja (Nabi) Sulaiman Buat Seketika Kewafatan Nabi Sulaiman Bab 3: Raja Bukhtanasar (sekitar 625BC hingga 562BC) Harut Marut Mimpi Bukhtanasar Takwil Kepala Emas Takwil Dada dan Tangan Perak Takwil Perut dan Peha Gangsa Takwil Dari Lutut Hingga ke Buku Lali Besi Nabi U’zair Bab 4: Perbincangan Iskandar bukan Zulqarnain Siapa itu Raja Iskandar? (356BC hingga 323BC) Asal-usul timbulnya cerita Zulqarnain Siapakah Raja Kurush? (576BC hingga 530BC) Ciri-ciri Zulqarnain: Perjalanan ke Arah Barat Menerima Wahyu Perjalanan ke Arah Timur Pembinaan Tembok Hujah Pertama Hujah Kedua Hujah Ketiga Yakjuj Makjuj Siapa yang Diganggu oleh Yakjuj Makjuj? Akhir kata Raja Leonidas I Penutup Nota Hujung Bibliografi

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad pada tahun 570AD, datang Nabi Isa lebih kurang 570 tahun sebelumnya. Pengiraan kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya adalah BC yang bermaksud ‘before Christ’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi ini, kiraannya adalah terbalik berbanding dengan zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal dari perkataan Latin Anno Domini bermaksud tahun Masihi.

Contohnya, sekarang adalah tahun 2007AD, maka tahun lepas adalah 2006AD dan tahun hadapan adalah 2008AD, sedangkan bagi tahun sebelum Masihi pula, sekiranya sekarang ini adalah tahun 100BC maka tahun sebelumnya adalah 101BC dan tahun hadapannya pula adalah 99BC. Secara umumnya, perkataan purba di sini bermaksud zaman sebelum kedatangan Nabi Isa.

Akibat daripada pendedahan kepada pembacaan serta kajian berterusan yang menyumbang kepada pengumpulan maklumat-maklumat baru, sejarah sentiasa ditulis semula berulang kali terutamanya mengambil kira daripada perspektif yang berbeza. Contohnya peristiwa perang dunia pertama dan kedua masih lagi ditulis sehingga hari ini. Bahkan catatan Kisah hidup Nabi Muhammad pun masih banyak lagi ditulis, diterbitkan dan dikemas kini bagi kefahaman pembaca.

Bagi lebih memahami konteks perbincangan utama dalam buku ini serta fakta berkaitan Raja Zulqarnain yang sebenarnya, kita perlu mengimbas kembali sejarah silam menurut turutan secara ringkas.Sepanjang sejarah manusia menghuni muka bumi ini, silih berganti raja-raja yang memerintah. Walau bagaimanapun yang sering disebut adalah empat raja yang hebat dan berjaya menakluki sebahagian besar muka bumi ini pada zaman mereka masing-masing. Namun tidak dinafikan terdapat juga raja-raja yang lain yang tidak kurang hebatnya. Namun, perbincangan ini difokuskan kepada empat raja utama yang menjadi bahan diskusi, perbualan dan pengajaran. Kisah mereka mungkin disampaikan dari mulut ke mulut di dalam budaya kita ataupun sedikit sebanyak diperbincangkan di institusi pendidikan sedia ada.

Dua daripada mereka di dapati beriman dan dua yang lain pula tidak beriman. Tidak asing lagi, dengan mengikut turutan berdasarkan zaman pemerintahan, empat raja itu adalah:
Raja Namrud – tidak beriman, dikenali dengan pembinaan Menara Babel dan dikaitkan dengan penentangannya kepada Nabi Ibrahim.

Raja (Nabi) Sulaiman – beriman, bahkan adalah seorang Nabi utusan Allah serta mewarisi kerajaan ayahnya iaitu Nabi Daud.

Raja Bukhtanasar – tidak beriman, menakluki kerajaan yang pernah dipimpin oleh Nabi Daud dan Sulaiman dan membawa orang-orang Yahudi ke Babylon sebagai hamba abdi.

Raja Zulqarnain – beriman, uniknya adalah raja-raja yang lain dipanggil dengan nama mereka masing-masing tetapi raja ini dengan gelarannya.


Ulasan:

Sebelum saya membaca buku ini, saya telah membaca beberapa pendapat mengenai bahawa Iskandar atau Alexender the Great itu bukan Zulqarnain yang diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Ini ditambahkan lagi dengan sejarah Alexender sendiri yang ditulis oleh orang-orang barat mengenai kehidupan peribadinya yang jauh menyimpang dari jalan ketuhanan. Oleh itu terlalu mustahil orang yang menyimpang jauh dari jalan ketuhanan ini merupakan Zulqarnain, nama yang Allah abadikan dalam al-Quran.

Saya amat tertarik untuk mendapatkan buku ini setelah menonton dokumentari mengenainya di Astro. Namun begitu, setelah saya memiliki buku tersebut terasa masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menjelaskan lagi siapakah sebenarnya Zulqarnain itu? Saya berharap selepas ini akan menyusul kajian-kajian yang boleh memberikan gambaran sebenar mengenai siapakah Zulqarnain tersebut.

Saya juga agak kurang berpuas hati mengenai gambar-gambar yang dimasukkan bersama dalam buku tersebut. Sepatutnya pihak pengarang atau penerbit memasukkan gambar-gambar yang jelas mengenai tempat-tempat tersebut dan bukannya menggabungkan gambar-gambar tersebut menjadi satu.

Walau apa pun, buku ini seharus dan sepatutnya dimiliki oleh semua orang yang inginkan penjelasan sebenar mengenai siapakah Zulqarnain?



Thursday, January 29, 2009

Novel: Makrifat Cinta


Sinopsis:

Setelah genap 3 tahun Iqbal Maulana meninggalkan Pondok Tegal Jadin, dia kemudiannya telah kembali ke pusat pengajian tersebut sebagaimana yang telah dijanjikannya dengan Kiai Sepoh sewaktu dia diarahkan untuk keluar dari pondok tersebut 3 tahun lalu.

Iqbal yang diiringi bersama kumpulan Ashabul Kahfi, penyanyi jalanan yang telah mendapat hidayah Allah s.w.t ditemani oleh Tuan Burhan, Puan Lela, makcik Jamilah, Fatiman, Firman dan Indri meninggalkan Banjarnegara demi memenuhi janji Iqbal serta menyatukan jiwa diatas nama cinta Tuhan.

Ketibaan Iqbal ke pondok Tegal Jadin bersama rombongannya telah memberikan kejutan kepada Kiai Subadar, Kiai Sepoh dan seluruh isi pondok tersebut. Namun Iqbal juga turut menerima kejutan apabila diberitahu oleh Ihsan bahawa Rakhmat menderita sakit yang tidak diketahui sebabnya semenjak Iqbal meninggalkan pondok tersebut 3 tahun yang lalu.

Ihsan memberitahu, Rahkmat menderita sakit akibat penyesalan terhadap perbuatannya kepada Iqbal 3 tahun dulu yang menyebabkan Iqbal diarah meninggalkan pusat pengajian tersebut. Iqbal turut bersedih melihat keadaan Rahkmat, seorang yang dihormati suatu ketika dahulu kini terlantar kurus dipembaringan. Namun begitu Rakhmat sempat mendengar sendiri perkataan maaf dari Iqbal sebagai membuktikan Iqbal telah memaafkannya. Rakhmat kemudiannya menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan Iqbal sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci dari Iqbal.

Bukan sekadar pemergian Rakhmat yang mendukacitakan Iqbal, namun wasiatnya supaya Iqbal menjaga A'isyah puteri Kiai Subadar juga turut membebankan fikirannya. Sebelum ini Kiai Sepoh telah menyarankan supaya Iqbal mengahwini tiga orang gadis serentak iaitu Zaenab, Priscilla dan Khaura. Wasiat Rakhmat itu menjadi salah satu penyebab pernikahan Iqbal dengan ketiga-tiga gadis itu tertangguh kerana mencari jalan penyelesaian terhadap wasiat tersebut. Sehinggalah perbincangannya dengan Irsyad, pemuda yang bertanggungjawab membimbingnya ke jalan mencari Tuhan yang telah lama ditinggalkannya. Bagi Irsyad, menjaga A'isyah sebagaimana wasiat Rahkmat tidak bererti menikahinya tapi ia juga membawa maksud menjaga imannya dan akhlaknya. Bagi Irsyad, mencari lelaki untuk menggantikan Rahkmat sebagai cinta hati A'isyah juga termasuk dalam menjaga A'isyah.

Setelah mendapat jawapan tersebut, perasaan Iqbal menjadi sedikit tenang kerana satu dari masalahnya telah selesai. Namun begitu, timbul masalah lain pula iaitu mengenai siapakah lelaki yang layak menggantikan Rahkmat di hati A'isyah. Tapi persoalan itu tidak lama menghantui fikirannya bila tiba-tiba dia teringatkan Ihsan, satu-satunya pemuda yang bersimpati dengannya dalam kejadian 3 tahun yang lalu. Baginya, Ihsan hampir-hampir menyamai sifat dan sikap yang ada pada Rahkmat dan dia memang layak untuk mendiami hati A'isyah.

Jiwa dan perasaan Iqbal terus menjadi nanar untuk membuat pilihan diantara ketiga-tiga gadis tersebut. Mestikah dia menikahi ketiga-tiga gadis itu serentak ataupun memilih salah seorang dari mereka itu? Sehinggalah dia menyerahkan urusan tersebut kepada Kiai Sepoh untuk memilih calon isteri dari kalangan ketiga-tiga gadis tersebut. Manakala Kiai Sepoh telah memberikan tempoh selama dua hari kepada Iqbal untuk mencari mahar bagi pernikahannya nanti.

Akhirnya setelah mendapat restu, Iqbal telah selamat dinikahkan dengan Fatimah Priscilla Zahra dengan mahar kahwinnya surah ar-Rahman bersaksikan semua pelajar Pondok Tegal Jadin.

Komen:

Saya amat tertarik dengan Catatan Penulis mengenai latar belakang kisah yang dimuatkan dalam novelnya. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, sekolah pondok sekarang ini kelihatannya sudah semakin lesu dan malap. Padahal suatu ketika dahulu sekolah pondoklah yang menghasilkan ramai ulama-ulama yang hebat. Namun sekarang ia hanyalah sebuah sejarah sekdar untuk dikenang. Sebagai bekas pelajar pondok, saya juga turut bersedih dengan keadaan ini.

Kisah trilogi Makrifat Cinta yang cukup menarik untuk bacaan semua terutamanya buat sesiapa yang ingin mengenali keindahan cinta dalam Islam. Melalui trilogi ini para pembaca bukan sahaja dapat melihat perbandingan antara cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan cinta Islami, bahkan para pembaca juga akan turut menyaksikan peristiwa-peristiwa dan persoalan-persoalan yang biasanya dialami oleh orang-orang yang mengembara mencari cinta Tuhan.

Syabas dan tahniah saya ucapkan buat saudara Taufiqurrahman kerana berjaya menyajikan trilogi yang hebat dan menarik. Sejak saya membaca novel Musafir Cinta, saya terus diburu rasa tidak sabar untuk membaca novel-novel seterusnya. Doa saya, semoga menyusul karya-karya yang hebat lagi dimasa akan datang.



Monday, January 5, 2009

Novel : Derap- Derap Tasbih

Fatih sebagai watak utama merupakan anak yatim dibawah asuhan dan jagaan Kiyai Sahal. Pak Kiyai ingin menjodohkan Fatih dengan anak gadisnya Wardah. Namun Fatih menolak lamaran tersebut kerana dia sudah menganggap Wardatul Mahmudah seperti adiknya sendiri. Tambahan pula Fatih percaya bahawa dia berhak untuk mengahwini orang yang dicintai.

Namun Wardah sepertinya tidak dapat menerima penolakan lamaran tersebut. Dia semakin jauh hati dari Fatih, tiada lagi berbual mesra dan gurau senda. Wardah cuba mengelak setiap kali bertemu dengan Fatih.

Ianya membawa perkenalan antara Wardah dengan Hendra, seorang pemandu pelancong di hutan Tawangmangu. Maka sejak pertemuan pertama itu, mereka berdua semakin rapat. Dia semakin lupa akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh anak seorang kiyai. Pergaulan dan pakaiannya sudah berubah sehingga kegadisannya turut tergadai dengan pujuk rayu Hendra itu.

Manakala Fatih yang merasa bertanggungjawab ke atas Wardah cuba menjejakinya kerana sudah banyak hari Wardah tidak pulang. Namun begitu, Fatih telah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta dalam hujan lebat sewaktu dua keluar mencari Wardah.

Bermula dari itulah, Fatih berkenalan dengan Dian Sasmita Wijaya, seorang doktor pelatih yang ditugaskan untuk menjaganya di Hospital Panti Husada. Dian yang mengenali Fatih sebagai novelis melalui iklan-iklan pelancaran novel 'Tasbih Micheal' yang terpampang mula meminati Fatih setelah membaca novel karyanya itu.

Dian makin mengambil berat tentang Fatih setelah dia mendapat tahu kereta yang melanggar Fatih itu adalah Honda Jazz miliknya yang diberi pinjam kepada Mila dan Shasa sahabat karibnya. Dian rasa cukup bersalah dan bertanggungjawab di atas kemalangan itu walaupun dia tidak terlibat secara langsung.

Sepanjang berada di hospital, Fatih tetap dibebani fikiran tentang Wardah yang masih belum ditemui. Pak Subhan dan ibu Zaenab serta teman-teman yang lain juga turut membantu Fatih mengesan dimana Wardah berada sehinggalah seseorang yang bernama Ibu Hartini menghubungi Fatih supaya datang menjemput Wardah di rumahnya di Surabaya.

Ketika itulah kisah hitam penuh kehinaan yang menyelubungi Wardah terpaksa ditutup rapi dari pengetahuan umum demi menjaga maruah Kiyai Sahal, Umi Badriyah, Darul Hikmah serta Wardah sendiri. Fatih terpaksa menanggung beban tersebut kerana janjinya dengan Wardah.

Namun begitu, Fatih terpaksa menceritakan perkara tersebut kepada Dian setelah Dian berjanji tidak akan mendedahkan kepada sesiapa. Ini kerana Fatih sudah tidak mampu untuk menanggungnya sendirian.

Dalam kekalutan jiwa ini, rahsia Wardah akhirnya terbongkar juga apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Doktor yang dipanggil Pak Kiyai kemudiannya mengesahkan bahawa Wardah mengandung. Demi menyelamatan maruah kiyai, wardah telah dihantar kerumah saudaranya sehingga melahirkan anak di sana. Ibu Zaenab sedih dengan keadaan begitu menyebabkan timbulnya sedikit perasaan iri hati terhadap Fatih kerana mendapat perhatian dan keistimewaan di sisi Kiyai.

Fatih kemudiannya telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang penulisan di luar negara telah mendapat restu Pak Kiyai. Malah Pak Kiyai juga turut merestui perhubungannya dengan Dian.

Setakat itu sahaja dapat saya tuliskan disini. Selebihnya anda bacalah sendiri baru tahu keadaan sebenarnya.




Tuesday, November 25, 2008

Cogito Allah Sum


Sinopsis :

Semakin berjibaku wacana-wacana filsafat, aku semakin meragukan Hakikat Keberadaan Allah. Hingga sempurnalah aku yang dulunya rajin ibadah kini enggan shalat, puasa, ngaji, suka maksiat, jago dugem, dan sebagainya.
“Got ist tot...” ala Nietzsche yang memfatwakan bahwa Tuhan telah mati sebagai langkah final untuk menuju kedudukan “Manusia Super” hingga “Cogito ergo sum...” ala Rene Descartes yang menegasi Tuhan di bawah kuasa logika manusia merupakan wacana-wacana ilmiah dan filosofis yang senantiasa kupuja.
Kemana-mana aku memproklamasikan bahwa Allah sama-sekali tidak ada. “Allah adalah kesia-siaan...!” pekikku. Tetapi, ada apa ini...? Apa sesungguhnya yang tengah menguasi hatiku? Mengapa justru pada detik yang sama, di lubuk hatiku ini, selalu menyeruak kegelisahan dan keraguan atas pemikiranku sendiri? Kian lama jiwaku terasa semakin menegaskan betapa semakin hari aku justru semakin tak bahagia.
Hatiku semakin kerontang. Hidupku semakin tak menemukan makna. Inikah kesejatian diriku sebagai manusia?! Rupanya, semakin aku memikirkan hakikat Allah, Allah justru semakin Ada. Allah tak terbantahkan oleh nalar filsafat dan logika apa pun, yang selama ini kuanut. Allah seolah telah memfitrah di dalam hati setiap manusia, dirasakan, tak terlogikakan, menghadirkan pendar-pendar ketentraman jiwa yang sangat bening. “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk-Mu…” bisikku dalam derai airmata.

Rayyan sebagai watak utama merupakan seorang mahasiswa sebuah universiti. Kehidupannya begitu sosial setelah dia mendakwa hidupnya tidak memerlukan Tuhan. Manakala agama itu hanyalah ciptaan manusia. Baginya ibadah itu hanyalah sia-sia sahaja kerana Tuhan itu tidak wujud bahkan ia hanyalah kepura-puraan semata-mata.

Perkenalannya dengan Ain Nadia sewaktu menjadi penalis forum kesedaran, memberikan 'kesedaran' kepada kelompok manusia bahawa Tuhan itu tidak wujud, ibadah itu adalah sia-sia dan agama itu hanyalah ciptaan manusia semata-mata. Perkenalan itu telah membuatkan hubungan Rayyan dan Ain Nadia menjadi rapat namun Ain Nadia tidak dapat membaca perasaan Rayyan menyebabkan dia jatuh hati kepada kawan rapat Rayyan sendiri, Haikal.

Berlaku pergaduhan antara Rayyan dan Haikal apabila mereka tahu masing-masing cuba merebut cinta Ain Nadia. Campur tangan jiran-jiran Ain Nadia yang turut memukul Rayyan menyebabkan dia terlantar dihospital. Sepanjang waktu tersebut, Ain Nadia yang menjaganya di hospital. Di situlah Rayyan memohon Ain Nadia agar dia menjadi kekasihnya walaupun hanya sekadar dua minggu. Namun setelah dia sedar bahawa sahabatnya Haikal itu menghidapi sakit jantung, dia menyerahkan Ain Nadia kepangkuan Haikal.

Oleh kerana mengalami tekanan, kemudian berlakunya pergaduhan antara Rayyan dan seorang pemuda di pasar malam akibat sedikit salah faham. Orang-orang di pasar malam telah mengejar Rayyan lalu berlaku kemalangan. Rayyan telah dilanggar oleh sebuah kereta menyebabkan dia terlantar tidak sedarkan diri.

Selama tidak sedarkan diri itu, Rayyan telah mengalami kembara rohani di padang pasir sahara tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman. Di sana dia teleh menemui seorang pemuda yang menunjukkan bukti wujudnya Tuhan sebagai tempat pergantungan.

Setelah sedar, dia telah berkenalan dengan Abdul Rahim, seorang pensyarah Universiti Islam Negeri iaitu orang yang telah melanggarnya pada malam tersebut. Ketulusan pakcik Rahim yang menganggap Rayyan seperti anak lelakinya sendiri menyebabkan Rayyan semakin rapat dengan keluarga itu. Tambahan pula kehadiran Aini, anak pakcik Rahim yang mempamirkan sifat muslimah telah menggoyahkan kerasionalan pemikiran Rayyan.

Perkenalan itu bukan sahaja membuatkan Rayyan makin rapat dengan keluarga pakcik Rahim bahkan terbit perasaan yang istimewa terhadap Aini. Padahal ketika itu Aini merupakan tunangan Ihsan. Rayyan cuba menjauhkan diri dari keluarga itu dan sehingga suatu ketika, dia menceritakan perkara tersebut kepada pakcik Rahim.

Jiwa Rayyan jadi begitu gersang, namun tidak tahu kepada siapa dia patut meminta tolong. Tercetus perdebatan jiwanya mengenai kejadian alam ini dan tidak ditemui jawapannya. Dia cuba menyelesaikannya dengan meminum minuman keras sehingga mabuk. Dalam keadaan mabuk, dia telah tersesat ke dalam sebuah masjid. Di situlah dia berdialog dengan 'Tuhan' mengenai nasibnya sebelum dia diseret oleh sekumpulan pemuda kerana telah mencemarkan kesucian masjid sebagai rumah Tuhan.

Dalam kesakitan akibat dipukul oleh sekumpulan pemuda yang mengheretnya keliling kampung akibat perbuatannya mencemari kemuliaan masjid, Rayyan menemui Pak Haji Misbah. Pak Haji telah menunjukkan semula jalan kepadanya untuk mencari kembali 'Tuhan' yang pernah dipercayainya suatu ketika dahulu.

Di bawah asuhan Pak Haji dan bantuan ustaz Zamri, segala pemikiran rasional Rayyan mengenai Tuhan itu tidak wujud lebur sama sekali. Dia menemui ketenangan yang dicarinya tatkala bertakbir bersama Pak Haji sekeluarga. Tatkala itulah dia melafazkan kata-kata rindu buat Sang Pencipta Yang Maha Agung.

Tatkala itulah dia diserahkan Surat Cinta Daripada Tuhan oleh Pak Haji. Dia menemui kata-kata cinta yang indah dapat menyejukkan jiwa. Rayyan telah mendapat kemanisan cinta Tuhan kembali sehinggalah dia menyertai dialog konsep ketuhanan dengan Syafiq, rakan sefahamannya dahulu. Di situ dia telah mempertaruhkan keimanannya kepada Allah demi mencari jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan Syafiq. Jika dia berjaya menjawabnya, Syafiq akan menyertainya dalam mempercayai Tuhan. Tapi jika dia gagal mendapat jawapannya, dia terpaksa meninggalkan 'Tuhan' yang ditemuinya.

Dalam mencari jawapan tersebut barulah Rayyan tahu bahawa Haji Misbah itu adalah rakan perseguruan ayahnya, Haji Mustafa sewaktu menuntut di Pondok Pasir Tumboh dibawah asuhan Syeikh Jamaluddin. Dan rupa-rupanya jawapan terhadap persoalan yang diutarakan Syafiq itu ada bersama ayahnya.

Tatkala dia mendapat jawapan daripada ayahnya itu, maka bermulalah langkah pertamanya dalam mengharungi dakwah untuk menyedarkan rakan-rakan dalam forum kesedaran, golongan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Komen:

Sebuah novel yang mempersembahkan persoalan ketuhanan kepada para pembaca. Sarat dengan falsafah dan pertembungan antara golongan yang beriman kepada Allah dengan golongan forum kesedaran yang menyebarkan fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Sebuah karya yang amat menarik namun perlukan sedikit perhatian dari pembaca untuk memahami persoalan yang ditimbulkan watak-watak dalam Novel ini. Cuma pengarang novel ini sepatutnya mendedahkan jawapan-jawapan Ustaz Zamri terhadap persoalan-persoalan mengenai kewujudan Tuhan yang dikemukakan Rayyan sehingga dia kembali menemui jalan petunjuk. Bagi saya jawapan tersebut amat penting untuk dijadikan pegangan kepada para pembaca agar pembaca bukan sahaja dapat menikmati plot-plot dalam novel tersebut,bahkan pembaca juga dapat memperolehi ilmu yang amat bernilai darinya.

Tahniah buat pengarang dan moga dapat menghasilkan karya yang lebih baik lagi.



Sunday, November 23, 2008

Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha


Sinopsis:


"Saya takut menjadi musyrik. Saya takut menyekutukan Cinta saya kepada Allah karena cinta saya kepada Yusuf. Saya rindu untuk bisa dibelai Allah, tetapi hati saya dipenuhi pula kerinduan kepada Yusuf. Apakah saya sudah menjadi manusia musyrik, ya Ustadz? Tolonglah saya! Demi Allah, saya tidak kuasa untuk memilih satu dari cinta dan kerinduan ini. Rindu saya untuk menggapai Wajah Allah seiring rindu saya menggapai wajah Yusuf?."

Rintihan Zulaikha merobek-robek angkasa malam. Cinta dan kerinduannya kepada Yusuf demikian mendalam. Inilah kitab cinta sang wanita muslimah kepada Yusuf? Seorang pemuda Muslim yang diberkati wajah yang bercahaya. Akankah takdir Yang Maha Kuasa membimbingnya menyatukan jiwanya dengan jiwa Yusuf, sekalipun jalan cinta yang harus dilalui oleh sepasang insan ini demikian berliku? Cinta, keimanan, kerinduan, keindahan, mengamuk bersama nyala api kecemburuan, iri, kebencian, kekecewaan, kepedihan, nafsu dan amarah. Sangat mendera iman?

Inilah novel spiritual cinta dan iman berasaskan kisah al-Qur'an yang telah dieksplorasi ke dalam beragam karakter hidup, pengalaman dan perilaku umat kontemporari. Sebuah inspirasi hidup bagi kaum muslimin/muslimat dalam menjalin ibadah, cinta dan obsesi hidupnya. Sebuah mahakarya novelis Muslim terkemuka saat ini, Taufiqurrahman al-Azizy, yang telah berhasil membangkitkan ranah sastra religius Indonesia melalui Trilogi Makrifat Cinta (Syahadat Cinta, Musafir Cinta dan Makrifat Cinta).

Kisah bermula dengan kehadiran tujuh orang mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat kajian di Kampung Telagasari. Kumpulan tersebut terdiri dari Rindu,Dewi, Intan, Zulaikha, Dicky, Doni dan Rangga. Di sana mereka telah bertemu dengan dua orang sahabat yang cukup akrab Umar dan Yusuf. Umar merupakan seorang mahasiswa sebuah universiti di kota manakala Yusuf hanyalah seorang pemuda yang mengabdikan diri pada kampung sahaja oleh kerana dihimpit kemiskinan.

Cinta Zulaikha terhadap Yusuf dinyatakan melalui surat-surat Zulaikha yang dikirimkan kepada Yusuf sekembalinya ke kota. Namun Yusuf dengan berhati-hati membalas surat tersebut agar tidak memberikan pengharapan mahupun tidak melukakan hati Zulaikha.

Namun begitu tanpa disedari, Atikah teman sekampung serta jiran Yusuf turut mencintainya secara senyap-senyap. Perkara ini menjadi buah mulut orang kampung mengenai dua gadis yang mendambakan cinta Yusuf. Ianya membuatkan Yusuf dan ayahnya Ya'kub menjadi serba salah. Apatah lagi Atikah dan ibunya menggunakan pelbagai cara untuk menawan hati Yusuf. Maka timbulah fitnah yang diada-adakan oleh ibu Atikah terhadap Yusuf yang menyebabkan dia membawa diri jauh ke kota demi mengelak berlakunya fitnah yang lebih buruk.

Manakala Zulaikha pula oleh kerana kerinduan cintanya kepada Yusuf, telah mengambil keputusan untuk pergi menemui Yusuf di desa Telagasari. Namun, ternyata kedatangannya itu agak terlewat kerana Yusuf telah pun membawa dirinya ke kota. Maka Zalaikha nekad untuk tinggal di desa itu demi menjaga Ya'kub, ayah Yusuf walaupun ditolak orang tua itu. Zulaikha tinggal bersama Atikah dan ibunya tanpa mengetahui bahawa Atikah dan ibunya telah merancang untuk menghancurkan cinta Zulaikha dan Yusuf dengan memasukkan Umar, sahabat baik Yusuf sendiri sebagai orang ketiga. Maka oleh kerana kesunyian tanpa Yusuf, cinta Zulaikha telah beralih arah kepada Umar.

Di kota, Yusuf bekerja sebagai tukang pengilap kasut disebuah Masjid. Dia juga turut mendapat kepercayaan tuan imam untuk bertugas secara sambilan sebagai muazzin dan penceramah. Disitulah yang membawa kepada pertemuan dengan Ahsin Wijaya, ayah Zulaikah tanpa pengetahuannya. Pak Ahsin begitu tertarik dengan akhlak Yusuf sehinggakan dia menawarkan Yusuf untuk bekerja dirumahnya sebagai tukang kebun. Pak Ahsin telah menguji keikhlasan dan amanah Yusuf dengan beberapa kejadian, namun ternyata Yusuf adalah kuat imannya.

Di desa Telagasari, penduduk heboh memperkatakan bahawa Zulaikha dan Umar akan berkahwin. Ramai penduduk yang mengutuk serta membenci Zulaikha dan Umar. Bagi mereka, Zulaikha merupakan seorang yang munafik dalam cintanya terhadap Yusuf. Manakala Umar pula merupakan penjahat yang sanggup menikam sahabatnya sendiri Yusuf dengan merampas cinta Zulaikha.

Tapi segala-galanya terbongkar pada hari pertunangan antara Umar dan Zulaikha. Bersaksikan semua hadirin termasuk Yusuf dan ayahnya, Umar mendedahkan bahawa Umar sengaja berbuat demikian seolah-olah mencintai dan akan mengahwini Zulaikha demi keselamatan Zulaikha sendiri. Umar tahu perancangan jahat Atikah dan ibunya, lalu berpura-pura mencintai Zulaikha agar Zulaikha terselamat dari perancangan yang lebih jahat lagi. Umar memberitahu dia sekali-kali tidak akan tergamak untuk menghancurkan cinta sahabatnya sendiri. Lalu menyerahkan Zulaikha kepangkuan Yusuf dengan selamatnya.



Komen:


Pada mulanya perjalanan cerita ini agak hambar dan sedikit membosankan. Namun bermula dengan peristiwa Zulaikha memaki dan mencaci Yusuf dirumahnya dan dihadapan Ya'kub sendiri, cerita ini semakin sarat dengan plot-plot yang menarik. Ia mempersembahkan sebuah cinta yang indah berlandaskan syariat. Di sana turut menguji kesetiaan seorang sahabat bernama Umar. Novel yang cukup menarik untuk dibaca oleh semua orang terutamanya muda-mudi yang sedang mencari cinta.

Tahniah buat Taufiqurrahman kerana telah berhasil mempersembahkan karya yang menarik. Saya doakan beliau agar terus dapat menghasilkan karya-karya Islami yang lebih menarik lagi!!

Sunday, November 9, 2008

Kalam Cinta Daripada Tuhan


Kalam Cinta daripada Tuhan merupakan suatu kisah yang gambarannya menyentuh kalbu, dan berkisar pada perkara yang berlaku pada masa ini. Buku ini mengisahkan tentang kehidupan mahasiswa-mahasiswa di Universiti Islam Negeri (UIN), Indonesia.

Kisah cinta yang melanda para mahasiswa tanpa terjebak dalam nafsu dan syahwat haiwani, tetapi berorientasikan makna cinta dan kehidupan. Kisah cinta dihuraikan dalam perilaku-perilaku yang bermoral, memanfaatkan cinta sebagai semangat hidup untuk terus berjuang dan berkarya, dan mengaplikasikan kesejatian cinta. Masalah yang melanda tokoh utamanya, Jony, biasa terjadi kepada kebanyakan pelajar. Masalah cinta dan jati diri, masalah biasiswa dan wang kiriman, masalah masa hadapan, dan sebagainya.

Gambaran tentang keadaan sekililing, rumah sewa yang padat dengan penyewa dan keakraban para penghuninya sungguh realistik. Juga gurauan, ungkapan, dan amalan para pelajar di rumah sewa. Latar belakang cerita UIN Ciputat juga sangat jelas dan mudah difahami, seolah-olah hasil suatu penelitian yang serius atau yang diambil daripada pengalaman langsung. Bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga segi sejarah dan falsafahnya. Daripada semua itu, yang paling menyenangkan adalah rujukan-rujukannya, cukup terperinci dan argumentatif.

Semangat tauhid juga sangat kental dalam novel ini. Diceritakan dengan cara yang memukaukan dalam bingkai kisah pergolakan batin seorang insan. Mengurai sesuatu berlandaskan agama Islam dengan cara yang mudah dan sederhana, dan memotivasi diri setiap pembaca. Menggerimiskan kalbu dan menghidupkan akal.

Kisah yang berkisar dikalangan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta. Watak utamanya Alim Murtadhany atau lebih dikenali dengan panggilan Jony dikalangan teman-teman yang merupakan palajar Jurusan Pendidikan Fakulti Tarbiyah yang mendepani liku-liku hidup sebagai seorang mahasiswa. Dia juga terpaksa menghadapi hambatan cinta dari Revy Lestari, Betty dan Puan Rita.

Pelbagai alasan yang diberikan Jony kepada mereka agar terlepas dari belenggu cinta terutama tanggungjawab terhadap keluarganya yang miskin. Memikirkan tentang Ali dan Haidhar menambahkan lagi bebanan fikiran Jony. Dia terpaksa mengambil upah sebagai penaip tesis secara sambilan untuk menampung perbelanjaan harian di kampus kerana tidak mahu membebankan bapanya yang bekerja sebagai pencari besi buruk dan bahan lusuh.

Revy yang ingin dijodohkan oleh orang tuanya dengan lain telah memberontak kerana dia hanya mencintai Jony. Manakala bapa Revy, Dany pula secara tidak sengaja telah meminta pertolongan ayah Jony, Sana untuk mengatasi masalah Revy. Sana merupakan senior kepada Dany sewaktu belajar dulu telah memberikan nasihat yang berguna kepada Dany menyebabkan Dany telah menawarkan Revy sebagai menantu Sana. Kedua-dua mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa anak-anak mereka, Jony dan Revy saling mencintai satu sama lain. Sana berkeras menolak rancangan itu kerana pada pandangannya Jony dan Revy tidak sekufu. Revy anak Dany adalah dari keluarga orang kaya manakala Jony pula hanyalah sekadar anak seorang pencari bahan lusuh dan besi buruk sahaja.

Akhirnya kedua-dua mereka telah dipertemukan secara tidak sengaja dirumah Dany sewaktu meraikan kesyukuran Jony di hari konvokesyennya. Di situlah mereka mendapat restu kedua-dua keluarga.


Komen:

Pada permulaan ceritanya agak hambar sedikit kerana ianya menggambarkan sesuatu tempat dengan terperinci sekali dan ianya sedikit membosankan.

Dalam perjalanan cerita tersebut, timbul beberapa persoalan. Pertamanya Jony sebagai mahasiswa Fakulti Tarbiyah tidak seharusnya membenarkan kawan-kawan wanitanya yang bukan muhrim tidur dibiliknya. Walaupun Jony tidak melakukan apa-apa dengan mereka, namun berdua-duaan begitu adalah salah di sisi Islam.

Keduanya, sebagai mahasiswa fakulti tarbiyah Universiti Islam Negeri, seharus dan sepatutnya menjadikan ulama-ulama Islam sebagai contoh sebagai panduan hidup. Bukannya menjadikan Da Vinci sebagai ikutan dan idola.

Penulis novel ini cuba untuk mempersembahkan sebuah kisah cinta yang berlatar belakang Islam, namun ianya masih belum mencapai matlamat. Novel ini masih belum dapat menandingi novel-novel karya Habiburrahman el-Shirazy mahupun Taufiqurrahman al-Azizy.


Wednesday, October 8, 2008

Sultan Muhammad al-Fateh: Penakluk Konstantinopel

Sinopsis:-

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:-
" Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan dibawah arahannya adalah sebaik-baik pasukan."
Hadis riwayat Imam Ahmad

Dalam satu hadis lain, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:-
" Kota Konstantinopal hanya jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyatnya yang baik."

Hadis nabi tersebut telah disabdakan hampir 800 tahun sebelum Kota Konstatinopal dapat ditawan oleh tentera Islam. Sebelum itu, kota tersebut telah cuba ditawan oleh Saidina Ali k.r.w pada tahun 34 hijrah. Kemudiannya cuba ditawan oleh Muawiyah bin Abu Sufian pada tahun 84 hijrah. Kemudiannya cuba ditawan oleh Sultan Sulaiman pada tahun 91 hijrah. Kemudian pada tahun 165 hijrah, Khalifah Harun al-Rasyid cuba menawan koa tersebut. Diikuti oleh cubaan yang dibuat oleh Sultan Beyazid untuk menawan kota tersebut pada tahun 1391, 1397 dan 1400. Namun semua percubaan tersebut menemui kegagalan.

Pada 20 Jamadil Awal tahun 857 hijrah bersamaan 29 Mei 1435, Kota Konstantinopal telah berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fateh yang ketika itu berusia 21 tahun.

Sikap Sultan Muhammad terhadap rakyat serta tawanan perang telah membuatkan Zaqhanus, seorang paderi Kristian bermazhab Ortodoks memeluk Islam seterusnya menjadi Panglima Angkatan Laut Usmaniah ketika menawan kota tersebut. Kemudian Urban, seorang lelaki Yunani yang telah diselamatkan oleh tentera Islam daripada terus diseksa oleh Maharaja Konstantine Paleologus kerana enggan membuat meriam. Lalu Urban memeluk Islam dan telah membuatkan meriam untuk kegunaan tentera Turki bagi menawan Kota Konstantinopal.

Tidak pernah ada dalam sejarah kententeraan dunia sehingga sekarang armada angkatan laut sebanyak 70 buah kapal merentasi daratan berbukit pada waktu malam dan berada betul-betul dihadapan Kota Konstantinopel menjelang subuh. Ianya membuktikan kehebatan serta pertolongan yang Allah berikan kepada Sultan Muhammad al-Fateh sebagai seorang pemerintah yang baik dan adil.

Pelbagai halangan dan dugaan yang dihadapi oleh Sultan Muhammad al-Fateh dalam usahanya untuk menawan Kota Konstantinopal termasuklah musuh dalam selimut serta habuan keduniaan yang ditawarkan musuh.

Komen:-

Novel sejarah ini seharusnya dibaca dan dimiliki oleh setiap Muslim terutamanya mereka yang terlibat dalam gerakan Islam kerana banyak pengajaran serta tauladan yang boleh diambil.

Persiapan untuk mencapai kemenangan serta syarat untuk mendapatkan pertolongan Allah bukan sahaja terletak pada persediaan fizikal tetapi kita juga memerlukan persediaan rohani.

Saya sarankan para pemuda semua untuk membaca novel ini dan saya telah menamatkan pembacaannya pada 07/10/2008 jam 1.46 pagi.

Wednesday, September 24, 2008

Musafir Cinta


Sinopsis:

Kesinambungan daripada novel Syahadat Cinta. Kisah Iqbal yang masih mencari diri dan akhirnya di sebuah tempat, di dalam sebuah rumah mewah, iman Iqbal yang baru menyubur kembali dicabar oleh Firman dan teman-temannya. Namun dibalik semua itu tersembunyi suatu rahsia daripada Ilahi, lalu mampukah Iqbal menahan cabaran ataupun menyahutnya dan mampukah dia membongkar rahsia dibalik kejadian itu.

Setelah meninggalkan pondok Tegal Jadin, Iqbal Maulana telah mengembara tanpa arah tujuan dalam perjalanannya mencari cinta. Sehingga dia sampai ke Kota Banjarnegara dan bertemu dengan sekumpulan penyanyi jalanan yang hidup dengan penuh kemaksiatan dan kemungkaran. Di sanalah dia bertemu dengan Firman Ardiansyah, Surya Permana, Parno Atmojo, Patmo Prastowo, Indri Rahmaningtyas, Oktaniani, Tuan Burhan dan Puan Laela.

Iqbal yang pada mulanya menanggung amanah Tuan Burhan dan Puan Laela untuk membawa Firman, satu-satunya anak lelaki mereka kembali kejalan yang benar telah terseret sama dalam kekeliruan persoalan ketuhanan yang dikemukakan Firman. Sehinggakan Iqbal terkapai-kapai mencari jawapan terhadap soalan tersebut menyebabkan dia mempersoalkan qada' dan qadar tuhan.

Namun kecelaruan tersebut tidak lama tatkala hatinya kembali sirna. Berlakunya beberapa kejadian yang menyebabkan sahabat-sahabatnya yang sebelum ini bergelumang dalam noda, dosa dan kemaksiatan mendapat hidayah dari Allah. Maka tatkala itu tertubuhlah kumpulan Ashabul Kahfi.

Lalu rumah Tuan Burhan yang menjadi tempat pesta Firman dan teman-temannya sebelum ini telah bertukar menjadi taman yang indah dihiasi dengan alunan zikir dan ayat-ayat Tuhan. Maka berduyun-duyunlah orang datang untuk menemui Iqbal Maulana bagi mengenali seorang lelaki yang telah mengubah ramai pemuda jalanan menjadi pemuda yang menjejaki jalan Tuhan.

Ulasan:

Pada permulaan novel ini agak perlahan dan sedikit membosankan. Namun ceritanya semakin menarik setelah Iqbal sampai di Kota Banjarnegara. Novel ini kurang adengan aksi jika hendak dibandingkan dengan novel Syahadat Cinta. Namun ianya sarat dengan persoalan ketuhanan. Nasihat saya kepada pembaca yang lain agar membacanya sampai kepenghujung cerita dan berhati-hati apabila memikirkan jawapan yang diajukan oleh Firman kepada Iqbal. Pada pendapat saya, penulis novel ini perlu membuat satu bab yang mana Iqbal mendapat jawapan terhadap persoalan ketuhanan yang dikemukakan Firman.

Walau bagaimanapun, keseluruhan novel ini cukup bagus untuk dibaca dan dimilik. Saya tidak sabar untuk menantikan kehadiran novel terakhir daripada trilogi ini iaitu Makrifat Cinta.




Monday, September 22, 2008

al-Ghayah Fi al-Qiraati al-A'syr

Semalam saya ada singgah di kedai menjual buku dan kitab-kitab terbesar
di Kelantan, iaitu Syarikat Jaafar Rawas. Semasa saya melihat kitab-kitab, saya terpandang sebuah kitab yang agak menarik iaitu kitab al-Ghayah Fi al-Qiraati al-A'syr karangan al-Hafiz Abi Bakar bin al-Hussin bin Mahran al-Asbahani an-Naisaburi yang menjelaskan mengenai ilmu qiraat al-Quran.

Ilmu qiraat ini amat penting bagi kita orang Muslim yang selalu membaca al-Quran dan merupakan ilmu kedua terpenting dalam ilmu al-Quran selepas ilmu tajwid. Banyak ilmu yang boleh didapati daripada kitab ini terutamanya jumlah qiraat yang mutawatir serta sanad-sanadnya yang sahih.
Jadi saya cadangkan kepada anda semua terutamanya yang memahami bahasa arab supaya mendapatkan kitab ini sebagai salah satu sumber ilmu pengetahuan dalam bidang qiraat.

Tuesday, August 26, 2008

Hijab Sang Pencinta



Sinopsis:

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya.
Watak utama Saifudin atau lebih dikenali dengan Laksamana Sunan yang berusaha untuk menentang Taghut dan pengikutnya Manusia Serigala (Manggala) daripada terus menyesatkan umat manusia. Selepas berjaya menewaskan Maharani, pemerintah kejam dan pengikut Taghut yang memerinta Kerajaan Pulau Utara nama Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu terus meniti bibir.

Perjalanan hidupnya yang penuh dengan dugaan, namun dia tetap bersabar. Bukan sahaja syaitan yang ditentangnya, namun manusia yang berperangai syaitan juga turut diperangi. Walaupun begitu, kisah perkahwinannya dengan Ratna Sang Ratu dan kematian ibunya menambahkan lagi dukanya sehinggakan dia telah ditidurkan Allah dalam sebuah gua apabila dikejar oleh pahlawan Sultan Melaka seperti kisah Ashabul Kahfi.

Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu kemudian dibangunkan Allah Taala dikurun 21 yang membuatkannya bertemu semula dengan Haryani. Kedatangannya itu telah ditakdirkan untuk menamatkan baka awal Manggala yang telah dicampakkan kedalam kawah gunung berapa di Pulau Anak Krakatoa.

Penamatnya, Haryati telah menyampaikan hasratnya kepada Laksamana Sunan untuk menjadi suri hidupnya. Namun hajatnya itu tidak kesampaian apabila Laksamana Sunan ditembak oleh Hamid, seorang pengikut Taghut sewaktu hendak lafazkan ijab qabul perkahwinan.

Komen:

Ramlee Awang Murshid adalah seorang penulis hebat yang amat saya minati. Beliau benar-benar menjiwai watak dalam penulisan beliau. Cerita yang digarapkan bukanlah sekadar cerita kosong semata-mata, namun ianya adalah hasil rujukan beliau kepada beberapa sumber. Terutamanya mengenai ayat-ayat al-Quran yang digunakan Laksamana Sunan sewaktu menentang syaitan.

Semoga Ramlee Awang Murshid terus menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menarik bahkan dapat memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada pembaca. Tahniah!!!

Wednesday, July 30, 2008

Novel Takluk Jagat

Sinopsis:

Watak utamanya Bayu Adi Jata selaku waris mutlak sebilah keris keramat yang ditempa khas oleh kaum buniah bernama Takluk Jagat. Pemburuan Bayu bagi mencari pencuri Takluk Jagat yang turut membunuh datuknya telah ditemani oleh seorang puteri bunian yang bernama Ariasha Cinta Castra serta seorang pendekar waris terakhir Rumah Helang Tunggal, Zilastra Dunia Kencana.

Senjata keramat yang dimiliki mempengaruhinya. Hati yang baik dan pemurah telah dikelabui dendam. Pada saat itu kekuatannya meningkat berkali-kali ganda. Anak matanya berubah daripada hitam kepada kelabu. Dia bersumpah akan menghapuskan sesiapa sahaja yang dambakan Takluk Jagat, termasuk keluarganya sekali, demi melindungi kaum Bunian. Dan pemimpin kaum Bunian turut bersumpah akan sedaya upaya menunaikan apa sahaja permintaannya.

Sang Penunggu, Pengawal dan Penghalang Kebangkitan yang baru ditabalkan itu masih belum berpuas hati. Dihulurkan tangan kirinya dan dengan segera Indera Bumi berubah bentuk. Ukiran-ukirannya menjalar membentuk zirah di tangan kirinya. Namun, ia tidak berhenti di situ. Ukiran-ukiran itu terus menjalar sehingga meliputi bahagian hadapan dan belakang dadanya, sehingga kelihatan seperti sebahagian baju zirah yang berkilauan.Di medan tempur, angkatan Sedinggi dan Dasyuria bekerjasama. Melupakan segala sengketa lama. Mereka dibantu kaum Bunian dan Pemusnah Jiwa. bersabung nyawa menentang Sigorong di Wilayah Dakawa.

Tanah Ini (semesta Takluk Jagat, seperti Middle-earth dalam LOTR) didiami oleh tiga kaum utama: Manusia, Bunian dan Sigorong. Bunian, sebagaimana yang kita tahu, adalah kaum yang tinggal di dimensi lain di dalam hutan, orang-orangnya cantik dan kacak, serta tinggal di istana. Walaupun wujud dalam mitologi Melayu, ciri-ciri Bunian ini, sedikit sebanyak sama dengan karakteristik kaum Elves dalam mitologi Barat. Segala mitos berkaitan Bunian, seperti kerjanya menyesatkan orang di hutan, dan menggunakan burung sebagai pemantau, dimuatkan dalam novel ini. Manakala Sigorong, dalam Takluk Jagat, adalah makhluk hitam (bukan sekadar warna, malah sifatnya) yang masuk ke dalam tubuh manusia yang mengamalkan ilmu pendamping. Apabila seekor Sigorong bergabung dengan seorang manusia, kekuatannya menjadi berkali-kali ganda lebih kuat daripada manusia biasa.Selain makhluk-makhluk mitos, elemen biasa dalam novel fantasi adalah elemen senjata dan magik (sword & sorcery). Jika LOTR menampilkan senjata-senjata barat seperti pedang dan panah, Takluk Jagat pula menonjolkan senjata-senjata Melayu seperti keris dan lembing. Judul siri ini sendiri adalah nama sebilah keris sakti yang menjadi buruan pelbagai pihak. Dan sekiranya LOTR menonjolkan magik ala-barat oleh wizard seperti Gandalf dan Saruman, Takluk Jagat pula mengetengahkan magik-magik Melayu seperti ilmu pendamping, dan jurus-jurus ilmu batin.Bagi membolehkan jurus-jurus ilmu batin itu berfungsi, pengamalnya perlu membaca mantera tertentu.

Dalam Takluk Jagat, mantera-mantera ini ditulis dalam bentuk pantun enam kerat, yang menambahkan keindahan novel fantasi Melayu ini.Pada asalnya, buku 1 dan 2 dalam siri ini adalah buku pertama dalam trilogi Takluk Jagat. Judul asalnya Bisikan Indera Bumi. Tetapi kerana ia agak tebal (hampir 800 muka surat!), ia diterbitkan sebagai dua buku. Bisikan Indera Bumi kini dipecahkan menjadi Bisikan Ariasha dan Amukan Indera Bumi. Barangkali, dari sebuah trilogi, siri ini akan bertukar menjadi enam buku.Kisahnya berkisar di Tanah Ini. Ia meliputi wilayah Dasyuria, Sedinggi, dan Dakawa yang didiami Manusia, serta wilayah Dilasri dan Kaswana yang didiami Bunian. Sigorong pula datang dari wilayah Sugalimba. Buku 1 (Bisikan Ariasha) lebih kepada personal quest sang hero memburu pembunuh datuk, yang turut mencuri keris pusakanya. Dalam kembaranya, dia berjumpa Zilastra, dan puteri Bunian (Ariasha) yang turut menyertai misinya. Buku 2 (Amukan Indera Bumi) pula tentang peperangan terbesar di Tanah Ini antara angkatan Dasyuria dan Sedinggi yang dibantu tentera Bunian, menentang angkatan Dakawa yang dibantu bala tentera Sigorong. Kedua-dua buku mengandungi peta Tanah Ini bagi memudahkan pembaca membayangkan laluan kembara watak-wataknya.

Novel ini banyak twist dan sub-plot. Sepanjang kembara heronya, satu demi satu watak baru diperkenalkan, dan di hujung cerita, pembaca pasti terkesima dengan love-hate relationship antara watak-watak itu!
Komen:
Saya cukup takjub dengan penulis novel ini yang mampu mempersembahkan satu novel persilatan. Gaya bahasa dahulu kala yang mudah difahami serta turut mempunyai unsur-unsur humor, sedih, tragis dan dramati. Saya amat meminati kedua-dua novel ini dan saya sarankan kepada anda semua supaya turut membacanya. Saya pasti, anda tidak akan kecewa.

Sunday, July 13, 2008

Novel Kasidah-Kasidah Cinta

Gadis itu wajahnya seperti seribu bulan, si jejaka pula seperti seribu langit. Kedua-duanya anak ketua desa yang dikagumi. Namun kerana desa mereka seperti langit dan bumi, mereka terpisah. Si gadis datangnya dari desa yang bercahaya amalan agamanya berbanding si jejaka dari desa yang gelap pekertinya. Namun irama kasidah-kasidah cinta tetap beralun merdu. Saat si gadis rupawan cuba membimbing dan si jejaka cuba kembali ke jalan yang benar, mereka disalah sangka oleh penduduk kedua-dua desa. Hasilnya, pertelingkahan antara desa memuncak, berdarah. Si gadis dan si jejaka terpaksa membuat sesuatu demi keamanan. Sesuatu yang mampu menghentikan putaran matahari.
Komen:
Penulis ini cuba mempersembahkan satu demensi baru mengenai cinta yang dibatasi nilai-nilai Islam. Cinta yang dilihat dari prespektif berbeza bersandarkan beberapa hujah yang dikemukakan oleh watak utama novel ini, Sriwiji yang merupakan anak ketua kampung yang mendapat pendidikan agama.
Walau bagaimanapun, keindahan ayat, bicara, susunan kata serta jalan cerita novel ini masih belum dapat menandingi novel-novel tulisan Habiburrahman el-Shirazy dan Tafiqurrahman al-Azizy. Novel ini patut dijadikan koleksi anda semua. Saya baru sahaja habis membacanya tepat pukul 2.55 pagi tadi.

Thursday, July 3, 2008

Novel Zikir-Zikir Cinta


Sinopsisnya begini:


Kisah hidup seorang pemuda dari dusun terpencil yang cuba mencari dunianya di tengah hiruk-pikuk kota. Namun, oleh kerana hidupnya yang serba kekurangan, masa depannya terpaksa dihabiskan di sebuah ‘penjara suci’ dan menjadi orang kepercayaan sang kiai. Cinta terlarang dalam dunia sekolah pondok yang cuba ditutupi kerana ditegah. Namun cinta si pemuda terbelah dua. Dia terpaksa membuat pilihan hati, memilih puteri kiai atau memilih orang biasa yang berasal daripada keluarga Nasrani.


“Jika kau yakin cinta akan sentiasa memberikan kebahagiaan kepadamu, maka yakinlah bahawa lara itu hanya sebatas duri; hikmah yang akan menjadi sesuatu yang manis dalam risalah hidupmu. Meskipun kelam, kadang-kadang menjadi duri dalam igauan kesunyian jiwamu, terus tabahkan jiwa dan raga untuk menyangganya sungguhpun seluruh raga remuk-redam, terkoyak kerana kamu tidak kuasa menghadapi kenyataan. Kerana cinta ialah cahaya yang terselit di antara gelap dan terang kehidupanmu; maka carilah cinta sucimu yang agung dan tersenyumlah! Walau apapun tafsiranmu tentang cinta, ia tetap ada dan bersemanyam dalam hatimu.”
Komentar:
Pada pendapat saya, novel ini cuba untuk mengenengahkan konsep cinta yang berlandaskan Islam. Walau bagaimanapun, garapannya masih belum dapat menandingi novel-novel karya Habiburrahman el-Shirazy dan Taufiqurrahman al-Azizy.