Wednesday, December 7, 2011

Benarkah Tuduhan Zikir Karut Minta Tolak Syurga ?

Terdapat individu yang mengumpulkan koleksi kuliah agama yang disampaikan oleh asatizah tertentu yang dilihat banyak menimbulkan kekeliruan kepada orang yang mendengarnya. Ia menggunakan username sebagai Abu Aqif. Dan setiap kuliah yang dimuatnaik pasti ada 'trademark' nama tersebut.

Antara kuliah agama yang dimuatnaik iaitu yang disampaikan oleh seorang 'ustaz' digelar Ustaz Mat Malaya atau Ustaz Mohd Rizal Azizan sila lihat dan dengar kuliahnya yang menyatakan Zikir/Doa minta 'tolak syurga' adalah mengarut. Dan kuliahnya ini juga disokong oleh Ustaz Fathul Bari.

Apakah penjelasan dari tuduhan dua orang 'ustaz' di atas yang nampaknya menidakkan rasa rendah diri seorang hamba kepada Allah ? Tidak pernahkah mereka belajar tentang adab-adab seorang hamba sebagaimana yang ditunjukkan oleh salafussoleh. Bahkan jika kita belajar Bahasa Melayu kaya dengan kiasan, metafora menunjukkan orang Melayu itu kaya dengan adab sopan yang tinggi.

Jawapan dijelaskan oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga

Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:
إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم

    Maksudnya:
    Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
    Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.
    Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
    Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.

Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.

Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah s.w.t., pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah s.w.t.

Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.

Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:

    لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب

 Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar r.a., maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar r.a. berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.”  (Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.)

Tidak mungkin Saidina Abu Bakar r.a. mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.

Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam selepas Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar r.a.. Beliau ialah Saidina Umar r.a.. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar r.a..

Pun begitu, apa kata Saidina Umar r.a. tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam? Beliau berkata:
    لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .

 Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk neraka tersebut).” [Ibid]

Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar r.a.. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat r.a. terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.

Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman r.a. di hadapan Allah s.w.t. terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.

Saidina Uthman r.a. pernah berkata:
    لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير

Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’ dalam manaqib Saidina Uthman r.a.]

Ini adalah Saidina Uthman r.a., sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah s.w.t., yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah s.w.t..

Para sahabat r.a. yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah s.w.t., bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah s.w.t. dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah s.w.t. berbanding syurga dan neraka itu sendiri.

Kita lihat, bagaimana Saidina Ali r.a. sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat r.a. yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah s.w.t. berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:

    ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل

 Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah s.w.t..” [Hilyah Al-Auliya’]

Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat r.a. tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah s.w.t. lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.

Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah s.w.t. berbanding selain Allah s.w.t., kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat r.a.. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.

Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal r.a. yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz r.a. ketika tahajjud adalah:

اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف

Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal r.a.]

Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah s.w.t. terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut

    يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت
Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.”  [Hilyah Al-Auliya’]

Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah s.w.t.. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah s.w.t. dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah s.w.t. tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t., maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.

Wallahu a’lam..

Sumber : https://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/ungkapan-adab-saya-tidak-layak-masuk-syurga/287803991246786?ref=notif&notif_t=like

Monday, October 31, 2011

Penilaian Imam Asy Syafie Terhadap Sufi

Oleh : Thoriq

Di beberapa tempat, Imam As Syafi’i telah memberi penilaian terhadap para sufi. Yang sering dinukil dari perkataan beliau mengenai sufi bersumber dari Manaqib Al Imam As Syafi’i yang ditulis oleh Imam Al Baihaqi.

Di dalam kitab itu, Imam As Syafi’i menyatakan,

“Kalau seandainya seorang laki-laki mengamalkan tashawuf di awal siang, maka tidak tidak sampai kepadanya dhuhur kecuali ia menjadi hamqa (kekurangan akal).” (Al Manaqib Al Imam As Syafi’i li Al Imam Al Baihaqi, 2/207)

Beliau juga menyatakan,

”Aku tidak mengetahui seorang sufi yang berakal, kecuali ia seorang Muslim yang khawwas.” (Al Manaqib Al Imam As Syafi’i li Al Imam Al Baihaqi, 2/207)

Beberapa pihak secara tergesa-gesa menyimpulkan dari perkataan di atas bahwa Imam As Syafi’i mencela seluruh penganut sufi. Padahal tidaklah demikian, Imam As Syafi’i hanya mencela mereka yang menisbatkan kepada tashawuf namun tidak benar-benar menjalankan ajarannya tersebut.

Dalam hal ini, Imam Al Baihaqi menjelaskan,

”Dan sesungguhnya yang dituju dengan perkataan itu adalah siapa yang masuk kepada ajaran sufi namun mencukupkan diri dengan sebutan daripada kandungannya, dan tulisan daripada hakikatnya, dan ia meninggalkan usaha dan membebankan kesusahannya kepada kaum Muslim, ia tidak perduli terhadap mereka serta tidak mengindahkan hak-hak mereka, dan tidak menyibukkan diri dengan ilmu dan ibadah, sebagaimana beliau sifatkan di kesempatan lain.” (Al Manaqib Al Imam As Syafi’i li Al Imam Al Baihaqi, 2/208)

Jelas, dari penjelasan Imam Al Baihaqi di atas, yang dicela Imam As Syafi’i adalah para sufi yang hanya sebatas pengakuan dan tidak mengamalkan ajaran sufi yang sesungguhnya.

Imam As Syafi’i juga menyatakan,

”Seorang sufi tidak menjadi sufi hingga ada pada dirinya 4 perkara, malas, suka makan, suka tidur dan berlebih-lebihan.” (Al Manaqib Al Imam As Syafi’i li Al Imam Al Baihaqi, 2/207)

Imam Al Baihaqi menjelaskan maksud perkataan Imam As Syafi’i tersebut,

”Sesungguhnya yang beliau ingin cela adalah siapa dari mereka yang memiliki sifat ini. Adapun siapa yang bersih kesufiannya dengan benar-benar tawakkal kepada Allah Azza wa Jalla, dan menggunakan adab syari’ah dalam muamalahnya kepada Allah Azza wa Jalla dalam beribadah serta mummalah mereka dengan manusia dalam pergaulan, maka telah dikisahkan dari beliau (Imam As Syafi’i) bahwa beliau bergaul dengan mereka dan mengambil (ilmu) dari mereka. (Al Manaqib Al Imam As Syafi’i li Al Imam Al Baihaqi, 2/207)

Kemudian Imam Al Baihaqi menyebutkan satu riwayat, bahwa Imam As Syafi’i pernah mengatakan,

”Aku telah bersahabat dengan para sufi selama sepuluh tahun, aku tidak memperoleh dari mereka kecuali dua huruf ini,”Waktu adalah pedang” dan “Termasuk kemaksuman, engkau tidak mampu” (maknanya, sesungguhnya manusia lebih cenderung berbuat dosa, namun Allah menghalangi, maka manusia tidak mampu melakukannya, hingga terhindar dari maksiat).

Jelas, bahwa Imam Al Baihaqi memahami bahwa Imam As Syafi’i mengambil manfaat dari para sufi tersebut. Dan beliau menilai bahwa Imam As Syafi’i mengeluarkan pernyataan di atas karena prilaku mereka yang mengatasnamakan sufi namun Imam As Syafi’i menyaksikan dari mereka hal yang membuat beliau tidak suka. (lihat, Al Manaqib Al Imam As Syafi’i li Al Imam Al Baihaqi, 2/207)

Bahkan Ibnu Qayyim Al Jauziyah menilai bahwa pernyataan Imam As Syafi’i yang menyebutkan behwa beliau mengambil dari para sufi dua hal atau tiga hal dalam periwayatan yang lain, sebagai bentuk pujian beliau terhadap kaum ini,

”Wahai, bagi dua kalimat yang betapa lebih bermanfaat dan lebih menyeluruh. Kedua hal itu menunjukkan tingginya himmah dan kesadaran siapa yang mengatakannya. Cukup di sini pujian As Syafi’i untuk kelompok tersebut sesuai dengan bobot perkataan mereka. (lihat, Madarij As Salikin, 3/129)

Imam As Syafi’i Memuji Ulama Sufi

Bahkan di satu kesempatan, Imam As Syafi’I memuji salah satu ulama ahli qira’ah dari kalanagn sufi. Ismail bin At Thayyan Ar Razi pernah menyatakan,

”Aku tiba di Makkah dan bertemu dengan As Syafi’i. Ia mengatakan,’Apakah engkau tahu Musa Ar Razi? Tidak datang kepada kami dari arah timur yang lebih pandai tentang Al Qur`an darinya.’Maka aku berkata,’Wahai Abu Abdillah sebutkan ciri-cirinya’. Ia berkata,’Berumur 30 hingga 50 tahun datang dari Ar Ray’. Lalu ia menyebut cirri-cirinya, dan saya tahu bahwa yang dimaksud adalah Abu Imran As Shufi. Maka saya mengatakan,’Aku mengetahunya, ia adalah Abu Imran As Shufi. As Syafi’i mengatakan,’Dia adalah dia.’” (Adab As Syafi’i wa Manaqibuhu, hal. 164)

Walhasil, Imam As Syafi’I disamping mencela sebagian penganut sufi beliau juga memberikan pujian kepada sufi lainnya. Dan Imam Al Baihaqi menilai bahwa celaan itu ditujukan kepada mereka yang menjadi sufi hanya dengan sebutan tidak mengamalkan ajaran sufi yang sesungguhnya dan Imam As Syafi’i juga berinteraksi dan mengambil manfaat dari kelompok ini. Sedangkan Ibnu Qayyim menilai bahwa Imam As Syafi’i juga memberikan pujian kepada para sufi.

Dengan demikian, pernyataan yang menyebutkan bahwa Imam As Syafi’i membenci total para sufi tidak sesuai dengan data sejarah, juga tidak sesuaidengan pemahaman para ulama mu’tabar dalam memahami perkataan Imam As Syafi’i. Wallahu’alam…

Rujukan:

1. Manaqib Al Imam As Syafi’i, karya Al Baihaqi, t. As Sayyid Ahmad Shaqr, cet.Dar At Turats Kairo, th.1390 H.
2. Madarij As Salikin, karya Ibnu Qayyim Al Jauziyah, cet. Al Mathba’ah As Sunnah Al Muhamadiyah, th. 1375 H.
3. Adab As Syafi’I wa Manaqibuhu, karya Ibnu Abi Hatim Ar Razi, cet. Dar Al Kutub Al Ilmiyah, th. 1424 H.

Sumber : http://almanar.wordpress.com/2011/06/03/imam-as-syafi%e2%80%99i-dan-para-sufi/

Tuesday, October 25, 2011

Memahami tabarruk


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BERMULA minggu ini, ruang ini akan membahaskan persoalan tabarruk atau perbuatan mengambil berkat daripada seseorang atau sesuatu. Kefahaman atau salah faham tentang persoalan ini juga timbul dalam masyarakat kita.

Ramai umat Islam yang tidak memahami hakikat tabarruk sama ada dengan Nabi SAW atau pun kesan-kesan pusaka peninggalan Baginda SAW, keluarganya, ulama pewaris nNabi dan para wali, rahimahumullah.

Mereka menganggap orang yang mengambil jalan tabarruk, melakukan kesyirikan dan kesesatan lantaran kerana penelitian mereka yang sempit dan pemahaman akal mereka yang senteng.

Sebelum dijelaskan dalil-dalil dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa tabarruk diharuskan, bahkan juga disyariatkan, sewajarnya kita ketahui bahawa tabarruk itu tidak lain dan tidak bukan, hanyalah amalan tawassul kepada Allah SWT melalui perantaraan makhluk yang diambil berkat daripadanya itu; sama ada berupa kesan peninggalan, tempat atau seseorang manusia.

Adapun benda-benda yang mulia; dijadikan sebagai alat bertabarruk kerana dipercayai mempunyai kelebihan dan pendekatan dengan Allah SWT. Namun, tetap dipercayai mereka itu lemah untuk mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, kecuali dengan iizin Allah SWT.

Sementara, barang-barang peninggalan; dijadikan alat bertabarruk kerana disandarkan kepada individu atau orang-orang yang mulia tersebut. Maka ia menjadi mulia kerana kemuliaan mereka. Ia juga menjadi agung, besar dan dikasihi kerana mereka, sama ada para nabi, rasul, ulama dan wali.

Begitu juga dengan tempat. Ia menjadi tempat yang berkat bukan semata-mata kerana tempat tersebut, tetapi kerana berlaku di tempat tersebut perkara-perkara kebaikan dan kebajikan; seperti solat, puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan oleh hamba-hamba Allah yang soleh.

Dengan kebaikan yang mereka lakukan di tempat tersebut, maka di situ diturunkan rahmat, dihadiri oleh malaikat dan diliputi ketenangan. Inilah keberkatan yang dituntut daripada Allah di tempat-tempat yang dimaksudkan.

Keberkatan ini boleh didapati di tempat-tempat tersebut melalui tawajjuh (menghadapkan permohonan) kepada Allah, berdoa kepada-Nya, beristighfar dan mengingati peristiwa-peristiwa penting dan mulia yang berlaku di tempat tersebut.

Dengan mengingati peristiwa mulia tersebut, akan menggerakkan jiwa-jiwa, membangkitkan keazaman dan semangat mencontohi insan-insan yang telah berjaya dan soleh.

Di bawah dipersembahkan nas-nas ini yang dipetik daripada risalah khusus Prof. Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki yang bertajuk al-Barakah (keberkatan).

Bertabarruk dengan rambut dan ludah baginda SAW

Daripada Ja'far ibn Abdullah ibn al-Hakam, meriwayatkan: Bahawa Khalid ibn al Walid r.a kehilangan kopiah pada hari peperangan Yarmuk.

Dia berkata: "Carilah kopiah itu" Tetapi, para tentera tidak menemuinya. Khalid r.a berkata lagi, "Carilah lagi!" Akhirnya mereka menemuinya. Ternyata kopiah yang dicarinya itu hanyalah kopiah yang sudah usang.

Khalid r.a berkata: "Rasulullah SAW pernah mengerjakan umrah, lalu mencukur rambutnya. Orang ramai pun berebut-rebut hendak mendapatkan rambut Baginda SAW yang telah terpotong itu. Aku mendahului mereka untuk mendapatkan rambut daripada bahagian ubun kepala Baginda SAW.

Setelah mendapatnya, aku menyimpannya di dalam kopiah ini. Maka tidak ada peperangan pun yang aku ikuti dengan membawa kopiah ini bersamaku, melainkan aku diberikan kemenangan". (Berkata al Haithami: Telah meriwayatkan hadis ini al Tabrani dan Abu Ya'la juga meriwayatkan riwayat yang sama. Rijal kedua-duanya adalah sahih. Majma' al Zawaid 9:349. Hadis ini disebut oleh Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-'Aaliah 4:90)

Diriwayatkan daripada Malik ibn Hamzah ibn Abu Usaid al-Sa'idi al-Khazraji, daripada ayahnya, daripada datuknya Abu Usaid, dia mempunyai sebuah perigi di Madinah yang dikenali dengan Telaga Budha'ah.

Nabi SAW pernah berludah ke dalam perigi itu. Maka dia meminum air dari perigi itu, seraya memohon keberkatan dengannya. (Riwayat al-Tabrani dan rijalnya adalah dipercayai).

Keadaan sahabat bersama Rasulullah SAW

'Urwah ibn Mas'ud pernah menggambarkan keadaan para sahabat r.a bersama Nabi Muhammad SAW.

Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya kepada al-Masur ibn Makhramah dan Marwan, kedua-duanya berkata: 'Urwah pun kembali kepada kaumnya. Dia berkata, "Wahai kaumku! Demi Allah! Sesungguhnya aku telah beberapa kali diutus kepada raja-raja; aku pernah diutus kepada Qaisar, Kisra, dan Najasyi. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Muhammad SAW.

"Demi Allah! Tidaklah Baginda SAW berludah, kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu, dia menggosok ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika Baginda SAW menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya.

"Apabila Baginda SAW berwuduk, hampir saja mereka saling berbunuhan kerana merebut air wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka merendahkan suara di sisi Baginda SAW. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepadanya kerana membesarkannya". (riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab al-Syurut, bab: 'Syarat-syarat Jihad'.)

Ulasan Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kisah ini

Di dalam kisah di atas menunjukkan ludah (kahak) dan rambut yang telah terpisah dari jasad adalah suci, dan terdapatnya amalan tabarruk dengan sisa-sisa atau lebihan yang suci daripada orang-orang soleh.

Boleh jadi, para sahabat r.a melakukan perbuatan tersebut disebabkan kehadiran 'Urwah, dan mereka berlebih-lebihan melakukannya, sebagai isyarat untuk menolak anggapan 'Urwah yang khuatir para sahabat akan melarikan diri daripada Nabi SAW.

Mereka seolah-olah berkata dengan lisan hal (ujaran sikap): Orang yang mengasihi imam atau pemimpin mereka dengan kasih yang sebegini rupa dan membesarkannya dengan kemuliaan seperti ini, bagaimana boleh adanya sangkaan bahawa ia akan lari daripada pemimpinnya itu dan menyerahkannya kepada musuhnya?

Bahkan, para sahabat r.a tersebut sangat mencintai Baginda SAW, dan juga terhadap agamanya, serta kuat membantunya lebih kuat daripada kabilah-kabilah Arab yang saling memberikan perhatian di antara satu sama lain semata-mata kerana ikatan kasih (kekeluargaan).

Daripada riwayat tersebut juga dapat diambil kesimpulan, bahawa harus menggunakan pelbagai cara dan alat untuk mencapai tujuan melalui pelbagai jalan yang dibolehkan. (Lihat Fath al-Bari, 5: 341)

Thursday, October 13, 2011

Bolehkah Berpindah-Pindah Mazhab? Fahami dengan Teliti

Alhamdulillah banyak juga respon pembaca berkenaan artikel mazhab yang saya tulis baru-baru ini, cuma agak kesal dengan beberapa pihak yang tidak ingin mengambil faham terus mengunakan kata-kata yang mereka rasakan “professional” tetapi hakikatnya merekalah yang jauh daripada perkataan tersebut. Kalau benar-benar professional, maka seseorang tersebut akan meletakkan kerjanya bersesuaian dengan tugasnya.

Ya, semua orang sayangkan Islam. Jika benar-benar sayangkan Islam maka letakkan tugas kita pada tempatnya. Jika kita ceburi bukan apa yang ada di dalam bidang kita maka akan punah ranah jadinya. Contohnya mudah, sekumpulan pekerja memiliki sebuah kereta secara milikan bersama, kesemuanya menyayangi kereta tersebut. Ada yang pandai bahagian kendalian kereta tersebut, ada yang pandai bahagian tayarnya, dan ada yang pandai memandu dan ada yang tidak pandai memandu. Ya, masing-masing sayang dengan kereta tersebut. Baik, jika kita sayang, maka kita akan letakkan seseorang tersebut pada tugasnya, yang pandai memandu serahkan kepadanya untuk memandu dan begitulah seterusnya. Kalau hanya menggunakan perkataan sayang tetapi menyerahkan bukan kepada ahlinya maka akan punah kereta tersebut. Begitu juga Islam, semua orang sayang, namun masing-masing ada tugas. Saya tidak menafikan golongan professional punya tugas yang sangat baik jika digemblengkan sebaiknya untuk Islam. Tetapi bukanlah dibahagian hukum-hakam Islam. Bahagian hukum-hakam Islam serahkan kepada para ulama. Bidang tugas di dalam Islam bukan sedikit, banyak yang masih kosong. Kalau semua mahu melibatkan diri dalam hukum-hakam(walaupun tidak mempelajari dengan sepenuhnya secara mendalam) maka bukan semakin berjaya, tetapi semakin menambah fitnah di dalam Islam. Ini perlu difahami dengan baik. Kalau ingin melibatkan diri seperti para ulama, ayuh silakan , peluang terbuka luas untuk mempelajari ilmu Islam dengan para ulama di al-Azhar al-Syarif.

Saya berkali-kali menyebutkan, baca tulisan saya dan fahami dengan sebaiknya. Oleh kerana itulah, sengaja saya lambatkan tulisan berkenaan berpindah-pindah mazhab. Biar faham dahulu kepentingan bermazhab kemudian barulah membuka perbincangan berkenaan dengan berpindah mazhab.

Perlu difahami, para ulama mujtahid bukanlah sedikit bahkan ramai.Cuma ada yang terpelihara mazhabnya sehingga sekarang dan ada yang sudah tiada lagi. Oleh kerana itulah al-Imam Alawi al-Saqqaf rahimahullah (1255-1335H)menyebutkan di dalam kitabnya Fawaid Makkiyah bahawa para ulama menyebutkan tidak boleh mengikut mana-mana mazhab selain mazhab empat.

Apakah sebabnya? Bukanlah kerana para ulama mazhab selain mazhab empat tidak diyakini ilmunya, sebaliknya kerana ketiadaan sandaran dan sanad yang menyakinkan bahawa pendapat tersebut keluar daripada Imam-imam tersebut ( seperti al-Auza’ie, Abu Thaur, Sufyan al-Thauri, Ibn Uyaynah, Ishak bin Rahuyah, Ibn Jarir al-Tabari dan lain-lain rahimahumullah).

Oleh sebab itulah ramai para ulama menyebutkan berkenaan Imam Zaid bin Ali radhiyallahu anhuma: (( Imam Zaid merupakan seorang yang sangat tinggi kedudukannya, hebat ilmunya, tetapi kepercayaan terhadap mazhabnya sudah tiada bukanlah kerana peribadi Imam Zaid, tetapi kerana para pengikutnya tidak mengambil perhatian tentang pembinaan mazhab( serta tidak mengambil perhatian tentang sanad mazhab tersebut), maka mazhab tersebut tidak terlepas daripada berlakunya perubahan dan menyandarkan kepada Imam bukan kepada apa yang disebutkan oleh Imam itu sendiri)).

Benarlah kata-kata Imam Ibn Mubarak rahimahullah:

الإسناد من الدين, لولا الإسناد لقال من شاء ما شاء
Maksudnya: Sistem sanad tersebut adalah sebahagian daripada agama Islam, kalaulah bukan kerana sistem ini, maka orang akan menyebutkan apa sahaja yang dia ingin sebutkan.

Maksud sebenar kalam ini ialah, jika tiadanya sistem sanad maka semua orang boleh menyandarkan pendapatnya kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki tanpa amanah ilmu. Bila ditanya, daripada siapakan kamu mengambil pendapat ini, maka seseorang yang tiada sandaran akan menyebutkan : daripada si fulan dan si fulan dan seterusnya tanpa meraikan amanah ilmu itu sendiri.

Kembali kepada perbahasan asal berkenaan adakah kita boleh berpindah-pindah mazhab?

Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami,al-Imam Alawi al-Saqqaf , dan para ulama yang lain:

“ Harus bagi seseorang tersebut untuk berpindah-pindah daripada satu mazhab ke mazhab yang lain (mazhab empat), walaupun dengan berseronok-seronok, sama ada berpindah secara berterusan atau secara sekejap sahaja(kemudian kembali semula ke mazhab asal).”

Cuma yang perlu diambil perhatian ialah berpindah-pindah mazhab dibenarkan dengan syarat tidak berlaku talfiq yang diharamkan(sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak dikatakan oleh seorang pun dikalangan ulama Islam).

Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq yang diharamkan? Para ulama menyebutkan bahawa talfiq yang diharamkan ialah mengumpulkan dan menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah yang sama menjadi satu masalah yang mana ianya tidak pernah langsung disebutkan oleh mana-mana ulama.

Contohnya seperti mengambil wudhuk dengan menggunakan mazhab syafie(menyapu sebahagian kepala), kemudian selepas itu orang tersebut menyentuh ajnabiah(wanita bukan mahramnya) dan ingin pula mengikut mazhab Abu Hanifah yang mengatakan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhuk. Maka seolah-olah jika para imam tersebut dikumpulkan semula di hadapan kita kelak, kesemuanya tidak mengi’tiraf perbuatan kita. Al-Imam Syafie akan menyebutkan bahawa wudhuk kamu seperti yang kami sebutkan cuma bagi kami jika menyentuh wanita @ disentuh akan membatalkan wudhuk. Orang tersebut menjawab: Aku menyentuh mengikut mazhab Abu Hanifah. Maka Imam Abu Hanifah pula akan menjawab: Memang benar mazhab kami mengatakan bahawa wudhuk tidak akan batal jika disentuh atau menyentuh wanita ajnabiyah(kerana bagi mazhab Abu Hanifah , bersetubuh barulah membatalkan wudhuk) tetapi cara kamu mengambil wudhuk bukanlah seperti yang kami letakkan (kerana hanya meyapu sebahagian kepala sahaja) .Kata Imam Abu Hanifah lagi: Bagi mazhab kami, wajib menyapu kepala keseluruhannya. Jadi kamu tetap tidak mengikut mazhab kami.

Inilah contoh talfiq yang tidak dibenarkan,tetapi jika kita contohnya berwudhuk menggunakan mazhab Syafie, kemudian berniaga di pasar menggunakan mazhab Abu Hanifah, keesokkan harinya berwudhuk menggunakan mazhab Abu Hanifah dan seterusnya maka tiadalah masalah padanya. Ini perlu kepada pemahaman usul fiqh yang baik. Perbahasan talfiq ini sangat panjang. Perlu dibahaskan pada masa yang akan datang.

Jadi, kesimpulannya ialah,para ulama tidak pernah menghalang untuk kita berpindah-pindah mazhab, malah tidak mewajibkan untuk kita berpegang dengan satu-satu mazhab (tanpa membenarkan untuk berpindah mazhab).

Cuma, perlu difahami kalam para ulama, tiada seorang pun yang menyebutkan tidak mengapa kalau tidak bermazhab langsung. Tidak pernah kami (yang belajar dengan para ulama secara terperinci dan membaca kitab-kitab para ulama)mendengar dan menjumpai para ulama menyebutkan bahawa tidak perlu untuk bermazhab. Ini kefahaman yang perlu diperbetulkan. Kefahaman “tidak perlu bermazhab” bukanlah perkara yang baharu, janganlah kamu berpura-pura menyokong para ulama ahlussunnah seperti Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti(mazhab Syafie), Syeikh Ali Jumaah(mazhab Syafie), Syeikh Wahbah Zuhaili(Mazhab Syafie) dan sebagainya sedangkan kamu langsung tidak memahami pendapat yang mereka sebutkan. Baca sendiri kalam mereka( Bukan sekadar membaca, tetapi memahami sebagaimana para ulama yang membacanya memahaminya). Mereka juga bermazhab walaupun sudah mencapai peringkat yang tinggi di dalam Ilmu mereka.

Sekali lagi saya sebutkan, baca dengan hati yang terbuka dan ilmu yang disadur dengan iman, bukan dengan hawa nafsu dan pendapat-pendapat kurang ilmiahnya. Terima kasih kepada semua.Dan perlu diingat, golongan wahabi sejak akhir-akhir ini baru menyebutkan bahawa mereka bermazhab, setelah dikecam oleh para ulama. Rujuk kitab " alla mazhabiyah" oleh Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti kamu akan dapati hujah-hujahnya kepada golongan yang tidak bermazhab dan baru ingin menempelkan diri mereka kepada mazhab.

Wallahu a'lam.

Rujukan:

1. Fatawa Hadithiyah oleh Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah cetakan Darul Taqwa
2. Mukhtasar Fawaid Makkiyah oleh al-Imam Alawi al-Saqqaf cetakan Darul Basya’ir Islamiyah tahqiq Dr. Yusuf Mar’ashli
3. Risalah Talfiq di dalam Fatwa oleh Doktor Saad Anzi, Majalah Syariah keluaran Kuwait Jilid 38.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Hayyu 10,

Posted by Mohd Nazrul Abd Nasir at 9:42 AM

Dipetik dari blog Dari Anjung al Atrak

Tuesday, January 4, 2011

Ibn Arabi

Salah seorang ahli sufi besar dan berpengaruh dalam sejarah perkembangan tasauf dalam dunia Islam ialah Ibnu Arabi.

Nama lengkapnya ialah Muhiddin Abu Abdullah Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Hatimi al-Ta'i.

Beliau juga dikenali dengan gelaran Muhy ad-Din (Penghidup Agama) dan Sheikh al-Akbar (Guru Terbesar). Ibnu Arabi terkenal dengan doktrinnya tentang Wahdah al-wujud (kesatuan wujud) yang mengakibatkan beliau dikritik dan dikafirkan oleh ulama.

Setelah berkelana ke pelbagai tempat, beliau menetap di Damsyik, Syria sampai akhir hayatnya. Di sana beliau merasakan peringkat terakhir perjalanannya yang juga merupakan peringkat kematangan kerohanian dan intelektualnya sebagai seorang ahli sufi.

Ibu Arabi terkenal dengan Fahaman Wahdah-al-Wujud. Menurutnya tidak ada sesuatu pun yang wujud kecuali Tuhan. Hanya ada satu kewujudan hakiki, iaitu Tuhan.
Segala yang ada selain Tuhan hanyalah tampakan lahiriah daripada-Nya. Kewujudan makhluk bergantung kepada kewujudan Tuhan, atau berasal daripada kewujudan Tuhan.

Manusia yang sempurna (insan kamil) merupakan pusat tampakan diri Tuhan yang paling sempurna. Oleh sebab konsepnya ini, Ibnu Arabi dianggap kafir oleh ulama lain.
Pengaruh Ibnu Arabi terhadap perkembangan tasauf, khususnya tasauf falsafah sangat luar biasa. Gagasan kesufian Ibnu Arabi tersebar ke seluruh dunia Islam dan mendapat pengikut yang tidak terhitung jumlahnya.

Di Indonesia, pemikiran Ibnu Arabi juga tersebar luas. Hal ini terbukti dengan banyaknya ulama yang membawa fahaman Wahdah al-wujud, seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani, dan Abdus Samad al-Palimbani.

Ada sekitar 300 judul buku yang dihasilkan oleh Ibnu Arabi. Sebahagian besar ditulis semasa berkelana untuk menuntut ilmu. Antara karyanya yang terkenal ialah Futuhat al Makkiyyah (Penaklukan Makkah).

Dalam karyanya itu, Ibnu Arabi menulis bahawa Allah SWT melalui malaikat yang menyampaikan ilham kepadanya. Kitab ini mengandungi huraian tentang prinsip metafizik, ilmu keagamaan dan pengalaman kerohanian Ibnu Arabi sendiri.

Fusus al-Hikam (Permata Hikmah) ialah karya Ibnu Arabi yang ditulis 10 tahun sebelum beliau meninggal dunia. Menurut pengakuan Ibnu Arabi, karya ini diterimanya daripada Nabi Muhammad SAW dalam mimpinya, yang menyuruh beliau menyebarkannya kepada seluruh umat manusia agar mereka dapat mengambil manfaat daripada karya itu.

Kitab tersebut bertujuan memaparkan aspek tertentu kebijaksanaan Ilahi dalam konteks kehidupan 25 orang nabi dan rasul.