Sunday, August 1, 2010

Dalam Fiqh, Saudi…Dalam Hadith, al-Albani…’Itu Kajian Ilmiah’?


Sebahagian (bukan semua, sebahagian) penuntut ilmu amat gopoh dalam memberikan penilaian terhadap sesuatu isu agama atau cabang ilmu berkaitan Islam. Saya terpanggil untuk menulis apa yang sering saya bicarakan bersama sahabat-sahabat lain dalam al-ahkam.net iaitu fenomena ‘tarjih’ iaitu keupayaan memilih pendapat yang terbaik dan terkuat mengikut dalil apabila berlakunya perbezaan dan perselisihan. Tarjih di sini tidak semestinya dalam fiqh, bahkan termasuk juga dalam aqidah, tafsir, hadith dan sebagainya.

Sifat gopoh dalam memberikan pandangan adalah sifat yang boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Apa yang terhasil daripada kegopohan seringkali akan membawa kesan yang negatif. Kadangkala sifat gopoh sering dikaitkan dengan usia muda atau peringkat awal menuntut ilmu. Apa yang penting, jangan malu dan degil untuk berubah kerana manusia tidak sempurna terutama penuntut ilmu di usia muda.

Di antara contoh kegopohan dalam memberikan pandangan ialah – Terdapat sebahagian penulis, penuntut ilmu malah pendakwah yang apabila timbul sesuatu persoalan dalam fiqh atau timbul perbincangan tentang kedudukan sesuatu hadith sama ada sahih atau tidak, maka timbullah dan kedengaranlah suara-suara bersemangat yang menyeru ke arah kajian, manhaj, tarjih, tahqiq dan perkara yang sewaktu dengannya. Lalu keluarlah pandangan yang paling ‘rajih’ dan pendapat yang paling kuat atau tepat. Persoalannya, benarkah itu yang ‘rajih’ dan betulkah itu yang paling kuat?

Apa yang penulis temui agak berlainan. Seruan yang indah dan hebat itu rupanya menutup satu kecenderungan memilih pendapat aliran tertentu. Ringkasnya, di dalam fiqh, mereka sebenarnya cenderung memilih pandangan ketat atau pandangan ulama dari Arab Saudi beraliran salafi (terdapat banyak jenis salafi). Manakala di dalam hadith, mereka sebenarnya cenderung memilih pendapat syeikh al-Albani.

Persoalannya, adakah saya akan mengkritik semata-mata kerana mereka cenderung kepada fiqh salafi Saudi dan hadith dari al-Albani? Sudah semestinya tidak. Itu pilihan masing-masing dan mungkin mereka ada sebab untuk memilih sebegitu.

Apa yang saya ingin jadikan nasihat dan teguran ialah sikap mereka yang melaungkan slogan-slogan kajian ilmiah yang nampak sememangnya 100% ilmiah…sedangkan hakikatnya tidak begitu!

Saya juga membangkitkan isu ini kerana ingin mengelakkan lebih ramai golongan yang berani tidak bertempat sebegini. Saya katakan berani tidak bertempat kerana melihat kepada kemampuan ilmu mereka yang melakukan perkara ini. Semangat mereka nampaknya melebihi ‘usia’ ilmu pada diri mereka.

Kita juga perlu sedar bahawa terdapat ramai ulama sejak zaman berzaman hingga ke hari ini. Kenapa menghadkan kepada Ulama Saudi dan al-Albani?

Di antara punca utama perkara ini berlaku (sekadar maklumat yang ada pada penulis) ialah :


1.      Pembacaan yang terhad. Membaca hanya buku-buku tertentu dan tidak dapat keluar daripada sangkaan tertentu terhadap ulama dan buku tertentu.

2.      Pembacaan buku-buku kedua dan bukan sumber utama. Mungkin disebabkan tidak dapat membaca dalam bahasa asal iaitu Bahasa Arab atau mungkin juga kerana buku-buku kedua dan ketiga lebih ringkas dan dianggap memadai.

3.      Keinginan dan nafsu ingin pergi ke tengah medan dakwah agar dikenali sebagai golongan ilmiah dan boleh memberikan pandangan terus daripada dalil dan nas.

4.      Tidak melalui proses menuntut ilmu secara berperingkat dan tidak mempunyai guru yang memberikan panduan berterusan.

5.      Tidak bergaul dengan pelbagai lapisan penuntut ilmu untuk berkongsi bersama apa yang ingin dikaji. Hanya berkawan dengan aliran masing-masing.

6.      Tidak bersedia menarik balik pandangan atau membuat muhasabah terhadap sesuatu pegangan.

7.      Bersungguh untuk mematikan hujah lawan walaupun dengan cara tidak ilmiah.

8.      Tidak mengikuti perkembangan ilmu. Memadai dengan apa yang telah diketahui.

 Contohnya ada sebahagian yang menulis tentang persoalan fiqh. Kadangkala latar belakang bukan daripada golongan agamawan, tetapi mereka mendakwa melakukan kajian berdasarkan dalil. Itu hak mereka untuk mendakwa. Apabila menulis – sama ada dalam bentuk buku atau artikel – mereka amat gemar menekankan aspek kajian, ketelitian, dalil yang sahih, rujukan muktabar dan sebagainya. Tetapi apa yang sering berlaku ialah : apabila tiba persoalan fiqh, mereka akan ketengahkan ulama dari Arab Saudi atau dari aliran ‘salafi’. Apabila tiba persoalan hadith pula, mereka akan utamakan pandangan syeikh al-Albani atau murid-muridnya dan yang sealiran. Inikah rupa ‘tarjih’, ‘tahqiq’ dan ‘dalil’?

Terlintas juga persoalan di hati – sejauh manakah mereka mampu untuk menyemak buku-buku asal dan utama dalam kajian ilmu Islam? Bukankah buku-buku itu ditulis dalam Bahasa Arab? Kalau mereka (sebahagiannya) mengakui mereka tidak mempunyai asas dalam Bahasa Arab, bagaimanakah kita boleh yakin dengan ‘kajian’ dan ‘penyelidikan’ mereka? Atau sebenarnya mereka mengambil kajian orang lain? Sekali lagi saya ulang, perbuatan mereka mengambil pandangan dan kajian ulama tertentu tidak salah. Tetapi ‘cara’ ia diiklankan seolah seperti kajian ilmiah…itu yang ingin ditegur.

Golongan sebegini juga kadangkala kita dapati terlalu mudah menghentam dan mengkritik orang lain yang didakwa pula ‘tidak ilmiah’, tidak ‘tarjih’, tidak mengkaji…inilah yang menyebabkan saya menulis untuk menasihat mereka, dan juga menasihati penuntut ilmu lain agar menjauhkan sikap sebegini.

Hakikatnya kita manusia lemah. Kadangkala kita yang sering melaungkan ‘ilmiah’ dan ‘tahqiq’ sebenarnya tidak ilmiah mana dan tidak tahqiq mana pun. Tetapi kecenderungan dan nafsu untuk memperlihatkan kepada orang lain kita adalah ilmiah dan mengkaji menjadikan kita lupa bahawa kita sebenarnya tidak mampu pun untuk membuat kajian yang ilmiah. Sebagaimana ada yang mendakwa dirinya ‘terbuka’ dengan semua aliran, tetapi hakikatnya kawan sendiri yang dilabel sebagai ‘tidak ada arah tuju’ atau ‘tidak ada manhaj’ bahkan ‘tidak salafi’.

Ada yang menulis seolah dialah yang membuat kajian sedangkan ia diambil dari buku tertentu. Kajian fiqh yang diambil daripada buku-buku huraian fiqh ulama Arab Saudi dijadikan asas dan ia dikeluarkan dalam bentuk ‘kajian perbandingan ilmiah’. Ada yang mendakwa dirinya membuat kajian terhadap hadith sedangkan kesemuanya diambil daripada orang lain. Ada yang pandai menutup perbuatan ini dengan menyatakan ‘Riwayat al-Tirmidzi’ dan tidak memasukkan ‘dinilai sahih oleh al-Albani’. Sedangkan kita tahu daripada buku rujukannya bahawa dia menggunakan pendapat syeikh al-Albani semata-mata dan mengabaikan terus penilaian al-Tirmidzi.

Saya sememangnya diberitahu bahawa ada pula golongan yang hampir serupa yang meghadkan ulama tertentu sahaja yang dianggap ‘benar-benar ulama’. Begitu ramai ulama zaman berzaman tetapi hanya dua tiga orang sahaja yang dianggap benar-benar ‘bermanhaj’? Patutlah mereka sempit dan tidak tahu membuat kajian perbandingan!

Itulah yang ingin ditegur…sempit, terhad, tetapi mendakwa diri ‘luas’, ‘terbuka’, membuat ‘kajian ilmiah’ dan ‘tarjih’ serta ‘tahqiq’. Berani tidak bertempat dan menghadkan pengambilan ilmu.

 Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah mengingatkan saya dan menyedarkan saya daripada ‘cenderung’ kepada mana-mana pihak sehingga tidak ilmiah. Saya juga berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang suka memberikan ‘sudut ketiga’ dalam perbincangan ilmiah yang akhirnya menjadikan kita merasa kerdil dan menghormati ulama. Jazakumullah kerana telah menyedarkan saya bahawa ilmu itu adalah apa yang ada di dada..bukan semata-mata di hujung mata pena dan kertas sahaja.

 Adlan Abd. Aziz

Dipetik dari al-Ahkam.net

Friday, July 2, 2010

Israk dan Mikraj Hendaklah Dilihat Dengan Keimanan


Oleh Syeikh Najmuddin al-Ghaithiy

Sehubungan dengan peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w yang sepenuhnya bersifat ghaib,mukjizat dan diluar jangkauan akal itu, perlu kita ketahui bahawa pada zaman sekarang ini ada sebahagian penulis sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w yang menggambarkan kehidupan baginda sebagai manusia biasa yang serba rasional.

Banyak diantara mereka yang menonjol-nonjolkan kehidupan Baginda sebagai seorang genius, panglima perang, pahlawan dan sebagainya. Mereka tidak menekankan gambaran baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul Allah Azzawajalla yang kehidupannya penuh berbagai unsur ghaib da mukjizat. Mereka seolah-olah hendak mengingkari unsur rahsia ghaib dan mukjizat yang ada pada kehidupan Rasulullah s.a.w.

Dengan menojol-nonjolkan gambaran yang kami sebutkan tadi, mereka hendak memberikan pengertian bahawa mukjizat atau hal-hal lainnya yang tidak rasional hanyalah mitos atau dongeng belaka. Sungguh penggambaran seperti demikian itu berpunca berpunca daripada pemikiran orientalis dan materialis. Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa wahyu dan kenabian merupakan masalah-masalah ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran pancaindera dan keterbatasan akal fikiran. Dengan demikian, mengingkari mukjizat kenabian sama ertinya dengan mengingkari kebenaran wahyu dan kenabian, yang juga bererti mengingkari agama yang diwahyukan Allah s.w.t  kepada Nabi dan RasulNya. Bagaimana mungkin orang yang mengingkari mukjizat kenabian dapat meyakini kebenaran adanya wahyu dan kenabian? Mereka berfikir bahawa mukjizat adalah sesuatu yang tidak rasional dan tidak masuk akal, tetapi mengapa mereka tidak mengatakan wahyu  dan kenabian pun tidak rasional dan tidak masuk akal?

Bertolak dari pemikiran yang materialis itu, orang mempermasalahkan apakah israk dan mikraj yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w itu dengan rohnya sahaja ataukah sekaligus dengan jasadnya? Mereka mempermasalahkan peristiwa ghaib dan mukjizat tersebut namun pada akhirnya mereka tetap berbeza pendapat. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa Israk dan Mikraj itu dilakukan Rasulullah s.a.w dengan roh Baginda sahaja, dan sebahagian yang lain berpendapat bahawa Israk dan Mikraj itu Baginda lakukan dengan roh dan jasad Baginda.


Peristiwa ghaib dan mukjizat itu, memang tidak mungkin terjangkau oleh akal fikiran. Oleh kerana itu, tidak menghairankan Baginda, banyak riwayat yang memberitakan terjadinya kemurtadan dikalangan sebahagian orang Islam ketika mereka diberitahu oleh Rasulullah s.a.w mengenai peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Kerana pemikiran yang materialis tidak mungkin dapat mempercayai wujudnya kenabian dan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Tidak demikian halnya bagi orang yang benar-benar beriman akan kebenaran Allah dan RasulNya. Mereka mempermasalahkan peristiwa Israk dan Mikraj, kerana mereka yakin sepenuhnya bahawa Allah s.w.t Maha Kuasa, dapat melakukan apa sahaja yang dikehendakiNYa. Tidak ada sesuatu yang mustahil bagiNYa. Mereka mempercayai dan meyakini sepenuhnya terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj sebagaimana yang difirmankan Allah Azzawajalla dan dituturkan kepada RasulNya, Saiyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mempermasalahkan aakah Israk dan Mikraj yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w hanya dengan roh Baginda sahaja ataukah dengan roh dan jasad Baginda sekaligus. Mereka sungguh sedar bahawa peristiwa ghaib itu adalah semata-mata urusan Allah s.w.t dan hanya Dia sajalah yang mengetahui urusanNya. Allah s.w.t telah menegaskan dengan firmanNya:-

Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya[847] agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Isra’ : 1)

Yang dimaksudkan dengan Abdihi (hambaNya adalah jelas dan nyata, iaitu Saiyidina Muhammad Rasulullah s.a.w, sebagaimana yang Baginda tuturkan sendiri kepada para sahabatnya. Dan kata-kata Abdihi itu meliputi roh dan jasad.


Monday, June 21, 2010

Novel: Cinta Sufi


Sinopsis:

PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari lelaki bertanduk dua.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Komen:

Saya cukup tertarik dengan gaya penulisan dan penceritaan Ramlee Awang Mursyid (RAM) yang penuh dengan infor serta maklumat berguna. Novel-novel beliau bukan sekadar hiburan jiwa semata-mata, namun ia juga boleh dijadikan panduan kerana di dalamnya juga terdapat pengajaran serta maklumat yang diambil berdasarkan kajian.

Walaupun novel ini tidak digolongkan sebagai novel Islamik tetapi lebih kepada thriller, namun di dalamnya terdapat pengajaran-pengarajan yang boleh diambil sebagai panduan hidup.

Saya amat mencadangkan para pengunjung sekalian agar menjadikan novel ini sebagai salah satu bahan bacaan anda kerana ia bukan sekdar menghiburekan dan menarik namun penuh dengan hikmah.

Thursday, June 3, 2010

Israel Laknatullah


Peristiwa penggempuran unit komando tentera Israel Laknatullah keatas kapal-kapal misi bantuan ke Palestin baru-baru ini telah mengejutkan dunia. Kapal yang sarat dengan bekalan makanan dan ubatan itu telah digempur oleh komando Israel atas alasan ianya mengancam keselamatan Israel. Padahal kapal-kapal tersebut tidak membawa sebarang senjata dan belajar di laut antarabangsa menuju ke Gaza dan bukannya berada dalam jajahan takluk Israel.

Seluruh dunia mengutuk serangan tersebut termasuklah pertubuhan NGO dan masyarakat yang prihatin dengan nasib rakyat Palestin. Tindakan Israel itu jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Jadi ketika keadaan ini berlaku, dimanakah peranan PBB?? Senyap menyendiri. Cuba bayangkan kalau tindakan tersebut dilakukan oleh Iran terhadap mana-mana kapal Israel. Saya rasa masyarakat dunia tidak sempat tahu mengenai peristiwa tersebut, PBB sudah menghantar seluruh ketumbukan tenteranya untuk menghancurkan Iran!!

Tindakan PBB sedemikian tidaklah menghairankan sangat kerana ianya dianggotai oleh hampir seluruh Negara dalam dunia sama ada Negara Islam atau tidak. Namun OIC (OOO.. I See) sebagai pertubuhan dunia Islam pun seperti menikus dengan tindakan Israel tersebut. Kalau sekadar membuat kenyataan rasmi mengutuk tindakan tersebut, tidak perlulah OIC berbuat demikian kerana saya sendiri pun sudah lama mengutuk Israel Laknatullah itu. Bahkan siap dengan sumpah seranah lagi.

Adakah kutukan tersebut memberikan kesan kepada Israel? Saya percaya, mereka tentunya sedang ketawa berdekah-dekah dengan tindakan kita yang seolah-olah cuba melawan Israel yang menggunakan meriam dengan ‘tembakan kentut’ kita!! Tidak sekelumit pun mereka merasai kutukan kita. Bahkan mereka bertambah bangga kerana kita tidak mampu untuk mengambil apa-apa tindakan  terhadap mereka selain kutukan demi kutukan.

Apakah semua Negara Islam termasuklah Malaysia yang mengakui sebagai sebuah Negara Islam mengisytiharkan secara rasmi memboikot kesemua perkara yang ada kaitan dengan Israel termasuklah barangan dan perkhidmatan?! Saya percaya, jika tindakan sedemikian dapat diambil oleh OIC sudah tentu ianya akan memberikan kesan terhadap Israel.
OIC dan semua Negara Islam lain mempunyai tanggungjawab dan tugas yang amat besar mengenai isu Palestin dan Israel ini. Biarkan kami sahaja yang bertindak mengutuk, menyumpah dan seranah Israel itu kerana itu bukanlah tanggungjawab Negara Islam dan OIC!!!  

Sunday, April 25, 2010

Jawatankuasa Antara Agama



Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka Telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan Bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong,  (an-Nisa’ : 89)

Negara kita dikejutkan dengan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri mengenai penubuhan Jawatankuasa Antara Agama yang diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta di pengerusikan oleh Datuk Ilani Isahak.

Akibatnya banyak pihak yang mempertikaikan penubuhan jawatankuasa tersebut termasuklah PERKASA, ABIM, Mufti Perak dan beberapa pertubuhan NGO lain. Objektif penubuhan tersebut kelihatannya amat kabur dan mirip kepada interfaith commissions (IFC) yang pernah mendapat bantahan tahun lalu sewaktu dicadangkan penubuhannya oleh pihak-pihak tertentu.

Maka Timbalan Perdana Menteri muncul memberikan penjelasan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut hanyalah membincangkan mengenai perhubungan antara kaum di Malaysia sahaja. Oleh itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Bin Baharom untuk memberikan penjelasan mengenai objektif penubuhan jawatankuasa tersebut kepada rakyat.

Daripada pengamatan saya, penubuhan jawatankuasa tersebut tidak pernah mendapat pandangan daripada orang yang mahir dalam bidang agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan para Mufti. Kerajaan seolah-olah cuba mencari alasan bagi memberikan penjelasan kepada rakyat untuk mengelak dari dipersalahkan.

Sekiranya jawatankuasa tersebut hanyalah untuk membincangkan mengenai perhubungan antara kaum di Malaysia, kenapa perlu dinamakan sebagai ‘Jawatankuasa Antara Agama’? Seharus dan sepatutnya ia dinamakan sebagai ‘Jawatankuasan Antara Kaum’! Kesilapan pertama kerajaan terbongkar menunjukkan ianya idea yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa mendapatkan pandangan pakar mengenai kebolehan serta implikasinya di masa hadapan.

Masyarakat Islam amat risau akan kembalinya peristiwa cadangan IFC yang lalu kerana ia boleh merendahkan martabat agama Islam sebagai agama tertinggi negara dengan perlbagai permintaan dan syarat yang dikemukakan oleh agama-agama lain.

Sebagaimana ayat 89 surah an-Nisa’ diatas, Allah sw.t melarang hambanya daripada mengambil orang-orang kafir sebagai penolong atau pembantu sehinggalah mereka itu meyakini sebagaimana yang kita imani serta mereka sentiasa mahukan kita mengikuti kehendak mereka.

Apakah kita mahu mengambil orang-orang kafir sebagai penasihat dalam agama atau mengenai agama kita sendiri? Adakah kita yakin dan pasti bahawa nasihat yang bakal diberikan itu selari dengan landasan syara’?

Berdasarkan pengalaman lalu, amat mustahil untuk berlaku demikian kecuali segala-galanya adalah atas kehendak Allah s.w.t.       

Friday, April 9, 2010

Muslim usah terbelit isu pluralisme, liberal


Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady
2010/04/08

Ummah perlu ketahui batasan perbezaan, adab, disiplin hormat-menghormati sesama insan

SAYU hati mengingatkan tokoh Islam yang asalnya berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah dan peneraju gerakan Islam dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna dan Syed Qutb, akhirnya menjadi pendukung aliran pluralisme agama Prof John Harwood Hick.

Pluralisme agama dibentangkan gagasan Prof Hick meninggalkan sikap eksklusif Katholik yang menganggap semua agama sebagai penyelamat, menunjukkan pemikirannya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti sebenar.

Ia timbul daripada pengalaman peradaban, budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat melalui sejarah pahit. Tidak masuk akal orang Islam yang berimamkan al-Quran boleh mengikut aliran muflis dari segi rohani. Islam mengajar sesiapa yang mengikut nabi akan selamat.

Orang yang memiliki kepercayaan seperti John Hick mungkin akan menjadi ‘suam-suam kuku’ dalam keyakinannya. Mereka bukan daripada kalangan orang yang yakin dan akhirnya berpendapat pengetahuan mengenai Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin.

Pegangan seperti ini membuatkan kita melihat persamaannya dengan golongan zindik zaman klasik iaitu mereka yang imannya terpesong atau sesat.

Nukilan Jalaluddin Rumi menyebut mengenai lampu yang banyak dan keperluan tidak melihat lampu tetapi cahaya dengan fahaman semua agama adalah sah, sebenarnya menimbulkan kekeliruan ke arah memahami perkara ghaib dengan mata zahir.

Jika hakikatnya demikian, tentu Rumi tidak mengkritik agama Kristian, Yahudi dan Musyrikin penyembah berhala. Sebaliknya memang beliau mengkritik. Ini menyebabkan yang benar atau batil dalam agama menjadi tidak relevan dan tepat.

Melalui teori itu, Hick menegaskan jalan keselamatan dalam agama tidak tunggal tetapi jamak dan beragama sesuai dengan tradisi serta ajaran yang ada.

Teorinya itu merujuk kepada kata-kata Rumi, “Lampunya berbeza tetapi cahayanya sama.” Hick juga menemukan kalimat sama dalam kitab suci Hindu, Bhagavad Gita, “Jalan apapun yang dipilih manusia adalah milik-Ku.”

Sikap menyatakan adanya inti semua agama mengatasi bentuk lahiriah dan upacara tidak ada sandaran dalam tamadun Islam atau sejarah kerohaniannya. Nama yang disebut bagi menyokong aliran itu adalah perbuatan menjual nama demi melariskan barangan. Kenyataan itu diambil di luar konteks atau ditafsirkan secara tidak sahih.

Dante yang terkenal dengan bukunya, Divine Comedy tidak berjaya membuktikan beliau memandang semua agama ada kedudukan sah dan bersifat sebagai penyelamat. Jika tidak, mengapa beliau memasukkan Nabi Muhammad dalam neraka dengan tuduhan baginda sebagai ketua kumpulan mengadakan sokongan serpihan agama yang sesat.

Dante yakin kebenaran muktamad agama Katholiknya tetapi bagaimana buku itu boleh menjadi bukti kebenaran pluralisme agama?

Kedamaian rohani dan keamanan tercapai apabila manusia berhenti daripada kerakusan. Itu peraturan rohaniah yang sah dalam Islam tetapi tidak menjadi dalil untuk pluralisme agama.

Soal ‘menyokong satu agama’ dalam erti memilih agama Islam mengatasi yang lain bukan soal ‘memilih’ tetapi ia ketetapan Ilahi dalam ayat, “Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam.”

Pemikiran Hick dan pemikir sepertinya tidak mampu menolak keyakinan yang datang daripada Tuhan, Rasul (semua rasul dan nabi dalam semua zaman sejarah anak Adam), arifin dan ijma’.

Negara yang penduduk dan pemimpin tertingginya Muslim, wajib berlaku ‘menyokong satu agama’, seperti menjadikan Islam agama Persekutuan. Tetapi Islam mengajar keadilan dan kebebasan beragama bagi penganut agama lain, sedangkan di Barat sekarang pun tudung kepala dan menara masjid menjadi masalah besar.

Penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran menyeluruh mewakili arus perdana umat.

Bagaimanapun, ia perlu dilihat dalam konteks sejarah, seperti sekarang, maklumat dimanipulasi untuk kepentingan pengaruh atau dominasi sesebuah negara terhadap negara lain.

Prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arus perdana iaitu menjadi umat terbaik dilahirkan untuk manusia tanpa mempedulikan pandangan golongan Islam liberal atau pluralisme agama.

Namun, kita perlu mengetahui perbezaan, persamaan, adab, disiplin dan menghormati orang lain dalam batasan yang wajar.

Friday, March 19, 2010

Bila SIS Melatah


Saya bersyukur kalau Sister In Islam (SIS) masih ada perasaan terhadap khutbah-khutbah yang dibacakan diseluruh masjid di Selangor mengenai kumpulan itu dikatakan ‘telah menghina Islam’. Sekurang-kurangnya hati mereka masih boleh melihat cahaya yang menyinari bagi membezakan antara yang haq dan yang batil.

Cuma saya sedikit terkilan apabila mereka tidak melihat tindakan Jais tersebut sebagai satu teguran yang tidak boleh dipandang ringan. Tidak kiralah siapa pun yang berada dalam SIS itu yang mereka mendakwa terdiri daripada para professional yang pakar dalam bidang masing-masing. SIS sepatutnya tidak boleh memandang enteng mengenai fakta sejarah yang mencatatkan betapa ramai para ilmuan yang tersesat dengan ilmu mereka kerana ianya tidak dipandukan oleh cahaya petunjuk Ilahi.

Mereka membangkitkan bahawa Jais seolah-olah tidak menghormati prinsip perbezaan pendapat sebagaimana yang berlaku antara imam-imam mazhab. SIS sepatutnya membandingkan dengan teliti antara taraf mereka dengan para imam mazhab yang muktabar itu. Para imam tersebut mengeluarkan pendapat atau fatwa berdasarkan panduan hukum yang telah ditetapkan dalam Islam. Namun SIS pula bertindak sebaliknya. Mereka mengeluarkan kenyataan dan pendapat sesuka hati tanpa menilainya dengan neraca Islam bukannya dengan hawa nafsu.

Susah juga untuk menasihatkan orang yang tidak sedar bahawa dia tidak sedar, malah mengaku mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang sedar. Firman Allah s.w.t :

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata. (al-Ahzab: 36)