Aduhai sayang..
Semakin nafas ini di penghujung, semakin pilu ku rasakan. Bisakah aku meninggalkan mu sendirian tanpa tempat untuk bergantung dan mengadu? Mampukah dirimu menghadapi ujian hidup ini sendiri?
Ketahuilah olehmu wahai sayang, walaupun aku nanti nun jauh di lahad bumi, cinta dan kasih sayangmu sentiasa menemaniku sehingga ku bawanya nanti ke hadapan Tuhan untuk diperkirakan. Adakah cinta ku ini benar-benar suci atau hanya cinta yang berlandaskan nafsu semata?
Wahai kekasih.
Wahai kekasih.
Betapa ruginya aku kerana tidak mempunyai zuriat yang bakal mendoakan kesejahteraanku mahupun yang bakal menyambung kembali perjuanganku. Apalah dayaku seorang hamba yang lemah, sudah ketentuan takdir Ilahi, aku tidak mempunyai itu semua. Cuma yang ada hanyalah dirimu yang amat ku sayangi. Padamu jualah ku tinggalkan segunung pengharapan.
Aduhai sayang.
Aduhai sayang.
Kiranya tiba saat yang telah dijanjikan Tuhan, kuingin pergi meninggalkan segala nikmat kehidupan ini dengan tenang. Aku mahu saat aku dijemput malaikat maut, ia di temani dengan gerombolan malaikat dari syurga yang membawa kafan dari syurga bersama haruman kasturi yang semerbak. Aku mahu kedatanganku ini di redhaiNya dan aku juga redha dengan kehendakNya.
Dengarlah olehmu bahawa cintaku terhadapmu ku tanam dalam lubuk hatiku dan ku bina padanya sebuah tugu yang cantik berukir sebuah keimanan dan ketaqwaan. Pada tika itu, aku tidak mahu menyeksamu supaya mengingatiku. Sesungguhnya dirimu bebas untuk menentukan haluan hidupmu sendiri hatta untuk mencari seseorang yang bakal menggantikan tempatku di hati mu. Aku tidak pernah berwasiat padamu supaya hanya setia hanya padaku seumur hidupmu. Aku tidak sezalim itu sayang. Carilah sesiapa sahaja yang boleh menunjukkanmu jalan ketuhanan bagi menggantikan aku untuk memenuhi keperluanmu. Aku rela dan redha terhadapmu dan doaku sentiasa bersamamu agar nanti kau bisa bahagia bersama penggantiku dalam melayari hidupmu nanti.
Wahai kekasih.
Wahai kekasih.
Dalam kisah cinta ini, sesungguhnya aku bangga memiliki mu, kuntuman yang mekar di taman terlarang. Bukan mudah untuk ku menyuntingmu, terlalu banyak ujian dan dugaan yang perlu aku lalui sehinggalah harummu menjadi milik ku walaupun sehingga kini aku tidak mampu untuk memetikmu untuk menghiasi kamar malamku. Dan mungkin aku sememangnya tidak akan mampu untuk berbuat demikian kerana takala ini aku telah dijengok khabar-khabar kematian.
Aku juga bangga mempunyai seorang kekasih yang selalu menunjukkan aku jalan kebaikan. Tidak pernah melupakan bicara nasihat dalam tutur kata dan matanya selalu basah kerana menangis mengharapkan pengampunan di sisi Tuhan.
Ya Allah
Kiranya keluhan ini bisa menghilangkan kepiluan ini, maka telah memadai buatku merasa bahagia di sisimu. Kiranya senyumanmu itu mampu mengubati segalanya, nescaya ia akan menjadi bekalku di sana nanti. Dan kiranya doa mu itu adalah segalanya, maka memadailah untukku memiliki cintamu.
Ya Allah..
Dadaku mula menyesak kini. Nafas sudah tidak teratur lagi. Hanya padaMu ku berserah diri dan sebuah cinta suci ini. Dan kini ku serahkan di bawah penjagaaMu Ilahi, seorang kekasih yang amat kucintai.
Seruling Senja
17 Ogos 2001
8.30mlm
UIA Gombak.
Seruling Senja
17 Ogos 2001
8.30mlm
UIA Gombak.
No comments:
Post a Comment