Tuesday, September 9, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta III


Sayang...
Betapa sucinya ikatan ini yang termeterai dengan nama Tuhan. Sejuta doa dipohon untuk kebahagian berpanjangan. Namun bukan mudah untuk menyatukan dua jiwa berlainan rasa. Banyak dugaan yang perlu dihadapi. Tolak ansur adalah keutamaan.

Sayang...
Indahnya hidup ini bila bahagia mewarnai kehidupan. Bertelingkah sesekali tidak mengapa kerana ia umpama asam garam dalam masakan. Namun kemaafaan adalah dituntut agar keindahan budi sentiasa menghiasi diri dan kemanisan kasih penghias sanubari.

Sayang...
Tuhan telah jadikan kita satu umat yang sederhana. Maka hiduplah dengan sederhana seadanya kita. Bersederhanalah dalam semua urusan kehidupan duniamu, namun lobalah dirimu dalam mengejar akhirat. Kerana urusan akhirat itu adalah terlebih penting buatmu berbanding kehidupan duniamu yang sementara ini. Tiada apa yang lebih baik buat seseorang hamba kecuali dia kembali kepada Tuhannya dengan hati yang sejahtera.

Sayang...
Sesungguhnya dalam jasad anak adam itu ada seketul darah. Kiranya baik darah tersebut, maka baiklah keseluruhan jasad. Namun sekiranya jahat darah tersebut, maka jahatlah keseluruhannya. Itulah hati. Oleh itu, jagalah hatimu dengan sebaiknya. Didiklah ia sebagaimana anak kecil. Berikan ia ilmu dan cerahkanlah ia dengan zikir.

Sayang...
Dengarlah wasiatku ini buat panduan hidupmu. Tanpa panduan hidup daripada firman Tuhanmu dan pesanan Rasul, pasti hidupmu akan terumbang-ambing dengan keseronokan dunia serta sekalian isinya. Moga Allah memberkati hidupmu dengan kemanisan Iman dan nikmatnya amal.


seruling senja
15 Ogos 2008
1.45 tengahari
Masjid Ibnu Abbas,
Kg. Pengkalan Nyireh, Besut.

No comments: