Segala puja dan puji kupersembahkan pada Allah, Tuhan yang mentadbir segala-galanya. Sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, kekasih Allah yang dimuliakan, ahli keluarga dan para sahabat baginda sekalian.
Sayang....
Ketahuilah olehmu sesungguhnya Allah telah menjamin untuk mengabulkan segala hal yang dikehendakiNYA untuk dirimu, dan bukan dalam hal-hal yang engkau kehendaki untuk dirimu. Ianya juga akan terjadi dalam waktu yang dikehendakiNYA dan bukan dalam waktu yang engkau kehendaki.
Sayang...
Kekuatan himmah tidak akan mampu menembusi dinding takdir Ilahi. Betapa pun tinggi himmahmu, namun ada kekuasaan yang tidak bisa ditembusi oleh himmah. Maka wajiblah dirimu menyrehakan segalanya kepada Allah dan engkau harus tahu bahawa ada takdir yang menentukan, ada sebab-sebab yang telah ditentukan dan ada pula perjalanan takdir yang tidak seorang pun dapat mengubahnya.
Sayang...
Hiduplah engkau demi mencari redhaNYA dan janganlah engkau hiraukan cakap-cakap manusia. Pastikan setiap langkah gerakmu berlandaskan paksi agama kerana hukum agamalah yang menentukan salah atau betulnya kelakuanmu itu. Usah pedulikan kehendak manusia kerana sekiranya gerak laku hidupmu adalah berasaskan pendapat manusia, nescaya engkau tidak akan aman selama-lamanya kerana setiap manusia mempunyai pandangan tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.
Sayang...
Jika engkau berharap kepadaNYA maka akan timbul rasa cinta. Bila cinta itu telah kukuh, maka timbulah rasa rindu. Apabila rindu itu mekar, akan hadirlah rasa tenang. Bila perasaanmu selalu tenang dan tenteram sama ada siang mahupun malam, sama ada rahsia atau terang-terangan, engkau akan selalu merasa nikmatnya.
Seruling Senja
13/12/2008
5.15 petang.
Kg. Tanjung Kuala, Tumpat.
No comments:
Post a Comment