Dalam kesibukan mencari keredhaaan Allah dan mengejar kemuliaan Ramadhan, saya berkesempatan untuk beberapa kali menonton siaran ulangan drama bersiri Cinta Sempurna terbitan Astro Oasis yang disiarkan pada pukul 10.00 malam. Agak menarik juga permulaan jalan cerita yang telah saya tonton yang berkaitan beberapa isu dan persoalan agama. Apatah lagi setelah saya mendapat tahu bahawa cerita ini sebenarnya telah diadaptasikan dari pengalaman seorang pendakwah Ustaz Hasrizal Abd Jamil (Saifulislam.com).
Maka tidak peliklah bagi saya sekiranya jawapan-jawapan yang diberikan terhadap persoalan yang dikemukakan Shila (Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan) dan Najib (Wan Hafizol Wan Omar ) yang mendapat pendidikan barat seolah-olah mempertikaikan hukum dan aqidah agama mereka sendiri. Pelbagai cara telah dibuat oleh Datuk Burhan ( Mahmud Ali Basha) dan Datin Zurina (Maria Farida) untuk membetulkan kembali arah tuju hidup kedua-dua anak mereka itu termasuklah memanggil pakar motivasi dan ustaz. Namun semuanya gagal kerana tidak dapat mengatasi kepetahan Shila dan Najib dalam berhujah sehinggalah seorang ustaz muda yang juga pensyarah universiti, Ustaz Nazir (Ashraf Muslim) ditugaskan untuk membetulkan semula keadaan tersebut.
Selebihnya anda kenalah tengok sendiri sebab saya tidak boleh hendak bagi sinopsis kerana masih belum sampai penghujungnya. Namun saya percaya para penonton akan mendapat jawapan yang betul terhadap pelbagai persoalan agama yang dikemukakan dalam drama tersebut.
No comments:
Post a Comment