[CARILAH KASIH INSAN DEMI CINTA TUHAN] Selamat Datang Ke Blog Seruling Senja. Sebarang komen, cadangan atau apa sahaja boleh dihantar kepada saya di serulingsenja2@gmail.com
Sunday, August 23, 2009
Thursday, August 20, 2009
Hikam 2 : Kehendak Untuk Tajrid

Kehendakmu untuk tajrid (beribadat tanpa perlu berusaha dunia), padahal Allah masih menempatkanmu pada golongan orang yang harus berusaha (kasab) untuk mendapatkan keperluan seharian, maka kehendak itu adalah daripada syahwat hawa nafsu yang tersembunyi. Sebaliknya kehendakmu untuk berusaha, padahal Allah telah menempatkan dirimu pada golongan orang yang beribadah tanpa perlu berusaha, maka kehendak yang demikian bererti menurun daripada cita-cita yang tinggi.
Mafhum Hikmah:
Kehendakmu berlepas diri daripada sebarang sebab yang Allah s.w.t wujudkan bagimu untuk mendampinginNya, seperti mencari rezeki yang halal dan mencari ilmu yang zahir merupakan keinginan hawa nafus yang tersembunyi.
Hal ini adalah kerana syahwat atau hawa nafsu tidak terlepas daripada kehendak Tuhanmu sekalipun bermaksud untuk segera bertaqarrub dengan tajrid kepada Allah s.w.t yang menciptakanmu.
Sebaliknya kehendakmu kepada asbab atau usaha untuk mendampingi Allah s.w.t yang masyghul (menyibukkan) kamu daripadaNya yang mulia. Sedangkan Allah s.w.t telah menetapkan kurniaanNya kepadamu tanpa desakan dan usaha merupakan kecundang daripada himmah (cita-cita) yang tinggi kerana kembali daripada Hak (Allah) kepada makhlukNya merupakan serendah-rendah martabat. Justeru, akurlah dan redhalah dengan kehendak Allah s.w.t terhadapmu.
Dipetik dari kitab Ahasinul Kalimi karangan Dr. Mohd. Zulkifli al-Bakri.
Saturday, August 15, 2009
Wabak H1N1 : Bala atau Ujian?
a Babi atau H1N1[1] yang boleh merebak melalui udara tercemar dari orang yang telah dijangkiti. Pelbagai cara telah dilakukan bagi membendung wabak ini daripada terus menular, namun setakat ini masih belum mampu menyekat kemaraannya daripada terus menyerang manusia. Pelbagai usaha dan kajian juga telah dibuat bagi mencari penawar yang boleh mengubat penyakit ini, namun ianya masih lagi belum ditemui.Setakat masa artikel ini ditulis, seramai 56 orang mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak tersebut. Pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan peringatan kepada rakyat supaya menjaga kebersihan diri terutamanya ketika batuk dan bersin. Rakyat juga digalakan supaya memakai topeng penutup muka serta tidak mengunjungi tempat-tempat awam.
Para ulama menasihatkan rakyat supaya mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah s.w.t supaya dijauhkan dari wabak yang masih tidak ditemui penawarnya ini. Allah s.w.t telah berfirman:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).[2]Adalah jelas berdasarkan ayat diatas, Allah s.w.t akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan musibah bagi membuktikan kepada manusia itu sendiri siapakah sebenarnya yang benar-benar layak untuk menduduki syurga Allah s.w.t di akhirat nanti. Allah juga telah berfirman :
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.[3]Ayat diatas merupakan penjelasan mengenai kenapakah manusia itu diuji dengan bala dan musibah. Ujian dan musibah tersebut adalah ukuran dan timbangan untuk menentukan siapakah yang sebenar-benarnya beriman. Ujian tersebut adalah untuk sesama manusia sendiri ketahui dan bukannya untuk Allah kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang beriman dan siapakah yang munafiq.
Imam as-Suyuti menyebut satu riwayat dari ibn Abi Hatim dari Qatadah bahawa sebab turun ayat ini adalah berkenaan dengan orang-orang Mekah yang berhijrah ke Madinah. Mereka semua menyusul Nabi yang kemudiannya dihalang dan dikembalikan semula ke Mekah oleh kaum musyrikin. Kaum Muslimin yang berada di Madinah mengirimkan surat kepada mereka untuk memberitahu isi kandungan ayat diatas. Setelah menerima surat tersebut, mereka pun berhijrah semula ke Madinah sehingga ada diantara mereka yang gugur dan yang selamat.[4]
Oleh itu, wajib keatas kita supaya sentiasa bersabar dengan ujian Allah s.w.t kerana ia akan menentukan tahap darjah keimanan kita kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum Mukminin lelaki dan wanita, yang mengenai dirinya, hartanya, anaknya, tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tiada berdosa. (Riwayat Tirmizi)[6]Maka sebagai orang yang mengakui dirinya beriman dengan Allah s.w.t, kita seharusnya terus bersabar dan bermohon kepada Allah supaya dikekalkan iman serta terus bersabar dalam menempuh ujianNya itu. Allah s.w.t telah berfirman :
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.[7]Manakala Allah s.w.t juga ada berfirman dalam satu Hadis Qudis:-
Barangsiapa yang tidak berdoa kepadaKu, nescaya Aku murka kepadanya. (Riwayat ‘Askari)[8]Oleh yang demikian, hendaklah kita semua bermohon kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Penyembuh agar menghijabkan bala tersebut dari kita dan menghilang ketakutan kita terhadap wabak tersebut.
Diantara doa yang boleh diamalkan bagi mengelak wabak ini ialah:-

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari tikaman, penyakit taun, dari kedatangan bencana, datangnya kematian dengan tiba-tiba, nyalanya penyakit panas, buruknya takdir, beratnya bahaya. Dan kami berlindung kepadaMu dari menimpanya kesukaran, cemuhan atauu ejekan musuh. Wahai Zat yang kekal lagi sentiasa berdiri sendiri. Wahai yang mempunyai kebesaran dan kurnia. Wahai Tuhan kami, lenyapkanlah dari kami azab itu, sesungguhnya kami beriman. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal. Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kmai dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi. Demi rahmat kurniaMu ya Allah Tuhan semesta alam. Ya Allah, Ya Allah yang memelihara Ya Allah yang Maha Tinggi.[9]
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Yusuf Ismail an- Nabhani bahawa ianya dibacakan untuk menghindari wabak:-

____________________________________________________________________
[1] Influenza A(H1N1) virus is a subtype of influenzavirus A and the most common cause of influenza (flu) in humans. Some strains of H1N1 are endemic in humans and cause a small fraction of all influenza-like illness and a large fraction of all seasonal influenza. H1N1 strains caused roughly half of all human flu infections in 2006.[1] Other strains of H1N1 are endemic in pigs (swine influenza) and in birds (avian influenza).
In June 2009, World Health Organization declared that flu due to a new strain of swine-origin H1N1 was responsible for the 2009 flu pandemic. This strain is commonly called "swine flu" by the public media. (http://en.wikipedia.org/wiki/Influenza_A_virus_subtype_H1N1)
[2] al-Baqarah: 214
[3] al-Ankabut : 2
[4] As-Suyuti, Imam Jalaluddin, Lubaabun Nuquul fil Asbaabun Nuzuul, Victory Agencie, KualaLumpur. Cetakan kedua 2004.
[5] M. Ali Usman, A. Dahlah & MD Dahlan, Hadith Qudsi. Pustala al-Azhar, Kuala Lumpur. Cetakan ke IX.
[6] Ibid
[7] Ghafir : 60
[8] M. Ali Usman, A. Dahlah & MD Dahlan, Hadith Qudsi. Pustala al-Azhar, Kuala Lumpur. Cetakan ke IX.
[9] Muhd. Abd. Ghani, Hajat Untuk Rawatan, Pelindung dan Doa. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. Cetakan kelima 1998. muka surat 275.
Saturday, August 8, 2009
Dengarlah Wahai Tuhan

Dengarlah suara hatiku ini. Saat ia meraung dan meronta mencari sirna yang bisa menenangkanya dari keluh-kesah. Melapangkannya dari kekusutan yang membelit jiwa. Mencairkan kekerasannya tatkala mendengar pesan-pesan keramatMu. Menjernihkan segala kekeruhannya agar ia bisa melihat jalan yang terang untuk dilalui.
Wahai Tuhan...
Titipkanlah buatku sifat taqwa dan tawakal agar aku bisa menerima segala takdirMu dengan penuh redha. Jadikanlah jiwaku menjadi hamba yang selalu bersyukur dalam menerima ketentuanMu. Jauhilah aku dari sifat kufur terhadap nikmatMu dan kurniakanlah padaku sifat kecukupan dalam menerima setiap pemberianMu.
Wahai Tuhan...
Kurniakanlah padaku sifat cinta kepadaMu agar aku senang berbuat ketaatan. Jauhilah aku dari merasa senang dengan amal ibadahku sendiri yang membuatkan jiwaku seolah dekat denganMu. Didiklah hatiku dalam ibadah hanya untukMu semata-mata dan bukan kerana mahukan ganjaran pahala syurgaMu atau takutkan azab nerakaMu.
Wahai Tuhan...
Aku serahkan diri dan jiwaku kepadaMu seluruhnya serta jadikanlah sifat sabar dalam jiwaku. Sabar dalam mengerjakan taat kepadaMu, sabar dalam meninggalkan mungkar terhadapMu, sabar dalam menerima ketentuan takdirMu dan sabar dalam segala-galanya agar hidupku bisa tenang dengan qada' dan qadarMu sehinggalah tibanya saat pertemuanku denganMu.
Seruling senja
07 Ogos 2009
2.25 petang
Baung, Kota Bharu.
Friday, August 7, 2009
Hikmah 1: Antara Tanda Bergantung Kepada Amal
Antara tanda seseorang bergantung kepada amal ialah kurang harapan kepada Allah ketika berlakunya kegelinciran dosa.Mafhum Hikmah:-
Awasi diri daripada bergantung kepada redha Allah s.w.t dan balasan yang dijanjikan kepadamu seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain tetapi bergantunglah kepada rahmat Allah s.w.t dan kemuliaanNya. Ibn 'Abbad berkata bahawa bergantung kepada Allah merupakan sifat orang Arifin yang bertauhid, sebaliknya bergantung kepada yang lain merupakan sifat orang jahil yang lalai.
Dipetik dari kitab Ahasinul Kalimi karangan Dr. Mohd. Zulkifli al-Bakri.
Thursday, August 6, 2009
Manaqib Syed Jamaluddin al-Akbar al-Husaini

Segala puja dan puji dipersembahkan kepada Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan, ahli keluarga dan para sahabatnya yang di kasihi.
Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka[1426], dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At Thur- 21)
Di sini adalah Manaqib bagi Ad Daa’I IlaLLAH, as-Syekhul Kabir, al-Qutub al-Habib as-Syed Jamuluddin al-Akbar al-Husaini atau yang lebih masyhur namanya di Nusantara ini dengan nama Syed Hussin Jumadil Kubra atau Jamaluddin Agung atau Sunan Agung. Manaqib ini telah diambil data dan maklumatnya dari beberapa kitab ahli sirah dan nasab yang masyhur. Sesungguhnya telah berlaku banyak ikhtilaf dikalangan para sejarawan tentang beberapa hal yang berkaitan Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar ini. Hal ini adalah kerana, kehadiran beliau itu pada abad yang ke 13 masihi, yang sewaktu itu nasab belum tercatit pada dustur yang teratur. Walau bagaimanapun kami telah mengambil jalan yang aslam serta meninggalkan ikhtilaf yang gharib dari perbahasan sejarawan itu dan mencatitkan apa yang semampu kami sahaja pada manaqib Ulama dan Mujahid yang berjasa ini.
Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin Al Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu Fatimah Az Zahra’ Al Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun Nabiyyin.
Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syeikh Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun 1336 di Kota Agra India. Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan kemewahan kerana ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul Makhluq dan di anugrahkan ALLAH ilmu laduni[1].
Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusha untuk menolak jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan kecewa[2]. Sewaktu beliau menjadi Gabenor Haidrabat itulah, beliau telah menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun sahaja, Haidrabad telah termashur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan dari kerajaan Hindu India[3].
Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke timur. Hal ini adalah bertepatan dengan satu sabda Baginda RasulaLLAH SAW dalam satu hadith yang masyhur:
Dari Abi Masu'd r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan lembangan dakwah mereka.Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”.[5] Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak mematahkan hasrat mereka.
Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpacah untuk mendirikan lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/ Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua). Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana. Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi penasihat Sultan.
Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.
Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam (Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri Ratna Kesuma)[6] . Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra yang bernama Ibrahim Zainol Akbar[7] (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim as-Samarqandi)[8]. Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).[9]
Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam, lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh masyarakat secara umum.[10] Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang reletif singkat.[11]
Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya (Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasenteren ) bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah[12]. Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan menghantarnya ke seluruh pelusok Asia Nusantara ini.
Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak, Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku Hitam/ Pakcu Keling).
Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan yang meliputi kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah, beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya beliau merantau dan berdakwah kedaerah Bugis(Makasar/ Ujung Padang) di Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan daawahnya disini, beliau telah dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Teroja,Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten Wajo, Propensi Sulawesi Selatan.
Aduhai para keturunan yang mulia ini. Apakah kita mengerti betapa menggunungnya tanggungjawab yang terpikul dibahu kita. Betapa leluhur dan sesepuh kita dahulu telah membina empayar dakwah dan penghambaan ke Hadirat Rabbul Jalil. Tersebarnya Islam yang tercinta dibumi Nusantara ini adalah dari keringat, darah dan air mata mereka ini. Apakah cukup kita pada hari ini berbangga dengan nasab al-Akbar atau al-Kubra yang kita miliki atau dengan galaran bangsawan Syed, Habib, Tengku, Tuan, Nik, Wan atau Che yang tersemat di pangkal nama kita dan membiarkan apa yang telah dibina oleh Aslaf kita terdahulu terlekang dek panas, tereput dek hujan, terkakis dek udara. Apakah tugas dan tanggungjawab ini tidak akan disoal ke atas kita di Yaumul Hisab nanti. Apakah memadai untuk kita hari ini berbangga dengan harta,pangkat,gelaran,sijil-sijil akademik dan gelaran akademik yang kita miliki. Apakah untuk itu moyang kita dahulu meninggalkan pangkat,darjat,kekayaan dan tanah tumpah darahnya berlayar ke bumi melayu ini??????????. Tidak sekali-kali!!!!!!!!!!!!!! Tidak sekali-kali wahai anak cucu Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar @ Syed Hussin Jumadil Kubra. Beliau meninggalkan segalanya itu adalah demi cinta beliau kepada ALLAH dan RasulALLAH yang merupakan Datuknya dan Datuk kita.
Sedari dan insafilah duhai ansab Jamuluddin Hussin Al Akbar. Tanggungjawab adalah amanah dan amanah akan ditanya di akhirat nanti. Di mana pun kita, pada posisi apa pun kita, dengan seragam apa pun kita, wadah dan jalan kita adalah satu. Melihat Islam tetap mekar mewangi di Asia Nusantara, Bumi Melayu kita ini.
[1] )Ad Dahlawi, Syekh Waliyullah : Fatawa Alhindi
Sunday, July 26, 2009
Bacalah !!!

Ingatkah kita mengenai ayat pertama yang diwahyukan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s di Gua Hira'? Ayat 1- 5 surah Iqra' yang bermaksud :
Maka kita seharusnya mengambil pengajaran dan i'tibar dari ayat tersebut yang menyuruh kita membaca sebagai salah satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Statistik menunjukkan bahawa peratusan masyarakat Malaysia terutamanya Melayu Islam adalah terlalu kecil yang menjadikan membaca sebagai hobi mereka. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Eropah, mereka sentiasa membawa buku untuk dibaca tidak kira dimana sama ada sambil menunggu bas, tren, taman dan sebagainya. Berbanding dengan masyarakat kita yang lebih suka berbual kosong daripada mengisi masa terluang itu dengan membaca.
Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana telah menjadikan membaca dan mengkaji sebagai hobi yang paling saya sukai disamping hobi-hobi lain. Saya baca semua jenis buku asalkan ia boleh menambahkan ilmu pengetahuan. Saya baca buku dan kitab agama, falsafah, undang-undang, sastera, perubatan, komputer, kekeluargaan, teknologi, novel dan sebagainya. Sejak kecil lagi saya bercita-cita untuk memiliki perpustakaan mini sendiri dan sekarang saya telah memilikinya. Setiap bulan, saya sentiasa memperuntukan sejumlah besar wang untuk membeli buku-buku untuk ditambah dalam koleksi saya sama ada untuk dibaca atau sebagai rujukan.
Saya juga bersyukur kerana telah dikurniakan isteri yang berkongsi hobi dengan saya. Setiap bulan kami akan mengunji kedai-kedai buku sama ada Syarikat Muda Osman, Jaafar Rawas ataupun Popular untuk melihat buku-buku terbaru yang mungkin menarik hati. Jika saya rasa boring, saya lebih suka mengunjungi kedai-kedai buku. Namun begitu, di Kota Bharu ini tidak mempunyai kedai buku yang besar yang hebat sebagaimana kedai buku....di KLCC. Menyebabkan ada ketikanya saya sukar untuk mendapatkan buku-buku tertentu menyebabkan saya terpaksa memesan terus dari pihak penerbitan.
Saya berdoa agak satu hari nanti akan ada sekurang-kurangnya sebuah kedai buku yang besar yang dapat memenuhi hobi saya.