Saturday, August 15, 2009

Wabak H1N1 : Bala atau Ujian?

Seluruh dunia dikejutkan satu wabak penyakit yang dikenali sebagai Selesema Babi atau H1N1[1] yang boleh merebak melalui udara tercemar dari orang yang telah dijangkiti. Pelbagai cara telah dilakukan bagi membendung wabak ini daripada terus menular, namun setakat ini masih belum mampu menyekat kemaraannya daripada terus menyerang manusia. Pelbagai usaha dan kajian juga telah dibuat bagi mencari penawar yang boleh mengubat penyakit ini, namun ianya masih lagi belum ditemui.

Setakat masa artikel ini ditulis, seramai 56 orang mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak tersebut. Pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan peringatan kepada rakyat supaya menjaga kebersihan diri terutamanya ketika batuk dan bersin. Rakyat juga digalakan supaya memakai topeng penutup muka serta tidak mengunjungi tempat-tempat awam.

Para ulama menasihatkan rakyat supaya mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah s.w.t supaya dijauhkan dari wabak yang masih tidak ditemui penawarnya ini. Allah s.w.t telah berfirman:


Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).[2]

Adalah jelas berdasarkan ayat diatas, Allah s.w.t akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan musibah bagi membuktikan kepada manusia itu sendiri siapakah sebenarnya yang benar-benar layak untuk menduduki syurga Allah s.w.t di akhirat nanti. Allah juga telah berfirman :
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.[3]

Ayat diatas merupakan penjelasan mengenai kenapakah manusia itu diuji dengan bala dan musibah. Ujian dan musibah tersebut adalah ukuran dan timbangan untuk menentukan siapakah yang sebenar-benarnya beriman. Ujian tersebut adalah untuk sesama manusia sendiri ketahui dan bukannya untuk Allah kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang beriman dan siapakah yang munafiq.

Imam as-Suyuti menyebut satu riwayat dari ibn Abi Hatim dari Qatadah bahawa sebab turun ayat ini adalah berkenaan dengan orang-orang Mekah yang berhijrah ke Madinah. Mereka semua menyusul Nabi yang kemudiannya dihalang dan dikembalikan semula ke Mekah oleh kaum musyrikin. Kaum Muslimin yang berada di Madinah mengirimkan surat kepada mereka untuk memberitahu isi kandungan ayat diatas. Setelah menerima surat tersebut, mereka pun berhijrah semula ke Madinah sehingga ada diantara mereka yang gugur dan yang selamat.[4]

Oleh itu, wajib keatas kita supaya sentiasa bersabar dengan ujian Allah s.w.t kerana ia akan menentukan tahap darjah keimanan kita kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan semacam tusukan duri atau yang lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapusan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya. (Mutafaqun Alai)[5]

Satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum Mukminin lelaki dan wanita, yang mengenai dirinya, hartanya, anaknya, tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tiada berdosa. (Riwayat Tirmizi)[6]

Maka sebagai orang yang mengakui dirinya beriman dengan Allah s.w.t, kita seharusnya terus bersabar dan bermohon kepada Allah supaya dikekalkan iman serta terus bersabar dalam menempuh ujianNya itu. Allah s.w.t telah berfirman :
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.[7]

Manakala Allah s.w.t juga ada berfirman dalam satu Hadis Qudis:-
Barangsiapa yang tidak berdoa kepadaKu, nescaya Aku murka kepadanya. (Riwayat ‘Askari)[8]

Oleh yang demikian, hendaklah kita semua bermohon kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Penyembuh agar menghijabkan bala tersebut dari kita dan menghilang ketakutan kita terhadap wabak tersebut.

Diantara doa yang boleh diamalkan bagi mengelak wabak ini ialah:-


Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari tikaman, penyakit taun, dari kedatangan bencana, datangnya kematian dengan tiba-tiba, nyalanya penyakit panas, buruknya takdir, beratnya bahaya. Dan kami berlindung kepadaMu dari menimpanya kesukaran, cemuhan atauu ejekan musuh. Wahai Zat yang kekal lagi sentiasa berdiri sendiri. Wahai yang mempunyai kebesaran dan kurnia. Wahai Tuhan kami, lenyapkanlah dari kami azab itu, sesungguhnya kami beriman. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal. Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kmai dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi. Demi rahmat kurniaMu ya Allah Tuhan semesta alam. Ya Allah, Ya Allah yang memelihara Ya Allah yang Maha Tinggi.[9]

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Yusuf Ismail an- Nabhani bahawa ianya dibacakan untuk menghindari wabak:-



____________________________________________________________________
[1] Influenza A(H1N1) virus is a subtype of influenzavirus A and the most common cause of influenza (flu) in humans. Some strains of H1N1 are endemic in humans and cause a small fraction of all influenza-like illness and a large fraction of all seasonal influenza. H1N1 strains caused roughly half of all human flu infections in 2006.[1] Other strains of H1N1 are endemic in pigs (swine influenza) and in birds (avian influenza).

In June 2009, World Health Organization declared that flu due to a new strain of swine-origin H1N1 was responsible for the 2009 flu pandemic. This strain is commonly called "swine flu" by the public media. (http://en.wikipedia.org/wiki/Influenza_A_virus_subtype_H1N1)

[2] al-Baqarah: 214
[3] al-Ankabut : 2
[4] As-Suyuti, Imam Jalaluddin, Lubaabun Nuquul fil Asbaabun Nuzuul, Victory Agencie, KualaLumpur. Cetakan kedua 2004.
[5] M. Ali Usman, A. Dahlah & MD Dahlan, Hadith Qudsi. Pustala al-Azhar, Kuala Lumpur. Cetakan ke IX.
[6] Ibid
[7] Ghafir : 60
[8] M. Ali Usman, A. Dahlah & MD Dahlan, Hadith Qudsi. Pustala al-Azhar, Kuala Lumpur. Cetakan ke IX.
[9] Muhd. Abd. Ghani, Hajat Untuk Rawatan, Pelindung dan Doa. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. Cetakan kelima 1998. muka surat 275.

No comments: