Thursday, August 20, 2009

Hikam 2 : Kehendak Untuk Tajrid

Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Iskandary menyebut:-

Kehendakmu untuk tajrid (beribadat tanpa perlu berusaha dunia), padahal Allah masih menempatkanmu pada golongan orang yang harus berusaha (kasab) untuk mendapatkan keperluan seharian, maka kehendak itu adalah daripada syahwat hawa nafsu yang tersembunyi. Sebaliknya kehendakmu untuk berusaha, padahal Allah telah menempatkan dirimu pada golongan orang yang beribadah tanpa perlu berusaha, maka kehendak yang demikian bererti menurun daripada cita-cita yang tinggi.


Mafhum Hikmah:

Kehendakmu berlepas diri daripada sebarang sebab yang Allah s.w.t wujudkan bagimu untuk mendampinginNya, seperti mencari rezeki yang halal dan mencari ilmu yang zahir merupakan keinginan hawa nafus yang tersembunyi.


Hal ini adalah kerana syahwat atau hawa nafsu tidak terlepas daripada kehendak Tuhanmu sekalipun bermaksud untuk segera bertaqarrub dengan tajrid kepada Allah s.w.t yang menciptakanmu.


Sebaliknya kehendakmu kepada asbab atau usaha untuk mendampingi Allah s.w.t yang masyghul (menyibukkan) kamu daripadaNya yang mulia. Sedangkan Allah s.w.t telah menetapkan kurniaanNya kepadamu tanpa desakan dan usaha merupakan kecundang daripada himmah (cita-cita) yang tinggi kerana kembali daripada Hak (Allah) kepada makhlukNya merupakan serendah-rendah martabat. Justeru, akurlah dan redhalah dengan kehendak Allah s.w.t terhadapmu.




Dipetik dari kitab Ahasinul Kalimi karangan Dr. Mohd. Zulkifli al-Bakri.

No comments: