Tuesday, November 25, 2008

Cogito Allah Sum


Sinopsis :

Semakin berjibaku wacana-wacana filsafat, aku semakin meragukan Hakikat Keberadaan Allah. Hingga sempurnalah aku yang dulunya rajin ibadah kini enggan shalat, puasa, ngaji, suka maksiat, jago dugem, dan sebagainya.
“Got ist tot...” ala Nietzsche yang memfatwakan bahwa Tuhan telah mati sebagai langkah final untuk menuju kedudukan “Manusia Super” hingga “Cogito ergo sum...” ala Rene Descartes yang menegasi Tuhan di bawah kuasa logika manusia merupakan wacana-wacana ilmiah dan filosofis yang senantiasa kupuja.
Kemana-mana aku memproklamasikan bahwa Allah sama-sekali tidak ada. “Allah adalah kesia-siaan...!” pekikku. Tetapi, ada apa ini...? Apa sesungguhnya yang tengah menguasi hatiku? Mengapa justru pada detik yang sama, di lubuk hatiku ini, selalu menyeruak kegelisahan dan keraguan atas pemikiranku sendiri? Kian lama jiwaku terasa semakin menegaskan betapa semakin hari aku justru semakin tak bahagia.
Hatiku semakin kerontang. Hidupku semakin tak menemukan makna. Inikah kesejatian diriku sebagai manusia?! Rupanya, semakin aku memikirkan hakikat Allah, Allah justru semakin Ada. Allah tak terbantahkan oleh nalar filsafat dan logika apa pun, yang selama ini kuanut. Allah seolah telah memfitrah di dalam hati setiap manusia, dirasakan, tak terlogikakan, menghadirkan pendar-pendar ketentraman jiwa yang sangat bening. “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk-Mu…” bisikku dalam derai airmata.

Rayyan sebagai watak utama merupakan seorang mahasiswa sebuah universiti. Kehidupannya begitu sosial setelah dia mendakwa hidupnya tidak memerlukan Tuhan. Manakala agama itu hanyalah ciptaan manusia. Baginya ibadah itu hanyalah sia-sia sahaja kerana Tuhan itu tidak wujud bahkan ia hanyalah kepura-puraan semata-mata.

Perkenalannya dengan Ain Nadia sewaktu menjadi penalis forum kesedaran, memberikan 'kesedaran' kepada kelompok manusia bahawa Tuhan itu tidak wujud, ibadah itu adalah sia-sia dan agama itu hanyalah ciptaan manusia semata-mata. Perkenalan itu telah membuatkan hubungan Rayyan dan Ain Nadia menjadi rapat namun Ain Nadia tidak dapat membaca perasaan Rayyan menyebabkan dia jatuh hati kepada kawan rapat Rayyan sendiri, Haikal.

Berlaku pergaduhan antara Rayyan dan Haikal apabila mereka tahu masing-masing cuba merebut cinta Ain Nadia. Campur tangan jiran-jiran Ain Nadia yang turut memukul Rayyan menyebabkan dia terlantar dihospital. Sepanjang waktu tersebut, Ain Nadia yang menjaganya di hospital. Di situlah Rayyan memohon Ain Nadia agar dia menjadi kekasihnya walaupun hanya sekadar dua minggu. Namun setelah dia sedar bahawa sahabatnya Haikal itu menghidapi sakit jantung, dia menyerahkan Ain Nadia kepangkuan Haikal.

Oleh kerana mengalami tekanan, kemudian berlakunya pergaduhan antara Rayyan dan seorang pemuda di pasar malam akibat sedikit salah faham. Orang-orang di pasar malam telah mengejar Rayyan lalu berlaku kemalangan. Rayyan telah dilanggar oleh sebuah kereta menyebabkan dia terlantar tidak sedarkan diri.

Selama tidak sedarkan diri itu, Rayyan telah mengalami kembara rohani di padang pasir sahara tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman. Di sana dia teleh menemui seorang pemuda yang menunjukkan bukti wujudnya Tuhan sebagai tempat pergantungan.

Setelah sedar, dia telah berkenalan dengan Abdul Rahim, seorang pensyarah Universiti Islam Negeri iaitu orang yang telah melanggarnya pada malam tersebut. Ketulusan pakcik Rahim yang menganggap Rayyan seperti anak lelakinya sendiri menyebabkan Rayyan semakin rapat dengan keluarga itu. Tambahan pula kehadiran Aini, anak pakcik Rahim yang mempamirkan sifat muslimah telah menggoyahkan kerasionalan pemikiran Rayyan.

Perkenalan itu bukan sahaja membuatkan Rayyan makin rapat dengan keluarga pakcik Rahim bahkan terbit perasaan yang istimewa terhadap Aini. Padahal ketika itu Aini merupakan tunangan Ihsan. Rayyan cuba menjauhkan diri dari keluarga itu dan sehingga suatu ketika, dia menceritakan perkara tersebut kepada pakcik Rahim.

Jiwa Rayyan jadi begitu gersang, namun tidak tahu kepada siapa dia patut meminta tolong. Tercetus perdebatan jiwanya mengenai kejadian alam ini dan tidak ditemui jawapannya. Dia cuba menyelesaikannya dengan meminum minuman keras sehingga mabuk. Dalam keadaan mabuk, dia telah tersesat ke dalam sebuah masjid. Di situlah dia berdialog dengan 'Tuhan' mengenai nasibnya sebelum dia diseret oleh sekumpulan pemuda kerana telah mencemarkan kesucian masjid sebagai rumah Tuhan.

Dalam kesakitan akibat dipukul oleh sekumpulan pemuda yang mengheretnya keliling kampung akibat perbuatannya mencemari kemuliaan masjid, Rayyan menemui Pak Haji Misbah. Pak Haji telah menunjukkan semula jalan kepadanya untuk mencari kembali 'Tuhan' yang pernah dipercayainya suatu ketika dahulu.

Di bawah asuhan Pak Haji dan bantuan ustaz Zamri, segala pemikiran rasional Rayyan mengenai Tuhan itu tidak wujud lebur sama sekali. Dia menemui ketenangan yang dicarinya tatkala bertakbir bersama Pak Haji sekeluarga. Tatkala itulah dia melafazkan kata-kata rindu buat Sang Pencipta Yang Maha Agung.

Tatkala itulah dia diserahkan Surat Cinta Daripada Tuhan oleh Pak Haji. Dia menemui kata-kata cinta yang indah dapat menyejukkan jiwa. Rayyan telah mendapat kemanisan cinta Tuhan kembali sehinggalah dia menyertai dialog konsep ketuhanan dengan Syafiq, rakan sefahamannya dahulu. Di situ dia telah mempertaruhkan keimanannya kepada Allah demi mencari jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan Syafiq. Jika dia berjaya menjawabnya, Syafiq akan menyertainya dalam mempercayai Tuhan. Tapi jika dia gagal mendapat jawapannya, dia terpaksa meninggalkan 'Tuhan' yang ditemuinya.

Dalam mencari jawapan tersebut barulah Rayyan tahu bahawa Haji Misbah itu adalah rakan perseguruan ayahnya, Haji Mustafa sewaktu menuntut di Pondok Pasir Tumboh dibawah asuhan Syeikh Jamaluddin. Dan rupa-rupanya jawapan terhadap persoalan yang diutarakan Syafiq itu ada bersama ayahnya.

Tatkala dia mendapat jawapan daripada ayahnya itu, maka bermulalah langkah pertamanya dalam mengharungi dakwah untuk menyedarkan rakan-rakan dalam forum kesedaran, golongan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Komen:

Sebuah novel yang mempersembahkan persoalan ketuhanan kepada para pembaca. Sarat dengan falsafah dan pertembungan antara golongan yang beriman kepada Allah dengan golongan forum kesedaran yang menyebarkan fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Sebuah karya yang amat menarik namun perlukan sedikit perhatian dari pembaca untuk memahami persoalan yang ditimbulkan watak-watak dalam Novel ini. Cuma pengarang novel ini sepatutnya mendedahkan jawapan-jawapan Ustaz Zamri terhadap persoalan-persoalan mengenai kewujudan Tuhan yang dikemukakan Rayyan sehingga dia kembali menemui jalan petunjuk. Bagi saya jawapan tersebut amat penting untuk dijadikan pegangan kepada para pembaca agar pembaca bukan sahaja dapat menikmati plot-plot dalam novel tersebut,bahkan pembaca juga dapat memperolehi ilmu yang amat bernilai darinya.

Tahniah buat pengarang dan moga dapat menghasilkan karya yang lebih baik lagi.



1 comment:

Iliana said...

salam ziarah..saya baru sahaja tamat baca buku ni..
oh ya, awk baca versi indonesia ke? pasti lbh menarik kn..