Monday, January 5, 2009

Novel : Derap- Derap Tasbih

Fatih sebagai watak utama merupakan anak yatim dibawah asuhan dan jagaan Kiyai Sahal. Pak Kiyai ingin menjodohkan Fatih dengan anak gadisnya Wardah. Namun Fatih menolak lamaran tersebut kerana dia sudah menganggap Wardatul Mahmudah seperti adiknya sendiri. Tambahan pula Fatih percaya bahawa dia berhak untuk mengahwini orang yang dicintai.

Namun Wardah sepertinya tidak dapat menerima penolakan lamaran tersebut. Dia semakin jauh hati dari Fatih, tiada lagi berbual mesra dan gurau senda. Wardah cuba mengelak setiap kali bertemu dengan Fatih.

Ianya membawa perkenalan antara Wardah dengan Hendra, seorang pemandu pelancong di hutan Tawangmangu. Maka sejak pertemuan pertama itu, mereka berdua semakin rapat. Dia semakin lupa akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh anak seorang kiyai. Pergaulan dan pakaiannya sudah berubah sehingga kegadisannya turut tergadai dengan pujuk rayu Hendra itu.

Manakala Fatih yang merasa bertanggungjawab ke atas Wardah cuba menjejakinya kerana sudah banyak hari Wardah tidak pulang. Namun begitu, Fatih telah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta dalam hujan lebat sewaktu dua keluar mencari Wardah.

Bermula dari itulah, Fatih berkenalan dengan Dian Sasmita Wijaya, seorang doktor pelatih yang ditugaskan untuk menjaganya di Hospital Panti Husada. Dian yang mengenali Fatih sebagai novelis melalui iklan-iklan pelancaran novel 'Tasbih Micheal' yang terpampang mula meminati Fatih setelah membaca novel karyanya itu.

Dian makin mengambil berat tentang Fatih setelah dia mendapat tahu kereta yang melanggar Fatih itu adalah Honda Jazz miliknya yang diberi pinjam kepada Mila dan Shasa sahabat karibnya. Dian rasa cukup bersalah dan bertanggungjawab di atas kemalangan itu walaupun dia tidak terlibat secara langsung.

Sepanjang berada di hospital, Fatih tetap dibebani fikiran tentang Wardah yang masih belum ditemui. Pak Subhan dan ibu Zaenab serta teman-teman yang lain juga turut membantu Fatih mengesan dimana Wardah berada sehinggalah seseorang yang bernama Ibu Hartini menghubungi Fatih supaya datang menjemput Wardah di rumahnya di Surabaya.

Ketika itulah kisah hitam penuh kehinaan yang menyelubungi Wardah terpaksa ditutup rapi dari pengetahuan umum demi menjaga maruah Kiyai Sahal, Umi Badriyah, Darul Hikmah serta Wardah sendiri. Fatih terpaksa menanggung beban tersebut kerana janjinya dengan Wardah.

Namun begitu, Fatih terpaksa menceritakan perkara tersebut kepada Dian setelah Dian berjanji tidak akan mendedahkan kepada sesiapa. Ini kerana Fatih sudah tidak mampu untuk menanggungnya sendirian.

Dalam kekalutan jiwa ini, rahsia Wardah akhirnya terbongkar juga apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Doktor yang dipanggil Pak Kiyai kemudiannya mengesahkan bahawa Wardah mengandung. Demi menyelamatan maruah kiyai, wardah telah dihantar kerumah saudaranya sehingga melahirkan anak di sana. Ibu Zaenab sedih dengan keadaan begitu menyebabkan timbulnya sedikit perasaan iri hati terhadap Fatih kerana mendapat perhatian dan keistimewaan di sisi Kiyai.

Fatih kemudiannya telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang penulisan di luar negara telah mendapat restu Pak Kiyai. Malah Pak Kiyai juga turut merestui perhubungannya dengan Dian.

Setakat itu sahaja dapat saya tuliskan disini. Selebihnya anda bacalah sendiri baru tahu keadaan sebenarnya.




2 comments:

Anonymous said...

Salam..Novel yang saudari baca ni yang edisi Indonesia atau edisi Malaysia? Jika edisi Indonesia, mohon dipinjam ataupun saya beli dari saudari?

Seruling Senja said...

Kalau tak silap saya versi indonesia kot. Kenapa hendak cari versi indonesia?