Sunday, April 26, 2009

Sifat Sabar Mua'wiyyah


Mua’wiyyah bin Abu Sufian r.a memiliki ladang di kota Madinah yang hampir dengan lading Abdullah bin Zubir al-Hawari r.a. Pekerja Mua’wiyyah menceroboh masuk ke lading Abdullah bin Zubir. Berikutan itu menyebabkan beliau marah. Permusuhan antara kedua sahabat memang sudah terpendam lama. Lalu dia menulis sepucuk surat kepada Mua’wiyyah yang isinya:-
Kepada Mua’wiyyah bin Hindun, orang yang memakan hati (Hamzah bin Abdul Muttalib), pekerjamu telah menceroboh masuk ke kawasanku. Perintahlah dia supaya keluar sekarang juga dari kawasan ladangku. Demi Allah tiada Tuhan selain Dia, jika kamu tidak memerintahkan keluar maka terimalah padah akan menimpa dirimu.

Mua’wiyyah dikenali sebagai seorang yang penyabar dan berjiwa besar. Sebaik sahaja menerima surat itu, dia membaca kemudian memberikan kepada anaknya Yazid. Lalu dia meminta pendapat anaknya. “Bagaimanakah pendapatmu tentang isi surat ibn Zubir yang telah memberi amaran kepadaku?” Lalu Yazid menjawab: “Kirimkanlah pasukan seramai mungkin dan pastikan mereka berjaya membawa kepala ibn Zubir kepadamu.”

Tindakan Mua’wiyyah hanyalah untuk melatih anaknya supaya sabar dan tidak panas baran serta terburu-buru. Mua’wiyyah tidak bersetuju dengan tawaran anaknya malah dia berkata: “Aku akan membalasnya dengan cara yang lebih baik sehingga kita tetap menjalinkkan hubungan silaturrahim dengannya.”

Kemudian Mua’wiyyah mengirimkan sepucuk surat kepada ibn Zubir yang isinya adalah:-
Daripada Mua’wiyyah bin Abu Sufian, kepada Abdullah bin a-Zubir bin Asma’. Selanjutnya demi Allah tiada Tuhan selain Dia. Seandainya dunia ini hanyalah dimiliki oleh aku dan kamu tentu aku akan memberikan semuanya kepada kamu. Seandainya ladangku terbentang dari kota Madinah hingga ke Damsyik nescaya aku akan menyerahkan kepadamu. Jika telah menerima surat ini maka ambillah ladangku itu sebagai sebahagian daripada milikmu dan jadikanlah pekerjaku itu sebagai pekerjamu.

Sebaik sahaja surat itu diterima oleh ibn Zubir dia terus menangis sehingga air matanya membasahi surat lalu dia berangkat ke Damsyik untuk menemui Mua’wiyyah. Setibanya dia di sana dia mengucapkan salam dan mencium kepalanya sambil berkata: “Semoga Allah tidak menghilangkan sifatmu yang penyabar. Inilah sifat yang amat dibanggakan oleh bangsa Quraisy dan ternyata kamu mewarisi sifat yang mulia ini.”

Dipetik dari kitab Majmua’h al-Ahadith al-Mutaa’lliqati bisyarwai al-Basyariyyah karangan Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri.

No comments: