Thursday, October 7, 2010

Ayyuhal Walad: Pesanan Ketiga

Ilmu itu tidak bermanfaat kecuali bila sudah diamalkan

Wahai anakku yang tercinta,
Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahawasanya semata-mata ilmu itu belum dapat menjamin keselamatanmu di akhirat kelak.

Umpamanya kalau seseorang ada memiliki sepuluh bilah pedang yang sangat tajam dan juga bermacam-macam senjata yang lain lagi dan dia pula adalah seorang yang berani dan sangat cekap dalam peperangan, lalu datang seekor singa yang garang dan terus menyerangnya. Maka apa pendapatmu, apakah semata-mata memiliki segala senjata tadi tanpa menggunakannya sudah cukup untuk menangkis serangan singa itu? Sudah tentu tidak. Segala senjata itu baru bermanfaat apabila ianya digunakan oleh tuan empunya senjata itu. Maka begitulah keadaan seseorang yang telah mengetahui ratusan ribu masalah ilmu tetapi ia tidak beramal dengannya, maka segala ilmunya tidak akan bermanfaat kecuali setelah diamalkan. Sama pula keadaannya dengan seorang yang diserang sakit demam panas dan sakit kuning yang biasanya ia dnasihatkan meminum ubat sekanjabin dan kaskab, maka tidak akan hasil sembuhnya kecuali dengan meminum ubat tersebut.

Dalam hal ini disebutkan suatu syair dalam bahasa Parsi:

Seandainya engkau menimbang dua ribu kati arak
Maka engkau tidak akan mabuk sehingga engkau meminumnya

Jadi engkau belajar ilmu seratus ahun lamanya dan engkau menghimpunkan seribu buah kitab maka engkau masih belum layak mendapat rahmat Allah Taala kecuali dengan mengamalkan ilmu ini.

Allah Taala telah berfirman:
Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang Telah diusahakannya, (an-Najm: 39)

Dan firmanNya lagi:

barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh (al-Kahfi: 110)

Dan firmanNya lagi:
sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah: 82)


Dan firmanNya lagi:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka adalah surga Firdaus menjadi tempat tinggal. Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah dari padanya. (al-Kahfi: 107 – 108)

Dan firmanNya lagi:

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; (al-Furqan: 70)

Apabila engkau tidak beramal dengan ilmu makan apa jawapanmu terhadap hadis di bawah ini:-


Maksudnya:

Islam itu diasaskan atas lima perkara: Penyaksian bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu pergi ke sana.


Maka iman itu ialah perkataan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Dan dalil menuntut kita supaya beramal itu sangat banyak sekali sehingga tidak dapat dihitung banyaknya. Walaupun seorang hamba itu akan masuk syurga hanya dengan rahmat dan kemurahan Allah Taala, namun rahmat dan kemurahan ini didapatkan setelah seseorang hamba itu mempersiapkan diri dengan ketaatan dan ibadat, kerana rahmat Allah itu dekat kepada hamba-hambaNya yang berbuat baik.

Seandainya ada orang berkata:
Masuk syurga itu hanya dengan semata-mata beriman.

Maka kami jawab:
Memang begitu, tetapi bilakah seseorang itu dapat sampai ke sana dengan selamat (masuk syurga) dan berapa banyak halangan dan dugaan yang besar-besar mesti dilaluinya sebelum sampai ke sana.

Maka dugaan pertama yang mesti dilaluinya ialah dengan iman itu sendiri, apakah ia past selamat daripada tercabut iman sehingga ke akhir hayatnya. Dan apabila ia telah mati dalam keadaan beriman, maka apakah telah pasti pula bahawa ia tidak akan muflis atau rugi.

Dan berkata al-Imam Hasan al-Basri r.a: Allah berfirman kepada hamba-hambaNya pada hari kiamat nanti: masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu, dan tentukanlah kedudukan kamu masing-masing mengikut amalan kamu. 

No comments: