Thursday, January 29, 2009

Novel: Makrifat Cinta


Sinopsis:

Setelah genap 3 tahun Iqbal Maulana meninggalkan Pondok Tegal Jadin, dia kemudiannya telah kembali ke pusat pengajian tersebut sebagaimana yang telah dijanjikannya dengan Kiai Sepoh sewaktu dia diarahkan untuk keluar dari pondok tersebut 3 tahun lalu.

Iqbal yang diiringi bersama kumpulan Ashabul Kahfi, penyanyi jalanan yang telah mendapat hidayah Allah s.w.t ditemani oleh Tuan Burhan, Puan Lela, makcik Jamilah, Fatiman, Firman dan Indri meninggalkan Banjarnegara demi memenuhi janji Iqbal serta menyatukan jiwa diatas nama cinta Tuhan.

Ketibaan Iqbal ke pondok Tegal Jadin bersama rombongannya telah memberikan kejutan kepada Kiai Subadar, Kiai Sepoh dan seluruh isi pondok tersebut. Namun Iqbal juga turut menerima kejutan apabila diberitahu oleh Ihsan bahawa Rakhmat menderita sakit yang tidak diketahui sebabnya semenjak Iqbal meninggalkan pondok tersebut 3 tahun yang lalu.

Ihsan memberitahu, Rahkmat menderita sakit akibat penyesalan terhadap perbuatannya kepada Iqbal 3 tahun dulu yang menyebabkan Iqbal diarah meninggalkan pusat pengajian tersebut. Iqbal turut bersedih melihat keadaan Rahkmat, seorang yang dihormati suatu ketika dahulu kini terlantar kurus dipembaringan. Namun begitu Rakhmat sempat mendengar sendiri perkataan maaf dari Iqbal sebagai membuktikan Iqbal telah memaafkannya. Rakhmat kemudiannya menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan Iqbal sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci dari Iqbal.

Bukan sekadar pemergian Rakhmat yang mendukacitakan Iqbal, namun wasiatnya supaya Iqbal menjaga A'isyah puteri Kiai Subadar juga turut membebankan fikirannya. Sebelum ini Kiai Sepoh telah menyarankan supaya Iqbal mengahwini tiga orang gadis serentak iaitu Zaenab, Priscilla dan Khaura. Wasiat Rakhmat itu menjadi salah satu penyebab pernikahan Iqbal dengan ketiga-tiga gadis itu tertangguh kerana mencari jalan penyelesaian terhadap wasiat tersebut. Sehinggalah perbincangannya dengan Irsyad, pemuda yang bertanggungjawab membimbingnya ke jalan mencari Tuhan yang telah lama ditinggalkannya. Bagi Irsyad, menjaga A'isyah sebagaimana wasiat Rahkmat tidak bererti menikahinya tapi ia juga membawa maksud menjaga imannya dan akhlaknya. Bagi Irsyad, mencari lelaki untuk menggantikan Rahkmat sebagai cinta hati A'isyah juga termasuk dalam menjaga A'isyah.

Setelah mendapat jawapan tersebut, perasaan Iqbal menjadi sedikit tenang kerana satu dari masalahnya telah selesai. Namun begitu, timbul masalah lain pula iaitu mengenai siapakah lelaki yang layak menggantikan Rahkmat di hati A'isyah. Tapi persoalan itu tidak lama menghantui fikirannya bila tiba-tiba dia teringatkan Ihsan, satu-satunya pemuda yang bersimpati dengannya dalam kejadian 3 tahun yang lalu. Baginya, Ihsan hampir-hampir menyamai sifat dan sikap yang ada pada Rahkmat dan dia memang layak untuk mendiami hati A'isyah.

Jiwa dan perasaan Iqbal terus menjadi nanar untuk membuat pilihan diantara ketiga-tiga gadis tersebut. Mestikah dia menikahi ketiga-tiga gadis itu serentak ataupun memilih salah seorang dari mereka itu? Sehinggalah dia menyerahkan urusan tersebut kepada Kiai Sepoh untuk memilih calon isteri dari kalangan ketiga-tiga gadis tersebut. Manakala Kiai Sepoh telah memberikan tempoh selama dua hari kepada Iqbal untuk mencari mahar bagi pernikahannya nanti.

Akhirnya setelah mendapat restu, Iqbal telah selamat dinikahkan dengan Fatimah Priscilla Zahra dengan mahar kahwinnya surah ar-Rahman bersaksikan semua pelajar Pondok Tegal Jadin.

Komen:

Saya amat tertarik dengan Catatan Penulis mengenai latar belakang kisah yang dimuatkan dalam novelnya. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, sekolah pondok sekarang ini kelihatannya sudah semakin lesu dan malap. Padahal suatu ketika dahulu sekolah pondoklah yang menghasilkan ramai ulama-ulama yang hebat. Namun sekarang ia hanyalah sebuah sejarah sekdar untuk dikenang. Sebagai bekas pelajar pondok, saya juga turut bersedih dengan keadaan ini.

Kisah trilogi Makrifat Cinta yang cukup menarik untuk bacaan semua terutamanya buat sesiapa yang ingin mengenali keindahan cinta dalam Islam. Melalui trilogi ini para pembaca bukan sahaja dapat melihat perbandingan antara cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan cinta Islami, bahkan para pembaca juga akan turut menyaksikan peristiwa-peristiwa dan persoalan-persoalan yang biasanya dialami oleh orang-orang yang mengembara mencari cinta Tuhan.

Syabas dan tahniah saya ucapkan buat saudara Taufiqurrahman kerana berjaya menyajikan trilogi yang hebat dan menarik. Sejak saya membaca novel Musafir Cinta, saya terus diburu rasa tidak sabar untuk membaca novel-novel seterusnya. Doa saya, semoga menyusul karya-karya yang hebat lagi dimasa akan datang.



Monday, January 5, 2009

Ayyuhal Walad: Nasihat Kedua


NASIHAT KEDUA

BAGAIMANA SEPATUTNYA KITA MENERIMA NASIHAT

Wahai anakku yang tercinta; Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran ahli falsafah. [yang dimaksudkan ahli falsafah ini boleh diertikan dengan orang yang mempunyai fahaman sekular di zaman sekarang (pentejemah)] Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini. Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu, nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat lagi daripada orang yang tidak mengetahui apaapa. Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw ertinya ;


Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah orang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.

Dan diriwayatkan daripada Imam A1 Junaid A1 Baghdadi Qaddasuhullahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al Junaid Al Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al Qasim (A1 Junaidi Al Baghdadi). Lalu Imam Al Junaid Al Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin.

Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.


Novel : Derap- Derap Tasbih

Fatih sebagai watak utama merupakan anak yatim dibawah asuhan dan jagaan Kiyai Sahal. Pak Kiyai ingin menjodohkan Fatih dengan anak gadisnya Wardah. Namun Fatih menolak lamaran tersebut kerana dia sudah menganggap Wardatul Mahmudah seperti adiknya sendiri. Tambahan pula Fatih percaya bahawa dia berhak untuk mengahwini orang yang dicintai.

Namun Wardah sepertinya tidak dapat menerima penolakan lamaran tersebut. Dia semakin jauh hati dari Fatih, tiada lagi berbual mesra dan gurau senda. Wardah cuba mengelak setiap kali bertemu dengan Fatih.

Ianya membawa perkenalan antara Wardah dengan Hendra, seorang pemandu pelancong di hutan Tawangmangu. Maka sejak pertemuan pertama itu, mereka berdua semakin rapat. Dia semakin lupa akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh anak seorang kiyai. Pergaulan dan pakaiannya sudah berubah sehingga kegadisannya turut tergadai dengan pujuk rayu Hendra itu.

Manakala Fatih yang merasa bertanggungjawab ke atas Wardah cuba menjejakinya kerana sudah banyak hari Wardah tidak pulang. Namun begitu, Fatih telah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta dalam hujan lebat sewaktu dua keluar mencari Wardah.

Bermula dari itulah, Fatih berkenalan dengan Dian Sasmita Wijaya, seorang doktor pelatih yang ditugaskan untuk menjaganya di Hospital Panti Husada. Dian yang mengenali Fatih sebagai novelis melalui iklan-iklan pelancaran novel 'Tasbih Micheal' yang terpampang mula meminati Fatih setelah membaca novel karyanya itu.

Dian makin mengambil berat tentang Fatih setelah dia mendapat tahu kereta yang melanggar Fatih itu adalah Honda Jazz miliknya yang diberi pinjam kepada Mila dan Shasa sahabat karibnya. Dian rasa cukup bersalah dan bertanggungjawab di atas kemalangan itu walaupun dia tidak terlibat secara langsung.

Sepanjang berada di hospital, Fatih tetap dibebani fikiran tentang Wardah yang masih belum ditemui. Pak Subhan dan ibu Zaenab serta teman-teman yang lain juga turut membantu Fatih mengesan dimana Wardah berada sehinggalah seseorang yang bernama Ibu Hartini menghubungi Fatih supaya datang menjemput Wardah di rumahnya di Surabaya.

Ketika itulah kisah hitam penuh kehinaan yang menyelubungi Wardah terpaksa ditutup rapi dari pengetahuan umum demi menjaga maruah Kiyai Sahal, Umi Badriyah, Darul Hikmah serta Wardah sendiri. Fatih terpaksa menanggung beban tersebut kerana janjinya dengan Wardah.

Namun begitu, Fatih terpaksa menceritakan perkara tersebut kepada Dian setelah Dian berjanji tidak akan mendedahkan kepada sesiapa. Ini kerana Fatih sudah tidak mampu untuk menanggungnya sendirian.

Dalam kekalutan jiwa ini, rahsia Wardah akhirnya terbongkar juga apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Doktor yang dipanggil Pak Kiyai kemudiannya mengesahkan bahawa Wardah mengandung. Demi menyelamatan maruah kiyai, wardah telah dihantar kerumah saudaranya sehingga melahirkan anak di sana. Ibu Zaenab sedih dengan keadaan begitu menyebabkan timbulnya sedikit perasaan iri hati terhadap Fatih kerana mendapat perhatian dan keistimewaan di sisi Kiyai.

Fatih kemudiannya telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang penulisan di luar negara telah mendapat restu Pak Kiyai. Malah Pak Kiyai juga turut merestui perhubungannya dengan Dian.

Setakat itu sahaja dapat saya tuliskan disini. Selebihnya anda bacalah sendiri baru tahu keadaan sebenarnya.




Sunday, December 14, 2008

Wasiat Buat Is teri Tercinta 7

Segala puja dan puji kupersembahkan pada Allah, Tuhan yang mentadbir segala-galanya. Sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, kekasih Allah yang dimuliakan, ahli keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Sayang....
Ketahuilah olehmu sesungguhnya Allah telah menjamin untuk mengabulkan segala hal yang dikehendakiNYA untuk dirimu, dan bukan dalam hal-hal yang engkau kehendaki untuk dirimu. Ianya juga akan terjadi dalam waktu yang dikehendakiNYA dan bukan dalam waktu yang engkau kehendaki.



Sayang...
Kekuatan himmah tidak akan mampu menembusi dinding takdir Ilahi. Betapa pun tinggi himmahmu, namun ada kekuasaan yang tidak bisa ditembusi oleh himmah. Maka wajiblah dirimu menyrehakan segalanya kepada Allah dan engkau harus tahu bahawa ada takdir yang menentukan, ada sebab-sebab yang telah ditentukan dan ada pula perjalanan takdir yang tidak seorang pun dapat mengubahnya.



Sayang...
Hiduplah engkau demi mencari redhaNYA dan janganlah engkau hiraukan cakap-cakap manusia. Pastikan setiap langkah gerakmu berlandaskan paksi agama kerana hukum agamalah yang menentukan salah atau betulnya kelakuanmu itu. Usah pedulikan kehendak manusia kerana sekiranya gerak laku hidupmu adalah berasaskan pendapat manusia, nescaya engkau tidak akan aman selama-lamanya kerana setiap manusia mempunyai pandangan tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.



Sayang...
Jika engkau berharap kepadaNYA maka akan timbul rasa cinta. Bila cinta itu telah kukuh, maka timbulah rasa rindu. Apabila rindu itu mekar, akan hadirlah rasa tenang. Bila perasaanmu selalu tenang dan tenteram sama ada siang mahupun malam, sama ada rahsia atau terang-terangan, engkau akan selalu merasa nikmatnya.


Seruling Senja
13/12/2008
5.15 petang.
Kg. Tanjung Kuala, Tumpat.

Tuesday, November 25, 2008

Cogito Allah Sum


Sinopsis :

Semakin berjibaku wacana-wacana filsafat, aku semakin meragukan Hakikat Keberadaan Allah. Hingga sempurnalah aku yang dulunya rajin ibadah kini enggan shalat, puasa, ngaji, suka maksiat, jago dugem, dan sebagainya.
“Got ist tot...” ala Nietzsche yang memfatwakan bahwa Tuhan telah mati sebagai langkah final untuk menuju kedudukan “Manusia Super” hingga “Cogito ergo sum...” ala Rene Descartes yang menegasi Tuhan di bawah kuasa logika manusia merupakan wacana-wacana ilmiah dan filosofis yang senantiasa kupuja.
Kemana-mana aku memproklamasikan bahwa Allah sama-sekali tidak ada. “Allah adalah kesia-siaan...!” pekikku. Tetapi, ada apa ini...? Apa sesungguhnya yang tengah menguasi hatiku? Mengapa justru pada detik yang sama, di lubuk hatiku ini, selalu menyeruak kegelisahan dan keraguan atas pemikiranku sendiri? Kian lama jiwaku terasa semakin menegaskan betapa semakin hari aku justru semakin tak bahagia.
Hatiku semakin kerontang. Hidupku semakin tak menemukan makna. Inikah kesejatian diriku sebagai manusia?! Rupanya, semakin aku memikirkan hakikat Allah, Allah justru semakin Ada. Allah tak terbantahkan oleh nalar filsafat dan logika apa pun, yang selama ini kuanut. Allah seolah telah memfitrah di dalam hati setiap manusia, dirasakan, tak terlogikakan, menghadirkan pendar-pendar ketentraman jiwa yang sangat bening. “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk-Mu…” bisikku dalam derai airmata.

Rayyan sebagai watak utama merupakan seorang mahasiswa sebuah universiti. Kehidupannya begitu sosial setelah dia mendakwa hidupnya tidak memerlukan Tuhan. Manakala agama itu hanyalah ciptaan manusia. Baginya ibadah itu hanyalah sia-sia sahaja kerana Tuhan itu tidak wujud bahkan ia hanyalah kepura-puraan semata-mata.

Perkenalannya dengan Ain Nadia sewaktu menjadi penalis forum kesedaran, memberikan 'kesedaran' kepada kelompok manusia bahawa Tuhan itu tidak wujud, ibadah itu adalah sia-sia dan agama itu hanyalah ciptaan manusia semata-mata. Perkenalan itu telah membuatkan hubungan Rayyan dan Ain Nadia menjadi rapat namun Ain Nadia tidak dapat membaca perasaan Rayyan menyebabkan dia jatuh hati kepada kawan rapat Rayyan sendiri, Haikal.

Berlaku pergaduhan antara Rayyan dan Haikal apabila mereka tahu masing-masing cuba merebut cinta Ain Nadia. Campur tangan jiran-jiran Ain Nadia yang turut memukul Rayyan menyebabkan dia terlantar dihospital. Sepanjang waktu tersebut, Ain Nadia yang menjaganya di hospital. Di situlah Rayyan memohon Ain Nadia agar dia menjadi kekasihnya walaupun hanya sekadar dua minggu. Namun setelah dia sedar bahawa sahabatnya Haikal itu menghidapi sakit jantung, dia menyerahkan Ain Nadia kepangkuan Haikal.

Oleh kerana mengalami tekanan, kemudian berlakunya pergaduhan antara Rayyan dan seorang pemuda di pasar malam akibat sedikit salah faham. Orang-orang di pasar malam telah mengejar Rayyan lalu berlaku kemalangan. Rayyan telah dilanggar oleh sebuah kereta menyebabkan dia terlantar tidak sedarkan diri.

Selama tidak sedarkan diri itu, Rayyan telah mengalami kembara rohani di padang pasir sahara tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman. Di sana dia teleh menemui seorang pemuda yang menunjukkan bukti wujudnya Tuhan sebagai tempat pergantungan.

Setelah sedar, dia telah berkenalan dengan Abdul Rahim, seorang pensyarah Universiti Islam Negeri iaitu orang yang telah melanggarnya pada malam tersebut. Ketulusan pakcik Rahim yang menganggap Rayyan seperti anak lelakinya sendiri menyebabkan Rayyan semakin rapat dengan keluarga itu. Tambahan pula kehadiran Aini, anak pakcik Rahim yang mempamirkan sifat muslimah telah menggoyahkan kerasionalan pemikiran Rayyan.

Perkenalan itu bukan sahaja membuatkan Rayyan makin rapat dengan keluarga pakcik Rahim bahkan terbit perasaan yang istimewa terhadap Aini. Padahal ketika itu Aini merupakan tunangan Ihsan. Rayyan cuba menjauhkan diri dari keluarga itu dan sehingga suatu ketika, dia menceritakan perkara tersebut kepada pakcik Rahim.

Jiwa Rayyan jadi begitu gersang, namun tidak tahu kepada siapa dia patut meminta tolong. Tercetus perdebatan jiwanya mengenai kejadian alam ini dan tidak ditemui jawapannya. Dia cuba menyelesaikannya dengan meminum minuman keras sehingga mabuk. Dalam keadaan mabuk, dia telah tersesat ke dalam sebuah masjid. Di situlah dia berdialog dengan 'Tuhan' mengenai nasibnya sebelum dia diseret oleh sekumpulan pemuda kerana telah mencemarkan kesucian masjid sebagai rumah Tuhan.

Dalam kesakitan akibat dipukul oleh sekumpulan pemuda yang mengheretnya keliling kampung akibat perbuatannya mencemari kemuliaan masjid, Rayyan menemui Pak Haji Misbah. Pak Haji telah menunjukkan semula jalan kepadanya untuk mencari kembali 'Tuhan' yang pernah dipercayainya suatu ketika dahulu.

Di bawah asuhan Pak Haji dan bantuan ustaz Zamri, segala pemikiran rasional Rayyan mengenai Tuhan itu tidak wujud lebur sama sekali. Dia menemui ketenangan yang dicarinya tatkala bertakbir bersama Pak Haji sekeluarga. Tatkala itulah dia melafazkan kata-kata rindu buat Sang Pencipta Yang Maha Agung.

Tatkala itulah dia diserahkan Surat Cinta Daripada Tuhan oleh Pak Haji. Dia menemui kata-kata cinta yang indah dapat menyejukkan jiwa. Rayyan telah mendapat kemanisan cinta Tuhan kembali sehinggalah dia menyertai dialog konsep ketuhanan dengan Syafiq, rakan sefahamannya dahulu. Di situ dia telah mempertaruhkan keimanannya kepada Allah demi mencari jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan Syafiq. Jika dia berjaya menjawabnya, Syafiq akan menyertainya dalam mempercayai Tuhan. Tapi jika dia gagal mendapat jawapannya, dia terpaksa meninggalkan 'Tuhan' yang ditemuinya.

Dalam mencari jawapan tersebut barulah Rayyan tahu bahawa Haji Misbah itu adalah rakan perseguruan ayahnya, Haji Mustafa sewaktu menuntut di Pondok Pasir Tumboh dibawah asuhan Syeikh Jamaluddin. Dan rupa-rupanya jawapan terhadap persoalan yang diutarakan Syafiq itu ada bersama ayahnya.

Tatkala dia mendapat jawapan daripada ayahnya itu, maka bermulalah langkah pertamanya dalam mengharungi dakwah untuk menyedarkan rakan-rakan dalam forum kesedaran, golongan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Komen:

Sebuah novel yang mempersembahkan persoalan ketuhanan kepada para pembaca. Sarat dengan falsafah dan pertembungan antara golongan yang beriman kepada Allah dengan golongan forum kesedaran yang menyebarkan fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Sebuah karya yang amat menarik namun perlukan sedikit perhatian dari pembaca untuk memahami persoalan yang ditimbulkan watak-watak dalam Novel ini. Cuma pengarang novel ini sepatutnya mendedahkan jawapan-jawapan Ustaz Zamri terhadap persoalan-persoalan mengenai kewujudan Tuhan yang dikemukakan Rayyan sehingga dia kembali menemui jalan petunjuk. Bagi saya jawapan tersebut amat penting untuk dijadikan pegangan kepada para pembaca agar pembaca bukan sahaja dapat menikmati plot-plot dalam novel tersebut,bahkan pembaca juga dapat memperolehi ilmu yang amat bernilai darinya.

Tahniah buat pengarang dan moga dapat menghasilkan karya yang lebih baik lagi.



Sunday, November 23, 2008

Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha


Sinopsis:


"Saya takut menjadi musyrik. Saya takut menyekutukan Cinta saya kepada Allah karena cinta saya kepada Yusuf. Saya rindu untuk bisa dibelai Allah, tetapi hati saya dipenuhi pula kerinduan kepada Yusuf. Apakah saya sudah menjadi manusia musyrik, ya Ustadz? Tolonglah saya! Demi Allah, saya tidak kuasa untuk memilih satu dari cinta dan kerinduan ini. Rindu saya untuk menggapai Wajah Allah seiring rindu saya menggapai wajah Yusuf?."

Rintihan Zulaikha merobek-robek angkasa malam. Cinta dan kerinduannya kepada Yusuf demikian mendalam. Inilah kitab cinta sang wanita muslimah kepada Yusuf? Seorang pemuda Muslim yang diberkati wajah yang bercahaya. Akankah takdir Yang Maha Kuasa membimbingnya menyatukan jiwanya dengan jiwa Yusuf, sekalipun jalan cinta yang harus dilalui oleh sepasang insan ini demikian berliku? Cinta, keimanan, kerinduan, keindahan, mengamuk bersama nyala api kecemburuan, iri, kebencian, kekecewaan, kepedihan, nafsu dan amarah. Sangat mendera iman?

Inilah novel spiritual cinta dan iman berasaskan kisah al-Qur'an yang telah dieksplorasi ke dalam beragam karakter hidup, pengalaman dan perilaku umat kontemporari. Sebuah inspirasi hidup bagi kaum muslimin/muslimat dalam menjalin ibadah, cinta dan obsesi hidupnya. Sebuah mahakarya novelis Muslim terkemuka saat ini, Taufiqurrahman al-Azizy, yang telah berhasil membangkitkan ranah sastra religius Indonesia melalui Trilogi Makrifat Cinta (Syahadat Cinta, Musafir Cinta dan Makrifat Cinta).

Kisah bermula dengan kehadiran tujuh orang mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat kajian di Kampung Telagasari. Kumpulan tersebut terdiri dari Rindu,Dewi, Intan, Zulaikha, Dicky, Doni dan Rangga. Di sana mereka telah bertemu dengan dua orang sahabat yang cukup akrab Umar dan Yusuf. Umar merupakan seorang mahasiswa sebuah universiti di kota manakala Yusuf hanyalah seorang pemuda yang mengabdikan diri pada kampung sahaja oleh kerana dihimpit kemiskinan.

Cinta Zulaikha terhadap Yusuf dinyatakan melalui surat-surat Zulaikha yang dikirimkan kepada Yusuf sekembalinya ke kota. Namun Yusuf dengan berhati-hati membalas surat tersebut agar tidak memberikan pengharapan mahupun tidak melukakan hati Zulaikha.

Namun begitu tanpa disedari, Atikah teman sekampung serta jiran Yusuf turut mencintainya secara senyap-senyap. Perkara ini menjadi buah mulut orang kampung mengenai dua gadis yang mendambakan cinta Yusuf. Ianya membuatkan Yusuf dan ayahnya Ya'kub menjadi serba salah. Apatah lagi Atikah dan ibunya menggunakan pelbagai cara untuk menawan hati Yusuf. Maka timbulah fitnah yang diada-adakan oleh ibu Atikah terhadap Yusuf yang menyebabkan dia membawa diri jauh ke kota demi mengelak berlakunya fitnah yang lebih buruk.

Manakala Zulaikha pula oleh kerana kerinduan cintanya kepada Yusuf, telah mengambil keputusan untuk pergi menemui Yusuf di desa Telagasari. Namun, ternyata kedatangannya itu agak terlewat kerana Yusuf telah pun membawa dirinya ke kota. Maka Zalaikha nekad untuk tinggal di desa itu demi menjaga Ya'kub, ayah Yusuf walaupun ditolak orang tua itu. Zulaikha tinggal bersama Atikah dan ibunya tanpa mengetahui bahawa Atikah dan ibunya telah merancang untuk menghancurkan cinta Zulaikha dan Yusuf dengan memasukkan Umar, sahabat baik Yusuf sendiri sebagai orang ketiga. Maka oleh kerana kesunyian tanpa Yusuf, cinta Zulaikha telah beralih arah kepada Umar.

Di kota, Yusuf bekerja sebagai tukang pengilap kasut disebuah Masjid. Dia juga turut mendapat kepercayaan tuan imam untuk bertugas secara sambilan sebagai muazzin dan penceramah. Disitulah yang membawa kepada pertemuan dengan Ahsin Wijaya, ayah Zulaikah tanpa pengetahuannya. Pak Ahsin begitu tertarik dengan akhlak Yusuf sehinggakan dia menawarkan Yusuf untuk bekerja dirumahnya sebagai tukang kebun. Pak Ahsin telah menguji keikhlasan dan amanah Yusuf dengan beberapa kejadian, namun ternyata Yusuf adalah kuat imannya.

Di desa Telagasari, penduduk heboh memperkatakan bahawa Zulaikha dan Umar akan berkahwin. Ramai penduduk yang mengutuk serta membenci Zulaikha dan Umar. Bagi mereka, Zulaikha merupakan seorang yang munafik dalam cintanya terhadap Yusuf. Manakala Umar pula merupakan penjahat yang sanggup menikam sahabatnya sendiri Yusuf dengan merampas cinta Zulaikha.

Tapi segala-galanya terbongkar pada hari pertunangan antara Umar dan Zulaikha. Bersaksikan semua hadirin termasuk Yusuf dan ayahnya, Umar mendedahkan bahawa Umar sengaja berbuat demikian seolah-olah mencintai dan akan mengahwini Zulaikha demi keselamatan Zulaikha sendiri. Umar tahu perancangan jahat Atikah dan ibunya, lalu berpura-pura mencintai Zulaikha agar Zulaikha terselamat dari perancangan yang lebih jahat lagi. Umar memberitahu dia sekali-kali tidak akan tergamak untuk menghancurkan cinta sahabatnya sendiri. Lalu menyerahkan Zulaikha kepangkuan Yusuf dengan selamatnya.



Komen:


Pada mulanya perjalanan cerita ini agak hambar dan sedikit membosankan. Namun bermula dengan peristiwa Zulaikha memaki dan mencaci Yusuf dirumahnya dan dihadapan Ya'kub sendiri, cerita ini semakin sarat dengan plot-plot yang menarik. Ia mempersembahkan sebuah cinta yang indah berlandaskan syariat. Di sana turut menguji kesetiaan seorang sahabat bernama Umar. Novel yang cukup menarik untuk dibaca oleh semua orang terutamanya muda-mudi yang sedang mencari cinta.

Tahniah buat Taufiqurrahman kerana telah berhasil mempersembahkan karya yang menarik. Saya doakan beliau agar terus dapat menghasilkan karya-karya Islami yang lebih menarik lagi!!

Thursday, November 13, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta 6


Dengan nama Allah, Tuhanku dan juga Tuhanmu, aku mulakan bicara ini. Selawat dan salam yang berkekalan selamanya buat Rasulullah, ahli keluarga baginda yang disucikan Allah dan para sahabatnya yang dimuliakan.

Sayang...
Kehidupan ini tidak menjanjikan kebahagiaan sepanjang masa. Kadang kala manusia diasak dengan pelbagai dugaan dan ujian. Sekiranya kita lemah, kita akan terus hanyut mengikut kata hati dan tidak akan berusaha mencari penyelesaian untuk menyelamatkan diri dan keadaan. Namun jalannya tidaklah senang sekiranya tanpa petunjuk Tuhan yang memandu arah agar ditemui jalan kerdhaanNya.

Sayang...
Binalah kehidupan ini atas dasar cinta. Cinta yang mendambakan keredhaan Tuhan. Hiduplah dalam cintaNya, nescaya engkau akan dijemput untuk menemuiNya dengan penuh kecintaan. Berilah hatimu itu ruang untuk diisikan dengan cintaNya. Cinta yang ingin meraih sebuah pertemuan dengan Sang Kekasih Yang Maha Mulia. Cinta yang menyibukkan jiwamu dengan kerinduan yang tulus tidak pernah padam.

Sayang...
Tidak diketahui bilakah telah Tuhan noktahkan penghujung kehidupan ini. Ia adalah rahsia daripada rahsia- rahsia Tuhan yang tersembunyi. Oleh persiapkanlah dirimu dengan segala perbekalan amal untuk sebuah perjalanan yang jauh. Aturkan urusanmu dengan Tuhanmu nescaya Dia akan mengatur kehidupan duniamu. Penuhilah hak Tuhanmu setiap waktu, nescaya Tuhanmu tidak akan melupakanmu sama ada ketika kamu susah atau senang.

Sayang...
Tiadalah sebesar anugerah buatmu kecuali keredhaan Tuhanmu. Alangkah beruntungnya dirimu tatkala itu kerana dirimu tiada nilainya jika dibandingkan dunia dan seisinya. Sehingga itu kudoakan buatmu, moga ianya benar-benar anugerah Tuhan itu benar-benar menjadi milikmu.

Seruling Senja
07/11/2008
1.26 Petang
Masjid Jami', Paya Rambai.