Thursday, November 13, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta 6


Dengan nama Allah, Tuhanku dan juga Tuhanmu, aku mulakan bicara ini. Selawat dan salam yang berkekalan selamanya buat Rasulullah, ahli keluarga baginda yang disucikan Allah dan para sahabatnya yang dimuliakan.

Sayang...
Kehidupan ini tidak menjanjikan kebahagiaan sepanjang masa. Kadang kala manusia diasak dengan pelbagai dugaan dan ujian. Sekiranya kita lemah, kita akan terus hanyut mengikut kata hati dan tidak akan berusaha mencari penyelesaian untuk menyelamatkan diri dan keadaan. Namun jalannya tidaklah senang sekiranya tanpa petunjuk Tuhan yang memandu arah agar ditemui jalan kerdhaanNya.

Sayang...
Binalah kehidupan ini atas dasar cinta. Cinta yang mendambakan keredhaan Tuhan. Hiduplah dalam cintaNya, nescaya engkau akan dijemput untuk menemuiNya dengan penuh kecintaan. Berilah hatimu itu ruang untuk diisikan dengan cintaNya. Cinta yang ingin meraih sebuah pertemuan dengan Sang Kekasih Yang Maha Mulia. Cinta yang menyibukkan jiwamu dengan kerinduan yang tulus tidak pernah padam.

Sayang...
Tidak diketahui bilakah telah Tuhan noktahkan penghujung kehidupan ini. Ia adalah rahsia daripada rahsia- rahsia Tuhan yang tersembunyi. Oleh persiapkanlah dirimu dengan segala perbekalan amal untuk sebuah perjalanan yang jauh. Aturkan urusanmu dengan Tuhanmu nescaya Dia akan mengatur kehidupan duniamu. Penuhilah hak Tuhanmu setiap waktu, nescaya Tuhanmu tidak akan melupakanmu sama ada ketika kamu susah atau senang.

Sayang...
Tiadalah sebesar anugerah buatmu kecuali keredhaan Tuhanmu. Alangkah beruntungnya dirimu tatkala itu kerana dirimu tiada nilainya jika dibandingkan dunia dan seisinya. Sehingga itu kudoakan buatmu, moga ianya benar-benar anugerah Tuhan itu benar-benar menjadi milikmu.

Seruling Senja
07/11/2008
1.26 Petang
Masjid Jami', Paya Rambai.

No comments: