Monday, August 31, 2009

Khalifah Yang Miskin


Suatu hari Khalifah Hisyam bin Abdul Malik masuk ke dalam Masjidil Haram, tiba-tiba dia melihat Salim bin Abdullah bin Umar al-Khatab, seorang ulama besar dan termasuk salah seorang daripada fuqaha’ yang tujuh. Beliau membawa kasutnya dengan kedua-dua belah tangannya. Ada yang mengatakan bahawa serban, kasut dan bajunya hanya berharga lebih kurang 13 dirham. Maka dilihat oleh Khalifah Hisyam bersama para amir (gabenor), para menteri dan para pengawal, lalu ia bertanya kepadanya: “Wahai Salim, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim berkata: “Tidakkah kamu berasa malu berkata seperti itu di dalam rumah Allah?”

Ketika Hisyam keluar, dia menunggu Salim keluar di luar perkarangan masjid. Hisyam bertanya lagi: “ Wahai Salim tadi kita di dalam Masjidil Haram, sekarang kita berada di luar Masjidil Haram, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim menjawab: “Daripada kepentingan dunia atau akhirat?” Hisyam menjawab: “Tentu sekali daripada kepentingan dunia.”

Salim berkata: “ Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia, saya tidak memohon dunia yang dimilikiNya, bagaimana mungkin saya akan memintanya daripadamu yang sangat miskin ini! Sesungguhnya manusia itu miskin. Apakah manusia itu mengira bahawa kalau dia sudah memiliki wang berjuta-juta atau pelbagai istana, rumah serba mewah, teman-teman yang ramai, dia telah memiliki dunianya? Dia tidak mengetahui bahawa kecukupan dan kekayaan itu menetap di dalam hatii, tatkala hati itu hidup bersama ini.

Dipetik dari Ahasinul Kalimi fi Syarhil Hikam karangan Dr. Zulkifli Mohamad al- Bakri.

No comments: