Sunday, November 9, 2008

Kalam Cinta Daripada Tuhan


Kalam Cinta daripada Tuhan merupakan suatu kisah yang gambarannya menyentuh kalbu, dan berkisar pada perkara yang berlaku pada masa ini. Buku ini mengisahkan tentang kehidupan mahasiswa-mahasiswa di Universiti Islam Negeri (UIN), Indonesia.

Kisah cinta yang melanda para mahasiswa tanpa terjebak dalam nafsu dan syahwat haiwani, tetapi berorientasikan makna cinta dan kehidupan. Kisah cinta dihuraikan dalam perilaku-perilaku yang bermoral, memanfaatkan cinta sebagai semangat hidup untuk terus berjuang dan berkarya, dan mengaplikasikan kesejatian cinta. Masalah yang melanda tokoh utamanya, Jony, biasa terjadi kepada kebanyakan pelajar. Masalah cinta dan jati diri, masalah biasiswa dan wang kiriman, masalah masa hadapan, dan sebagainya.

Gambaran tentang keadaan sekililing, rumah sewa yang padat dengan penyewa dan keakraban para penghuninya sungguh realistik. Juga gurauan, ungkapan, dan amalan para pelajar di rumah sewa. Latar belakang cerita UIN Ciputat juga sangat jelas dan mudah difahami, seolah-olah hasil suatu penelitian yang serius atau yang diambil daripada pengalaman langsung. Bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga segi sejarah dan falsafahnya. Daripada semua itu, yang paling menyenangkan adalah rujukan-rujukannya, cukup terperinci dan argumentatif.

Semangat tauhid juga sangat kental dalam novel ini. Diceritakan dengan cara yang memukaukan dalam bingkai kisah pergolakan batin seorang insan. Mengurai sesuatu berlandaskan agama Islam dengan cara yang mudah dan sederhana, dan memotivasi diri setiap pembaca. Menggerimiskan kalbu dan menghidupkan akal.

Kisah yang berkisar dikalangan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta. Watak utamanya Alim Murtadhany atau lebih dikenali dengan panggilan Jony dikalangan teman-teman yang merupakan palajar Jurusan Pendidikan Fakulti Tarbiyah yang mendepani liku-liku hidup sebagai seorang mahasiswa. Dia juga terpaksa menghadapi hambatan cinta dari Revy Lestari, Betty dan Puan Rita.

Pelbagai alasan yang diberikan Jony kepada mereka agar terlepas dari belenggu cinta terutama tanggungjawab terhadap keluarganya yang miskin. Memikirkan tentang Ali dan Haidhar menambahkan lagi bebanan fikiran Jony. Dia terpaksa mengambil upah sebagai penaip tesis secara sambilan untuk menampung perbelanjaan harian di kampus kerana tidak mahu membebankan bapanya yang bekerja sebagai pencari besi buruk dan bahan lusuh.

Revy yang ingin dijodohkan oleh orang tuanya dengan lain telah memberontak kerana dia hanya mencintai Jony. Manakala bapa Revy, Dany pula secara tidak sengaja telah meminta pertolongan ayah Jony, Sana untuk mengatasi masalah Revy. Sana merupakan senior kepada Dany sewaktu belajar dulu telah memberikan nasihat yang berguna kepada Dany menyebabkan Dany telah menawarkan Revy sebagai menantu Sana. Kedua-dua mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa anak-anak mereka, Jony dan Revy saling mencintai satu sama lain. Sana berkeras menolak rancangan itu kerana pada pandangannya Jony dan Revy tidak sekufu. Revy anak Dany adalah dari keluarga orang kaya manakala Jony pula hanyalah sekadar anak seorang pencari bahan lusuh dan besi buruk sahaja.

Akhirnya kedua-dua mereka telah dipertemukan secara tidak sengaja dirumah Dany sewaktu meraikan kesyukuran Jony di hari konvokesyennya. Di situlah mereka mendapat restu kedua-dua keluarga.


Komen:

Pada permulaan ceritanya agak hambar sedikit kerana ianya menggambarkan sesuatu tempat dengan terperinci sekali dan ianya sedikit membosankan.

Dalam perjalanan cerita tersebut, timbul beberapa persoalan. Pertamanya Jony sebagai mahasiswa Fakulti Tarbiyah tidak seharusnya membenarkan kawan-kawan wanitanya yang bukan muhrim tidur dibiliknya. Walaupun Jony tidak melakukan apa-apa dengan mereka, namun berdua-duaan begitu adalah salah di sisi Islam.

Keduanya, sebagai mahasiswa fakulti tarbiyah Universiti Islam Negeri, seharus dan sepatutnya menjadikan ulama-ulama Islam sebagai contoh sebagai panduan hidup. Bukannya menjadikan Da Vinci sebagai ikutan dan idola.

Penulis novel ini cuba untuk mempersembahkan sebuah kisah cinta yang berlatar belakang Islam, namun ianya masih belum mencapai matlamat. Novel ini masih belum dapat menandingi novel-novel karya Habiburrahman el-Shirazy mahupun Taufiqurrahman al-Azizy.


2 comments:

Sahabat Ute said...

ceritanya bagus. hampir kebanyakan pasti mengalami, kalaupun enggan mengakui. setidaknya cukup tersenyum. hehehehe

FF said...

saya hampir bersetuju dengan apa yang seruling senja cakap..nak kata islamik, tidak bolah kerana ia lebih teori dari praktikal: contoh jony membuat tesis mengenai haya' dan pesimif, tapi dia sendiri bergaul agak bebas dengan yang bukan muhrim, sehingga berpegangan tangan dan macam2 lagi walaupun ada nada sindiran dari shofi dan uda, namun seperti tidak serius dan seolah-olah membenarkan. Namun, gaya penulisan yang bagus dan banyak informasi2 yang diketengahkan serta suara lantang yang mengkritik para kapitalis dan pemimpin2 yang 'corrupt', serta memnggalakkan budaya memberi kepada masyarakat sangatlah bagus...Namun seperti yang saudara seruling ulas, tokoh2 islam yang lain perlu lebih diketengahkan berbanding leornado da vincci, tidak salah cuma kita sudah ada ikutan dan teladan yang lengkap, mengapa perlu tunjuk yang lain?