Monday, June 1, 2009

Novel: Munajat Cinta I


Watak utamanya seorang gadis bernama Rumayda yang cuba mencari hidayah tuhan demi mengenali dirinya sendiri setelah Ustaz Habiburrahman menyelamatkannya dari cubaan membunuh diri di tanah perkuburan Paponan dalam daerah Parakan.

Perkenalan dengan makcik Fuadah, seorang peniaga warung di Terminal Temanggung yang membawanya kepada perjalanan kerohanian mengenali diri mencari seorang guru yang dipanggil Pak Burhan. Perjalanannya itu membawa kepada perkenalan-perkenalan dengan orang-orang yang telah mendapat hidayah Tuhan seperti makcik Istiqomah bersama anaknya yang tidak diketahui siapa bapanya bernama Aslak.

Kembaranya mencari pakcik Burhan di Kampung Kuripan membawanya dengan pertemuan dengan seorang lelaki buta yang amat istimewa sekali. Walaupun matanya gelap tidak nampak cahaya, namun hatinya cerah dan pandangannya tembus. Satu malam yang mula merenjiskan percikan hidayah kedalam hati yang seterusnya membuatkan Ruwayda mengembara lagi mencari seorang gadis yang mulutnya sentiasa basah dengan asma Allah, tidak pernah merungut walau apa pun ujian menimpanya. Seorang gadis yang juga telah menjadi asbab lelaki buta itu bertaubat. Dia bernama Raudhatul Jannah. Namun pencariannya gagal menyebabkan dia kembali semula ke rumah keluarganya.

Di rumah pula dia menghadapi pelbagai soalan yang diajukan oleh adiknya sehingga dia penat dan tiada jawapan terhadap persoalan tersebut. Raihan, adiknya yang berumur hampir sebelas tahun itu mengajukan pelbagai persoalan ketuhanan yang dia sendiri tidak terfikir sehingga ke tahap itu. Lalu Ruwayda menemui Ustaz Mubarok, bekas guru al-Quran adiknya demi mencari jawapan. Jawapan mudah yang diberikan Ustaz Mubarok ialah sesungguhnya diangkat orang-orang berilmu itu beberapa darjat di sisi Allah s.w.t.

Dipertengahan jalan untuk menemui Raudhatul Jannah, Ruwayda telah bertemu Santi seorang janda yang kini menjadi pejuang hak wanita. Pertemuan itu selepas dia terselamat daripada diperkosa oleh tiga orang pemuda yang mabuk. Perbualan Ruwayda dengan Santi, seorang sarjana pengurusan ekonomi telah membuka beberapa demensi baru mengenai perjuangan hak wanita yang didokong oleh Santi. Keesokan harinya Ruwayda meneruskan kembaranya untuk menemui Raudhatul Jannah.

Raudhatul Jannah, seorang gadis yang cacat fizikalnya dan mempunyai sebelah kaki sahaja. Namun dia mempunyai jiwa yang cukup besar.Maka dipertemuan pertama itu, Ruwayda mencari jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan oleh adiknya Raihan dan Santi.

Ruwayda semakin mengenali dunia dengan bertambahnya teman-teman. Fitri siswi semesta tiga Fakulti Tarbiyah dan Ifah siswi semesta tiga Fakulti Syariah yang ditemui di Perpustakaan Awam. Manakala Hasan, Amir, Abas dan Lis adalah antara teman-teman baru jalanan yang ditemuinya sewaktu bekerja sebagai penjual surat khabar. Mereka semua merupakan penyanyi jalanan.

Dalam pada masa yang sama, Ruwayda cuba membantu Lis memulihkan hubungan dengan ibunya yang berantakan akibat sikap ayah tirinya. Dia mendapatkan bantuan Santi bagi menyelesaikan masalah Lis tersebut. Ketika diskusi masalah Lis diadakan di pejabat sekretariat pertubuhan yang diketuai Santi, barulah Ruwayda tahu bahawa pertubuhan yang diketuai Santi itu adalah pertubuhan feminisme yang memperjuangkan hak sama rata antara lelaki dan perempuan.

Dengan persetujuan Raudhah, Ruwayda menjadi perantara untuk menemui ibu Lis dengan membawa sepucuk surat sebagai wakil curahan isi hati Lis. Namun begitu, tampaknya hati ibu Lis masih keras untuk menerima hakikat sebenar kenapa puterinya itu lari dari rumah. Kenyataan bahawa suami barunya iaitu bapa tiri Lis cuba untuk memperlakukan Lis seperti hamba nafsu terlalu sukar untuk diterima. Malah ibunya sendiri beranggapan bahawa Lis hanyalah mereka-reka pembohongan tersebut.

Kemudian pertemuan dengan seorang pemuda yang bernama Adib yang dikatakan oleh Santri sebagai golongan yang memandang rendah terhadap kaum wanita telah membuka beberapa demensi ilmu yang baru bagi Ruwayda. Perkenalan dengan Ummu Habibah pula membawa kepada penyertaannya kedalam jemaah al-Firqah an-Najiyah. Dia mengikuti beberapa siri majlis ta'lim jemaah tersebut sehingga suatu masa dia keliru dengan pengisian yang diberikan oleh penceramah. Oleh sebab terdapatnya titik perbezaan itu, hubungan Ruwayda dengan Fitri dan Ifah yang juga ahli jemaah tersebut menjadi renggang.

Dalam kembara mencari diri itu, Ruwayda berjaya menyedarkan kembali ibu Lis tentang sebuah hakikat kebenaran yang perlu diterimanya walaupun ia amat pahit. Sebelum dia menamatkan kembara itu, dia kembali menziarahi guru dan sahabat utamanya Raudhatul Jannah. Namun, dia kembali diuji dengan kehilangan yang amat besar baginya. Raudhatul Jannah telah dijemput untuk menemui Kekasihnya yang Maha Tinggi. Selepas mengucapkan takziah, dia kembali kepangkuan keluarga dikampung oleh kerana kerinduan yang terlalu hangat dalam jiwa. Kerinduannya pada kedua ibubapanya, dua orang adiknya yang masih kecil. Tetapi sekali lagi dia diuji


Komentar

Satu karya yang menarik sebagaimana jangkaan saya sewaktu melihat penulisnya. Ini membuatkan saya tidak sabar untuk menikmati keindahan karya Islami siri kedua untuk novel ini. Pada pendapat saya, novel ini ditulis penulis bukan hanya berdasarkan idea kreatif semata-mata, namun ia turut digabung jalin melalui penyelidikan ilimiah. Novel ini bukan sekadar dapat menghiburkan para pembaca dengan keindahan susunan plot dan kata-kata, tetapi ia juga turut menawarkan ilmu yang amat berguna.

Tahniah saya ucapkan kepada Taufiqurrahman al-Azizy serta selamat membaca buat semua.

No comments: