Friday, October 16, 2009

Gempa Bumi: Suratan atau Kebetulan?

Setelah beberapa hari gempa yang melanda Padang berlalu, saya menerima beberapa sms yang berbunyi seperti berikut:-

Gempa bumi yang melanda Padang terjadi pada pukul 17:16 dan 17:58, manakala di Jambi pada 08:52 hari berikutnya. Cuba perhatikan terjemahan al-Quran ayat surah 17:16, 17:58 dan 8:52.

Saya tidak pasti pukul berapakah siri gempa yang melanda Padang itu berlaku. Namun, apabila saya memerhatikan aya-ayat dalam surah seperti yang dinyatakan dalam sms tersebut, maka sesungguhnya kita perlu meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Maha Kuasa untuk menentukan segala sesuatu.

Ayat 17: 16 (al-Isra’ : 16)
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Ayat 17:58 (al-Isra’:58)

Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).

Ayat 8:52 (al-Anfaal:52)


(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.

Sekiranya kita bersama merenungi maksud ayat diatas, maka kita akan sedar bahawa Allah .s.w.t telah memberikan amaran kepada manusia sebelum Dia menurunkan sesuatu bala keatas mereka. Namun begitu, mungkin ada orang yang tertanya-tanya jika Allah s.w.t menurunkan bala kenapa ia juga turut menimpa orang-orang yang beramal soleh seperti yang diberikan bahawa ada diantara mangsa-mangsa gempa yang tertimbus ialah kanak-kanak yang sedang mengaji al-Quran.

Terdapat satu hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-

Apabila Allah menurunkan azab kepada sesuatu kaum maka terkenalah akan azab itu mereka yang ada di dalam golongan mereka, kemudian dibangkitkan mereka berdasarkan amalan mereka masing-masing.

Hadis nabi diatas telah menjelaskan semuanya mengenai perkara yang menjadi kemusykilan dalam fikiran manusia tentang manusia yang beriman serta beramal soleh juga turut terkena bala Allah sw.t.

Ibnul Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, “Pada sebahagian waktu, Allah s.w.t memberikan izin kepada bumi untuk bernafas, lalu terjadilah gempa yang dahsyat. Akhirnya, muncullah rasa takut yang mencengkam pada hamba-hamba Allah. Ini semua sebagai peringatan agar mereka segera bertaubat, berhenti dari berbuat maksiat, tunduk kepada Allah dan menyesal atas dosa-dosa yang selama ini diperbuat.

Selain menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan bantuan kepada mangsa gempa yang memerlukan, kita juga wajib merenungi amaran dan peringatan yang berupa gempa atau goncangan atas perintah Allah s.w.t itu. Semoga kita tergolonga orang yang bertaqwa.

No comments: