Thursday, October 22, 2009

Qasidah Cinta Buat Tuhan


Ya Allah...

Hatiku bergetar tatkala menikmati qasidah-qasidah cintaMu. Alunannya menusuk jiwa yang penuh rindu dan bisa membuatkan nafasku terhenti dikala semilirnya menerobos sendu. Aku bagai tenggelam kelemasan dalam selaut rindu tiada bertepian.


Tuhan...

Aku terlalu lemah untuk menghadapi gelombang rindu ini. Ombaknya amat besar bagiku bertahan sedangkan perdu jiwaku terlalu rapuh menanggung cintaMu yang maha agung.


Ya Allah...

Aku mohon dengan cintaMu secebis rindu yang memungkinkan aku sentiasa merasai kehampiranMu. Moga dengan rinduMu itu aku bisa menerima segala takdir ketentuanMu keatasku. Aku mohon dengan cintaMu agar aku mampu menikmati manisnya iman, tulusnya amal dan indahnya taqwa.


Tuhan...

Aku dambakan cintaMu yang dengannya aku hidup, dengannya juga aku mati dan dengannya juga aku kembali kepadaMu.


Seruling Senja

21/10/2009

11.34 malam.

Lorong Jaya, Tanjung Mas, Kota Bharu


Monday, October 19, 2009

Mutiara Hikmah


Oh, Tuhanku tiada indah suatu malam kecuali dengan bermunajat kepadaMu. Tiada indah suatu siang, kecuali berbuat taat kepadaMu. Tiada indah dunia ini, kecuali dengan menyebut namaMu. Tiada indah akhirat , kecuali bersama keampunanMu. Dan tiada syurga melainkan dengan melihat wajahMu.

Vanny Chrisma W. (Wo Ai Ni Allah, PTS Litera Utama Sdn. Bhd.)

Friday, October 16, 2009

Gempa Bumi: Suratan atau Kebetulan?

Setelah beberapa hari gempa yang melanda Padang berlalu, saya menerima beberapa sms yang berbunyi seperti berikut:-

Gempa bumi yang melanda Padang terjadi pada pukul 17:16 dan 17:58, manakala di Jambi pada 08:52 hari berikutnya. Cuba perhatikan terjemahan al-Quran ayat surah 17:16, 17:58 dan 8:52.

Saya tidak pasti pukul berapakah siri gempa yang melanda Padang itu berlaku. Namun, apabila saya memerhatikan aya-ayat dalam surah seperti yang dinyatakan dalam sms tersebut, maka sesungguhnya kita perlu meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Maha Kuasa untuk menentukan segala sesuatu.

Ayat 17: 16 (al-Isra’ : 16)
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Ayat 17:58 (al-Isra’:58)

Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).

Ayat 8:52 (al-Anfaal:52)


(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.

Sekiranya kita bersama merenungi maksud ayat diatas, maka kita akan sedar bahawa Allah .s.w.t telah memberikan amaran kepada manusia sebelum Dia menurunkan sesuatu bala keatas mereka. Namun begitu, mungkin ada orang yang tertanya-tanya jika Allah s.w.t menurunkan bala kenapa ia juga turut menimpa orang-orang yang beramal soleh seperti yang diberikan bahawa ada diantara mangsa-mangsa gempa yang tertimbus ialah kanak-kanak yang sedang mengaji al-Quran.

Terdapat satu hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-

Apabila Allah menurunkan azab kepada sesuatu kaum maka terkenalah akan azab itu mereka yang ada di dalam golongan mereka, kemudian dibangkitkan mereka berdasarkan amalan mereka masing-masing.

Hadis nabi diatas telah menjelaskan semuanya mengenai perkara yang menjadi kemusykilan dalam fikiran manusia tentang manusia yang beriman serta beramal soleh juga turut terkena bala Allah sw.t.

Ibnul Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, “Pada sebahagian waktu, Allah s.w.t memberikan izin kepada bumi untuk bernafas, lalu terjadilah gempa yang dahsyat. Akhirnya, muncullah rasa takut yang mencengkam pada hamba-hamba Allah. Ini semua sebagai peringatan agar mereka segera bertaubat, berhenti dari berbuat maksiat, tunduk kepada Allah dan menyesal atas dosa-dosa yang selama ini diperbuat.

Selain menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan bantuan kepada mangsa gempa yang memerlukan, kita juga wajib merenungi amaran dan peringatan yang berupa gempa atau goncangan atas perintah Allah s.w.t itu. Semoga kita tergolonga orang yang bertaqwa.

Wednesday, October 14, 2009

'Rehlatul Kubra' Dalam Proses


Saya percaya ada beberapa pengunjung sedang menantikan paparan Rehlatul Kubra: Sebuah Catatan Perjalanan Ke Sulawesi. Namun begitu catatan tersebut masih lagi dalam proses penaipan dan pengeditan. Kali ini saya hanya sekadar membantu saudara saya Abd. Rashid al-Kubrawiy untuk menyiapkan cacatan tersebut.

InsyaAllah, dalam masa yang agak singkat nanti kami akan paparkan catatan tersebut untuk tatapan para pengunjung yang ingin mengetahui kisah perjalanan kami melawat Makam Syed Jamaluddin al-Akbar di Wajo, Sulawesi Selatan dan menghadiri Majlis Haul ke 41 Habib Idrus bin Salim al-Jufri, Pengasas Yayasan al-Khairaat di Kota Palu, Sulawesi Tengah.

PUASA ENAM : BOLEHKAH DISATUKAN DENGAN PUASA QADA'


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah


MATLAMAT puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertakwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al-Quran.

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Allah Subhanahu Wataala berfirman : "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa Ramadan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu’ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari ‘Arafah, puasa di bulan Syaaban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam.

Pada siri Irsyad Hukum kali ini kita akan membicarakan mengenai beberapa perkara yang berhubung dengan puasa enam.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fitrah.Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran."


KEWAJIPAN MENGQADA PUASA
Puasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib diqada sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang tafsirnya :

"Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Surah Al-Baqarah : 184).

Kewajipan mengqada puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :

"Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." (Surah Al-Baqarah : 184).

Dalam mengerjakan qada puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qada puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qada boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fitrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyriq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadan yang baru.

Jika qada puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya Kedua (2 haribulan Syawal). Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qada. Walau bagaimanapun menurut para ulama ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadan.

Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qada tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia mengerjakan puasa qadanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqada puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulama dia hanya mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.


MENYATUKAN PUASA QADA DENGAN PUASA ENAM
Bagi orang yang hendak melakukan qada puasa Ramadan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syarak), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-dua sekali (iaitu ganjaran puasa qada dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qada atau puasa nazar atau puasa kafarah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis atau pada hari ‘Ayura dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qada dan puasa sunat seperti puasa hari Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat gambaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya maksudnya :

"Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya." (Al-Fatwa Al-Kubra : 2/75).

Walaupun menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegarakan qada puasa itu sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.


Saturday, October 3, 2009

Maha Suci Tuhan


Maha Suci Tuhan
Yang mempermudahkan perjalanan hambaNya
Di daratan mahupun angkasa raya
Tiada mampu aku dan tiada daya
Kecuali dengan izinNya
Dalam jejak kembara
Mencari kasihNya
Demi cintaNya
untukNya

Seruling Senja
03/10/2009
11.35 pagi
Air Asia AK 5282
Kuala Lumpur – Kota Bharu