Sunday, March 14, 2010

Hikam 4: Rehatkanlah Dirimu Daripada Tadbir


Syeikh Zarruq berkata: Jika sesiapun tidak mungkin mengoyakkan kota takdir Tuhan dengan tadbir dan ikhtiar yang tidak memberi faedah bahkan kelesuan yang mengundang, amat patut seseorang yang berakal meninggalkannya. Justeru pengarang berasa perlu untuk menyebut hikmah ini:

Rehatkanlah dirimu daripada tadbir (urusan) ini. Justeru, apa-apa yang telah dilakukan oleh orang lain, sama ada perkara duniawi atau ukhrawi, maka janganlah engkau melakukannya bagi dirimu.  

Mafhum Hikmah

Rehatkan dirimu daripada keletihan mengurus pentadbiran yang menafikan konsep perhambaan sehingga kamu berkata: “Kalaulah aku tidak buat begitu tidaklah terjadi begini.” Hal ini adalah kerana Allah s.w.t telah mentadbirkan semuanya sejak azali ilmu-Nya. Justeru, apa-apa yang dilaksanakan oleh orang lain, janganlah kamu masuk campur lagi kerana kamu telah lemah untuk melaksanakannya.

Ibarat pertama hikmah ini menggesa manusia jangan bertadbir kerana ia menyusahkan hati sepertimana kata Sahl bin Abdullah:

Tinggalkanlah tadbir dan ikhtiar kerana kedua-duanya mengeruhkan kehidupan manusia

Sabda Rasulullah s.a.w:

Sesungguhnya Allah menjadikan roh dan kerehatan dalam perkara redha dan yakin (Riwayat hadis dinyatakan oleh ibn Ajibah dalam al-Himam)

Tadbir yang tidak boleh ialah tadbir tanpa berserah kepada Allah s.w.t. Jika sebaliknya, ia bukanlah tadbir mengikut maknanya yang hakiki namun ia disebut demikian secara majaz.  


Dipetik dari Ahasinul Kalimi karangan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

No comments: