Friday, April 9, 2010

Muslim usah terbelit isu pluralisme, liberal


Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady
2010/04/08

Ummah perlu ketahui batasan perbezaan, adab, disiplin hormat-menghormati sesama insan

SAYU hati mengingatkan tokoh Islam yang asalnya berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah dan peneraju gerakan Islam dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna dan Syed Qutb, akhirnya menjadi pendukung aliran pluralisme agama Prof John Harwood Hick.

Pluralisme agama dibentangkan gagasan Prof Hick meninggalkan sikap eksklusif Katholik yang menganggap semua agama sebagai penyelamat, menunjukkan pemikirannya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti sebenar.

Ia timbul daripada pengalaman peradaban, budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat melalui sejarah pahit. Tidak masuk akal orang Islam yang berimamkan al-Quran boleh mengikut aliran muflis dari segi rohani. Islam mengajar sesiapa yang mengikut nabi akan selamat.

Orang yang memiliki kepercayaan seperti John Hick mungkin akan menjadi ‘suam-suam kuku’ dalam keyakinannya. Mereka bukan daripada kalangan orang yang yakin dan akhirnya berpendapat pengetahuan mengenai Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin.

Pegangan seperti ini membuatkan kita melihat persamaannya dengan golongan zindik zaman klasik iaitu mereka yang imannya terpesong atau sesat.

Nukilan Jalaluddin Rumi menyebut mengenai lampu yang banyak dan keperluan tidak melihat lampu tetapi cahaya dengan fahaman semua agama adalah sah, sebenarnya menimbulkan kekeliruan ke arah memahami perkara ghaib dengan mata zahir.

Jika hakikatnya demikian, tentu Rumi tidak mengkritik agama Kristian, Yahudi dan Musyrikin penyembah berhala. Sebaliknya memang beliau mengkritik. Ini menyebabkan yang benar atau batil dalam agama menjadi tidak relevan dan tepat.

Melalui teori itu, Hick menegaskan jalan keselamatan dalam agama tidak tunggal tetapi jamak dan beragama sesuai dengan tradisi serta ajaran yang ada.

Teorinya itu merujuk kepada kata-kata Rumi, “Lampunya berbeza tetapi cahayanya sama.” Hick juga menemukan kalimat sama dalam kitab suci Hindu, Bhagavad Gita, “Jalan apapun yang dipilih manusia adalah milik-Ku.”

Sikap menyatakan adanya inti semua agama mengatasi bentuk lahiriah dan upacara tidak ada sandaran dalam tamadun Islam atau sejarah kerohaniannya. Nama yang disebut bagi menyokong aliran itu adalah perbuatan menjual nama demi melariskan barangan. Kenyataan itu diambil di luar konteks atau ditafsirkan secara tidak sahih.

Dante yang terkenal dengan bukunya, Divine Comedy tidak berjaya membuktikan beliau memandang semua agama ada kedudukan sah dan bersifat sebagai penyelamat. Jika tidak, mengapa beliau memasukkan Nabi Muhammad dalam neraka dengan tuduhan baginda sebagai ketua kumpulan mengadakan sokongan serpihan agama yang sesat.

Dante yakin kebenaran muktamad agama Katholiknya tetapi bagaimana buku itu boleh menjadi bukti kebenaran pluralisme agama?

Kedamaian rohani dan keamanan tercapai apabila manusia berhenti daripada kerakusan. Itu peraturan rohaniah yang sah dalam Islam tetapi tidak menjadi dalil untuk pluralisme agama.

Soal ‘menyokong satu agama’ dalam erti memilih agama Islam mengatasi yang lain bukan soal ‘memilih’ tetapi ia ketetapan Ilahi dalam ayat, “Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam.”

Pemikiran Hick dan pemikir sepertinya tidak mampu menolak keyakinan yang datang daripada Tuhan, Rasul (semua rasul dan nabi dalam semua zaman sejarah anak Adam), arifin dan ijma’.

Negara yang penduduk dan pemimpin tertingginya Muslim, wajib berlaku ‘menyokong satu agama’, seperti menjadikan Islam agama Persekutuan. Tetapi Islam mengajar keadilan dan kebebasan beragama bagi penganut agama lain, sedangkan di Barat sekarang pun tudung kepala dan menara masjid menjadi masalah besar.

Penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran menyeluruh mewakili arus perdana umat.

Bagaimanapun, ia perlu dilihat dalam konteks sejarah, seperti sekarang, maklumat dimanipulasi untuk kepentingan pengaruh atau dominasi sesebuah negara terhadap negara lain.

Prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arus perdana iaitu menjadi umat terbaik dilahirkan untuk manusia tanpa mempedulikan pandangan golongan Islam liberal atau pluralisme agama.

Namun, kita perlu mengetahui perbezaan, persamaan, adab, disiplin dan menghormati orang lain dalam batasan yang wajar.

No comments: