Monday, August 11, 2008

Surat Cinta Buat Kekasih II


Dengan nama Tuhan yang penuh Ketinggian kumulakan surat cinta ini. Semoga kemurahan Tuhan sentiasa melimpah ­ruah dalam cinta kita.

Kekasih….

Buat sekian kalinya aku titipkan surat ini buatmu. Begitulah jua keadaan jiwa dan perasaanku. Tidak pernah reda daripada gelora cinta yang memukul pantai hati. Aku kehabisan kata untuk digambarkan betapa perasaan rindu ini buatkan aku lupa pada sesuatu. Kadang­-kadang aku lupa hari apakah hari ini? Kerana hatiku penuh dengan rindumu. Fikiranku penuh dengan gambaran wajahmu.

Kekasih…

Aku ingin sekali menebus segala rinduku disetiap pertemuan kita. Namun, rindu lama tidak sempat terlerai telah terbeban dengan segunung rindu yang baru. Terlalu sukar untuk aku hapuskan rindu ini dari hatiku walaupun dirimu berada dipangkuanku, rinduku tetap membara. Setiap kali menatap wajahmu, setiap kali itulah rinduku semakin hangat dan cintaku semakin mekar. Betapa aku kalut dalam melayani kerenah rindu ini.

Kekasih….

Wujudkah ubat untuk menghilangkan rindu di hati ini? Walau selalu kutatap gambar-­gambar kenangan kita, rindu ini tetap tidak mahu pulang walau beratus kali gambar­-gambarmu kutatap, namun begitulah aku.

Hati lelakiku ini masih tidak mampu untuk mendepangi dugaan rindu ini. Entahlah… aku sering berdoa dan berharap agar ada suatu masa yang dapat aku lunaskan segala rindu dan dendam yang terbuku di hati ini.

Kekasih…

Aku masih ingat kata-­katamu, jika rindu lihatlah pada bintang-­bintang. Carilah bintang yang paling bersinar dan ketika itu pasti aku tahu bahawa aku juga turut dirindui. Saat bersamamu buat aku cukup bahagia. Pujuk rayumu buat aku lupa segala keresahan dan masalah kehidupan yang aku hadapi. Ingin sekali aku berada disamping mu sentiasa. Namun keadaan tidak mengizinkan aku berbuat demikian.

Kekasih…

Sekarang ini aku penat memikul janji cinta kita. Namun aku bahagia kerananya. Dan aku benar­benar tidak sabar untuk menanti hari yang menghalalkan aku segalanya keatasmu. Dan doaku, moga Tuhan masih sudi untuk merahmati umur dan nyawaku sehingga ke saat itu.


Hanyalah dirimu kekasihku…..


Seruling Senja
1 Julai 2004
4.36 petang
Puncak rindu
Tg. Kuala, Tumpat.




Sunday, August 10, 2008

Surat Cinta Buat Kekasih I


Assalamualaikum…………

Dengan nama Tuhan yang telah meletakkan setitis kasih dan cinta dalam hati ini dan kini telah membuahkan rindu yang tiada jua dapat kutahan geloranya jika tanpa sedikit ketenangan yang dikirimkan Tuhan buatku. Buat kekasih…Saat aku tuliskan surat ini buatmu, betapa hatiku sentiasa sarat dengan rindumu. Rindu yang mendambakan kasihku padamu. Hatiku penuh dengan cintamu dan tidak bisa dimasuki oleh kasih yang lain. Hanya kasihmu yang aku miliki, yang menceriakan kehidupanku walaupun kadang­kadang aku tersasar oleh kerana mabuk kerinduan.


Kekasih…..

Ingin aku katakan padamu bahawa aku tidak menduakan kasihmu. Aku tidak menduakan cintamu kerana hatiku telah dirimu miliki. Bagaimana aku bisa mengisinya dengan sesuatu yang lain sedangkan ia berada disampingmu. Janganlah dirimu sangsi dengan kesetiaanku, kerana aku telah membina benteng yang tinggi agar cintamu yang kumiliki tidak terlepas keluar dari sempadan hati dan menghalang sebarang cinta dari luar untuk menerobosi jiwaku.

Kekasih…..

Cintamu adalah antara yang terutama dalam senarai cintaku. Pertama cinta Tuhan dan rasul, kedua cinta keluargaku dan ketiga adalah cintamu. Aku jamin ia tidak akan berubah arah sehinggalah Tuhan benar-­benar menentukan dan menyatakan kehendaknya dalam kisah perjalanan cinta kita ini. Namun aku sentiasa berdoa agar cinta dan kasih kita ini hayatnya berpanjangan hingga dibawa bersama sewaktu menghadiri perjumpaan di hadapan Tuhan di hari kemudian.

Kekasih….

Tiadalah sebaik kata-­kata yang mampu aku tuliskan dalam surat cintaku ini melainkan untuk menyatakan bahawa sehingga kini hanya dirimu yang memiliki hatiku ini. Aku bahagia begini dan aku ingin terus begini bersamamu. Aku bermohon pada Tuhan semoga Dia menerima permohonan ini. Hanya padaNyalah aku berharap.

Kekasih….

Cinta dan rindumu adalah menjadi teman paling setia dalam hidupku walau saat dirimu tiada disisiku.


Seruling Senja.
30 Jun 2004
1.19 tengahari
Tg. Kuala, Tumpat


Thursday, August 7, 2008

Pesanan Buat Kekasih IV (Akhir)

Segala puji tiada terhingga buat Ilahi di atas kurniaanNya aku diberi kesempatan terakhir ini tatkala kehidupan sudah tiba pengujungnya. Telah lama wakil-wakil malaikat maut menunggu sehinggalah aku mampu berbicara padamu.

Aduhai kekasih

Tatkala ini kakiku sudah terasa dinginnya dan tidak kumampu kini walau untuk menggerakkan hanya ibu jari. Allah.beratnya keluhan ini kurasakan pabila terkenang segalanya bakal kutinggalkan. Tiada apa yang akan kubawa melainkan secebis amal yang sedikit cuma pastinya tidak kumampu untuk membayar bauan syurga Firdausi.

Wahai sayang..


Kedinginan telah menjalari dan kini ia telah sampai ke sendi dua lututku. Sendi dan urat telah mengucapkan salam perpisahan diantara mereka dan kepadaku dengan sebuah perjanjian yang tidak mungkin dimungkiri iaitu pertemuan kembali di hadapan Raja segala raja untuk diperkirakan segalanya.


"Sesungguhnya kita sudah lama berada dalam satu keluarga yang saling bantu membantu antara satu sama lain yang bersama merasai susah dan senang. Tetapi sekarang, aku terpaksa mengucapkan selamat jalan kepadamu, kerana Allah s.w.t menghendaki perpisahan ini. Semoga kita akan bertemu semula di akhirat kelak."


Sehingga ini, cinta dan kasihku padamu tidak pernah luntur walau sekelumit kerana ia telah ku khatamkan dengan cinta Ilahi yang suci. Kudoa dan kuharapkan, bunga cintaku ini akan terus mekar kembangnya dan seterusnya mewangi di sisi pusaraku laksana kemboja yang harum di pagi hari.

Aduhai kekasih..


Dinginnya kurasakan pada pinggang ini. Kulitku yang pucat kemerahan telah bertukar menjadi pucat keputihan. Kiranya ditoreh dengan belati, kupasti tiada lagi darah merah yang akan keluar.


Ingin sekali kupastikan tiada lagi pesanan yang tertinggal untuk kuwasiatkan padamu sebagai pedoman setelah ketiadaanku nanti. Teruskanlah perjalananmu di atas jalan yang haq sebagaimana yang telah ku petakan padamu. Telah kutinggalkan padamu kompas iman dan petunjuk taqwa untuk dijadikan panduanmu dalam menyelusuri jalan ketuhanan ini. Kiranya engkau wahai sayang berpegang padanya, insyaAllah pastinya Allah memeliharamu.

Wahai sayang.


Kesejukan telah menguasai tubuhku hingga ke pangkal leher. Kedua tanganku sudah tidak mampu lagi bergerak apatah lagi untuk menyapu air matamu. Selimutilah aku dengan cintamu dan peluklah aku dengan sayang rindumu,moga kedinginan ini bisa berkurang bagi kuhabiskan bicara terakhir ini.
Ibu..
Kuminta diampun segala dosaku
Halalkanlah makan dan minumku
Sedekahkanlah air susumu
Moga kasihmu sentiasa mewangi disisiku

Keluarga
Segalanya ku minta diredha
Walau sekelumit bantuan cuma
Pada belaian manja
Terlalu bernilai harganya
Teman
Bersama kalian adalah kenangan
Pengalaman kehidupan
Melayari perjalanan
Pahit manis sebuah perjuangan

Sayang
Memadailah kisah kita untuk dikenang
Jangan dibiarkan air matamu terus bergenang
Pada kelopak matamu kekasihku sayang.

Ilahi.
Diriku yang asi ini
Datang menyerahkan diri
Untuk dihisab dan dinilai
Segala amal yang kubawa ini
Semoga Engkau mengampuni
Diriku yang lemah ini.

Ya Allah.

Mulutku gagap untuk berbicara. Nafas mula rasa menyesak dan mataku mula kuyu. Redhailah kepulanganku ini sebagaimana aku redha untuk menemui Mu.
Tinggallah mata, tinggallah badan..
Selamat tinggal aduhai ibu,..
Selamat tingal wahai keluarga dan teman..
Tinggallah aduhai kekasihku sayang
La Ilaha Illallah


Seruling Senja
20 Ogos 2001
12.40 tgh mlm
UIA Gombak.

Wednesday, August 6, 2008

Perjalanan

Hidup yang sementara ini
Entah bila akan tiba janji
Untuk kematian yang sebentar
sebelum kehidupan yang hakiki lagi sejati

Perjalanan ini masih lagi jauh
Dugaan dan rintangan bersisa di hadapan
Pada perjuangan pusaka warisan
Dipikul menjadi tugasan
demi sebuah keimanan
Disucikan dengan nama Tuhan
Walau sebuah nyawa yang menjadi gadaian



Seruling Senja
07 September 2007
3.10 pagi
Express Triton
Kota Bharu- Kuala Lumpur

Pesanan Buat Kekasih III


Aduhai sayang..

Semakin nafas ini di penghujung, semakin pilu ku rasakan. Bisakah aku meninggalkan mu sendirian tanpa tempat untuk bergantung dan mengadu? Mampukah dirimu menghadapi ujian hidup ini sendiri?

Ketahuilah olehmu wahai sayang, walaupun aku nanti nun jauh di lahad bumi, cinta dan kasih sayangmu sentiasa menemaniku sehingga ku bawanya nanti ke hadapan Tuhan untuk diperkirakan. Adakah cinta ku ini benar-benar suci atau hanya cinta yang berlandaskan nafsu semata?

Wahai kekasih.

Betapa ruginya aku kerana tidak mempunyai zuriat yang bakal mendoakan kesejahteraanku mahupun yang bakal menyambung kembali perjuanganku. Apalah dayaku seorang hamba yang lemah, sudah ketentuan takdir Ilahi, aku tidak mempunyai itu semua. Cuma yang ada hanyalah dirimu yang amat ku sayangi. Padamu jualah ku tinggalkan segunung pengharapan.

Aduhai sayang.

Kiranya tiba saat yang telah dijanjikan Tuhan, kuingin pergi meninggalkan segala nikmat kehidupan ini dengan tenang. Aku mahu saat aku dijemput malaikat maut, ia di temani dengan gerombolan malaikat dari syurga yang membawa kafan dari syurga bersama haruman kasturi yang semerbak. Aku mahu kedatanganku ini di redhaiNya dan aku juga redha dengan kehendakNya.

Dengarlah olehmu bahawa cintaku terhadapmu ku tanam dalam lubuk hatiku dan ku bina padanya sebuah tugu yang cantik berukir sebuah keimanan dan ketaqwaan. Pada tika itu, aku tidak mahu menyeksamu supaya mengingatiku. Sesungguhnya dirimu bebas untuk menentukan haluan hidupmu sendiri hatta untuk mencari seseorang yang bakal menggantikan tempatku di hati mu. Aku tidak pernah berwasiat padamu supaya hanya setia hanya padaku seumur hidupmu. Aku tidak sezalim itu sayang. Carilah sesiapa sahaja yang boleh menunjukkanmu jalan ketuhanan bagi menggantikan aku untuk memenuhi keperluanmu. Aku rela dan redha terhadapmu dan doaku sentiasa bersamamu agar nanti kau bisa bahagia bersama penggantiku dalam melayari hidupmu nanti.

Wahai kekasih.

Dalam kisah cinta ini, sesungguhnya aku bangga memiliki mu, kuntuman yang mekar di taman terlarang. Bukan mudah untuk ku menyuntingmu, terlalu banyak ujian dan dugaan yang perlu aku lalui sehinggalah harummu menjadi milik ku walaupun sehingga kini aku tidak mampu untuk memetikmu untuk menghiasi kamar malamku. Dan mungkin aku sememangnya tidak akan mampu untuk berbuat demikian kerana takala ini aku telah dijengok khabar-khabar kematian.

Aku juga bangga mempunyai seorang kekasih yang selalu menunjukkan aku jalan kebaikan. Tidak pernah melupakan bicara nasihat dalam tutur kata dan matanya selalu basah kerana menangis mengharapkan pengampunan di sisi Tuhan.

Ya Allah

Kiranya keluhan ini bisa menghilangkan kepiluan ini, maka telah memadai buatku merasa bahagia di sisimu. Kiranya senyumanmu itu mampu mengubati segalanya, nescaya ia akan menjadi bekalku di sana nanti. Dan kiranya doa mu itu adalah segalanya, maka memadailah untukku memiliki cintamu.

Ya Allah..

Dadaku mula menyesak kini. Nafas sudah tidak teratur lagi. Hanya padaMu ku berserah diri dan sebuah cinta suci ini. Dan kini ku serahkan di bawah penjagaaMu Ilahi, seorang kekasih yang amat kucintai.



Seruling Senja
17 Ogos 2001
8.30mlm
UIA Gombak.



Tuesday, August 5, 2008

Pesanan Buat Kekasih II


Aduhai sayang
Mengapa rindu hati tidak tertahan tatkala kuntuman cinta mula mewangi. Bauannya memenuhi setiap ruang kehidupanku ini. Bagaimana mungkin dapat kutahan apabila ia mula semerbak di kamar malam sewaktu kesepian datang bertamu menjengok diri yang sendiri.

Wahai kekasih..
Sesungguhnya pepohon cinta ini kupagar rapi. Temboknya tinggi dari kalam Ilahi. Air siramannya sesejuk salji daripada keikhlasan hati di jalan suci. Bajanya kujaga sendiri dengan taqwa yang meliputi pintu kesedaran diri.

Wahai pujaan..
Ketahuilah olehmu bahawa cinta ini kuikat suci. Segalanya kuserahkan pada Ilahi untuk menentukannya. Aku hanya seorang manusia yang merancang Cuma dan demi Allah cinta ku ini hanyalah semata-mata kerana Dia. Dan kusandarkan cintaku pada mu ini dalam rangka mencari cintaNya Yang Maha Suci.

Aduhai penawar hati..
Aku ini manusia sepertimu jua. Tiada lebih di sisi Tuhan Yang Maha Tinggi manakan terdaya aku menahan ujian yang mendatang dan siapalah aku di sisiNya untuk mempertikaikan ketentuan dariNya. Di manakah tempatku di sisiNya apabila tiba saat pertemuan nanti. Sesungguhnya hanya doa yang mampu kulakukan bagi mengharap belas dan kasihanNya di hari yang tiada bayangan selain dari bayanganNya.

Wahai pengubat jiwa..
Betapa berharganya keindahan hidup ini tatkala bunga-bunga kematian mula berputik. Begitu bernilainya sebuah kesihatan pabila kengiluan mula menjalari seluruh urat saraf ini. Oleh itu, tiada lagi nilainya dunia ini selain dari mengharapkan keampunan Allah terhadap dosa-dosa lalu.

Aduhai kekasih, aduhai sayang
Mungkinkah ternoktah sudah ikatan cinta ini kiranya maut itu terlebih dahulu menyapaku? Mungkinkah kematianku ini menandakan bahawa tamatnya sebuah cinta suci yang telah terbina di atas dasar Ilahi ini? Atau pemergianku ini dengan membawa sebuah cinta yang tak kesampaian dan segeluk sayang yang bakal menjadi kenangan.

Dengarlah wahai penawar
Mahukah dirimu mendoakanku nanti tatkala aku berhempas pulas menjawab soalan malaikat yang bertanya? Mahukah engkau melapangkan kuburku sejauh mata memandang dengan doa-doamu atau hanya ingin membiarkan aku dihimpit kuburan sehingga berselisih kedua-dua tulang rusukku?

Aduhai pujaan..
Kini telah kubuktikan betapa sucinya cinta ini dengan membawanya bersama kematianku menuju ke lahad. Akan ku bawanya berjumpa tuhan Rabul Jalil untuk dinilaiNya cinta yang kusemai diatas cintaNya. Dan mahukah engkau membuktikan ketulusan cintamu padaku hanya keranaNya dengan mengirimiku segugus doa yang berkekalan dan berpanjangan rahmatNya ke atasku. Semoga dengan jasa ikhlasmu itu, tuhan mencatatkan bagimu di Luh sebuah pertemuan denganku nanti di sana disebabkan sucinya cintamu oleh kerana cintaNya Yang Maha Agung.


Seruling Senja
1 Mei 2001
12 tgh.

Monday, August 4, 2008

Jarak


Jarak bukanlah penentu
Tidak semestinya jauh itu jauh
Kerana ada ketikanya Jauh menjadi dekat
Dan tidak semestinya dekat itu dekat
Kerana ada masanya dekat itu jauh

Yang jauh itu hanyalah jasad
Namun jiwa kita tetap bersama
Walau dimana
Tidak kira masa
Diiringi doa
Selama-lamanya

Seruling Senja
02 Julai 2008
Rehlah Mahabbah DPPNK
Telok Dalam Resort
Pulau Pangkor