Thursday, August 7, 2008

Pesanan Buat Kekasih IV (Akhir)

Segala puji tiada terhingga buat Ilahi di atas kurniaanNya aku diberi kesempatan terakhir ini tatkala kehidupan sudah tiba pengujungnya. Telah lama wakil-wakil malaikat maut menunggu sehinggalah aku mampu berbicara padamu.

Aduhai kekasih

Tatkala ini kakiku sudah terasa dinginnya dan tidak kumampu kini walau untuk menggerakkan hanya ibu jari. Allah.beratnya keluhan ini kurasakan pabila terkenang segalanya bakal kutinggalkan. Tiada apa yang akan kubawa melainkan secebis amal yang sedikit cuma pastinya tidak kumampu untuk membayar bauan syurga Firdausi.

Wahai sayang..


Kedinginan telah menjalari dan kini ia telah sampai ke sendi dua lututku. Sendi dan urat telah mengucapkan salam perpisahan diantara mereka dan kepadaku dengan sebuah perjanjian yang tidak mungkin dimungkiri iaitu pertemuan kembali di hadapan Raja segala raja untuk diperkirakan segalanya.


"Sesungguhnya kita sudah lama berada dalam satu keluarga yang saling bantu membantu antara satu sama lain yang bersama merasai susah dan senang. Tetapi sekarang, aku terpaksa mengucapkan selamat jalan kepadamu, kerana Allah s.w.t menghendaki perpisahan ini. Semoga kita akan bertemu semula di akhirat kelak."


Sehingga ini, cinta dan kasihku padamu tidak pernah luntur walau sekelumit kerana ia telah ku khatamkan dengan cinta Ilahi yang suci. Kudoa dan kuharapkan, bunga cintaku ini akan terus mekar kembangnya dan seterusnya mewangi di sisi pusaraku laksana kemboja yang harum di pagi hari.

Aduhai kekasih..


Dinginnya kurasakan pada pinggang ini. Kulitku yang pucat kemerahan telah bertukar menjadi pucat keputihan. Kiranya ditoreh dengan belati, kupasti tiada lagi darah merah yang akan keluar.


Ingin sekali kupastikan tiada lagi pesanan yang tertinggal untuk kuwasiatkan padamu sebagai pedoman setelah ketiadaanku nanti. Teruskanlah perjalananmu di atas jalan yang haq sebagaimana yang telah ku petakan padamu. Telah kutinggalkan padamu kompas iman dan petunjuk taqwa untuk dijadikan panduanmu dalam menyelusuri jalan ketuhanan ini. Kiranya engkau wahai sayang berpegang padanya, insyaAllah pastinya Allah memeliharamu.

Wahai sayang.


Kesejukan telah menguasai tubuhku hingga ke pangkal leher. Kedua tanganku sudah tidak mampu lagi bergerak apatah lagi untuk menyapu air matamu. Selimutilah aku dengan cintamu dan peluklah aku dengan sayang rindumu,moga kedinginan ini bisa berkurang bagi kuhabiskan bicara terakhir ini.
Ibu..
Kuminta diampun segala dosaku
Halalkanlah makan dan minumku
Sedekahkanlah air susumu
Moga kasihmu sentiasa mewangi disisiku

Keluarga
Segalanya ku minta diredha
Walau sekelumit bantuan cuma
Pada belaian manja
Terlalu bernilai harganya
Teman
Bersama kalian adalah kenangan
Pengalaman kehidupan
Melayari perjalanan
Pahit manis sebuah perjuangan

Sayang
Memadailah kisah kita untuk dikenang
Jangan dibiarkan air matamu terus bergenang
Pada kelopak matamu kekasihku sayang.

Ilahi.
Diriku yang asi ini
Datang menyerahkan diri
Untuk dihisab dan dinilai
Segala amal yang kubawa ini
Semoga Engkau mengampuni
Diriku yang lemah ini.

Ya Allah.

Mulutku gagap untuk berbicara. Nafas mula rasa menyesak dan mataku mula kuyu. Redhailah kepulanganku ini sebagaimana aku redha untuk menemui Mu.
Tinggallah mata, tinggallah badan..
Selamat tinggal aduhai ibu,..
Selamat tingal wahai keluarga dan teman..
Tinggallah aduhai kekasihku sayang
La Ilaha Illallah


Seruling Senja
20 Ogos 2001
12.40 tgh mlm
UIA Gombak.

No comments: