Tuesday, September 9, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta III


Sayang...
Betapa sucinya ikatan ini yang termeterai dengan nama Tuhan. Sejuta doa dipohon untuk kebahagian berpanjangan. Namun bukan mudah untuk menyatukan dua jiwa berlainan rasa. Banyak dugaan yang perlu dihadapi. Tolak ansur adalah keutamaan.

Sayang...
Indahnya hidup ini bila bahagia mewarnai kehidupan. Bertelingkah sesekali tidak mengapa kerana ia umpama asam garam dalam masakan. Namun kemaafaan adalah dituntut agar keindahan budi sentiasa menghiasi diri dan kemanisan kasih penghias sanubari.

Sayang...
Tuhan telah jadikan kita satu umat yang sederhana. Maka hiduplah dengan sederhana seadanya kita. Bersederhanalah dalam semua urusan kehidupan duniamu, namun lobalah dirimu dalam mengejar akhirat. Kerana urusan akhirat itu adalah terlebih penting buatmu berbanding kehidupan duniamu yang sementara ini. Tiada apa yang lebih baik buat seseorang hamba kecuali dia kembali kepada Tuhannya dengan hati yang sejahtera.

Sayang...
Sesungguhnya dalam jasad anak adam itu ada seketul darah. Kiranya baik darah tersebut, maka baiklah keseluruhan jasad. Namun sekiranya jahat darah tersebut, maka jahatlah keseluruhannya. Itulah hati. Oleh itu, jagalah hatimu dengan sebaiknya. Didiklah ia sebagaimana anak kecil. Berikan ia ilmu dan cerahkanlah ia dengan zikir.

Sayang...
Dengarlah wasiatku ini buat panduan hidupmu. Tanpa panduan hidup daripada firman Tuhanmu dan pesanan Rasul, pasti hidupmu akan terumbang-ambing dengan keseronokan dunia serta sekalian isinya. Moga Allah memberkati hidupmu dengan kemanisan Iman dan nikmatnya amal.


seruling senja
15 Ogos 2008
1.45 tengahari
Masjid Ibnu Abbas,
Kg. Pengkalan Nyireh, Besut.

Tuesday, September 2, 2008

Dia Ambil Dari al-Quran


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!“, saya melafazkan syahadah.


Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.

“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.
Laura menangis. Bukan sedih. Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar. Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.
“Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!”, kata Laura. Saya sendiri berasa sebak dan terharu.

Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi SAW bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah. Muslim by nature.

JALAN DATANG KEPADA ISLAM

“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?”, saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.

“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?”, tanya Laura kepada saya. Saya mengangguk.

Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist. Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.

Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.

Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan dari itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.

“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!”, kata Laura.
“Apa yang berlaku?”, saya ingin tahu.
“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya”, cerita Laura.
“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat”, sambung Laura.
“Apa isi ceramahnya?”, saya mahukan kepastian.
“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri”, kata Laura.

Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.

“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkan father membaca apa-apa dari Quran buku orang Islam tentang tajuk yang dibentangkan tadi?”, cerita Laura lagi.
“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya dari al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut”, tegas Laura.
“Allah!”, saya mengurut dada.


Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]


“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya”, sambung Laura.

“Bagaimana reaksi keluarga anda?”, saya bertanya.
“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam”, jawab Laura.
“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!”, kata Laura dengan penuh yakin.

Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.


SECEBIS KISAH

Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.

Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.

Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.

Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim.
Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.


“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]


Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka dari permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.

Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.

Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi dari Rasulullah..

Wa ShaLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.


Kisah ini dipetik dengan izin dari web Saifulislam.
ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
56000 Kuala Lumpur

Monday, September 1, 2008

Pesanan Pejuang Buat Seorang Isteri


Sayang...
Kita telah ditakdirkan Tuhan
Bersatu dalam sebuah ikatan perkahwinan
Tatkata itu kita pasrah dengan ketetapan
Bersama doa yang berpanjangan
Moga dirahmati Tuhan dengan Kebahagiaan.

Sayang...
Dirimu adalah anugerah Tuhan
Menjadi teman kehidupan
Penolong setia tatkala kesusahan
Penghibur jiwa dikala kedukaan
Tiada nilaian mahupun bandingan
Bagiku dalam mengharungi liku perjuangan
Engkaulah belahan jiwa kesayangan.

Sayang...
Padamu telahku khabarkan
Seawal waktu perkenalan
Aku infaqkan diriku untuk perjuangan
Demi menegakkan agama Tuhan
Agar dirimu juga merelakan
Kebanyakkan masamu yang kutinggalkan
Bersendirian

Sayang...
Perjuangan ini adalah ujian
Mencari sebuah keikhlasan
Bukan hanya aku jadi nilaian
Bahkan dirimu turut diperkirakan
Dimanakah tahap kesabaran iman

Sayang...
Bukanlah kemewahan dunia yang kujanjikan
Kerana ia bukanlah keutamaan
Tatkala akhirat merupakan tujuan
Maka aku cuba persiapkan
Oleh kerana kesabaran dan kerelaan
Yang telah engkau tunjangkan
Bagi meraih keredhaan Tuhan
Sebagai ganjaran.


seruling senja
29/08/2008
3.25 petang
Kg. Baung, Pengkalan Chepa.


Marhaban Ya Ramadhan

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“ Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.”


Rasululah s.a.w juga ada bersabda yang bermaksud:
“ Bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah masukk syurga.”

Sesungguhnya Allah Taala kerap memerhatikan kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan. Siapa yang mendapat perhatian Allah Taala nescaya tidak disiksaNya. Dan seterusnya Dia mengampunkan mereka pada malam akhir dari bulan Ramadhan.

Sebabnya begitu ialah, pada bulan Ramadhan lebih mudah dicetuskan sebab-sebab mendapat pengampunan dari bulan-bulan yang lain. Lantaran itu tiada seseorang yang diharamkan mempperolehi keampunan pada bulan itu, melainkan ia terlalu banyak memalingkan diri dari Allah Taala dan sangat berat penentangannya maka sebab itulah ia telah dijauhkan dan diusir dari pintu Allah.

Berkata Jibril a.s kepada Nabi s.a.w:
“ Siapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tiada diampuni Allah Taala, nescaya ia akan dijauhi Allah dari rahmatNya. Katakanlah Amin. Maka Rasulullah s.a.w berkata Amin.”

Kami memohon perlindungan dan keselamatan dari kemurkaan Allah Taala dan seksaanNya serta segala bala bencanaNya.

Ada sebuah riwayat menyebut bahawa semua pintu langit dan pintu syurga dibuka pada setiap bulan Ramadhan manakala pintu neraka akan ditutup. Semua iblis dan syaitan dirantai, kemudian diseret untuk dilontarkan ke dalam laut, supaya mereka tidak mengganggu kaum Muslimin dan merosakkan puasa dan bangun malam mereka. Pada setiap malamnya pula, ada suatu suara menyeru: “ Siapa yang mahukkan kebaikan, mari! Siapa yang mahu kejahatan, pergilah!”

Riwayat yang lain pula menyebut bahawa siapa yang mendekatkan diri kepada Alllah Taala dengan suatu sembahyang dalam bulan Ramadhan, sama diimbangi dengan tujuh puluh sembahyang pada bulan lain. Siapa yang mendekatkan diri dengan suatu amalan sunat, sama diimbangi dengan suatu sembahyang fardu pada bulan lain.

Maka jelaslah bahawa sembahyang sunat dalam bulan Ramadhan dikira sama tingkatnya dengan sembahyang fardu pada bulan lain dari segi pahalanya. Sedang sembahyang fardu pula dilipat gandakan pahalanya ke atas fardu-fardu yang biasa ditunaikan pada selain bulan Ramadhan samapi tujuh puluh kali ganda.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“ Siapa yang berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketulus ikhlasan, nescaya diampunkkan segala dosanya yang telah lalu.”

Ketahuilah bahawa sesungguhnya puasa itu mempunyai rupa dan roh. Adapun rupa puasa ialah: menahan diri dari makan miinum dan dari bersetubuh mulai dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan syarat diisertai niat. Barangsiapa makan dan minum, ataupun bersetubuh pada siang harinya, sedang ia melakukan itu dengan sengaja, mengetahui hukum dan bukan terpaksa maka batalah puasanya. Tetapi jika ia terlupa atau jahil hokum ataupun terpaksa tidaklah batal puasanya. Inilah yang diikatakan rupa puasa.

Adapun roh puasa puala ialah menahan diri dari segala macam dosa dan larangan Allah Taala, sentiasa mengerjakan segala fardu dan wajib.

Orang yang berpuasa dari makan minum dan bersetubuh tetapi tidak menahan diri dari dosa dan larangan Allah Taala ialah orang yang puasanya tidak menghasilkan sesuatu faedah selain dari susah payah semata-mata.


Dipetik dari kitab an-Nasaaih ad- Diniyyah wal Wasaaya al- Imaaniyah karya Syeikhul Islam wa Hujjatul Islam Syed Habib Abdullah ibn Alwi al-Haddad al- Hadhrami as-Syafie.

Thursday, August 28, 2008

Pesan Abah


Duhai anak...
Kalian permata hati abah
Hibanya jiwa abah
Melihat air mata kalian tersimbah
Buat jiwa abah tiba-tiba goyah.

Anak...
Ingatkan abah dalam hati kalian
Agar abah tenang di perantauan
Berteman kasih berpanjangan
Seharum kasturi diperjalanan
Rindunya abah pada pertemuan
Bagi menyingkap segala kenangan

Anak...
Susahnya abah ingin tinggalkan
Cahaya permata jadi hiburan
Sewaktu jiwa tidak keruan
Tenanglah wahai sayang
Buah hati abah sekalian
Dengarlah ingin abah pesankan
Jangan hilangkan akhlak kepujian
Nasihat umi jangan diingkarkan
Nanti selamat hidup kalian
Berkat doa berpanjangan
Untuk kalian
Anak-anak yang abah kenangkan.


Seruling Senja
7.10.02
10.02 malam
Tmn Pelangi, Johor Baharu.

Tuesday, August 26, 2008

Hijab Sang Pencinta



Sinopsis:

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya.
Watak utama Saifudin atau lebih dikenali dengan Laksamana Sunan yang berusaha untuk menentang Taghut dan pengikutnya Manusia Serigala (Manggala) daripada terus menyesatkan umat manusia. Selepas berjaya menewaskan Maharani, pemerintah kejam dan pengikut Taghut yang memerinta Kerajaan Pulau Utara nama Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu terus meniti bibir.

Perjalanan hidupnya yang penuh dengan dugaan, namun dia tetap bersabar. Bukan sahaja syaitan yang ditentangnya, namun manusia yang berperangai syaitan juga turut diperangi. Walaupun begitu, kisah perkahwinannya dengan Ratna Sang Ratu dan kematian ibunya menambahkan lagi dukanya sehinggakan dia telah ditidurkan Allah dalam sebuah gua apabila dikejar oleh pahlawan Sultan Melaka seperti kisah Ashabul Kahfi.

Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu kemudian dibangunkan Allah Taala dikurun 21 yang membuatkannya bertemu semula dengan Haryani. Kedatangannya itu telah ditakdirkan untuk menamatkan baka awal Manggala yang telah dicampakkan kedalam kawah gunung berapa di Pulau Anak Krakatoa.

Penamatnya, Haryati telah menyampaikan hasratnya kepada Laksamana Sunan untuk menjadi suri hidupnya. Namun hajatnya itu tidak kesampaian apabila Laksamana Sunan ditembak oleh Hamid, seorang pengikut Taghut sewaktu hendak lafazkan ijab qabul perkahwinan.

Komen:

Ramlee Awang Murshid adalah seorang penulis hebat yang amat saya minati. Beliau benar-benar menjiwai watak dalam penulisan beliau. Cerita yang digarapkan bukanlah sekadar cerita kosong semata-mata, namun ianya adalah hasil rujukan beliau kepada beberapa sumber. Terutamanya mengenai ayat-ayat al-Quran yang digunakan Laksamana Sunan sewaktu menentang syaitan.

Semoga Ramlee Awang Murshid terus menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menarik bahkan dapat memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada pembaca. Tahniah!!!

Sunday, August 24, 2008

Rintihan Roh

Diriwayatkan: “Jika roh telah keluar dari tubuh manusia dan telah lewat tiga hari, maka roh itu berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dahulu aku berada di dalamnya.” Maka Allah memperkenankan kepadanya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat kepadanya dari jauh. Kedua lubang hidungnya dan mulutnya mengalir darah. Maka ia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu ia merintih, aduuuh hai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan.

Setelah lewat lima hari roh berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku.” Maka Allah memperkenankannya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah kedua lubang hidung dan mulutnya berupa air nanah. Firman Allah SWT bermaksud:“Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan para malaikat berdiri dengan berbaris.” ( An-Naba’: 38)


Disebutkan dalam satu keterangan, bahawa yang dimaksud roh itu adalah rohnya anak Adam (manusia), dan keterangan yang lain mengatakan bahawa roh itu adalah rohnya malaikat Jibril as. Juga ada keterangan yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya Nabi Muhammad SAW yang berada di bawah Arasy, ia minta izin dari Allah di malam Lailatul Qadar untuk turun memberikan salam penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat dan roh itu berjalan melalui mereka.

Ada pula yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya para kerabat yang sudah mati, mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, semoga Engkau memperkenankan kami untuk turun ke rumah-rumah kami, sehingga kami melihat anak-anak kami dan ahli-ahli kami. Maka roh-roh itu turun pada malam Lailatul Qadar.

Sebagaimana Ibnu Abbas ra mengatakan: “Jika datang Hari Raya, hari Asyura’, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rajab, malam Nisfu Sya’ban, Lailatul Qadar, dan malam Jumaat, roh-rohnya para mayat semua keluar dari kubur mereka dan mereka semua berdiri di pintu-pintu rumahnya seraya berkata: “Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkah ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kalian bakhil dengan sedekah, dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingat kami dengan bacaan surah Al-Fatihah di malam yang penuh keberkahan ini.
Adakah seorang telah belas kasihan kepada kami, apakah dari salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah-rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri kami), wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membagi harta benda kami, wahai orang.yang menyiakan anak yatim kami. Adakah salah seorang dari kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami? Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam liang kubur melainkan pahalanya. Maka janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang-orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya. Jika mayat memperoleh sedekah dan doa dari mereka maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan putus asa dari mereka. Telah diterangkan, bahawasanya roh dalam perkumpulan haiwan tidak dalam seluruh tubuh, tapi ia dalam satu bahagian dari beberapa bahagian yang tidak dapat ditentukan dengan dalil. Bahawasanya seorang dilukai dengan luka-luka yang banyak maka ia tidak mati. Dan ia dilukai dengan luka-luka satu maka ia menjadi mati. Sebab luka itu jika menimpa pada tempat di mana roh bertempat di mana roh di dalamnya, dan bahawasanya roh bertempat pada seluruh tubuh dan bahawasanya mati itu dalam seluruh tubuh, maka Firman Allah SWT menunjukkan:Katakanlah: “la akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang pertama.” (Yaa Siin: 79)


Jika dikatakan, apakah bedanya antara roh dengan rawan? Maka kita katakan hahwa keduanya adalah satu. Keduanya tidak ada perbedaan, sebagaimana tubuh serta tangan adalah menjadi satu. Cuma kalau tangan dapat bergerak kesana kemari tapi kalau tubuh sama sekali tidak bergerak. Demikian pula rawan kesana kemari tapi sama sekali tidak bergerak.


Kemudian mengenai tempatnya roh di dalam tubuh tidak dapat ditentukan. Adapun tempatnya rawan di antara kedua alis. Maka jika roh itu hilang seorang hamba menjadi mati, dan jika rawan hilang ia menjadi tidur. Sebagaimana air yang dituangkan qas’ah dan ditaruh di rumah ada matahari yang sinarnya melalui lubang atap dan qas’ah itu tidak bergerak dari tempatnya.


Maka demikian halnya roh bertempat di dalam tubuh dan pusatnya berada di Arasy. Adapun rawan melihat dikala bermimpi dan ia berada di alam malakut. Adapun tempatnya roh setelah dicabut, ada diterangkan bahawa tempatnya disengkala yang didalamnya terdapat lubang sejumlah bilangan haiwan-haiwan yang dijadikan sampai hari kiamat. Jika ia mendapat kenikmatan berada di situ dan jika mendapat azab maka di situ pula.


Ada disebutkan bahawa roh-roh para mukminin berada dalam telur burung yang hijau di syurga iliyyin, adapun rohnya orang-orang kafir berada dalam telur burung yang hitam di neraka. Dan ada dikatakan bahawa rohnya para mukminin ketika dicabut, maka para malaikat rahmat sama mengangkat membawa naik roh ke langit yang tujuh dengan memuliakan dan mengagungkan. Kemudian dipanggil Zat pemanggil dari sisi Allah yang Rahman: “Hendaklah kamu semua menulis roh itu dalam Illiyyin lalu kembalikanlah ke bumi.”


Maka mereka mengembalikan roh seorang mukmin ke dalam tubuhnya dan ia dibukakan pintu syurga, ia melihat tempatnya di syurga sampai datangnya hari kiamat. Dan bahawasanya rohnya orang-orang kafir sewaktu dicabut maka para malaikat azab sama membawa naik roh itu ke langit dunia. Maka ditutuplah pintu-pintu langit yang lain dan ia diperintah mengembalikan ke tempat berbaring tubuhnya, kuburnya disempitkan dan ia dibukakan pintu neraka. Oleh kerananya ia melihat tempat kediamannya kelak sampai datangnya hari kiamat. Dalam hal ini sebagaimana pernah disabdakan Nabi SAW, sehingga bahawasanya mereka mendengar suara sandal-sandal kalian, hanya saja mereka terhalang dari berkata.

Sebahagian Hukama’ ditanya tentang tempat roh-roh setelah mati, maka ia menerangkan sebagai berikut:
1. Bahawasanya roh-roh para Nabi berada dalam Syurga Adn, ia berada dalam liang yang menyenangkan tubuhnya. Adapun tubuh bersujud kepada Tuhannya.


2. Roh-roh para Syuhada berada di syurga Firdaus, pada tengahnya syurga itu berada dalam telih burung yang hijau yang terbang di syurga sekehendak hatinya. Kemudian datang keqanadil yang digantungkan di Arasy.


3. Adapun roh-rohnya anak-anak kecil yang Islam berada dalam telih burung pipitnya Syurga.
4. Roh-rohnya para anak-anak musyrik berputar-putar di syurga dan ia tidak punya tempat, sampai hari kiamat. Lalu mereka melayani para mukminin.


5. Roh-rohnya orang-orang mukmin yang mempunyai hutang dan aniaya digantung diangkasa. Ia tidak sampai ke syurga dan tidak pula ke langit sampai ia membayar hutangnya dan penganiayaannya.


6. Roh-rohnya orang-orang Islam yang berdosa diazab dalam kubur beserta tubuhnya.


7. Roh-rohnya orang-orang kafir dan munafik dalam penjara neraka Jahannam dipintakan diwaktu pagi dan petang.


Dan disebutkan, bahawasanya roh adalah merupakan jisim yang halus. Oleh kerana itu tidak dapat dikatakan jika Allah itu mempunyai roh. Sebab mustahil kalau Allah mempunyai tempat seperti jisim-jisim. Dan dikatakan bahawa roh adalah merupakan sifat dan dikatakan pula kalau ia pecah jadi angin, maka kedua perkataan ini adalah perkataannya orang yang mengingkari adanya seksa kubur.


Ada diceritakan, bahawasanya seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, maka mereka bertanya kepada baginda tentang roh dari Ashabi Raqim dan dari Raja Dzil Qarnain. Dengan perdebatan Yahudi itu maka turunlah surah Al-Kahfi. Dan diturunkan tentang haknya roh adalah Firman Allah SWT.
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku.”(Yaa Siin: 79)






sumber: Darul Nu'man.