Monday, April 13, 2009

Kebuntuan Idea

Agak lama saya tidak posting karya terbaru dalam blog ini disebabkan kesibukan kerja yang sentiasa menghambat diri menyebabkan saya kebuntuan idea. kes-kes Mahkamah yang bertimbun serta penghujahan-penghujahan yang perlu disiapkan.

Kalau ikutkan hati, memang teringin saya untuk menyiapkan karya terbaru serta memaparkan dalam blog untuk dikongsikan bersama-sama dengan sahabat semua. Jadi saya mohon sahabat semua doakan saya supaya dikurniakan ALLAH dengan ilham yang membolehkan saya terus berkarya.

Thursday, March 26, 2009

Benarkah Iskandar Bukan Zulqrnain



Sejak sekian lama, kita mempercayai Iskandar Zulqarnain adalah individu yang hebat dalam sejarah. Beliaulah yang kita namakan Alexander the Great. Namun, kita tidak pernah tahu sama sekali bahawasanya Iskandar dan Zulqarnain adalah dua individu yang berbeza. Benarkah kenyataan itu? Buku ini ada jawapannya. Buku ini dimulakan dengan kupasan mengenai empat raja agung dunia purba mengikut turutan sejarah hidup mereka iaitu Raja Namrud, Nabi Sulaiman, Raja Bukhtanasar dan Zulqarnain. Ketiga-tiga raja pertama dipanggil dan diketahui dengan nama mereka sendiri sedangkan Zulqarnain pula adalah satu gelaran yang disandarkan kepada beberapa tokoh hebat termasuklah Raja Iskandar (Alexander). Siapakah mereka? Bilakah mereka memerintah? Siapakah yang dahulu dan siapa pula yang datang kemudian? Diskusi di dalam buku ini membantu anda bagi lebih memahami sejarah silam. Namun, di sebalik segala persoalan itu, yang lebih penting adalah persoalan, adakah sesuai jika disandarkan gelaran Zulqarnain kepada Raja Iskandar?

Quran menceritakan mengenai ciri-ciri Zulqarnain yang mana jika dikaitkan dengan sejarah hidup Raja Iskandar, ia adalah bercanggah. Buku ini memuatkan perbincangan serta hujah-hujah yang sesuai bagi mengaitkan tokoh yang paling hampir dan sesuai dengan gelaran Zulqarnain. Bukti hidup daripada peninggalan Zulqarnain adalah tembok yang dibinanya bagi menghalang Yakjuj Makjuj. Siapakah mereka ini dan siapakah yang mereka kacau sehingga Zulqarnain membina tembok serta di manakah tembok itu? Perbincangan ini dan lain-lain lagi ada di dalam buku ini. Jangan lepaskannya.

Prakata Pendahuluan Pengenalan Bab 1: Raja Namrud Sejarah Sebelum Kedatangan Raja Namrud Pemerintahan dan Latar Belakang Raja Namrud Kaitan Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim Nabi Ibrahim (sekitar kurun ke-22BC hingga 19BC) Nabi Ismail dan Penempatan di Mekah Pembinaan Kaabah Nabi Lut Peristiwa Penyembelihan Nabi Ismail Nabi Ishak Nabi Ishak dan Keturunannya Nabi Yaakub Perkahwinan Pertama Nabi Yaakub (dengan Liah) Perkahwinan Kedua Nabi Yaakub (dengan Rachel) Zuriat Nabi Yaakub dan Pembinaan Masjid al-Aqsa Nabi Yusuf (antara kurun ke 21BC dan ke 17BC) Bab 2: Raja (Nabi) Sulaiman (sekitar 1000BC hingga 928BC) Nabi Musa (antara kurun ke 16BC hingga ke 13BC) Al-Baqarah Nabi Musa dan Nabi Khidhir Nabi Yushwa’ bin Nun Nabi Syam’un Nabi Daud (sekitar 1030BC hingga 970BC) Kejatuhan Kerajaan Raja (Nabi) Sulaiman Buat Seketika Kewafatan Nabi Sulaiman Bab 3: Raja Bukhtanasar (sekitar 625BC hingga 562BC) Harut Marut Mimpi Bukhtanasar Takwil Kepala Emas Takwil Dada dan Tangan Perak Takwil Perut dan Peha Gangsa Takwil Dari Lutut Hingga ke Buku Lali Besi Nabi U’zair Bab 4: Perbincangan Iskandar bukan Zulqarnain Siapa itu Raja Iskandar? (356BC hingga 323BC) Asal-usul timbulnya cerita Zulqarnain Siapakah Raja Kurush? (576BC hingga 530BC) Ciri-ciri Zulqarnain: Perjalanan ke Arah Barat Menerima Wahyu Perjalanan ke Arah Timur Pembinaan Tembok Hujah Pertama Hujah Kedua Hujah Ketiga Yakjuj Makjuj Siapa yang Diganggu oleh Yakjuj Makjuj? Akhir kata Raja Leonidas I Penutup Nota Hujung Bibliografi

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad pada tahun 570AD, datang Nabi Isa lebih kurang 570 tahun sebelumnya. Pengiraan kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya adalah BC yang bermaksud ‘before Christ’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi ini, kiraannya adalah terbalik berbanding dengan zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal dari perkataan Latin Anno Domini bermaksud tahun Masihi.

Contohnya, sekarang adalah tahun 2007AD, maka tahun lepas adalah 2006AD dan tahun hadapan adalah 2008AD, sedangkan bagi tahun sebelum Masihi pula, sekiranya sekarang ini adalah tahun 100BC maka tahun sebelumnya adalah 101BC dan tahun hadapannya pula adalah 99BC. Secara umumnya, perkataan purba di sini bermaksud zaman sebelum kedatangan Nabi Isa.

Akibat daripada pendedahan kepada pembacaan serta kajian berterusan yang menyumbang kepada pengumpulan maklumat-maklumat baru, sejarah sentiasa ditulis semula berulang kali terutamanya mengambil kira daripada perspektif yang berbeza. Contohnya peristiwa perang dunia pertama dan kedua masih lagi ditulis sehingga hari ini. Bahkan catatan Kisah hidup Nabi Muhammad pun masih banyak lagi ditulis, diterbitkan dan dikemas kini bagi kefahaman pembaca.

Bagi lebih memahami konteks perbincangan utama dalam buku ini serta fakta berkaitan Raja Zulqarnain yang sebenarnya, kita perlu mengimbas kembali sejarah silam menurut turutan secara ringkas.Sepanjang sejarah manusia menghuni muka bumi ini, silih berganti raja-raja yang memerintah. Walau bagaimanapun yang sering disebut adalah empat raja yang hebat dan berjaya menakluki sebahagian besar muka bumi ini pada zaman mereka masing-masing. Namun tidak dinafikan terdapat juga raja-raja yang lain yang tidak kurang hebatnya. Namun, perbincangan ini difokuskan kepada empat raja utama yang menjadi bahan diskusi, perbualan dan pengajaran. Kisah mereka mungkin disampaikan dari mulut ke mulut di dalam budaya kita ataupun sedikit sebanyak diperbincangkan di institusi pendidikan sedia ada.

Dua daripada mereka di dapati beriman dan dua yang lain pula tidak beriman. Tidak asing lagi, dengan mengikut turutan berdasarkan zaman pemerintahan, empat raja itu adalah:
Raja Namrud – tidak beriman, dikenali dengan pembinaan Menara Babel dan dikaitkan dengan penentangannya kepada Nabi Ibrahim.

Raja (Nabi) Sulaiman – beriman, bahkan adalah seorang Nabi utusan Allah serta mewarisi kerajaan ayahnya iaitu Nabi Daud.

Raja Bukhtanasar – tidak beriman, menakluki kerajaan yang pernah dipimpin oleh Nabi Daud dan Sulaiman dan membawa orang-orang Yahudi ke Babylon sebagai hamba abdi.

Raja Zulqarnain – beriman, uniknya adalah raja-raja yang lain dipanggil dengan nama mereka masing-masing tetapi raja ini dengan gelarannya.


Ulasan:

Sebelum saya membaca buku ini, saya telah membaca beberapa pendapat mengenai bahawa Iskandar atau Alexender the Great itu bukan Zulqarnain yang diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Ini ditambahkan lagi dengan sejarah Alexender sendiri yang ditulis oleh orang-orang barat mengenai kehidupan peribadinya yang jauh menyimpang dari jalan ketuhanan. Oleh itu terlalu mustahil orang yang menyimpang jauh dari jalan ketuhanan ini merupakan Zulqarnain, nama yang Allah abadikan dalam al-Quran.

Saya amat tertarik untuk mendapatkan buku ini setelah menonton dokumentari mengenainya di Astro. Namun begitu, setelah saya memiliki buku tersebut terasa masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menjelaskan lagi siapakah sebenarnya Zulqarnain itu? Saya berharap selepas ini akan menyusul kajian-kajian yang boleh memberikan gambaran sebenar mengenai siapakah Zulqarnain tersebut.

Saya juga agak kurang berpuas hati mengenai gambar-gambar yang dimasukkan bersama dalam buku tersebut. Sepatutnya pihak pengarang atau penerbit memasukkan gambar-gambar yang jelas mengenai tempat-tempat tersebut dan bukannya menggabungkan gambar-gambar tersebut menjadi satu.

Walau apa pun, buku ini seharus dan sepatutnya dimiliki oleh semua orang yang inginkan penjelasan sebenar mengenai siapakah Zulqarnain?



Saturday, March 14, 2009

Perayaan Maulud Nabi Bida'ah.

Ketika saya balik ke kampung pada malam Jumaat lepas, adik saya memberitahu bahawa di kampung saya sekarang ini sudah ada orang-orang kampung yang memegang pendapat bahawa merayakan Maulud Nabi itu bida'ah dhalalah.
Nampaknya fahaman Wahabiyyah ini sudah mula dianuti oleh penduduk kampung yang rata-ratanya tidak mempunyai pendidikan agama yang formal. Saya percaya bahawa mereka ini hanyalah sekadar mengikut fahaman tersebut tanpa diberikan alasan-alasan yang jelas.
Sebelum ini saya telah mengutarakan pendapat ulama-ulama terkini seperti Dr. Ali Jumaah, Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi, Dr. Said Ramadhan al-Buti dan Dr. Wahbah az-Zuhaily yang mengatakan bahawa merayakan sambutan Maulud Nabi bukanlan bida'ah sesat seperti yang dianuti oleh golongan Wahabiyyah.
Nampaknya, masih ramai lagi orang yang tidak faham mengenai masalah bida'ah ini. Padahal ianya telah diberikan ulasan oleh ramai ulama-ulama muktabar. Bahkan, adab mengenai perbezaan pendapat juga telah dijelaskan oleh mereka.

Tuesday, March 3, 2009

Wasiat Buat Is teri Tercinta 8


Segala puja dan pujian yang memenuhi ruang langit dan bumi kupersembahkan kepada ALLAH, Tuhan yang Maha Hebat. Selawat dan salam yang berkekalan kusampaikan buat Rasul Kekasih ALLAH, juga buat ahli keluarga serta sahabat baginda yang dimuliakan.


Sayang...

Kuharapkan dirimu tidak akan jemu untuk terus membaca rangkaian wasiat-wasiat yang kutitipkan buatmu. Semoga ia menjadi panduan berguna disaat dirimu memerlukannya serta bagi menggantikan diriku untuk menemanimu sewaktu jasadku tidak lagi mampu bersamamu.


Sayang...

Disaat aku suratkan wasiat ini buatmu, jerit tangis, air mata dan darah adalah teman yang amat akrab bagi saudara seiman kita di Tebing Gaza. Sehingga ini masih belum ada sesiapa pun yang dapat menghentikan kekejaman Yahudi Israel yang saban waktu menghujani peluru-peluru dan bom keatas saudara kita di sana. Maka hendaklah dirimu ingat bahawa mereka itu adalah saudara kita dan wajiblah engkau membantu mereka walau dengan apa jua kemampuan yang kau punyai. Walaupun hanya sekadar doa dan qunut nazilah.


Sayang...

Ketahuilah oleh mu bahawa doa itu senjata orang mukmin. Jadikanlah ia kebiasaan buatmu kerana ianya salah satu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu. Pintalah apa sahaja hajatmu kepadaNYA kerana sesungguhnya hanya DIA yang boleh mengabulkan permintaanmu itu walaupun permintaanmu itu kelihatannya mustahil dimata manusia.


Sayang...

Setiap kesusahan itu akan disusuli ALLAH dengan kemudahan. Oleh itu bersabarlah engkau atas apa jua ujian yang ALLAH timpakan buatmu kerana ia merupakan penilaian tahap keimanan dan ketaqwaanmu kepada Tuhan. Mengadulah kepadaNYA kerana sesungguhnya DIA sentiasa mendengar setiap pengaduanmu walaupun tatkala itu tiada seorang pun manusia yang sudi mendengarnya.


Sayang...

Ingatilah DIA tatkala senang, maka nescaya DIA sentiasa mengingatimu tatkala susah. Sebutlah namaNYA ketika sendirian, maka DIA sentiasa menyebutmu diketika keramaian. Tiada jaminan yang dapat membebaskan dirimu dari kepanasan neraka kecuali jaminanNYA. Sesungguhnya syurga itu dimasuki bukan kerana amal tetapi kerana rahmat dan kasih sayangNYA.



seruling senja
27/02/2009
1.33 tengahari
Masjid Mukim Telok Kitam, Kemumin.


Thursday, January 29, 2009

Novel: Makrifat Cinta


Sinopsis:

Setelah genap 3 tahun Iqbal Maulana meninggalkan Pondok Tegal Jadin, dia kemudiannya telah kembali ke pusat pengajian tersebut sebagaimana yang telah dijanjikannya dengan Kiai Sepoh sewaktu dia diarahkan untuk keluar dari pondok tersebut 3 tahun lalu.

Iqbal yang diiringi bersama kumpulan Ashabul Kahfi, penyanyi jalanan yang telah mendapat hidayah Allah s.w.t ditemani oleh Tuan Burhan, Puan Lela, makcik Jamilah, Fatiman, Firman dan Indri meninggalkan Banjarnegara demi memenuhi janji Iqbal serta menyatukan jiwa diatas nama cinta Tuhan.

Ketibaan Iqbal ke pondok Tegal Jadin bersama rombongannya telah memberikan kejutan kepada Kiai Subadar, Kiai Sepoh dan seluruh isi pondok tersebut. Namun Iqbal juga turut menerima kejutan apabila diberitahu oleh Ihsan bahawa Rakhmat menderita sakit yang tidak diketahui sebabnya semenjak Iqbal meninggalkan pondok tersebut 3 tahun yang lalu.

Ihsan memberitahu, Rahkmat menderita sakit akibat penyesalan terhadap perbuatannya kepada Iqbal 3 tahun dulu yang menyebabkan Iqbal diarah meninggalkan pusat pengajian tersebut. Iqbal turut bersedih melihat keadaan Rahkmat, seorang yang dihormati suatu ketika dahulu kini terlantar kurus dipembaringan. Namun begitu Rakhmat sempat mendengar sendiri perkataan maaf dari Iqbal sebagai membuktikan Iqbal telah memaafkannya. Rakhmat kemudiannya menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan Iqbal sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci dari Iqbal.

Bukan sekadar pemergian Rakhmat yang mendukacitakan Iqbal, namun wasiatnya supaya Iqbal menjaga A'isyah puteri Kiai Subadar juga turut membebankan fikirannya. Sebelum ini Kiai Sepoh telah menyarankan supaya Iqbal mengahwini tiga orang gadis serentak iaitu Zaenab, Priscilla dan Khaura. Wasiat Rakhmat itu menjadi salah satu penyebab pernikahan Iqbal dengan ketiga-tiga gadis itu tertangguh kerana mencari jalan penyelesaian terhadap wasiat tersebut. Sehinggalah perbincangannya dengan Irsyad, pemuda yang bertanggungjawab membimbingnya ke jalan mencari Tuhan yang telah lama ditinggalkannya. Bagi Irsyad, menjaga A'isyah sebagaimana wasiat Rahkmat tidak bererti menikahinya tapi ia juga membawa maksud menjaga imannya dan akhlaknya. Bagi Irsyad, mencari lelaki untuk menggantikan Rahkmat sebagai cinta hati A'isyah juga termasuk dalam menjaga A'isyah.

Setelah mendapat jawapan tersebut, perasaan Iqbal menjadi sedikit tenang kerana satu dari masalahnya telah selesai. Namun begitu, timbul masalah lain pula iaitu mengenai siapakah lelaki yang layak menggantikan Rahkmat di hati A'isyah. Tapi persoalan itu tidak lama menghantui fikirannya bila tiba-tiba dia teringatkan Ihsan, satu-satunya pemuda yang bersimpati dengannya dalam kejadian 3 tahun yang lalu. Baginya, Ihsan hampir-hampir menyamai sifat dan sikap yang ada pada Rahkmat dan dia memang layak untuk mendiami hati A'isyah.

Jiwa dan perasaan Iqbal terus menjadi nanar untuk membuat pilihan diantara ketiga-tiga gadis tersebut. Mestikah dia menikahi ketiga-tiga gadis itu serentak ataupun memilih salah seorang dari mereka itu? Sehinggalah dia menyerahkan urusan tersebut kepada Kiai Sepoh untuk memilih calon isteri dari kalangan ketiga-tiga gadis tersebut. Manakala Kiai Sepoh telah memberikan tempoh selama dua hari kepada Iqbal untuk mencari mahar bagi pernikahannya nanti.

Akhirnya setelah mendapat restu, Iqbal telah selamat dinikahkan dengan Fatimah Priscilla Zahra dengan mahar kahwinnya surah ar-Rahman bersaksikan semua pelajar Pondok Tegal Jadin.

Komen:

Saya amat tertarik dengan Catatan Penulis mengenai latar belakang kisah yang dimuatkan dalam novelnya. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, sekolah pondok sekarang ini kelihatannya sudah semakin lesu dan malap. Padahal suatu ketika dahulu sekolah pondoklah yang menghasilkan ramai ulama-ulama yang hebat. Namun sekarang ia hanyalah sebuah sejarah sekdar untuk dikenang. Sebagai bekas pelajar pondok, saya juga turut bersedih dengan keadaan ini.

Kisah trilogi Makrifat Cinta yang cukup menarik untuk bacaan semua terutamanya buat sesiapa yang ingin mengenali keindahan cinta dalam Islam. Melalui trilogi ini para pembaca bukan sahaja dapat melihat perbandingan antara cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan cinta Islami, bahkan para pembaca juga akan turut menyaksikan peristiwa-peristiwa dan persoalan-persoalan yang biasanya dialami oleh orang-orang yang mengembara mencari cinta Tuhan.

Syabas dan tahniah saya ucapkan buat saudara Taufiqurrahman kerana berjaya menyajikan trilogi yang hebat dan menarik. Sejak saya membaca novel Musafir Cinta, saya terus diburu rasa tidak sabar untuk membaca novel-novel seterusnya. Doa saya, semoga menyusul karya-karya yang hebat lagi dimasa akan datang.



Monday, January 5, 2009

Ayyuhal Walad: Nasihat Kedua


NASIHAT KEDUA

BAGAIMANA SEPATUTNYA KITA MENERIMA NASIHAT

Wahai anakku yang tercinta; Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran ahli falsafah. [yang dimaksudkan ahli falsafah ini boleh diertikan dengan orang yang mempunyai fahaman sekular di zaman sekarang (pentejemah)] Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini. Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu, nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat lagi daripada orang yang tidak mengetahui apaapa. Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw ertinya ;


Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah orang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.

Dan diriwayatkan daripada Imam A1 Junaid A1 Baghdadi Qaddasuhullahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al Junaid Al Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al Qasim (A1 Junaidi Al Baghdadi). Lalu Imam Al Junaid Al Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin.

Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.


Novel : Derap- Derap Tasbih

Fatih sebagai watak utama merupakan anak yatim dibawah asuhan dan jagaan Kiyai Sahal. Pak Kiyai ingin menjodohkan Fatih dengan anak gadisnya Wardah. Namun Fatih menolak lamaran tersebut kerana dia sudah menganggap Wardatul Mahmudah seperti adiknya sendiri. Tambahan pula Fatih percaya bahawa dia berhak untuk mengahwini orang yang dicintai.

Namun Wardah sepertinya tidak dapat menerima penolakan lamaran tersebut. Dia semakin jauh hati dari Fatih, tiada lagi berbual mesra dan gurau senda. Wardah cuba mengelak setiap kali bertemu dengan Fatih.

Ianya membawa perkenalan antara Wardah dengan Hendra, seorang pemandu pelancong di hutan Tawangmangu. Maka sejak pertemuan pertama itu, mereka berdua semakin rapat. Dia semakin lupa akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh anak seorang kiyai. Pergaulan dan pakaiannya sudah berubah sehingga kegadisannya turut tergadai dengan pujuk rayu Hendra itu.

Manakala Fatih yang merasa bertanggungjawab ke atas Wardah cuba menjejakinya kerana sudah banyak hari Wardah tidak pulang. Namun begitu, Fatih telah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta dalam hujan lebat sewaktu dua keluar mencari Wardah.

Bermula dari itulah, Fatih berkenalan dengan Dian Sasmita Wijaya, seorang doktor pelatih yang ditugaskan untuk menjaganya di Hospital Panti Husada. Dian yang mengenali Fatih sebagai novelis melalui iklan-iklan pelancaran novel 'Tasbih Micheal' yang terpampang mula meminati Fatih setelah membaca novel karyanya itu.

Dian makin mengambil berat tentang Fatih setelah dia mendapat tahu kereta yang melanggar Fatih itu adalah Honda Jazz miliknya yang diberi pinjam kepada Mila dan Shasa sahabat karibnya. Dian rasa cukup bersalah dan bertanggungjawab di atas kemalangan itu walaupun dia tidak terlibat secara langsung.

Sepanjang berada di hospital, Fatih tetap dibebani fikiran tentang Wardah yang masih belum ditemui. Pak Subhan dan ibu Zaenab serta teman-teman yang lain juga turut membantu Fatih mengesan dimana Wardah berada sehinggalah seseorang yang bernama Ibu Hartini menghubungi Fatih supaya datang menjemput Wardah di rumahnya di Surabaya.

Ketika itulah kisah hitam penuh kehinaan yang menyelubungi Wardah terpaksa ditutup rapi dari pengetahuan umum demi menjaga maruah Kiyai Sahal, Umi Badriyah, Darul Hikmah serta Wardah sendiri. Fatih terpaksa menanggung beban tersebut kerana janjinya dengan Wardah.

Namun begitu, Fatih terpaksa menceritakan perkara tersebut kepada Dian setelah Dian berjanji tidak akan mendedahkan kepada sesiapa. Ini kerana Fatih sudah tidak mampu untuk menanggungnya sendirian.

Dalam kekalutan jiwa ini, rahsia Wardah akhirnya terbongkar juga apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Doktor yang dipanggil Pak Kiyai kemudiannya mengesahkan bahawa Wardah mengandung. Demi menyelamatan maruah kiyai, wardah telah dihantar kerumah saudaranya sehingga melahirkan anak di sana. Ibu Zaenab sedih dengan keadaan begitu menyebabkan timbulnya sedikit perasaan iri hati terhadap Fatih kerana mendapat perhatian dan keistimewaan di sisi Kiyai.

Fatih kemudiannya telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang penulisan di luar negara telah mendapat restu Pak Kiyai. Malah Pak Kiyai juga turut merestui perhubungannya dengan Dian.

Setakat itu sahaja dapat saya tuliskan disini. Selebihnya anda bacalah sendiri baru tahu keadaan sebenarnya.