Tuesday, May 5, 2009

Pesanan Buat Jiwa


Wahai jiwa, bukalah pintumu agar pesanan ini bisa memasuki dan meresapinya dengan ulas-ulas zikir. Biar bait-bait kalam Ilahi merungkai ikatan-ikatan gelisah yang membelit mati agar jiwa bisa bernafas dan tidak berkemungkinan mati sebelum tibanya saat kamatian yang ditentukan Tuhan.

Wahai jiwa, usah jadikan relungmu itu tempat untuk segala-galanya yang mungkin kerana pasti suatu ketika ia tidak akan mampu menampungnya lagi. Pada saat itu, ia akan melimpah keseluruh ragamu membuatkanmu nanar mencari bantuan daripada terus kelemasan sendiri.

Wahai jiwa, janganlah engkau cari kesenangan dan kehebatan dunia semata-mata kerana ianya umpama air laut. Makin engkau minum airnya makin engkau rasa kehausan. Keasyikannya membuatkanmu hilang akal dalam kewarasan dan buta dalam kebenaran sehinggalah saat maut yang datang menjemput berada dihujung kakimu sendiri. Saat itu sudah tiada gunanya segala hartamu yang bergunung dan pangkat yang menghiasi namamu kerana ia tidak mampu untuk menahan tugas malaikat maut walaupun sesaat lamanya.

Wahai jiwa, apa lagi yang ingin dicari dalam kehidupan duniamu ini? Tidak cukupkah lagi janji Tuhan kepadamu untuk dicari dan dikejar bagi mendapatkannya. Tidakkah engkau ketahui bahawa tiada sebenar-benar janji kecuali janji Tuhan? Lalu apa lagi yang engkau khuatirkan, kerana segala takdir dan ketentuanmu sudah pun tersurat dalam kitab kehidupanmu. Maka redhalah kamu terhadap segala perancangan Tuhan yuang mengunjungi serta pasrah dan tawakal sentiasa menghiasi dirimu.

Wahai jiwa, tiada yang terlebih dingin selain aliran kalam Tuhan yang bisa memadamkan kepanasanmu. Hayatilah dengan hati yang tenang dan bersih agar ia dapat mengisi ronga-ronga syubhat, lopak-lopak nifaq serta putik-putik syirik yang berada dalam jiwa agar engkau kenali siapa dirimu dan siapa Tuhanmu.


Seruling Senja
04 Mei 2009
5.00 petang
Jalan Tg. Petra Semerak, Kota Bharu.

1 comment:

Thoyba Mursyidah said...

bicara jiwa- kita memilih, lubuk ilmu atau nafsu.
semoga Allah memberkatimu