Thursday, August 21, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta II


Dengan nama Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian hati. Segala puja dan puji kupersembahkan sebagai tanda perhambaan. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, pembawa ajaran kebenaran dan ahli keluarga serta sahabat baginda yang terpilih lagi terpuji sekalian.

Sayang…

Dalam mengharungi kehidupan ini, kita tidak pernah sunyi dari kesalahan. Besar atau kecil bukanlah kiraan, namun ia tetap kesalahan. Begitu juga dengan ku. Hidupku ini penuh dengan kesalahan. Dosaku pada Tuhan. Dosaku pada taulan tidak terkecuali padamu sayang.

Sayang…

Tiada apa yang dapat menghapuskan dosaku kecuali keampunan Tuhan. Tidak dapat ku temui Tuhanku dalam keadaan tenang penuh dengan kerdhaan kecuali dengan kemaafanmu sayang. Aku bukanlah wali dalam mencari rahmat Tuhan. Aku bukanlah nabi dalam mendapatkan kecintaan Tuhan. Namun aku hanyalah seorang hamba yang kehinaan mencari sejuta keampunan Tuhan bagi dosaku seluas lautan.

Sayang…

Kemaafan mu kutuntut sebagai bekal perjalanan. Terlalu banyak kesalahanku padamu sepanjang perkongsian hidup kita. Aku tahu ada luka di hatimu. Aku tahu ada guris di jiwamu. Oleh kerana toresan belati kesalahanku. Oleh itu, maafkanlah aku suami mu ini. Agar aku tidak tersandung oleh kerikil kesalahanku padamu di pertengahan perjalananku dalam mencari keampunan Tuhan.

Sayang…

Engkaulah insan teristimewa buatku. Anugerah Tuhan sebagai teman perjalanan hidupku. Pun begitu, aku sebenarnya tidak mempunyai kelayakan untuk bergandingan denganmu kecuali ia merupakan takdir ketentuan Tuhan sebagai anugerah buatku. Aku terasa malu sendirian merenung kebaikanmu padaku.

Ya Allah, Ya Tuhan…

Aku mensyukuri atas nikmatMu kepada ku. Anugerah tidak ternilai harganya dengan seisi dunia. Maka, kekalkanlah kebersamaan kami. Satukanlah jiwa kami dan restuilah perjalanan hidup kami. Jauhkanlah kami dari fitnah dan hasad syaitan yang boleh merosakan hati kami dengan seizin Mu wahai Tuhan. Rahmatilah hidupnya dunia dan akhirat. Janganlah Engkau jadikan diriku ini satu bebanan yang menyusahkan hidupnya.


Seruling Senja
07 Februari 2007
12.35 tengahari
Mahkamah Majistret, Tumpat Kelantan.



Tuesday, August 19, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta I


Dengan nama Tuhan, kumulakan butir bicara ini. Agar ia keluar dari hatiku yang tulus ikhlas dan seterusnya akan meresap ke dalam jiwamu dengan penuh ketenangan hendaknya. Selawat dan salam untuk baginda junjungan, pembawa hidayah ketuhanan buat sekian hamba Tuhan.

Kesyukuran yang memenuhi bumi dan melangkaui alam ini kupersembahkan pada Tuhan di atas kurnia yang tiada nilainya buatku. Kurniaan nikmat teragung selepas iman dan Islam yang mendiami hatiku dan dengannyalah aku hidup dan mati.

Inilah dinamakan takdir ketentuan Tuhan. Kasih dan cinta yang tersemai rupanya telah tercatat akan tibanya kesuatu titik perjanjian suci di atas nama dan kalam Ilahi. Ikatan yang menghalalkan hubungan cinta diantara aku dan dirimu. Ijab dan qabul bersaksi melayakkan aku engkau panggil suami dan engkau kupanggil isteri.

Duhai isteriku tersayang,
Terlalu banyak dugaan yang telah kita lalui untuk menikmati saat indah di hari ini. Bukan sedikit pengorbanan yang dilakukan dalam mengejar impian sebuah kebahagiaan yang kita idamkan. Maka, saat pertama kali dahimu kukucup adalah detik terindah yang tidak akan kulupakan terakam dalam hidupku. Tika itu terasa mengalir benih-benih cinta dari dalam hatimu memasuki lubuk jiwaku.

Duhai isteriku tercinta,
Hari ini bermulalah perkongsian hidup antara kita. Penyatuan dua jiwa dan dua hati berlainan perasaan dalam mengharungi suka duka alam rumah tangga. Sebelum kita terus melayari bahtera bahagia di lautan ini, ingin sekali aku menitipkan beberapa wasiat untukmu wahai isteriku agar ia jadi panduan bagimu tatkala perlu.

Duhai kasih, duhai sayang,
Saat ini, aku merupakan keutamaan bagimu selepas Allah dan Rasulmu. Wajib engkau mematuhiku selama mana aku tidak menyuruhmu untuk melakukan sesuatu yang menjadi larangan Tuhan. Hiasilah wajahmu dengan senyuman kerana senyumanmu itu penambat hatiku. Jagalah tutur katamu, karana lidahmu itu tajamnya boleh melukakan hatiku. Fahamilah aku, kerana aku hanyalah seorang lelaki biasa yang tiada keistimewaan dihadapan Tuhanmu dan Tuhanku. Bersabarlah dengan aku, kerana aku manusia yang tidak pernah tidak berbuat salah. Tatkala itu maafkanlah aku. Redhalah hatimu kerana aku ditakdirkan Tuhan hidup sebagai pejuang.

Wahai sayang,
Doaku; wahai Tuhan, jadikanlah kami ini pasangan yang bahagia lagi dirahmatiMu selama-lamanya. Kurniakanlah kami keberkahan hidup, kedamaian hati dan kerukunan rumah tangga.Ya Allah, hiasilah hidup kami dengan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu dendam yang berpanjangan dan tiada penghujungnya. Janganlah Engkau keringkan hati dan jiwa kami dari perasaan cinta dan kasih sayang kerana ia akan membawa padah yang tidak tertanggung oleh jiwa kami ini.

Ya Allah, kurnialah dari kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah yang teguh berpendirian yang akan membawa panji-panji menyambung perjuangan di atas jalanMu. Ya Allah, izinkanlah kami menikmati hidup bahagia ini sehingga satu saat yang Engkau tetapkan bagi kami tanpa sedikit pun duka yang terpalit diantara kami di hati kami.Ya Allah…..



Seruling Senja
23/01/2007
4.30 petang
Lachaman Lalchand & Associates
Kota Bharu The Islamic City


Sunday, August 17, 2008

Doa Buat Sahabat


Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…
Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…
Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan hanyalah dititipkan suatu pesanan melalui seorang teman buatku. Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

Ya Allah…
Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah…
Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

Ya Allah…
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…

Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah…
Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

Ya Allah…
Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi hatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.

Ya Allah…

Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan. Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.

Ya Allah…
Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.

Ya Allah…
Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agong.


Seruling senja
11.7.2004
4.22 ptg
Tg. Kuala



Thursday, August 14, 2008

Perkiraan Antara Aku Dan Saudaraku

Sebelum kuteruskan perkiraan ini, ingin sekali kunyatakan rasa syukurku pada Allah, Tuhan yang menjadikan Adam dan Hawa serta seluruh nenek moyangku yang menjadi asbab keberadaanku pada saat ini. Syukurku juga pada Tuhan, kerana kerahmatanNya aku telah ditakdirkan untuk menjenguk dunia yang fana ini atas nama Islam walaupun pada waktu itu hingga sekarang pun aku sendiri masih belum menjamin keimananku pada Tuhan dengan sebenar-benarnya kerana bisikan syaitan anaknya iblis selalu sahaja menerobosi masuk ke dalam jantung dan hatiku bagi menggugat pokok keimananku pada Tuhan. Oleh itu, aku juga bermohon pada Allah, tuhanku dan tuhan bagi sekalian alam agar dipelihara imanku supaya terus tegap dan kukuhnya sehinggalah tibanya masa takdir ketentuan tuhan buatku.

Selawat dan salam buat seorang hamba yang mulia yang dipilih Tuhan sebagai utusanNya kedunia bagi hasrat menyampaikan pesan dan peringatan bahawa Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad Itu Adalah PesuruhNya. Jika tidak disebabkan Rasulullah s.a.w, bisakah aku mengecapi manisnya iman dan nikmatnya amal. Walaupun aku tidak berkesempatan untuk hidup bersamanya atau menemuinya namun aku tetap bersyukur kerana aku diberikan kesempatan untuk memegang ajaran yang dibawanya, percaya dengan keyakinannya serta mengakuinya sebagai Rasul utusan Tuhan buat umat sekalian.

Sahabat,
Tidaklah aku punyai apa-apa kelebihan berbanding kalian semua, melainkan aku hanyalah manusia hamba Tuhan seperti kalian yang lebih dahsyat daripada kamu. Cuma dikesempatan yang terbatas ini, ingin sekali aku mencari secebis peluang untuk aku berbuat amal kebajikan bagi menebus kepanasan neraka Tuhan nanti.

Walaupun, apa yang ingin kukatakan pada kalian masih banyak lagi yang belum aku perbuatkan sendiri. Namun, aku tidak mahu bahawa pengetahuanku atau ilmuku yang sekadar itu turut terkubur bersamaku dalam lahad menjadi makanan ulat tanpa sedikit pun dimanfaatkan. Moga diampunkan Tuhan, dosaku dan dosa kalian serta dosa semua umat Islam yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Aku tidak tahu dimanakah patut kumulakan, cuma ingin ku nyatakan bahawa semakin tinggi ilmu seseorang semakin banyak cubaan dan dugaan yang bakal dihadapinya bagi menentukan martabatnya disisi Tuhan. Setiap manusia mempunyai kelemahan masing-masing. Setiap manusia melakukan dosa-dosa kecuali para nabi dan rasul. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Setiap manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang memohon taubat.”

Sepertiku, aku cuba ingin jadi yang terbaik untuk isteriku, untuk bakal zuriat keturunanku, untuk keluargaku, untuk umat Islam seluruhnya dan untuk Islam khasnya. Tetapi kadang-kadang aku tewas oleh desakan bisikan syaitan dan iblis yang dapat menerobosi masuk kedalam hatiku lalu aku lalai seketika. Pada masa itu, aku bagaikan lupa segala ilmu yang ku belajar, aku lupa pesan guru yang mengajar dan aku lupa seksa Tuhan. Namun segalanya kekuasaan Tuhan, aku terkesima dari kelalaian yang mengasyikkan. Aku terngadah pada dosa yang telah aku lakukan. Lalu…:
Ya Allah, aku hanyalah hambaMu yang terlalu lemah untuk menghadapinya. Oleh itu, janganlah Engkau ambil kira apa yang aku lakukan sewaktu aku tersalah atau terlupa. Ampunkanlah daku, terimalah taubatku dan perkenankanlah permintaanku. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Tuhan, dosaku terlalu banyak bergunung, tetapi kutahu rahmat keampunanMu umpama lautan meluas yang dapat menenggelamkan segala gunung dosaku.

Kadang-kadang, apa yang kita katakan tidak semestinya itu yang kita perbuatkan atau pun percayakan. Tutur lidah bersalahan dengan kata hati. Bukan tidak mahu diamalkan, tetapi masih belum mampu untuk memperbuatkannya sendiri. Seperti ungkapan hukama: berpesanlah kearah kebaikan sekalipun engkau masih belum memperbuatnya keatas dirimu sendiri. Semoga dengan kebaikan itu yang dilakukan orang lain boleh membuka hatimu bagi memperlakukan bagi dirimu sendiri.
Maka, semoga dengan amalan yang kupesan ini, bisa membuatkan aku mengamalkan untuk diriku sendiri. Terlalu takut oleh ku seketika mengingati murka Tuhan kepada sesiapa yang memberitahu orang lain tentang suatu perkara namun dirinya sendiri masih belum mengamalkannya sebagaimana dalam surah As-Saff.
Ya, Allah. Lindungilah daku dari murkaMu. Kerana aku tiada terpampang untuk menahan murkaMu yang maha dahsyat itu.
Masih terlalu banyak yang ingin perkatakan sebelum tibanya masa yang ditakdirkan buatku. Semoga Allah memberikan aku peluang bertaubat buat menebus segala keterlanjuran dosa yang ku lakukan.

Ya Allah, berikanlah aku sedikit lagi peluang untuk memohon taubat dan ampun. Kerana apabila sudah tiba masanya menemuiMu, maka sudah tentu aku tidak lagi berpeluang untuk memohon keampunan atas segala dosa-dosa ku. Ampunlah……
Seruling Senja

Wednesday, August 13, 2008

Surat Cinta Buat Kekasih IV

Dengan nama Tuhan Yang Maha Pengasih yang masih merahmati hidupku untuk aku utuskan warkah cinta ini buat kekasih yang aku rindui. Semoga Allah merahmati hidupmu dan hidupku serta bahagiakan kita oleh kerana cintaNYA.Walau sudah banyak surat-­surat yang telah aku kirimkan kepadamu, namun sarat rindu yang aku tanggung ini tetap tidak pernah surut dari hatiku. Bagai habis sudah ikhtiarku untuk diterangkan gelora rindu ini. Namun ia tetap hangat di dada.

Kekasih…
Setiap malam aku merenung ke dada langit dan kulihat bintang­-bintang rindumu bergermerlapan di sana. Betapa aku bahagia kerana aku tahu saat itu bukan hanya aku malah dirimu juga turut merindui, kerana terlalu banyak bintang yang bersinar di langit tinggi.

Kekasih…
Bahasa apa yang patut aku bicarakan bagi mempersembahkan rindu di dada ini? Kini hanya tinggal tutur mata yang buat menulis lembaran rindu yang jika diperkisahkan nescaya tidak akan tamat selamanya. Sehingga tiba saat yang telah ditetapkan Tuhan untuk aku, dirimu dan kisah cinta kita ini. Dan di waktu itu kita akan pasrah dan redha segalanya yang telah ditakdirkan Tuhan.

Kekasih…
Sekiranya telah tiba saat itu buat kita, aku bermohon pada Tuhan agar Dia menjemput kita dengan penuh rasa cinta dan rindu di dada. Biarlah cinta dan rindu kita ini menjadi saksi betapa agongnya Pencipta yang telah menganugerahkan bagi kita suatu rasa yang tidak hilang oleh masa dan sebabnya juga kita dicipta.

Kekasih..
Sekiranya selepas ini aku dijemput pergi, jadikanlah surat cinta ini sebagai suatu nasihat dan pesanan buat dirimu menjalani hidup ini. Yang pergi tetap pergi dan yang hidup mesti meneruskan hidup ini. Dan saat dirimu baca kembali surat-­surat kirimanku ini, hendaklah dirimu ketahui bahawa cinta dan rinduku menjangkaui tanah yang menutupi bumi.


Seruling senja
17 Julai 2004
6.41 petang
Kg. Tg. Kuala, Tumpat.






Tuesday, August 12, 2008

Imam Abu Hanifah dan Dahri Si Mulhid

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan dikalangan umat Islam. Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait denngan keTuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama disekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Dari kejadiannya ini, tahulah Khalifah bahawa Baghdad sudah ketiadaan ulama yangbenar-benar berwibawa dan tinggi ketaqwaannya. Lalu Khalifah memerintahkan beberapa orang menteri meninjau ke daerah lain, kalau-kalau masih ada ulama yang boleh dibawa berdepan dengan Dahri. Akhirnnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaimann Al-Asy ari, seorang ulama yang tidak kurang juga ketokohannya. Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad.

Sehari sebelum pertemuan itu lagi, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satunya ulama yang diharapkan. "Subhanallah. ... Subhanallah .... Walauhaulawala quwwata illa billahi aliyyil azim....!" Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadab dan metarialis itu. Mempertikaikan KeEsaan Allah SWT bukanlah perkara kecil dalam Islam. Ini kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipenggal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan mata yang turut hadir dalam majlis itu.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu' man, yang ketika itu usianya masih lagi remaja. Bila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar. Dalam pada itu teringat Hammad akan mimpinya malam tadi, lalu dikhabarkan kepada muridnya itu. AbuHanifah mendengarnya dengan penuh khusyuk."...Aku bermimpi ada sebuah dusun yang amat luas lagi indah. Di sana kulihat ada sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya.Tiba- tiba, di situ keluar seekor khinzir dari hujung sebuah kampung. Lalu habis dimakannya buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Hingga ke daun dan dahan-dahannya habis ditutuh.Yang tinggal cuma batangnya sahaja.Dalam pada itu juga keluar seekor harimau daripada umbi pohon rendang tadi lalu menerkam khinzir itu dengan gigi dan kukunya yang tajam. Lalu,khinzir tadi mati disitu juga."Hammad termenung seketika.

Kekalutan pemikiran yang telah dicetuskan Dahri, yang boleh menggugat pegangan aqidah umat ini, tidak boleh di biarkan. Mesti dihapuskan segera. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih, masih nampak bercahaya walau di saat sebegitu genting. Satu kelebihan Abu Hanifah ialah beliau juga dikurniakan Allah ilmu menta'bir mimpi, sebagaimana nabi Allah Yusuf. Pada pengamatannya juga, mimpi tersebut akan memberi petanda baik bahawa si Dahri pasti akan menerima padahnya nanti. Dan setelah mendapat keizinan gurunya, dia pun cuba mentafsirnya: " Apa yang tuan lihat dalam mimpi tuan sebagai dusun yang luas lagi indah itu adalah tamsilan kepada agama Islam kita. Pokok yang berbuah lebat itu adalah tamsilan kepada sekalian ulamanya. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah tuan sendiri. Dan khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon tersebut ialah si Dahri. Manakala harimau yang keluar lalu membunuh khinzir tadi... adalah saya..." jelas Abu Hanifah. Beliau juga memohon izin untuk membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Betapa gembiranya hati Imam Hammad bila tercetusnya hasrat itu dari hati muridnya sendiri.

Maka berangkatlah ilmuan budak itu bersama gurunya untuk pergi ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan memperleceh- lecehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

"Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya! " Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah.

" Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku... Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...! " Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

" Wahai Dahri," balas Abu Hanifah," Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertaqwa." Abu Hanifah lalu membacakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud: " Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimul antara kamu beberapa darjat." (Al-Mujadalah : 11 ) .

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog. Perdebatan antara Abu Hanifah dengan tokoh Ad- dahriyyah, yang terkenal dengan pemikiran materialis dan ateisnya itu, berlangsung dengan mendebarkan.

"Benarkah Allah itu wujud?," soal Dahri memulakan majlis dialognya.

"Bahkan Allah memang wujud," tegas Abu Hanifah.

"Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..? ?" Suara Dahri semakin meninggi.

"Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!" jelas Abu Hanifah.

"Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?" bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.

"Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa..." Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat.

"Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!" sahut Dahri.

"Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?" Terserentak Dahri seketika. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri.


Setelah itu Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan pada Dahri, seraya berkata: " Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?"

Pantas Dahri menjawab, "Ya, bahkan!"

Abu Hanifah bertanya lagi, "Kalau begitu dimanakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnyakah atau dibawahkah.. .?" Sekali lagi Dahri terserentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

"Untuk mencari dimanakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip dimanakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau dimanakah beradanya Zat Allah SWT di alam maya ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!"


Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi. Terbungkam lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan.

"Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti..." Semua mata tertumpu pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini. "Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yanng Awal dan Dialah yang Akhir", tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

"Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan Wujud tanpa ada permulaan Nya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas Nya....?" Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, "Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?" Sambil menuding ibu jarinya ke langit. Dan beberapa hadirin turut berbuat demikian.

"Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya.. ." Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.

"Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah SWT Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya. "

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah menggelegak.

"Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!" Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok.

"Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhan mu ketika ini ?" Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

"Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang," Katanya. Pemuda ideologi Ad- Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah.

"Wahai sekalian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang bathil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !" Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri.

Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali keserata dunia sebagai seorang Fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar'iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.




Surat Cinta Buat Kekasih III


Dengan nama Tuhan yang menciptakan setitis cinta di jiwaku ini. Dan kini subur dengan kasih dan tiba masanya sekarang ia membuahkan rindu yang lebat didahanan perasaan.

Tuhan…
Dengan namaMu aku bermohon dan dengan sebab cinta aku berharap. Tunjukkan aku jalan yang sebenar dalam menghadapi cinta. Jangan Engkau biarkan aku hanyut dalam rindu sewaktu gelombangnya menenggelamkan jiwaku bersendu. Hanyut aku kelemasan jika tanpa secebis rahmat daripadaMu. Wahai Tuhan….

Tuhan..
Aku cukup bahagia begini walaupun kadang-kadang rindu ini terlalu mencengkam jiwa. Bahagiakanlah dia sebagaimana Engkau bahagiakan aku dengan cintanya. Rahmatilah dia sepertimana Engkau rahmati aku dengan kasihnya. Peliharalah dia sebagaimana Engkau pelihara diriku dengan rindunya. Jadikanlah cintaku ini tulus, kasihku ini suci dan rinduku ini benar. Jadikanlah semuanya itu seumpama sirna cahaya yang menerangi kelamnya perjalanan di malam hari.

Tuhan…
Rahmatilah cinta kami, berkatilah kasih kami dan sucikanlah rindu kami. Satukanlah hati kami dengan namaMu. Ikatlah cinta kami atas jalan keredhaanMu. Matikanlah kami dengan cinta yang akan membawa kami menghadapi Mu dengan cinta.


Tuhan…
Jadikanlah kami orang yang memberi petunjuk dan mendapat petunjuk. Yang tidak menyesatkan dan tidak disesatkan. Damai dengan para kekasihmu dan memusuhi kepada musuh-musuhmu, demi cinta kami kepadaMu, kami mencintai orang-orang yang Engkau mencintainya. Dan demi permusuhanMu, kami akan memusuhi orang-orang yang memusuhi Engkau.


Seruling senja
8 Julai 2004
12.45 tengahari
Kg. Tg. Kuala.