Tuesday, August 19, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta I


Dengan nama Tuhan, kumulakan butir bicara ini. Agar ia keluar dari hatiku yang tulus ikhlas dan seterusnya akan meresap ke dalam jiwamu dengan penuh ketenangan hendaknya. Selawat dan salam untuk baginda junjungan, pembawa hidayah ketuhanan buat sekian hamba Tuhan.

Kesyukuran yang memenuhi bumi dan melangkaui alam ini kupersembahkan pada Tuhan di atas kurnia yang tiada nilainya buatku. Kurniaan nikmat teragung selepas iman dan Islam yang mendiami hatiku dan dengannyalah aku hidup dan mati.

Inilah dinamakan takdir ketentuan Tuhan. Kasih dan cinta yang tersemai rupanya telah tercatat akan tibanya kesuatu titik perjanjian suci di atas nama dan kalam Ilahi. Ikatan yang menghalalkan hubungan cinta diantara aku dan dirimu. Ijab dan qabul bersaksi melayakkan aku engkau panggil suami dan engkau kupanggil isteri.

Duhai isteriku tersayang,
Terlalu banyak dugaan yang telah kita lalui untuk menikmati saat indah di hari ini. Bukan sedikit pengorbanan yang dilakukan dalam mengejar impian sebuah kebahagiaan yang kita idamkan. Maka, saat pertama kali dahimu kukucup adalah detik terindah yang tidak akan kulupakan terakam dalam hidupku. Tika itu terasa mengalir benih-benih cinta dari dalam hatimu memasuki lubuk jiwaku.

Duhai isteriku tercinta,
Hari ini bermulalah perkongsian hidup antara kita. Penyatuan dua jiwa dan dua hati berlainan perasaan dalam mengharungi suka duka alam rumah tangga. Sebelum kita terus melayari bahtera bahagia di lautan ini, ingin sekali aku menitipkan beberapa wasiat untukmu wahai isteriku agar ia jadi panduan bagimu tatkala perlu.

Duhai kasih, duhai sayang,
Saat ini, aku merupakan keutamaan bagimu selepas Allah dan Rasulmu. Wajib engkau mematuhiku selama mana aku tidak menyuruhmu untuk melakukan sesuatu yang menjadi larangan Tuhan. Hiasilah wajahmu dengan senyuman kerana senyumanmu itu penambat hatiku. Jagalah tutur katamu, karana lidahmu itu tajamnya boleh melukakan hatiku. Fahamilah aku, kerana aku hanyalah seorang lelaki biasa yang tiada keistimewaan dihadapan Tuhanmu dan Tuhanku. Bersabarlah dengan aku, kerana aku manusia yang tidak pernah tidak berbuat salah. Tatkala itu maafkanlah aku. Redhalah hatimu kerana aku ditakdirkan Tuhan hidup sebagai pejuang.

Wahai sayang,
Doaku; wahai Tuhan, jadikanlah kami ini pasangan yang bahagia lagi dirahmatiMu selama-lamanya. Kurniakanlah kami keberkahan hidup, kedamaian hati dan kerukunan rumah tangga.Ya Allah, hiasilah hidup kami dengan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu dendam yang berpanjangan dan tiada penghujungnya. Janganlah Engkau keringkan hati dan jiwa kami dari perasaan cinta dan kasih sayang kerana ia akan membawa padah yang tidak tertanggung oleh jiwa kami ini.

Ya Allah, kurnialah dari kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah yang teguh berpendirian yang akan membawa panji-panji menyambung perjuangan di atas jalanMu. Ya Allah, izinkanlah kami menikmati hidup bahagia ini sehingga satu saat yang Engkau tetapkan bagi kami tanpa sedikit pun duka yang terpalit diantara kami di hati kami.Ya Allah…..



Seruling Senja
23/01/2007
4.30 petang
Lachaman Lalchand & Associates
Kota Bharu The Islamic City


No comments: