Thursday, August 28, 2008

Pesan Abah


Duhai anak...
Kalian permata hati abah
Hibanya jiwa abah
Melihat air mata kalian tersimbah
Buat jiwa abah tiba-tiba goyah.

Anak...
Ingatkan abah dalam hati kalian
Agar abah tenang di perantauan
Berteman kasih berpanjangan
Seharum kasturi diperjalanan
Rindunya abah pada pertemuan
Bagi menyingkap segala kenangan

Anak...
Susahnya abah ingin tinggalkan
Cahaya permata jadi hiburan
Sewaktu jiwa tidak keruan
Tenanglah wahai sayang
Buah hati abah sekalian
Dengarlah ingin abah pesankan
Jangan hilangkan akhlak kepujian
Nasihat umi jangan diingkarkan
Nanti selamat hidup kalian
Berkat doa berpanjangan
Untuk kalian
Anak-anak yang abah kenangkan.


Seruling Senja
7.10.02
10.02 malam
Tmn Pelangi, Johor Baharu.

Tuesday, August 26, 2008

Hijab Sang Pencinta



Sinopsis:

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya.
Watak utama Saifudin atau lebih dikenali dengan Laksamana Sunan yang berusaha untuk menentang Taghut dan pengikutnya Manusia Serigala (Manggala) daripada terus menyesatkan umat manusia. Selepas berjaya menewaskan Maharani, pemerintah kejam dan pengikut Taghut yang memerinta Kerajaan Pulau Utara nama Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu terus meniti bibir.

Perjalanan hidupnya yang penuh dengan dugaan, namun dia tetap bersabar. Bukan sahaja syaitan yang ditentangnya, namun manusia yang berperangai syaitan juga turut diperangi. Walaupun begitu, kisah perkahwinannya dengan Ratna Sang Ratu dan kematian ibunya menambahkan lagi dukanya sehinggakan dia telah ditidurkan Allah dalam sebuah gua apabila dikejar oleh pahlawan Sultan Melaka seperti kisah Ashabul Kahfi.

Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu kemudian dibangunkan Allah Taala dikurun 21 yang membuatkannya bertemu semula dengan Haryani. Kedatangannya itu telah ditakdirkan untuk menamatkan baka awal Manggala yang telah dicampakkan kedalam kawah gunung berapa di Pulau Anak Krakatoa.

Penamatnya, Haryati telah menyampaikan hasratnya kepada Laksamana Sunan untuk menjadi suri hidupnya. Namun hajatnya itu tidak kesampaian apabila Laksamana Sunan ditembak oleh Hamid, seorang pengikut Taghut sewaktu hendak lafazkan ijab qabul perkahwinan.

Komen:

Ramlee Awang Murshid adalah seorang penulis hebat yang amat saya minati. Beliau benar-benar menjiwai watak dalam penulisan beliau. Cerita yang digarapkan bukanlah sekadar cerita kosong semata-mata, namun ianya adalah hasil rujukan beliau kepada beberapa sumber. Terutamanya mengenai ayat-ayat al-Quran yang digunakan Laksamana Sunan sewaktu menentang syaitan.

Semoga Ramlee Awang Murshid terus menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menarik bahkan dapat memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada pembaca. Tahniah!!!

Sunday, August 24, 2008

Rintihan Roh

Diriwayatkan: “Jika roh telah keluar dari tubuh manusia dan telah lewat tiga hari, maka roh itu berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dahulu aku berada di dalamnya.” Maka Allah memperkenankan kepadanya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat kepadanya dari jauh. Kedua lubang hidungnya dan mulutnya mengalir darah. Maka ia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu ia merintih, aduuuh hai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan.

Setelah lewat lima hari roh berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku.” Maka Allah memperkenankannya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah kedua lubang hidung dan mulutnya berupa air nanah. Firman Allah SWT bermaksud:“Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan para malaikat berdiri dengan berbaris.” ( An-Naba’: 38)


Disebutkan dalam satu keterangan, bahawa yang dimaksud roh itu adalah rohnya anak Adam (manusia), dan keterangan yang lain mengatakan bahawa roh itu adalah rohnya malaikat Jibril as. Juga ada keterangan yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya Nabi Muhammad SAW yang berada di bawah Arasy, ia minta izin dari Allah di malam Lailatul Qadar untuk turun memberikan salam penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat dan roh itu berjalan melalui mereka.

Ada pula yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya para kerabat yang sudah mati, mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, semoga Engkau memperkenankan kami untuk turun ke rumah-rumah kami, sehingga kami melihat anak-anak kami dan ahli-ahli kami. Maka roh-roh itu turun pada malam Lailatul Qadar.

Sebagaimana Ibnu Abbas ra mengatakan: “Jika datang Hari Raya, hari Asyura’, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rajab, malam Nisfu Sya’ban, Lailatul Qadar, dan malam Jumaat, roh-rohnya para mayat semua keluar dari kubur mereka dan mereka semua berdiri di pintu-pintu rumahnya seraya berkata: “Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkah ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kalian bakhil dengan sedekah, dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingat kami dengan bacaan surah Al-Fatihah di malam yang penuh keberkahan ini.
Adakah seorang telah belas kasihan kepada kami, apakah dari salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah-rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri kami), wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membagi harta benda kami, wahai orang.yang menyiakan anak yatim kami. Adakah salah seorang dari kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami? Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam liang kubur melainkan pahalanya. Maka janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang-orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya. Jika mayat memperoleh sedekah dan doa dari mereka maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan putus asa dari mereka. Telah diterangkan, bahawasanya roh dalam perkumpulan haiwan tidak dalam seluruh tubuh, tapi ia dalam satu bahagian dari beberapa bahagian yang tidak dapat ditentukan dengan dalil. Bahawasanya seorang dilukai dengan luka-luka yang banyak maka ia tidak mati. Dan ia dilukai dengan luka-luka satu maka ia menjadi mati. Sebab luka itu jika menimpa pada tempat di mana roh bertempat di mana roh di dalamnya, dan bahawasanya roh bertempat pada seluruh tubuh dan bahawasanya mati itu dalam seluruh tubuh, maka Firman Allah SWT menunjukkan:Katakanlah: “la akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang pertama.” (Yaa Siin: 79)


Jika dikatakan, apakah bedanya antara roh dengan rawan? Maka kita katakan hahwa keduanya adalah satu. Keduanya tidak ada perbedaan, sebagaimana tubuh serta tangan adalah menjadi satu. Cuma kalau tangan dapat bergerak kesana kemari tapi kalau tubuh sama sekali tidak bergerak. Demikian pula rawan kesana kemari tapi sama sekali tidak bergerak.


Kemudian mengenai tempatnya roh di dalam tubuh tidak dapat ditentukan. Adapun tempatnya rawan di antara kedua alis. Maka jika roh itu hilang seorang hamba menjadi mati, dan jika rawan hilang ia menjadi tidur. Sebagaimana air yang dituangkan qas’ah dan ditaruh di rumah ada matahari yang sinarnya melalui lubang atap dan qas’ah itu tidak bergerak dari tempatnya.


Maka demikian halnya roh bertempat di dalam tubuh dan pusatnya berada di Arasy. Adapun rawan melihat dikala bermimpi dan ia berada di alam malakut. Adapun tempatnya roh setelah dicabut, ada diterangkan bahawa tempatnya disengkala yang didalamnya terdapat lubang sejumlah bilangan haiwan-haiwan yang dijadikan sampai hari kiamat. Jika ia mendapat kenikmatan berada di situ dan jika mendapat azab maka di situ pula.


Ada disebutkan bahawa roh-roh para mukminin berada dalam telur burung yang hijau di syurga iliyyin, adapun rohnya orang-orang kafir berada dalam telur burung yang hitam di neraka. Dan ada dikatakan bahawa rohnya para mukminin ketika dicabut, maka para malaikat rahmat sama mengangkat membawa naik roh ke langit yang tujuh dengan memuliakan dan mengagungkan. Kemudian dipanggil Zat pemanggil dari sisi Allah yang Rahman: “Hendaklah kamu semua menulis roh itu dalam Illiyyin lalu kembalikanlah ke bumi.”


Maka mereka mengembalikan roh seorang mukmin ke dalam tubuhnya dan ia dibukakan pintu syurga, ia melihat tempatnya di syurga sampai datangnya hari kiamat. Dan bahawasanya rohnya orang-orang kafir sewaktu dicabut maka para malaikat azab sama membawa naik roh itu ke langit dunia. Maka ditutuplah pintu-pintu langit yang lain dan ia diperintah mengembalikan ke tempat berbaring tubuhnya, kuburnya disempitkan dan ia dibukakan pintu neraka. Oleh kerananya ia melihat tempat kediamannya kelak sampai datangnya hari kiamat. Dalam hal ini sebagaimana pernah disabdakan Nabi SAW, sehingga bahawasanya mereka mendengar suara sandal-sandal kalian, hanya saja mereka terhalang dari berkata.

Sebahagian Hukama’ ditanya tentang tempat roh-roh setelah mati, maka ia menerangkan sebagai berikut:
1. Bahawasanya roh-roh para Nabi berada dalam Syurga Adn, ia berada dalam liang yang menyenangkan tubuhnya. Adapun tubuh bersujud kepada Tuhannya.


2. Roh-roh para Syuhada berada di syurga Firdaus, pada tengahnya syurga itu berada dalam telih burung yang hijau yang terbang di syurga sekehendak hatinya. Kemudian datang keqanadil yang digantungkan di Arasy.


3. Adapun roh-rohnya anak-anak kecil yang Islam berada dalam telih burung pipitnya Syurga.
4. Roh-rohnya para anak-anak musyrik berputar-putar di syurga dan ia tidak punya tempat, sampai hari kiamat. Lalu mereka melayani para mukminin.


5. Roh-rohnya orang-orang mukmin yang mempunyai hutang dan aniaya digantung diangkasa. Ia tidak sampai ke syurga dan tidak pula ke langit sampai ia membayar hutangnya dan penganiayaannya.


6. Roh-rohnya orang-orang Islam yang berdosa diazab dalam kubur beserta tubuhnya.


7. Roh-rohnya orang-orang kafir dan munafik dalam penjara neraka Jahannam dipintakan diwaktu pagi dan petang.


Dan disebutkan, bahawasanya roh adalah merupakan jisim yang halus. Oleh kerana itu tidak dapat dikatakan jika Allah itu mempunyai roh. Sebab mustahil kalau Allah mempunyai tempat seperti jisim-jisim. Dan dikatakan bahawa roh adalah merupakan sifat dan dikatakan pula kalau ia pecah jadi angin, maka kedua perkataan ini adalah perkataannya orang yang mengingkari adanya seksa kubur.


Ada diceritakan, bahawasanya seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, maka mereka bertanya kepada baginda tentang roh dari Ashabi Raqim dan dari Raja Dzil Qarnain. Dengan perdebatan Yahudi itu maka turunlah surah Al-Kahfi. Dan diturunkan tentang haknya roh adalah Firman Allah SWT.
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku.”(Yaa Siin: 79)






sumber: Darul Nu'man.




Thursday, August 21, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta II


Dengan nama Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian hati. Segala puja dan puji kupersembahkan sebagai tanda perhambaan. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, pembawa ajaran kebenaran dan ahli keluarga serta sahabat baginda yang terpilih lagi terpuji sekalian.

Sayang…

Dalam mengharungi kehidupan ini, kita tidak pernah sunyi dari kesalahan. Besar atau kecil bukanlah kiraan, namun ia tetap kesalahan. Begitu juga dengan ku. Hidupku ini penuh dengan kesalahan. Dosaku pada Tuhan. Dosaku pada taulan tidak terkecuali padamu sayang.

Sayang…

Tiada apa yang dapat menghapuskan dosaku kecuali keampunan Tuhan. Tidak dapat ku temui Tuhanku dalam keadaan tenang penuh dengan kerdhaan kecuali dengan kemaafanmu sayang. Aku bukanlah wali dalam mencari rahmat Tuhan. Aku bukanlah nabi dalam mendapatkan kecintaan Tuhan. Namun aku hanyalah seorang hamba yang kehinaan mencari sejuta keampunan Tuhan bagi dosaku seluas lautan.

Sayang…

Kemaafan mu kutuntut sebagai bekal perjalanan. Terlalu banyak kesalahanku padamu sepanjang perkongsian hidup kita. Aku tahu ada luka di hatimu. Aku tahu ada guris di jiwamu. Oleh kerana toresan belati kesalahanku. Oleh itu, maafkanlah aku suami mu ini. Agar aku tidak tersandung oleh kerikil kesalahanku padamu di pertengahan perjalananku dalam mencari keampunan Tuhan.

Sayang…

Engkaulah insan teristimewa buatku. Anugerah Tuhan sebagai teman perjalanan hidupku. Pun begitu, aku sebenarnya tidak mempunyai kelayakan untuk bergandingan denganmu kecuali ia merupakan takdir ketentuan Tuhan sebagai anugerah buatku. Aku terasa malu sendirian merenung kebaikanmu padaku.

Ya Allah, Ya Tuhan…

Aku mensyukuri atas nikmatMu kepada ku. Anugerah tidak ternilai harganya dengan seisi dunia. Maka, kekalkanlah kebersamaan kami. Satukanlah jiwa kami dan restuilah perjalanan hidup kami. Jauhkanlah kami dari fitnah dan hasad syaitan yang boleh merosakan hati kami dengan seizin Mu wahai Tuhan. Rahmatilah hidupnya dunia dan akhirat. Janganlah Engkau jadikan diriku ini satu bebanan yang menyusahkan hidupnya.


Seruling Senja
07 Februari 2007
12.35 tengahari
Mahkamah Majistret, Tumpat Kelantan.



Tuesday, August 19, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta I


Dengan nama Tuhan, kumulakan butir bicara ini. Agar ia keluar dari hatiku yang tulus ikhlas dan seterusnya akan meresap ke dalam jiwamu dengan penuh ketenangan hendaknya. Selawat dan salam untuk baginda junjungan, pembawa hidayah ketuhanan buat sekian hamba Tuhan.

Kesyukuran yang memenuhi bumi dan melangkaui alam ini kupersembahkan pada Tuhan di atas kurnia yang tiada nilainya buatku. Kurniaan nikmat teragung selepas iman dan Islam yang mendiami hatiku dan dengannyalah aku hidup dan mati.

Inilah dinamakan takdir ketentuan Tuhan. Kasih dan cinta yang tersemai rupanya telah tercatat akan tibanya kesuatu titik perjanjian suci di atas nama dan kalam Ilahi. Ikatan yang menghalalkan hubungan cinta diantara aku dan dirimu. Ijab dan qabul bersaksi melayakkan aku engkau panggil suami dan engkau kupanggil isteri.

Duhai isteriku tersayang,
Terlalu banyak dugaan yang telah kita lalui untuk menikmati saat indah di hari ini. Bukan sedikit pengorbanan yang dilakukan dalam mengejar impian sebuah kebahagiaan yang kita idamkan. Maka, saat pertama kali dahimu kukucup adalah detik terindah yang tidak akan kulupakan terakam dalam hidupku. Tika itu terasa mengalir benih-benih cinta dari dalam hatimu memasuki lubuk jiwaku.

Duhai isteriku tercinta,
Hari ini bermulalah perkongsian hidup antara kita. Penyatuan dua jiwa dan dua hati berlainan perasaan dalam mengharungi suka duka alam rumah tangga. Sebelum kita terus melayari bahtera bahagia di lautan ini, ingin sekali aku menitipkan beberapa wasiat untukmu wahai isteriku agar ia jadi panduan bagimu tatkala perlu.

Duhai kasih, duhai sayang,
Saat ini, aku merupakan keutamaan bagimu selepas Allah dan Rasulmu. Wajib engkau mematuhiku selama mana aku tidak menyuruhmu untuk melakukan sesuatu yang menjadi larangan Tuhan. Hiasilah wajahmu dengan senyuman kerana senyumanmu itu penambat hatiku. Jagalah tutur katamu, karana lidahmu itu tajamnya boleh melukakan hatiku. Fahamilah aku, kerana aku hanyalah seorang lelaki biasa yang tiada keistimewaan dihadapan Tuhanmu dan Tuhanku. Bersabarlah dengan aku, kerana aku manusia yang tidak pernah tidak berbuat salah. Tatkala itu maafkanlah aku. Redhalah hatimu kerana aku ditakdirkan Tuhan hidup sebagai pejuang.

Wahai sayang,
Doaku; wahai Tuhan, jadikanlah kami ini pasangan yang bahagia lagi dirahmatiMu selama-lamanya. Kurniakanlah kami keberkahan hidup, kedamaian hati dan kerukunan rumah tangga.Ya Allah, hiasilah hidup kami dengan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu dendam yang berpanjangan dan tiada penghujungnya. Janganlah Engkau keringkan hati dan jiwa kami dari perasaan cinta dan kasih sayang kerana ia akan membawa padah yang tidak tertanggung oleh jiwa kami ini.

Ya Allah, kurnialah dari kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah yang teguh berpendirian yang akan membawa panji-panji menyambung perjuangan di atas jalanMu. Ya Allah, izinkanlah kami menikmati hidup bahagia ini sehingga satu saat yang Engkau tetapkan bagi kami tanpa sedikit pun duka yang terpalit diantara kami di hati kami.Ya Allah…..



Seruling Senja
23/01/2007
4.30 petang
Lachaman Lalchand & Associates
Kota Bharu The Islamic City


Sunday, August 17, 2008

Doa Buat Sahabat


Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…
Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…
Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan hanyalah dititipkan suatu pesanan melalui seorang teman buatku. Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

Ya Allah…
Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah…
Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

Ya Allah…
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…

Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah…
Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

Ya Allah…
Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi hatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.

Ya Allah…

Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan. Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.

Ya Allah…
Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.

Ya Allah…
Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agong.


Seruling senja
11.7.2004
4.22 ptg
Tg. Kuala



Thursday, August 14, 2008

Perkiraan Antara Aku Dan Saudaraku

Sebelum kuteruskan perkiraan ini, ingin sekali kunyatakan rasa syukurku pada Allah, Tuhan yang menjadikan Adam dan Hawa serta seluruh nenek moyangku yang menjadi asbab keberadaanku pada saat ini. Syukurku juga pada Tuhan, kerana kerahmatanNya aku telah ditakdirkan untuk menjenguk dunia yang fana ini atas nama Islam walaupun pada waktu itu hingga sekarang pun aku sendiri masih belum menjamin keimananku pada Tuhan dengan sebenar-benarnya kerana bisikan syaitan anaknya iblis selalu sahaja menerobosi masuk ke dalam jantung dan hatiku bagi menggugat pokok keimananku pada Tuhan. Oleh itu, aku juga bermohon pada Allah, tuhanku dan tuhan bagi sekalian alam agar dipelihara imanku supaya terus tegap dan kukuhnya sehinggalah tibanya masa takdir ketentuan tuhan buatku.

Selawat dan salam buat seorang hamba yang mulia yang dipilih Tuhan sebagai utusanNya kedunia bagi hasrat menyampaikan pesan dan peringatan bahawa Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad Itu Adalah PesuruhNya. Jika tidak disebabkan Rasulullah s.a.w, bisakah aku mengecapi manisnya iman dan nikmatnya amal. Walaupun aku tidak berkesempatan untuk hidup bersamanya atau menemuinya namun aku tetap bersyukur kerana aku diberikan kesempatan untuk memegang ajaran yang dibawanya, percaya dengan keyakinannya serta mengakuinya sebagai Rasul utusan Tuhan buat umat sekalian.

Sahabat,
Tidaklah aku punyai apa-apa kelebihan berbanding kalian semua, melainkan aku hanyalah manusia hamba Tuhan seperti kalian yang lebih dahsyat daripada kamu. Cuma dikesempatan yang terbatas ini, ingin sekali aku mencari secebis peluang untuk aku berbuat amal kebajikan bagi menebus kepanasan neraka Tuhan nanti.

Walaupun, apa yang ingin kukatakan pada kalian masih banyak lagi yang belum aku perbuatkan sendiri. Namun, aku tidak mahu bahawa pengetahuanku atau ilmuku yang sekadar itu turut terkubur bersamaku dalam lahad menjadi makanan ulat tanpa sedikit pun dimanfaatkan. Moga diampunkan Tuhan, dosaku dan dosa kalian serta dosa semua umat Islam yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Aku tidak tahu dimanakah patut kumulakan, cuma ingin ku nyatakan bahawa semakin tinggi ilmu seseorang semakin banyak cubaan dan dugaan yang bakal dihadapinya bagi menentukan martabatnya disisi Tuhan. Setiap manusia mempunyai kelemahan masing-masing. Setiap manusia melakukan dosa-dosa kecuali para nabi dan rasul. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Setiap manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang memohon taubat.”

Sepertiku, aku cuba ingin jadi yang terbaik untuk isteriku, untuk bakal zuriat keturunanku, untuk keluargaku, untuk umat Islam seluruhnya dan untuk Islam khasnya. Tetapi kadang-kadang aku tewas oleh desakan bisikan syaitan dan iblis yang dapat menerobosi masuk kedalam hatiku lalu aku lalai seketika. Pada masa itu, aku bagaikan lupa segala ilmu yang ku belajar, aku lupa pesan guru yang mengajar dan aku lupa seksa Tuhan. Namun segalanya kekuasaan Tuhan, aku terkesima dari kelalaian yang mengasyikkan. Aku terngadah pada dosa yang telah aku lakukan. Lalu…:
Ya Allah, aku hanyalah hambaMu yang terlalu lemah untuk menghadapinya. Oleh itu, janganlah Engkau ambil kira apa yang aku lakukan sewaktu aku tersalah atau terlupa. Ampunkanlah daku, terimalah taubatku dan perkenankanlah permintaanku. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Tuhan, dosaku terlalu banyak bergunung, tetapi kutahu rahmat keampunanMu umpama lautan meluas yang dapat menenggelamkan segala gunung dosaku.

Kadang-kadang, apa yang kita katakan tidak semestinya itu yang kita perbuatkan atau pun percayakan. Tutur lidah bersalahan dengan kata hati. Bukan tidak mahu diamalkan, tetapi masih belum mampu untuk memperbuatkannya sendiri. Seperti ungkapan hukama: berpesanlah kearah kebaikan sekalipun engkau masih belum memperbuatnya keatas dirimu sendiri. Semoga dengan kebaikan itu yang dilakukan orang lain boleh membuka hatimu bagi memperlakukan bagi dirimu sendiri.
Maka, semoga dengan amalan yang kupesan ini, bisa membuatkan aku mengamalkan untuk diriku sendiri. Terlalu takut oleh ku seketika mengingati murka Tuhan kepada sesiapa yang memberitahu orang lain tentang suatu perkara namun dirinya sendiri masih belum mengamalkannya sebagaimana dalam surah As-Saff.
Ya, Allah. Lindungilah daku dari murkaMu. Kerana aku tiada terpampang untuk menahan murkaMu yang maha dahsyat itu.
Masih terlalu banyak yang ingin perkatakan sebelum tibanya masa yang ditakdirkan buatku. Semoga Allah memberikan aku peluang bertaubat buat menebus segala keterlanjuran dosa yang ku lakukan.

Ya Allah, berikanlah aku sedikit lagi peluang untuk memohon taubat dan ampun. Kerana apabila sudah tiba masanya menemuiMu, maka sudah tentu aku tidak lagi berpeluang untuk memohon keampunan atas segala dosa-dosa ku. Ampunlah……
Seruling Senja