Tuesday, August 26, 2008

Hijab Sang Pencinta



Sinopsis:

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya.
Watak utama Saifudin atau lebih dikenali dengan Laksamana Sunan yang berusaha untuk menentang Taghut dan pengikutnya Manusia Serigala (Manggala) daripada terus menyesatkan umat manusia. Selepas berjaya menewaskan Maharani, pemerintah kejam dan pengikut Taghut yang memerinta Kerajaan Pulau Utara nama Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu terus meniti bibir.

Perjalanan hidupnya yang penuh dengan dugaan, namun dia tetap bersabar. Bukan sahaja syaitan yang ditentangnya, namun manusia yang berperangai syaitan juga turut diperangi. Walaupun begitu, kisah perkahwinannya dengan Ratna Sang Ratu dan kematian ibunya menambahkan lagi dukanya sehinggakan dia telah ditidurkan Allah dalam sebuah gua apabila dikejar oleh pahlawan Sultan Melaka seperti kisah Ashabul Kahfi.

Laksamana Sunan, lelaki berduka dari Tanah Rencong itu kemudian dibangunkan Allah Taala dikurun 21 yang membuatkannya bertemu semula dengan Haryani. Kedatangannya itu telah ditakdirkan untuk menamatkan baka awal Manggala yang telah dicampakkan kedalam kawah gunung berapa di Pulau Anak Krakatoa.

Penamatnya, Haryati telah menyampaikan hasratnya kepada Laksamana Sunan untuk menjadi suri hidupnya. Namun hajatnya itu tidak kesampaian apabila Laksamana Sunan ditembak oleh Hamid, seorang pengikut Taghut sewaktu hendak lafazkan ijab qabul perkahwinan.

Komen:

Ramlee Awang Murshid adalah seorang penulis hebat yang amat saya minati. Beliau benar-benar menjiwai watak dalam penulisan beliau. Cerita yang digarapkan bukanlah sekadar cerita kosong semata-mata, namun ianya adalah hasil rujukan beliau kepada beberapa sumber. Terutamanya mengenai ayat-ayat al-Quran yang digunakan Laksamana Sunan sewaktu menentang syaitan.

Semoga Ramlee Awang Murshid terus menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menarik bahkan dapat memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada pembaca. Tahniah!!!

1 comment:

proaspurians92 said...

tak sabar nak baca novel ni... tapi sekarang ni tak de duit lagi.. terima kasih sudi bertandang..