Wednesday, September 24, 2008

Musafir Cinta


Sinopsis:

Kesinambungan daripada novel Syahadat Cinta. Kisah Iqbal yang masih mencari diri dan akhirnya di sebuah tempat, di dalam sebuah rumah mewah, iman Iqbal yang baru menyubur kembali dicabar oleh Firman dan teman-temannya. Namun dibalik semua itu tersembunyi suatu rahsia daripada Ilahi, lalu mampukah Iqbal menahan cabaran ataupun menyahutnya dan mampukah dia membongkar rahsia dibalik kejadian itu.

Setelah meninggalkan pondok Tegal Jadin, Iqbal Maulana telah mengembara tanpa arah tujuan dalam perjalanannya mencari cinta. Sehingga dia sampai ke Kota Banjarnegara dan bertemu dengan sekumpulan penyanyi jalanan yang hidup dengan penuh kemaksiatan dan kemungkaran. Di sanalah dia bertemu dengan Firman Ardiansyah, Surya Permana, Parno Atmojo, Patmo Prastowo, Indri Rahmaningtyas, Oktaniani, Tuan Burhan dan Puan Laela.

Iqbal yang pada mulanya menanggung amanah Tuan Burhan dan Puan Laela untuk membawa Firman, satu-satunya anak lelaki mereka kembali kejalan yang benar telah terseret sama dalam kekeliruan persoalan ketuhanan yang dikemukakan Firman. Sehinggakan Iqbal terkapai-kapai mencari jawapan terhadap soalan tersebut menyebabkan dia mempersoalkan qada' dan qadar tuhan.

Namun kecelaruan tersebut tidak lama tatkala hatinya kembali sirna. Berlakunya beberapa kejadian yang menyebabkan sahabat-sahabatnya yang sebelum ini bergelumang dalam noda, dosa dan kemaksiatan mendapat hidayah dari Allah. Maka tatkala itu tertubuhlah kumpulan Ashabul Kahfi.

Lalu rumah Tuan Burhan yang menjadi tempat pesta Firman dan teman-temannya sebelum ini telah bertukar menjadi taman yang indah dihiasi dengan alunan zikir dan ayat-ayat Tuhan. Maka berduyun-duyunlah orang datang untuk menemui Iqbal Maulana bagi mengenali seorang lelaki yang telah mengubah ramai pemuda jalanan menjadi pemuda yang menjejaki jalan Tuhan.

Ulasan:

Pada permulaan novel ini agak perlahan dan sedikit membosankan. Namun ceritanya semakin menarik setelah Iqbal sampai di Kota Banjarnegara. Novel ini kurang adengan aksi jika hendak dibandingkan dengan novel Syahadat Cinta. Namun ianya sarat dengan persoalan ketuhanan. Nasihat saya kepada pembaca yang lain agar membacanya sampai kepenghujung cerita dan berhati-hati apabila memikirkan jawapan yang diajukan oleh Firman kepada Iqbal. Pada pendapat saya, penulis novel ini perlu membuat satu bab yang mana Iqbal mendapat jawapan terhadap persoalan ketuhanan yang dikemukakan Firman.

Walau bagaimanapun, keseluruhan novel ini cukup bagus untuk dibaca dan dimilik. Saya tidak sabar untuk menantikan kehadiran novel terakhir daripada trilogi ini iaitu Makrifat Cinta.




2 comments:

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah said...

Alhamdulillah...
Saya telah selesai membacanya. Bestla jugak. Dok tunggu novel Makrifat Cinta pulak. Tak sabar ni.

sue said...

thanks buat seruling senja..
sy dh lama mencari2 bahan bacaan yg berguna utk pengisisan jiwa..
selalu membaca novel yang 'terlalu biasa' kurang memberikan kesan..
sedikit sebanyak ulasan anda mengenai buku ini membuatkan sy teruja utk turut memiliki dan memahami isi ceritanya..
semoga ada sesuatu yang sy perolehi dr membacanya..tq..