Monday, September 29, 2008

Wasiat Buat Isteri Tercinta 4


Dengan nama Allah, aku mulakan bicara ini dengan penuh sifat kehambaan yang ada pada diriku. Moga ianya menjadi panduan sepanjang perjalanan hidupmu. Selawat dan salam untuk rasul tercinta dan kekasih yang mulia serta para ahli keluarga juga para sahabat sekalian.

Sayang...
Ingatlah olehmu akan satu sabda junjungan yang bermaksud: " Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah." Jadilah dirimu akan isteri yang solehah kerana sesungguhnya ia adalah idaman setiap suami dan ia adalah anugerah Tuhan yang bernilai buatku sebagai suamimu.

Sayang...
Untuk menjadi isteri solehah bukanlah terlalu sukar. Patuhi Allah sebagai Tuhanmu, pegang sunnah Rasul sebagai ikutan dan taati aku oleh kerana Allah dan Rasulmu. Tidakkah teringin dilubuk sanubarimu untuk melihat syurga serta mengecapi nikmatnya? Sesungguhnya syurga itu tidak akan dapat dimasuki kecuali dengan kuncinya iaitu Iman dan Taqwa.

Sayang...
Ketahuilah olehmu bahawa dunia ini telah Allah penuhi dengan seribu satu keindahan untuk menguji manusia, siapakah diantara mereka yang terlebih baik amalnya. Maka barang siapa yang leka dengan ujian tersebut, nescaya merekalah orang yang rugi. Dan beruntunglah barang sesiapa yang dapat menawan nafsu mereka dengan kejernihan Iman kepada Allah s.w.t.

Sayang...
Setiap kesalahan itu akan menghasilkan dosa. Dan setiap dosa itu akan menjadi titik hitam dalam hati manusia. Selama mana manusia berbuat dosa dan tidak pula disusuli dengan taubat memohon keampunan Allah, maka selama itulah hatinya akan diselaputi kegelapan dosa dan noda. Sekiranya dibiarkan sahaja begitu, maka hati manusia tersebut akan mati sebelum rohnya berpisah dari jasad.

Sayang...
Setiap manusia biasa itu berbuat dosa. Namun sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang memohon taubat. Sesungguhnya taubat itu akan menyucikan hati dan jiwamu dari sebarang penyakit yang boleh membawamu kepada kemurkaan Allah. Semoga dirimu diperuntukkan Allah satu tempat dari syurgaNya walaupun sebesar tapak tangan kerana ianya terlebih baik daripada tempat sejauh mata memandang di dalam neraka Allah.


seruling senja
12/09/2008
1.42 petang
Masjid at-Taqwa,
Taman Uda Murni, Kota Bharu.


1 comment:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

selamat hari raya

http://aberamly.wordpress.com
http://ramlyotai.blogspot.com
http://awanggedeber.blogspot.com
http://hanturaya57.blogspot.com

marilah kita berdebat, saya orang kelong, tumpat