[CARILAH KASIH INSAN DEMI CINTA TUHAN]
Selamat Datang Ke Blog Seruling Senja. Sebarang komen, cadangan atau apa sahaja boleh dihantar kepada saya di serulingsenja2@gmail.com
Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka Telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan Bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong, (an-Nisa’ : 89)
Negara kita dikejutkan dengan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri mengenai penubuhan Jawatankuasa Antara Agama yang diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta di pengerusikan oleh Datuk Ilani Isahak.
Akibatnya banyak pihak yang mempertikaikan penubuhan jawatankuasa tersebut termasuklah PERKASA, ABIM, Mufti Perak dan beberapa pertubuhan NGO lain. Objektif penubuhan tersebut kelihatannya amat kabur dan mirip kepada interfaith commissions (IFC) yang pernah mendapat bantahan tahun lalu sewaktu dicadangkan penubuhannya oleh pihak-pihak tertentu.
Maka Timbalan Perdana Menteri muncul memberikan penjelasan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut hanyalah membincangkan mengenai perhubungan antara kaum di Malaysia sahaja. Oleh itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Bin Baharom untuk memberikan penjelasan mengenai objektif penubuhan jawatankuasa tersebut kepada rakyat.
Daripada pengamatan saya, penubuhan jawatankuasa tersebut tidak pernah mendapat pandangan daripada orang yang mahir dalam bidang agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan para Mufti. Kerajaan seolah-olah cuba mencari alasan bagi memberikan penjelasan kepada rakyat untuk mengelak dari dipersalahkan.
Sekiranya jawatankuasa tersebut hanyalah untuk membincangkan mengenai perhubungan antara kaum di Malaysia, kenapa perlu dinamakan sebagai ‘Jawatankuasa Antara Agama’? Seharus dan sepatutnya ia dinamakan sebagai ‘Jawatankuasan Antara Kaum’! Kesilapan pertama kerajaan terbongkar menunjukkan ianya idea yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa mendapatkan pandangan pakar mengenai kebolehan serta implikasinya di masa hadapan.
Masyarakat Islam amat risau akan kembalinya peristiwa cadangan IFC yang lalu kerana ia boleh merendahkan martabat agama Islam sebagai agama tertinggi negara dengan perlbagai permintaan dan syarat yang dikemukakan oleh agama-agama lain.
Sebagaimana ayat 89 surah an-Nisa’ diatas, Allah sw.t melarang hambanya daripada mengambil orang-orang kafir sebagai penolong atau pembantu sehinggalah mereka itu meyakini sebagaimana yang kita imani serta mereka sentiasa mahukan kita mengikuti kehendak mereka.
Apakah kita mahu mengambil orang-orang kafir sebagai penasihat dalam agama atau mengenai agama kita sendiri? Adakah kita yakin dan pasti bahawa nasihat yang bakal diberikan itu selari dengan landasan syara’?
Berdasarkan pengalaman lalu, amat mustahil untuk berlaku demikian kecuali segala-galanya adalah atas kehendak Allah s.w.t.
Ummah perlu ketahui batasan perbezaan, adab, disiplin hormat-menghormati sesama insan
SAYU hati mengingatkan tokoh Islam yang asalnya berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah dan peneraju gerakan Islam dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna dan Syed Qutb, akhirnya menjadi pendukung aliran pluralisme agama Prof John Harwood Hick.
Pluralisme agama dibentangkan gagasan Prof Hick meninggalkan sikap eksklusif Katholik yang menganggap semua agama sebagai penyelamat, menunjukkan pemikirannya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti sebenar.
Ia timbul daripada pengalaman peradaban, budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat melalui sejarah pahit. Tidak masuk akal orang Islam yang berimamkan al-Quran boleh mengikut aliran muflis dari segi rohani. Islam mengajar sesiapa yang mengikut nabi akan selamat.
Orang yang memiliki kepercayaan seperti John Hick mungkin akan menjadi ‘suam-suam kuku’ dalam keyakinannya. Mereka bukan daripada kalangan orang yang yakin dan akhirnya berpendapat pengetahuan mengenai Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin.
Pegangan seperti ini membuatkan kita melihat persamaannya dengan golongan zindik zaman klasik iaitu mereka yang imannya terpesong atau sesat.
Nukilan Jalaluddin Rumi menyebut mengenai lampu yang banyak dan keperluan tidak melihat lampu tetapi cahaya dengan fahaman semua agama adalah sah, sebenarnya menimbulkan kekeliruan ke arah memahami perkara ghaib dengan mata zahir.
Jika hakikatnya demikian, tentu Rumi tidak mengkritik agama Kristian, Yahudi dan Musyrikin penyembah berhala. Sebaliknya memang beliau mengkritik. Ini menyebabkan yang benar atau batil dalam agama menjadi tidak relevan dan tepat.
Melalui teori itu, Hick menegaskan jalan keselamatan dalam agama tidak tunggal tetapi jamak dan beragama sesuai dengan tradisi serta ajaran yang ada.
Teorinya itu merujuk kepada kata-kata Rumi, “Lampunya berbeza tetapi cahayanya sama.” Hick juga menemukan kalimat sama dalam kitab suci Hindu, Bhagavad Gita, “Jalan apapun yang dipilih manusia adalah milik-Ku.”
Sikap menyatakan adanya inti semua agama mengatasi bentuk lahiriah dan upacara tidak ada sandaran dalam tamadun Islam atau sejarah kerohaniannya. Nama yang disebut bagi menyokong aliran itu adalah perbuatan menjual nama demi melariskan barangan. Kenyataan itu diambil di luar konteks atau ditafsirkan secara tidak sahih.
Dante yang terkenal dengan bukunya, Divine Comedy tidak berjaya membuktikan beliau memandang semua agama ada kedudukan sah dan bersifat sebagai penyelamat. Jika tidak, mengapa beliau memasukkan Nabi Muhammad dalam neraka dengan tuduhan baginda sebagai ketua kumpulan mengadakan sokongan serpihan agama yang sesat.
Dante yakin kebenaran muktamad agama Katholiknya tetapi bagaimana buku itu boleh menjadi bukti kebenaran pluralisme agama?
Kedamaian rohani dan keamanan tercapai apabila manusia berhenti daripada kerakusan. Itu peraturan rohaniah yang sah dalam Islam tetapi tidak menjadi dalil untuk pluralisme agama.
Soal ‘menyokong satu agama’ dalam erti memilih agama Islam mengatasi yang lain bukan soal ‘memilih’ tetapi ia ketetapan Ilahi dalam ayat, “Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam.”
Pemikiran Hick dan pemikir sepertinya tidak mampu menolak keyakinan yang datang daripada Tuhan, Rasul (semua rasul dan nabi dalam semua zaman sejarah anak Adam), arifin dan ijma’.
Negara yang penduduk dan pemimpin tertingginya Muslim, wajib berlaku ‘menyokong satu agama’, seperti menjadikan Islam agama Persekutuan. Tetapi Islam mengajar keadilan dan kebebasan beragama bagi penganut agama lain, sedangkan di Barat sekarang pun tudung kepala dan menara masjid menjadi masalah besar.
Penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran menyeluruh mewakili arus perdana umat.
Bagaimanapun, ia perlu dilihat dalam konteks sejarah, seperti sekarang, maklumat dimanipulasi untuk kepentingan pengaruh atau dominasi sesebuah negara terhadap negara lain.
Prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arus perdana iaitu menjadi umat terbaik dilahirkan untuk manusia tanpa mempedulikan pandangan golongan Islam liberal atau pluralisme agama.
Namun, kita perlu mengetahui perbezaan, persamaan, adab, disiplin dan menghormati orang lain dalam batasan yang wajar.
Saya bersyukur kalau Sister In Islam (SIS) masih ada perasaan terhadap khutbah-khutbah yang dibacakan diseluruh masjid di Selangor mengenai kumpulan itu dikatakan ‘telah menghina Islam’. Sekurang-kurangnya hati mereka masih boleh melihat cahaya yang menyinari bagi membezakan antara yang haq dan yang batil.
Cuma saya sedikit terkilan apabila mereka tidak melihat tindakan Jais tersebut sebagai satu teguran yang tidak boleh dipandang ringan. Tidak kiralah siapa pun yang berada dalam SIS itu yang mereka mendakwa terdiri daripada para professional yang pakar dalam bidang masing-masing. SIS sepatutnya tidak boleh memandang enteng mengenai fakta sejarah yang mencatatkan betapa ramai para ilmuan yang tersesat dengan ilmu mereka kerana ianya tidak dipandukan oleh cahaya petunjuk Ilahi.
Mereka membangkitkan bahawa Jais seolah-olah tidak menghormati prinsip perbezaan pendapat sebagaimana yang berlaku antara imam-imam mazhab. SIS sepatutnya membandingkan dengan teliti antara taraf mereka dengan para imam mazhab yang muktabar itu. Para imam tersebut mengeluarkan pendapat atau fatwa berdasarkan panduan hukum yang telah ditetapkan dalam Islam. Namun SIS pula bertindak sebaliknya. Mereka mengeluarkan kenyataan dan pendapat sesuka hati tanpa menilainya dengan neraca Islam bukannya dengan hawa nafsu.
Susah juga untuk menasihatkan orang yang tidak sedar bahawa dia tidak sedar, malah mengaku mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang sedar. Firman Allah s.w.t :
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata. (al-Ahzab: 36)
Syeikh Zarruq berkata: Jika sesiapun tidak mungkin mengoyakkan kota takdir Tuhan dengan tadbir dan ikhtiar yang tidak memberi faedah bahkan kelesuan yang mengundang, amat patut seseorang yang berakal meninggalkannya. Justeru pengarang berasa perlu untuk menyebut hikmah ini:
Rehatkanlah dirimu daripada tadbir (urusan) ini. Justeru, apa-apa yang telah dilakukan oleh orang lain, sama ada perkara duniawi atau ukhrawi, maka janganlah engkau melakukannya bagi dirimu.
Mafhum Hikmah
Rehatkan dirimu daripada keletihan mengurus pentadbiran yang menafikan konsep perhambaan sehingga kamu berkata: “Kalaulah aku tidak buat begitu tidaklah terjadi begini.” Hal ini adalah kerana Allah s.w.t telah mentadbirkan semuanya sejak azali ilmu-Nya. Justeru, apa-apa yang dilaksanakan oleh orang lain, janganlah kamu masuk campur lagi kerana kamu telah lemah untuk melaksanakannya.
Ibarat pertama hikmah ini menggesa manusia jangan bertadbir kerana ia menyusahkan hati sepertimana kata Sahl bin Abdullah:
Tinggalkanlah tadbir dan ikhtiar kerana kedua-duanya mengeruhkan kehidupan manusia
Sabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya Allah menjadikan roh dan kerehatan dalam perkara redha dan yakin (Riwayat hadis dinyatakan oleh ibn Ajibah dalam al-Himam)
Tadbir yang tidak boleh ialah tadbir tanpa berserah kepada Allah s.w.t. Jika sebaliknya, ia bukanlah tadbir mengikut maknanya yang hakiki namun ia disebut demikian secara majaz.
Dipetik dari Ahasinul Kalimi karangan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain.
Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.
Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)
Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)
Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".
Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika Allah menceritakan anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana firman-Nya:
Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)
Begitu juga firman Allah:
Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)
Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.
Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".
Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.
Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.
Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.
Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya:
Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)
Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran:
Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47)
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran:
Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)
Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya:
Mereka berkata, "Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu'ara': 185-186)
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran:
Dan mereka pula berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)
Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain.
Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".
Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".
Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi."
Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya.
Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.
Keampunan
Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya, Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad nabi SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi.
Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so'iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku". Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan Imam Hakim mensahihkannya.)
Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara ini yang bertajuk Anba' al Azkiya' bi Hayah al Anbiya' (Perkhabaran Orang Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: "Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah sahih)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)
Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".
Diriwayatkan pula daripada 'Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).
Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, tetapi kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.
Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.
Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda S.A.W dengan sifat-sifat ketuhanan.
Disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 08/03/2010
Semakin dibiarkan semakin galak kumpulan NGO yang kononnya memperjuangkan hak wanita menamakan diri mereka sebagai Sister In Islam (SIS) membuat ‘fatwa’ sendiri dalam perkara-perkara berkaitan hukum. Namun ‘fatwa’ mereka itu jauh tersasar dari landasan Islam yang sebenar dan tidak sepadan dengan perkataan Islam pada nama kumpulan mereka.
Saya agak kabur mengenai objektif penubuhan SIS itu sendiri sama ianya pertubuhan NGO yang ingin mempertahankan nasib wanita semata-mata tanpa mengira salah atau benar, ataupun NGO yang menaikkan martabat wanita mengikut acuan Islam. Sekiranya diteliti daripada sekian banyak ‘fatwa’ yang dikeluarkan SIS, kenyataannya mereka hanyalah mempertahankan hak wanita semata-mata tanpa melihat sama ada ia benar atau salah mengikut pandangan Islam.
Tatkala membaca kenyataan SIS mengenai tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menjatuhkan hukuman rotan keatas tiga orang wanita kerana Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram). Menurut mereka, kerajaan perlu mengkaji semula sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan.
Nampaknya SIS hendak melawan hukum Allah s.w.t dalam perkara zina yang jelas disebut dalam al-Quran:
Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, Maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.(an-Nur : 2)
Ayat tersebut jelas mengenai hukum zina yang perlu dikenakan keatas penzina apabila Mahkamah mensabitkan kesalahan tersebut berdasarkan segala bukti dan keterangan, sumpah mahupun pengakuan.
Nampaknya SIS seolah-olah mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t berdasarkan pemikiran mereka yang cetek. Tidak semua ketetapan hukum yang telah dijelaskan Allah s.w.t dapat kita ketahui rahsia disebaliknya. Ia ketentuan hukum hak Allah s.w.t sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Jazairi dalam Kitab Fiqh Empat Mazhab.
Manakala al-Hafiz ibn Hajar al-Asqalani meriwayatkan satu hadis dalam kitabnya Bulughul Maram:
Dari ‘Ubadah bin Shamit katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah dariku! Ambillah dariku! Kerana sesungguhnya Allah menetapkan untuk mereka (wanita-wanita yang serong) suatu jalan iaitu pemuda dengan pemudi didera 100 kali dan diasingkan setahun, sedangkan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin didera 100 kali dan direjam. (HR Muslim)
Ulama telah sepakat bahawa hukuman rotan untuk penzina walaupun ada yang berbeza pendapat mengenai jumlah rotan tersebut. Jadi diamanakah dasarnya yang dipegang SIS untuk mengatakan bahawa rotan itu adalah satu kezaliman?
Perlu diketahui bahawa barang sesiapa yang mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, maka mereka telah menjerumuskan aqidah mereka dalam bahaya kufur.
Pihak berkuasa agama perlu mengambil berat mengenai perkara ini bagi membendung menyebaran fahaman songsang yang boleh menyesatkan masyarakat. Bertindaklah segera sebelum terlambat!!
Hari ini saya ada membaca satu berita mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan pengharaman buku Muslim Women And The Challenge Of Islamic Extremism (Wanita Islam dan Cabaran Terhadap Fahaman Islam Yang Melampau) oleh Jakim.
Ketua pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata buku tersebut boleh menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam. Menurutnya, kandungan buku itu didapati bercanggah dengan Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan jabatan itu pada tahun 1996.
Wan Mohamad berkata buku itu telah diteliti, disemak dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dipengerusikan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Jakim sepatutnya meneliti masalah ini dengan lebih mendalam lagi serta kesan dan akibatnya kepada masyarakat. Telah banyak artikel dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sister In Islam (SIS) itu yang bercanggah dengan pandangan ulama-ulama muktabar.
Jakim masih boleh membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa khusus mengenai hal ehwal Islam bagi memastikan kesahihan kandungan buku tersebut serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Jakim tidak sepatutnya hanya sekadar mengalah begitu sahaja sedangkan masih banyak jalan lain yang terbentang sehinggalah kepada mencadangkan kepada majlis fatwa untuk mengharamkan SIS tersebut.
Saya tidak nampak kenapa Jakim tidak boleh berbuat demikian kerana jabatan tersebut mempunyai tenaga kepakaran yang mencukupi untuk membawa perkara ini ketengah. Melainkan Jakim tidak mahu bertindak kerana mempunyai agenda-agenda tertentu.
Saya yakin dan percaya sekiranya Jakim tidak mengambil tindakan segera ianya tiada beza dengan penularan fahaman ajaran sesat dalam masyarakat. Oleh itu Jakim perlu bertindak segera sebelum terlambat.